Saturday, July 2, 2016

1MDB – BAWAKAN SEKELUMIT CAHAYA DI HUJUNG LORONG YANG TERAMAT GELAP KINI...


"Mungkinkah negara akan kehilangan lagi AS6.5 bilion bulan ini di samping AS$4.2 bilion sebelum ini? Kerajaan memang menjadi penjamin kepada 1MDB dan jika kalah di LCIA 11 Julai ini, kita akan kehilangan AS$10.7 bilion ( atau kira-kira RM42,000 juta ). Berbaloikah berniaga cara 1MDB ini?"

Persoalan semakin rumit mengenai ke mana wang berbilion dolar Amerika milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) lesap atau hilang dalam hubungannya dengan dana Abu Dhabi, di Kepulauan Cayman.

International Petroleum Company (IPIC)  yang berpangkalan di Abu Dhabi menafikan anak syarikatnya, Aabar Investments PJS (AIPJS) menjadi penjamin 'unit dana' 1MDB melalui dana berdaftar Kepulauan Cayman, menurut laporan semalam.

Sebelum ini pertelingkahan turut wujud antara IPIC dan 1MDB apabila ia menafikan bahawa syarikat Aabar BVI ada berkaitan dengannya.

1MDB berkata ia ada menghantar sebanyak AS$3.5 bilion kepada syarikat berkenaan.

IPIC menafikan dan bermakna, wang itu tidak diketahui hujung pangkalnya sekarang.

Kini, AIPJS pula dikaitkan oleh 1MDB yang membayangkan wujudnya  jaminan oleh syarikat itu kira-kira AS$940 juta yang dimiliki oleh anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited yang didaftarkan di Kepulauan Cayman,  selain jaminan lanjut daripada Aabar BVI berkenaan dana pelaburan yang dikendalikan oleh pelbagai pihak ketiga dan pengurus dana berjumlah kira-kira AS$1.5 bilion.

Isu ‘jaminan’ ini penting kerana ia menjadi asas bagi penilaian oleh juruaudit yang didakwa IPIC sebagai tidak wujud (kalau dikatakan ada, hanya rekaan semata-mata).

Menurut kenyataan kewangan IPIC  2015 kelmarin (Khamis 31 Julai 2016), kedua-dua IPIC dan Aabar mengesahkan tidak ada sebarang rekod mengenai apa jua jaminan yang disediakan oleh Aabar.

“Oleh itu, tiada pendedahan bagi jaminan kewangan perlu dibuat dalam penyata kewangan disatukan dan seterusnya mengesahkan bahawa kedua IPIC atau Aabar menerima apa-apa bayaran, aset atau unit dana dari Brazen Sky, menurut laporan kewangan itu.”

Laporan kewangan telah difailkan kepada Bursa Saham London, kelmarin.

Apakah 1MDB atau kerajaan Malaysia mahu menyifatkan Laporan Kewangan IPIC berkenaan Brazen Sky itu sebagai suatu pembohongan? Jika bohong buktikan!

Sebelum ini juruaudit 1MDB memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa ia telah meneliti pelaburan Cayman dan berpuas hati dengan jaminan yang didakwa oleh Aabar dari Abu Dhabi itu.

"Unit dana" yang dilaburkan oleh anak syarikat 1MDB - berpangkalan di Singapura, Brazen Sky  – itu sebelum ini telah menimbulkan kontroversi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga menteri kewangan memberitahu Parlimen bahawa ia disimpan dalam bentuk wang tunai dolar Amerika.


Ia kemudian mendedahkan tidak ada tunai yang terbabit tetapi 'unit dana', dengan 1MDB dan Ketua Eksekutif Kumpulan itu, Arul Kanda bertanggungjawab atas 'kesilapan' itu.

Arul memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan pengarah-pengarah 1MDB -  menurut minit mesyuarat yang bocor itu - bahawa baki pelaburan Kepulauan Cayman berjumlah US$1.108 bilion telah ditebus sepenuhnya dan telah diadakan secara tunai di BSI Bank Singapura.

Walau bagaimanapun, Presiden 1MDB sejak dari itu mengakui bahawa jumlah yang ditebus bukanlah bentuk tunai tetapi 'unit dana' bernilai AS$ 940 juta.

Jawapan yang dinantikan hingga ke hari ini ialah, kenapa 'unit dana' ini yang telah ditebus daripada dana Pulau Cayman masih dalam bentuk 'unit dana' dan tidak secara tunai atau, aset mentah seperti hartanah dan saham?

Jika ia berada dalam bentuk 'unit dana', bukankah bermakna bahawa dana Caymans itu sebenarnya tidak pernah ditebus?

Latar belakang kepada laporan ini yang diakui sendiri oleh 1MDB kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Jun 2015 ialah, mulanya wang tunai AS$1 billion dilaburkan oleh mereka pada tahun 2009 di dalam syarikat usahasama mereka dengan Petrosaudi.

Ia telahpun ditukarkan menjadi pinjaman kepada syarikat tersebut di dalam tahun 2010.

Sepanjang tahun 2010 dan 2011, 1MDB telah melabur lagi sebanyak AS$830 juta ke dalam syarikat tersebut (dan digantikan sebagai pinjaman) walaupun usahasama telah ditamatkan di dalam bulan Mac 2010. (Nota - 1MDB bukan ditubuhkan serta  diberikan  mandat untuk memberi pinjaman kepada syarikat asing).

Kertas pinjaman (bukan wang tunai) tersebut yang sepatutnya bernilai AS$1.83 bilion kemudiannya ditukar pula menjadi sijil saham di dalam anak syarikat Petrosaudi yang lain pada 1 Jun, 2012.

Hanya selang empat bulan kemudian,  iaitu pada 12 September 2012 1MDB menjual pula sijil saham tersebut yang diuruskan oleh syarikat yang didaftarkan di Cayman, iaitu Bridge Partners, sebuah syarikat pengurusan dana berpangkalan di Hong Kong.

1MDB tidak mendapat balik wang tunai bahkan sijil saham tersebut telah ditukar menjadi ‘unit-unit pelaburan’ di dalam bentuk yang tidak diketahui.


Unit tersebut yang dinilai semula menjadi AS$2.318 bilion telah disimpan di dalam satu lagi anak syarikat 1MDB yang baru ditubuhkan bernama Brazen Sky melalui bank Swiss iaitu BSI SA di Singapura, yang bertindak sebagai ‘penjamin atau penjaga’.

Wang 1MDB melompat lompat dari satu syarikat ke satu syarikat di dalam jangkamasa yang sekejap, di dalam pelbagai bentuk, dan akhirnya bertukar menjadi ‘unit’.

Sehingga kini 1MDB enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh IPIC kelmarin. Dengan penafian ini, semakin nyata, kita akan kehilangan wang diniagakan 1MDB dan siapa bertanggungjawab?

Selain menafikan menjadi penjamin kepada 1MDB, IPIC dilaporkan juga sedang menyiasat syarikat yang mungkin ditubuhkan diluar strukturnya dan dalam bidang kuasa yang lain, menggunakan nama anak syarikatnya, AIPJS.

Berbalik kepada jumlah wang yang dikatakan hilang atau lesap, jangan lupa kepada kenyataan Jawatan kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada April bahawa sekurang-kurangnya AS$4.2 bilion dikenal pasti diuruskan oleh 1MDB dalam urusan perniagaan yang menjadi tanda tanya dengan syarikat di Abu Dhabi.

Ia mengesahkan dalam laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa kelulusan lembaga pengarah 1MDB.


Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat. PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa kelulusan tembaga pengarah 1MDB!

Selain wang lesap, jangan juga kita lupa bahawa pada 11 Julai nanti di London IPIC dan AIPJS  akan mengemukakan kes kegagalan 1MDB dan Kementerian Kewangan menjalankan tanggungjawab mereka, melangsaikan tunggakan atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima dalam isu  tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion menerusi timbang tara.

Mereka membuat  permintaan timbang tara kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London menuntut AS$6.5 bilion (RM26 bilion) dan untutan itu akan ditentukan oleh tiga orang penimbangtara menurut Lembaran Terma Terikat dan peraturan-peraturan Mahkamah Pertikaian Antarabangsa London (LCIA).

Mungkinkah kita akan kehilangan lagi AS6.5 bilion bulan ini di samping AS$4.2 bilion sebelum ini?

Kerajaan atau Kementerian Kewangan memang menjadi penjamin kepada 1MDB dan jika kalah di LCIA itu, kita akan kehilangan AS$10.7 bilion ( atau kira-kira RM42,000 juta ).

Berbaloikah berniaga cara 1MDB ini?

Jika 1MDB atau kerajaan mempunyai pencerahan kepada kedua-duanya, tolong nyatakan kerana ia membabitkan masa depan negara.

Pihak yang terlibat dengan 1MDB dari awal hingga kini jangan berdiam diri.

Rakyat perlukan penjelasan dan penghuraian masalah.

Sekurang-kurangnya dengan cadangan penyelesaiannya akan ada sedikit ‘cahaya di lorong yang teramat gelap’ ini.