Sunday, July 2, 2017

PERJUANGAN PPBM MENYELURUH, BUKAN BERLANDASKAN ETNIK, KENEGERIAN...

Jawapan kepada "Soalan Kepada BERSATU dari ahli DAP".


Sebagai ahli (walaupun bukan pemimpin penting) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) saya terpanggil untuk menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan pengarah pendidikan politik DAP Johor, Mahadzir Ibrahim seperti disiarkan oleh Malaysiakini semalam.

Selepas bertanyakan AMANAH melalui “Surat ahli DAP untuk AMANAH”  pada 28 Jun, Mahadzir nampaknya seperti dibekalkan peluru oleh DAP untuk menghala meriamnya kepada PPBM pula.

Tidak diketahui apakah pemimpin DAP ini diberikan lesen untuk menghala meriamnya kepada PPBM, namun diharapkan ia hanya persoalan peribadi.

Apapun, pertanyaan ini ada juga baiknya untuk semua ahli PPBM dan rakyat menilai semula hala tuju parti ini.

Walaupun baru menjadi ahli PPBM kira-kira empat bulan, persoalan yang saya rasakan paling menarik yang dibangkitkan oleh Mahdzir ialah “Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina negara bangsa?”

Menurut beliau, AMANAH, PKR dan DAP masing-masing telah jelaskan pakejnya.

Selain mahu menjadikan UMNO/BN pembangkang, parti-parti ini sudah siap dengan agenda-agenda membangunkan kembali negara ini, baik dalam aspek keadilan, ekonomi, sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.

Berdasarkan kenyataan ini, ia menggambarkan sebaliknya dalam konteks PPBM yang seolah-olah agenda utama PPBM hanya ‘untuk menjatuhkan Najib Razak’ sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN, Presiden UMNO dan yang lain dan lain, termasuk Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saya ingin mengajak pembaca, khususnya Mahdzir meneliti, mentelaah dan meyakini ucapan pelancaran PPBM oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PPBM pada  Sabtu, 14 Januari 2017 jam 8.30 malam di Stadium Malawati, Shah Alam.

Bagi saya harapan yang digarapkan oleh  Dr Mahathir dan sumbangan beliau kepada negara selama ini menjadi sebab besar saya menyertai PPBM dan meninggalkan UMNO - parti yang saya sertai sejak 1983 dengan menjadi ahli kali pertama di Cawangan Bukit Chawi, Seberang Perak - selain perkembangan mutakhir dalam negara.

Hakikatnya, inilah intipati perjuangan dan jika mahu dikatakan sebagai wadah dan visi perjuangan PPBM pun, ia memang memang tepat.

Jelas dan nyata,  PPBM ditubuh bertujuan mewakili orang Melayu dan Bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang untuk pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama dengan kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.

“PPBM adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.

“Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain,” kata Dr Mahathir.

Bukankah ini mesej perjuangan dan janji PPBM kepada rakyat negara ini?

Amat nyata sekali bahawa tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang PPBM bersama rakan-rakan kita usahakan bagi mengamal ma’aruf dan membasmi kemungkaran Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO.

Malah dengan sokongan rakyat melalui parti campuran pembangkang PPBM berharap untuk kembalikan negara ini sebagai egara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.

Sudah pasti melalui cara ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Kerajaan, jika terdapat salahlaku atau jenayah dilakukan mereka.

Dengan kata lain PPBM bersedia dan akan menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama BN dengan Najib  sebagai penerajunya.


Soal menghapuskan imej negara kleptokrasi ini besar perjuangannya apa lagi jika diizinkan Allah swt, tidak aka nada pilih  kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara.

Malah pendakwaraya tidak boleh letak tuduhan dan laporan oleh orang awam atau agensi Kerajaan dalam OSA (Akta Rahsia Rasmi), untuk melindungi jenayah sesiapa.

Tidakkah ciri-ciri ini menggambarkan kebebasan berpolitik dihormati oleh Kerajaan Parti Campuran Pembangkang.dan bukan seperti sekarang?

Banyak perkara berkait pembangunan, dasar kewangan, arah tuju pembangunan, dasar luar, pelaburan asing dan sebagainya ditegaskan oleh Dr Mahathir pada pelancaran parti.

Kata-kata bahawa: “Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan hormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman...“ begitu membawa keyakinan kepada saya sebagai pengundi dan rakyat yang dahagakan arah tuju negara yang lebih baik berbanding sekarang.

Dr Mahathir juga sudah mengatakan dengan jelas bahawa kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui pengwujudan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai Ringgit dan pengurangan kos sara hidup.

Malah yang tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.

“Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi,” demikian tegas Dr Mahathir.

Perkara lain yang penting termasuk:

Ekonomi:

·     1. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.  Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

·     2. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.dengan nilai matawang akan dipertahan tanpa penjualan Dolar Amerika dalam simpanan (reserve) negara.

          3. Kejatuhan nilai Ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan                           kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan.                 Segala perbelanjaan Kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui budget yang sah             yang dikemuka kepada Parlimen.

·     4. Pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri adalah antara yang sewajarnya diterima baik oleh rakyat.

·     5. Tafsiran Foreign Direct Investment (pelaburang asing secara langsung) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

·     6. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara

Dasar Luar:

·     1. Dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia;

·     2. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Pentadbiran:

·     1. Pihak Kerajaan (Perdana Menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.

·      2. Perdana Menteri pula mesti mendapat persetujuan Kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli Dewan.

·     3. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada Perdana Menteri dan laporan disampaikan kepada Parlimen, Kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.
·      
4.  Akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

·     5. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan dikenalpasti dan akan mengkaji semula dari segi kemampuan negara  berhutang.

PPBM tahu bahawa rakyat berkehendak kerajaan yang bersih. Malah sudah dijelaskan bahawa PPBM bersependapat dengan persepsi kebanyakan NGO dan rakyat dan ramai daripada kita telah pun menyertai tunjuk perasaan Bersih.

PPBM bersama dengan parti-parti pembangkang melalui  parti campuran akan berusaha mendirikan Kerajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan pilihanraya di negara tercinta ini. Ini bermakna semua reformasi yang diperlukan akan dilakukan.

Paling penting juga semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu PPBM menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.

Bagi saya sebagai ahli PPBM, pernyataan oleh Dr Mahathir ini adalah dasar parti dan akan dipatuhi oleh kepimpinan parti berkenaan.

Dan jangan lupa, PPBM turut berjanji bahawa maruah negara akan dipulihkan disamping akan selidik habis-habisan akan wang 1MDB yang diselewengkan. PPBM  akan kejar semua wang 1MDB dan Kerajaan yang telah dilesapkan, yang memang diketahui  berada di tangan orang tertentu.

Tidak kiralah siapa akan mengetuai parti itu sama ada Presiden, Timbalannya dan seluruh ahli Majlis Perwakilan Tertinggi, Pengerusi Negara  dan semua ketua-ketua bahagian, ia adalah ‘blue print PPBM yang akan dilaksanakan sepenuhnya ‘sambil melangkah terus ke arah pilihan raya umum ke-14’.

Berikutan itu, janganlah menganggap PPBM hanya mahu menurunkan Najib semata-mata kerana agenda masa depan negara lebih penting daripada segala-galanya.

PPBM berjuang untuk rakyat dan kerana itu sokongan padu daripada rakyat sangat dialu-alukan.

Sebenarnya inilah antara faktor penarik kepada saya untuk menyertai PPBM selain faktor diri Tun Dr Mahathir itu sendiri.

Diharap pembaca dan Mahadzir jelas dengan perjuangan PPBM.

Saya amat yakin, akan ada penjelasan lebih baik daripada pemimpin PPBM  terhadap persoalan pengarah pendidikan politik DAP Johor selepas ini.

Yang penting, rakyat faham dan menyambut baik bahawa PPBM adalah parti yang ‘BERSATU, BERAMANAH, BERMARUAH’.


Insyallah...

Hambali Abdul Latiff
Cendering
Kuala Terengganu
1Julai 2017.