Friday, October 4, 2013

PRK DUN SUNGAI LIMAU : ORANG MUDA, PENGUNDI ATAS PAGAR PILIH SIAPA?

"BN Kedah perlu mengenal pasti calon yang sesuai dengan perwatakan terbaik, berpengalaman dan mudah diterima masyarakat di situ...BN akan menggunakan tempoh 10 hari berkempen untuk menerangkan dasar dan perjuangan BN dalam membantu orang Melayu dan Bumiputera."
 - Tan Sri Muhyiddin Mohad Yassin

Pas mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 4 November depan. Itu kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Anwar berkata pembangkang akan memainkan isu kenaikan harga barang, minyak dan laporan audit yang mendedahkan penyelewengan kementerian, yang dilihat akan memberikan kelebihan kepada PR untuk pertahankan kerusi itu.

Selasa lalu, Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang baik untuk memenangi kerusi DUN  Sungai Limau pada pilihan raya kecil (PRK) nanti walaupun kerusi itu dikuasai PAS sejak lima pilihan raya umum (PRU).

Ini berikutan BN mampu memajukan kawasan itu dengan lebih pesat dan apa yang penting, BN mesti mendekatkan diri dengan rakyat, mengambil tahu masalah rakyat dan cuba membantu menyelesaikan masalah mereka, kata Dr Mahathir.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai dengan kira-kira 40 peratus daripada 27,287 pengundi Sungai Limau adalah golongan muda dengan Melayu seramai 25,388 orang.

BN dilihat mampu merampas kembali kerusi Dun terbabit sekiranya berjaya meraih sokongan daripada pengundi atas pagar dan pengundi luar. PAS menang di kawasan itu sejak 1995 menerusi bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak disebabkan daya tarikan peribadi Azizan dalam kalangan pengundi.

PRK DUN Sungai Limau diadakan berikutan kematian Azizan Khamis lepas setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius. Ini merupakan PRK kedua selepas PRU13 dengan yang pertama PRK Dun Kuala Besut diadakan pada 24 Julai lepas.

Azizan mempertahan kerusi itu bagi penggal kelima pada PRU13 yang lepas dengan mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi.

Selain aura Allahyarham Azizan di kawasan itu, Pas bergantung kepada pengundi luar serta bukan Melayu. 

Bagaimanapun,BN yakin golongan muda  mahukan pembangunan dan lebih banyak pembangunan dan peluang pekerjaan diadakan di kawasan berkenaan

Menurut Dr Mahathir : "Dulu Tan Sri Azizan dia tak kempen pun tapi dia menang, kerana personaliti. Orang sokong dia kerana personaliti dia, bukan parti. Sekarang mungkin orang nak tukar selera.”

Anwar pula mengatakan  beliau akan pastikan semangat seluruh jentera PKR dan DAP membantu dan menyokong calon Pas untuk menang nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sudah meminta pengundi pilihan raya kecil agar 'lebih mesra' dengan memberikan kemenangan kepada BN yang kembali menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri kini dipimpin tokoh muda berkaliber Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar yang mampu membawa Kedah menjadi lebih maju.

"Cabaran bagi BN dan Umno di kawasan itu bukan mudah tetapi kita anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu kita hadapi dan membantu dalam memberi kemenangan kepada kita," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz pagi semalam menetapkan 4 November depan sebagai tarikh PRK di kerusi Dun Sungai Limau.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober ini.

Pas semalam menyambut baik penetapan tarikh yang dilakukan oleh SPR itu yang dianggap sesuai memandangkan jarak antara Muktamar Pas agak jauh.

 Ada pihak tertentu dalam PAS sebelum ini bimbang PRK ini jika diadakan selepas pembentangan Bajet 2014 akan memberikan kelebihan kepada BN.

Bagi SPR, pemilihan tarikh berkenaan tidak ada kena mengena dengan pembentangan Bajet 2014 atau apa-apa juga pertimbangan yang boleh memberikan keuntungan kepada BN.

Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan SPR sama sekali tidak meletakkan isu bajet sebaliknya pertimbangan mereka ialah paling penting supaya PRK ini dibuat sebelum peperiksaan SPM.

Ini kerana pusat undi kebanyakannya adalah dewan sekolah dan SPR tidak mahu mengganggu susun atur meja untuk peperiksaan. Amat nyata penjelasan ini menepis kecelaruan yang sengaja diadakan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan agar PRK Sungai Limau diadakan sebelum pembentangan bajet, 25 Oktober ini.

Selain itu, tarikh perayaan Deepavali turut menjadi pertimbangan SPR dalam memilih tarikh PRK Sungai Limau.

"Lagi satu pertimbangan kita adalah Deepavali. Jadi, 2 dan 3 November itu kami beri laluan untuk mereka pulang bercuti," kata Abdul Aziz.

Tarikh tutup undi pos luar negara adalah pada hari penamaan calon (23 Oktober) dan untuk petugas media dua hari selepas penamaan calon.

Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpuas hati dengan tarikh itu berkata, keputusan SPR itu membolehkan jentera pilihan raya partinya dan pakatan pembangkang bersiap sedia untuk menghadapi PRK kawasan itu.

"Kita sambut baik tarikh tersebut, apa yang kita risaukan sebelum ini tarikh PRK hampir dengan Muktamar Pas pada 22 November depan.

Tapi kita lihat 4 November itu, adalah tarikh yang sesuai untuk kita mengadakan mesyuarat dan memperkemaskan jentera kita bagi menghadapi PRK Sungai Limau," katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Tuan Ibrahim turut yakin Pas mampu mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau kerana bekas penyandangnya mempunyai pengaruh yang kuat.

Pada ketika PAS berusaha mencari pengganti yang ‘sekuat Azizan’, BN Kedah akan mencadangkan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon PRK itu.

Malah semalam Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata BN Kedah telah diminta mengenal pasti calon yang sesuai dengan perwatakan terbaik, berpengalaman dan mudah diterima masyarakat di situ.

Muhyiddin juga berkata BN akan menggunakan tempoh 10 hari berkempen untuk menerangkan dasar dan perjuangan BN dalam membantu orang Melayu dan Bumiputera serta berjumpa dengan seberapa banyak pengundi.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, individu yang akan dicadangkan mesti mempunyai ciri-ciri kelayakan tertentu terutama memenuhi kehendak pengundi di kawasan itu.

"Tiga calon yang akan kami cadangkan mesti ada pendidikan agama dan anak tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perhubungan Umno Negeri membincangkan persiapan PRK Sungai Limau di Alor Setar malam kelmarin.

Mukhriz yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, BN perlu bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan untuk membangunkan kawasan itu dengan menyakinkan penduduknya tentang keikhlasan kerajaan negeri jika mahu menawan Sungai Limau.

Beberapa jawatankuasa khas bagi menghadapi PRK Sungai Limau ditubuhkan untuk menggerakkan jentera dan kempen BN agar berjalan lancar termasuk penempatan negeri dan bahagian-bahagian angkat di 19 pusat daerah mengundi dalam Dun itu.


Dengan kata lain, BN Kedah kini bersedia menghadapi PRK Sungai Limau dan akan mengumumkan nama calon yang akan bertanding bagi kerusi DUN itu, pada 21 Oktober ini.

Untuk tujuan PRK ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun ke Kedah dan melawat DUN Sungai Limau pada 8 Oktober ini, antara lain bertujuan untuk berbincang dengan BN negeri mengenai persiapaan menghadapi PRK ini.

Sementara itu, bekas calon BN Dun Sungai Limau pada PRU13 lalu, Mohd Fadzillah Mohd Ali, 55, mengumumkan bersedia sekiranya diamanahkan semula sebagai calon dalam pilihan raya kecil kali ini.

Mohd Fadzillah berkata, walaupun kalah pada PRU13, beliau tetap mengambil tanggungjawab dan inisiatif sendiri membantu serta berkhidmat untuk rakyat di kawasan itu.

“Sebagai ahli parti pastinya kita perlu bersedia menggalas sebarang tanggungjawab diberikan. Apa pun keputusan tetap akan dibuat oleh pucuk pimpinan, ” katanya yang juga sepupu kepada Azizan.