Saturday, October 3, 2015

TERIMA KASIH SHAHBUDIN, ANDA SUDAH MENYELAMATKAN ZAHID…


Pertanyaan blogger Shahbudin Husin :“Bagaimanakah dengan perbelanjaan Zahid  dan keluarganya ke Indonesia ini? Adakah ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, termasuk penggunaan jet rasmi atau separuh daripadanya dibiayai wang pembayar cukai manakala separuh lagi melalui wang poketnya sendiri memandangkan majlis perkahwinan anak lelakinya itu merupakan acara peribadi keluarganya? Begitu juga dengan pegawai, kakitangan kementerian, rakan-rakan dan kaum keluarganya yang turut ikut serta, apakah segala-galanya "ditanggung beres"  oleh kerajaan atau atas tanggungan masing-masing?”

Selanjutnya syor Shahbudin: Untuk mengelakkan fitnah dan salah faham, lebih-lebih lagi dalam dunia ketelusan sekarang ini, adalah perlu Zahid menjelaskan semua perkara ini secara jujur dan terbuka...Oleh itu, hanya penjelasan selengkapnya daripada Zahid sendiri dapat memadamkan segala tanda tanya ini.”


Saya melihat pertanyaan dan syor ini tidak ada salahnya.

Hanya orang yang mempunyai ‘niat atau bersalah sahaja’ yang melihat daripada perspektif negatif. Jika tiada apa-apa yang berlaku, ia adalah pertanyaan biasa tetapi kerana kepada orang politik dilihat ‘bermotifkan politik’

 Tabik kepada Shahbuddin kerana berani.

Bagi saya Shahbudin sudah MENYELAMATKAN DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI daripada fitnah dan bala politik yang berpanjangan.

Kerana iitu, jangan jadikan Shahbudin sebagai mangsa kerana dia amat membantu Dr Ahmad Zahid. Saya amat yakin, bukan Shahbudin sahaja yang tertanya-tanya mengenai perkara ini.

Nasib baik majlis tidak menjadi viral negatif seperti yang pernah berlaku kepada pemimpin lain sebelum ini. Penjelasan segera oleh Dr Ahmad Zahid dan besannya sangat dialu-alukan.

Tanpa pertanyaan Shahbudin, apakah akan ada penjelasan sedemikian?

Melalui persoalan di blog Shahbudin itu, Dr Ahmad Zahid dapat membuat jawapan, malah besan Zahid juga membuat ulasan yang jelas bahawa TIADA PENGGUNAAN WANG RAKYAT DALAM MAJLIS DI JAKARTA ITU.


Besan kepada Dr Ahmad Zahid, Datuk Seri Chairul Anhar yang juga merupakan Presiden Diaspora Indonesia di Malaysia berkata, beliau juga berharap tiada pihak menyalahgunakan kebebasan media untuk membuat fitnah terhadap individu tertentu.

"Sebagai seorang yang beriman dan menganut adat-adat ketimuran, saya berharap kepada semua pihak janganlah acara yang baik seperti pernikahan ini dijadikan bahan propaganda politik kerana perbuatan jahat tersebut sangat bertentangan dengan moral dan mana-mana norma agama pun.

"Pada pandangan saya, apa yang terjadi di media atas talian bukan isu politik tetapi ada sekelompok orang yang cuba menyebar fitnah kepada besan saya dengan memanfaatkan kebebasan media. Dan seandainya saya tidak membantah isu tersebut, akan semakin banyak orang yang tidak berdosa menjadi korban (fitnah)," katanya.

Malah, Chairil yang telah mengenali Dr Ahmad Zahid lebih 20 tahun itu sekali lagi menegaskan bahawa majlis meraikah pernikahananak perempuannya di hotel Ritz Carlton, Jakarta 19 September lalu dibiayainya 100 peratus.

"Resepsi di Ritz Carlton Jakarta pada 19 September adalah bagi pihak anak perempuan saya. Sudah pasti 100 peratus biayanya daripada saya. Kalau ada yang mengatakan biaya resepsi saya dibantu oleh pihak lain, maka kenyataan tersebut adalah suatu fitnah dan penghinaan yang paling kejam untuk keluarga besar saya," kata Chairil yang berasal dari Bukittinggi, Sumatera.

Sebelum ini Dr Ahmad Zahid  berkata: "Saya harap Shahbudin Husin yang mengenali saya sejak tahun 1987. Jangan main dengan perkataan dengan menyoal dan menyuruh saya menjelaskannya. Dia patut jumpa saya untuk (mendapatkan) penjelasan. Kenapa perlu dia tanya saya supaya menjelaskan kepada umum, sebab saya tak guna atau salah guna dana awam."


Di pihak Shahbudin pula, “…sebagai warganegara Malaysia yang baik hati, saya dengan ini telah pun memadam atau mengeluarkan artikel bertarikh 20 September 2015 itu daripada blog saya iaitu shahbudindotcom dengan serta merta sebagai menghormati saranan SKMM itu.

“Saya menerima seadanya saranan tersebut dan terima kasih kepada pembaca dan penjenguk blog ini yang banyak menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Insya Allah, saya akan terus menulis seperti biasa berdasarkan gerak hati dan apa yang saya rasakan betul untuk diketengahkan.”

Alhamdulilah, bukalah minda dan berbaik sangkalah kerana Shahbudin dan Dr Ahmad Zahid bukan baru kenal. Sudah 20 tahun mengenali antara satu sama lain.

Cumanya, sebagai pemimpin yang sedang melonjak naik, Dr Ahmad Zahid terpaksa bersedia menerima ujian dan jangan cepat melatah.

Apapun, kepada Shahbudin, tulisan anda sudah membolehkan rakyat Malaysia dan Indonesia tahu bahawa Dr Ahmad Zahid tidak mengeluarkan belanja, sebaliknya, besannya yang berbelanja 100 peratus!