Sunday, April 19, 2009

BERHATI-HATI PERANGKAP ANWAR

(Sembang Ahad)

Walau apa juga diperkatakan mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau adalah pakar strategi.
Beliau menghulurkan kail dan akan menyentaknya bila perlu.

Bila beliau menyentak, pastinya BN, Perdana Menteri, Menteri serta pemimpin UMNO akan merasa sakitnya.

Anwar mampu melakukan pelbagai cara seperti meminta ‘pengorbanan’ Ahli Parlimen atau ADUN tertentu untuk melepaskan jawatan bagi diadakan pilihan raya kecil.

Malah, politik Anwar yang sanggup melakukan apa saja – the end justifies the means – untuk memburuk-burukkan BN perlu dibaca dengan teliti oleh pemimpin BN.

Melainkan kalau pemimpin BN bersekongkol dengan Anwar, tidak tahulah kalau mereka sanggup mengorbankan BN dengan tidak melihat bagaimana pembangkang cuba melakukan penyalahgunaan demokrasi.

Precedent dilakukan oleh Anwar apabila meminta isterinya meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau bertanding. Beliau tahu kerusi itu adalah kawasan sokongan tradisi terhadapnya dan kalaupun pilihan raya kecil diadakan, beliau akan menang.

Begitulah juga di Bukit Selambau, Anwar tahu PKR akan menang. Penanti? Juga PKR dijangka menang .

Pilihan raya kecil itu dijangka diadakan ekoran tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Amat nyata perbuatan itu ialah tindakan sengaja mengosongkan kerusi tertentu bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil, bukan kerana sebab-sebab kematian atau kesihatan.
Kenapa Anwar melakukan semua ini?

1. Untuk mengajak BN bertemu di gelanggang pilihan raya kecil dan pembangkang akan menggunakan semua saluran demokrasi untuk ‘mencemaskan UMNO dan BN’ dengan mencipta isu yang kononnya kelemahan dan keburukan pemimpin UMNO dan BN;

2. Melalui pilihan raya kecil yang bersiri, Anwar dapat mencipta berbagai isu yang kononnya beliau ‘bersih dan mampu mentadbir’ sementara orang lain semuanya lemah dan korup; dan,

3. Menggunakan media asing, internet dan rangkaian berita maya untuk mencipta dan menyebarkan isu-isu tertentu yang sengaja ‘mencemar dan mengherdik parti dan pemimpin BN’ kerana melaluinya mereka berjaya memesong dan spin minda dan sikap rakyat terhadap UMNO dan BN; dan

4. Anwar dapat menonjolkan dirinya sebagai alternatif kepada Perdana Menteri kerana beliau memang ‘gila menjadi Perdana Menteri dan selagi hasratnya tidak tercapai beliau akan terus mencipta dan mewujudkan pelbagai persepsi negatif terhadap pemimpin dan kerajaan BN.
Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali, sudahpun menyatakan bahawa BN bimbang kalah dengan majoriti undi lebih besar.

Katanya, Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri tidak mahu kalah lagi pilihan raya kecil.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pula mahukan BN tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang.

"Saya fikir kalau kawasan itu kawasan Umno, kita tentu bertanding, ini pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, kita tak nak bertanding. Jadi kalau kita nak tunggu kawasan Umno, nanti tidak ada kawasan Umno, kita tak bertandinglah," katanya.

Sebenarnya, BN tidak perlu membuktikan apa-apa kerana proses pilihan raya menjadi alat permainan parti tertentu semata-mata.

Apapun, ada juga pemimpin BN seperti Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berpendapat, BN mesti menyertai pilihan raya itu bagi mempertahankan integriti, prestij dan imejnya. Katanya, tindakan menarik diri daripada pilihan raya akan memberi gambaran BN kini gentar untuk berdepan dengan pembangkang.

Selain Samy Vellu, ada pendapat lain mengatakan ia peluang terbaik BN memberi penjelasan kepada rakyat mengenai lakonan pembangkang dalam keghairahannya mempertahankan kuasa politik.

Yang pasti, tindakan mengadakan pilihan raya kecil tanpa alasan kukuh, satu penyalahgunaan proses demokrasi selain membazir duit rakyat dan parti yang bertanding.

Dan apabila timbul persoalan apakah wajarkah Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan (DUN) Penanti, pada saya, BN tidak perlu bertanding.

Seperti pendirian saya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, saya menganggpnya ‘penyerahan tugas daripada isteri kepada suami’, jadi tidak perlu BN menyertai pilihan raya berkenaan.

Akhirnya, bukan sahaja kalah tetapi pembangkang dan Anwar khususnya menggunakan platform untuk menyerang kerajaan dan BN, lebih-lebih lagi terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Platform itu juga digunakan untuk menyekat Najib menjadi Perdana Menteri.
Yang pasti selepas Penanti, pilihan raya kecil mungkin merebak ke Bukit Lanjan kerana strategi Anwar dan pembangkang ialah mengadakan pilihan raya kecil untuk ‘kemenangan moral’ dan memeranglkap BN dalam isu-isu remeh dan tempatan sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak.

Sudah ada pihak mengatakan apa jua pilihan raya kecil perlu disertai kerana ia platform demokrasi yang perlu diambil berat oleh semua parti apatah lagi bagi yang berstatus parti pemerintah selama 52 tahun.

Menurut mereka, tiada sebab untuk BN memberikan kemenangan percuma kerana tidak semua pengundi di DUN Penanti bersetuju dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kata mereka kalau tidak bertanding kita macam sudah mengaku kalah, pembangkang walaupun di kubu kuat BN, mereka tetap bertanding. Dan kerana semangat mereka kuat jadi BN juga kena jadi macam itu juga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Pekan, Pahang semalam berkata, BN akan meneliti sama ada mahu menyertai pilihan raya kecil DUN tersebut atau sebaliknya.

Tegas Perdana Menteri, BN perlu melihat terlebih dahulu kewajaran pilihan raya kecil itu sama ada ia memberi manfaat kepada rakyat atau sebaliknya