Tuesday, March 25, 2014

PESAWAT MAS MH370 - TINDAKAN SENGAJA...MISI BUNUH DIRI?


Tanpa menyebut apa-apa faktor, selain tanpa penemuan bangkai yang dapat disahkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata malam tadi, data terbaharu menunjukkan MH370 mengakhiri penerbangan lapan jamnya pada 8 Mac dalam lautan, di kawasan terpencil perairan Lautan Hindi.

Data itu diberikan oleh syarikat satelit Inmarsat milik Britain dan Biro Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom. “Ia adalah kawasan terpencil, jauh daripada daratan yang membolehkan pendaratan,” kata Najib. 

Di hotel di Beijing, ada ahli keluarga yang mengecam dan mengkritik Malaysia Airlines dan Putrajaya, melabelkan kedua-duanya sebagai “pembunuh sebenar” penumpang MH370.

Tetapi sebahagiannya masih menaruh harapan, bergantung kepada kegagalan berterusan dalam mencari pesawat itu.

“Tiada bangkai yang disahkan, maka tiada penutup yang sebenar,” kata Sarah Bajc, iaitu pasangan kepada Philip Wood, warga Amerika yang berada dalam pesawat itu.

Berkaitan pengumuman itu akhbar Britian Daily Telegraph mengatakan pesawat MAS MH370 itu mungkin terhempas di selatan Lautan Hindi dalam misi membunuh diri.

Dengan memetik sumber yang enggan dikenali sebagai berkata, akhbar itu menyatakan pasukan penyiasat kehilangan MH370 percaya tiada kerosakan atau kebakaran yang mampu menyebabkan penerbangan luar biasa pesawat itu.

“Sistem komunikasi pesawat yang ditutup juga tidak menyebabkan MH370 berubah haluan dan terbang secara senyap selama tujuh jam ke lautan itu,” kata akhbar harian itu.

Seorang sumber rasmi memberitahu The Telegraph penyiasat percaya “ini adalah tindakan sengaja oleh seseorang dalam pesawat yang mempunyai pengetahuan terperinci untuk melakukan apa yang berlaku. Tiada yang mengembangkan butir itu menjadi motif.”

Ditanya mengenai kemungkinan pesawat itu mengalami kerosakan atau kebakaran dalam pesawat, sumber memberitahu The Telegraph:”Ia tidak saling berkait… (Penyiasat) meneliti proses yang diperlukan untuk menerbangkan pesawat itu di mana ia terbang selama lapan jam. Mereka mendapati ia dikendalikan dengan cara yang rasional.”

Laporan Telegraph berkata, pesawat itu masih diselubungi misteri dan salah maklumat. MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam pada 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian. 

Pesawat sepatutnya tiba Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Petang semalam, Najib berkata dua objek berkaitan pencarian MH370 di Lautan Hindi akan diambil dalam tempoh beberapa jam lagi.


Menulis di Twitter, Najib berkata Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahunya perkara itu melalui panggilan telefon kepadanya semalam.

Dalam tweet sebelum itu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dan pesawat Tentera Orion Udara Diraja Australia (RAAF) menemui dua objek itu berdekatan kawasan carian.

Ia juga menyatakan bahawa kapal HMAS Success sedang mendapat dan mengenal pasti objek itu.

Salah satu daripadanya dikatakan berwarna hijau atau kelabu dan berbentuk bulat manakala satu lagi jingga dan berbentuk segi empat tepat.

Dalam taklimat media semalam , pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, HMS Success dijangka mampu mendapatkan objek itu dalam tempoh beberapa jam atau paling lambat esok (HARI INI).


Apapun kemungkinan, hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas.

Sementara itu persidangan Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata negara menerima perkhabaran yang amat menyedihkan dan berharap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat itu tabah dan cekal menerima takdir yang ditentukan.

"Saya bagi pihak ahli Dewan Rakyat dan Parlimen seluruhnya merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.

"Kita berdoa moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh," katanya sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat dimulakan di Kuala Lumpur. Pandikar Amin kemudian meminta ahli Parlimen berdiri sambil menghadiahkan suah al-Fatihah dan bertafakur selama seminit.