Saturday, December 13, 2008

PANDANGAN KE DEPAN TUANKU MIZAN, AHMAD SAID

Tiada apa sebaik perkataan untuk diucapkan kepada Datuk Ahmad Said dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, selain terima kasih banyak-banyak.

Tindakan kedua-duanya yang berpandangan jauh demi menjamin hasil minyak dan kekayaan negeri dapat dirasai sama oleh cucu-cucit rakyat Terengganu ialah penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ini adalah tindakan bersejarah bagi sebuah kerajaan negeri - Kerajaan Terengganu – yang belum dilakukan negeri lain apabila dilaporkan akan menubuhkan TIA dengan dana permulaan bernilai RM10 bilion.

Matlamatnya ialah menjana pertumbuhan ekonomi mapan serta menjamin pembangunan negeri secara berterusan.

Terengganu kini mempunyai 1.1 juta penduduk dengan tahap miskin tegar antara tertinggi di Malaysia, iaitu 6.5 peratus.

Bagi menjamin fungsinya bergerak untuk tujuan jangka panjang, TIA akan melabur semula keuntungan untuk mendapatkan pertumbuhan lebih tinggi.
Dividen akan diumumkan dan akan dikembalikan kepada kerajaan negeri serta rakan pelaburnya.

Pembabitan Seri Paduka dalam idea menubuhkan TIA ini menarik lebih-lebih sejak pilihan raya umum 2008 jelas Raja-Raja Melayu mula memainkan peranan semakin menyerlah dan hal ehwal negeri.

Malah kenyataan dan tindakan Raja-Raja Melayu menggambarkan mereka juga mahu mendapat ‘tempat’ sewajarnya dalam isu-isu penting negeri dan negara.

Menurut sumber, cadangan mewujudkan TIA yang diilhamkan Sultan Mizan disampaikan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat baru-baru ini, diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Exco negeri, kelmarin.

Dan sejarah yang dicipta ini, iaitu kali pertama bagi sesebuah negeri di Malaysia yang berpandangan ke hadapan, adalah seuatu persediaan penting sekiranya hasil minyak tiada lagi.

Persetujuan dan tindakan bijak Ahmad Said dalam soal ini bukan sekadar membuktikan pentadbiran negeri Terengganu merangka masa depan dengan bijak tetapi juga melatih rakyat Terengganu didalam pengurusan professional.

Mungkin jawapan kepada penubuhan TIA juga ialah menyekat atau menghindarkan ahli politik menggunakan sewenang-wenangnya pendapatan daripada hasil minyak apabila ‘keborosan’ dapat dilihat dengan nyata bagaimana wang royalty dibelanjakan dengan ‘agak boros’.

The Malaysian Insider menyebut bahawa cadangan menubuhkan tabung ini mulanya disuarakan oleh Tuanku Mizan yang kemudiannya dijamin menjadi dasar sepenuhnya oleh Ahmad Said dengan exco kemudiannya menyokong melalui mesyuarat mingguannya kelmarin.

Pemerhati politik dikatakan melihat keputusan ini sebagai usaha menjamin royalti minyak dan gas dibelanjakan secara berhemah untuk projek-projek jangka panjang yang menguntungkan rakyat, bukannya projek-projek segera untuk kepentingan ahli politik dan pengaruh.

Seri Paduka akan menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat TIA, yang akan turut dianggotai Menteri Besar sementara Lembaga Pengarahnya akan mengambil kira tokoh dengan kelulusan bersesuaian, personaliti di kalangan profesional, mempunyai integriti tinggi serta pengalaman pada peringkat antarabangsa.

Pengurusan serta pelaburan sumber kewangan TIA akan dilaksanakan pada peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan pendapatan berterusan untuk jangka panjang bagi Terengganu serta memberi faedah khususnya, generasi akan datang.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan mengkhususkan sebahagian besar daripada royalti minyak dan gas kepada TIA untuk pembangunan ekonomi jangka panjang Terengganu.

Dalam usaha menjamin langkah mencapai pembangunan lestari jangka panjang, TIA juga akan terus melabur modal, simpanan dan keuntungannya untuk menjana kadar pertumbuhan yang tinggi manakala dividen akan diumumkan kepada kerajaan negeri.

Berita Harian pula menyebut, penubuhan TIA itu juga dibuat sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pendapatan negeri berkenaan mencukupi untuk menjana pembangunan bagi generasi akan datang terutama apabila negeri itu kehabisan sumber minyak dan gas.

Terengganu belum menggunakan sepenuhnya minyak dan gas namun kebimbangan tetap ada bahawa royalti tidak dibelanjakan sewajarnya, termasuk yang diterima oleh kerajaan PAS ketika memerintah Terengganu.

Soal penting ialah bagaimana memaksimumkan pengunaan royalti itu untuk kemajuan rakyat Terengganu.

Kerana itu, TIA akan beroperasi sebagai satu 'dana kekayaan' (sovereign wealth fund) bagi Terengganu bertujuan mengurus pelaburan negeri bagi menghasilkan pulangan jangka panjang dari segi ekonomi kepada rakyat negeri itu dan Malaysia amnya.

Dana RM10 bilion itu akan diperoleh daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara dengan cadangan supaya Kerajaan Pusat menye-diakan jaminan sebanyak RM5 bilion serta memberi status bebas cukai kepada TIA.

Permohonan bagi jaminan kerajaan sebanyak RM5 bilion dan taraf bebas cukai masih dipertimbangkan Kerajaan Pusat. Dana itu akan dijamin bersandarkan kepada sebahagian daripada pendapatan minyak masa depan Terengganu.

TANAH MERAH – BANYAK PERSOALAN BELUM TERJAWAB

UMNO Bahagian Pengkalan Chepa sudah dan hari ini Tanah Merah.

Bahagian UMNO Tanah Merah adalah bahagian terakhir mengadakan persidangan perwakilan selepas ditangguh kerana injuksi oleh bekas ahli jawatankuasa bahagian itu, Abdul Rahman Ibrahim pada 6 November lalu.

Mesyuarat dapat diadakan selepas Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada 3 Disember 2008 mengetepikan dengan kos injuksi terhadap 32 anggota UMNO bahagian berkenaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanah Merah, Almidi Jaafar baru-baru ini berkata, arahan daripada Ibu Pejabat UMNO melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri menetapkan mesyuarat perlu diadakan pada Sabtu depan.

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah pada 8 November lepas terpaksa ditangguhkan setelah Abdul Rahman mengemukakan saman pemula pada hari itu meminta mahkamah menghalang 32 anggota UMNO itu mengambil bahagian dalam mesyuarat.

Abdul Rahman menamakan 32 anggota bahagian itu sebagai tidak sah kerana gagal menjelaskan yuran mengikut syarat ditetapkan perlembagaan parti.

Mungkin ada bersorak gembira gembira hari ini, tetapi beberapa persoalan ini perlu direnungi secara berhemah:

1. Difahamkan Abdul Rahman akan megemukakan rayuannya di Mahkamah Rayuan berkaitan injuksinya diketepikan. Difahamkan peguamnya sudah sudahpun mendaftar bagi rayuan berkenaan;

2. Keputusan Mahkamah Tinggi 3 Disember lalu akan dirayu;


3. Difahamkan, penyata akaun Bahagian tidak disempurnakan dan menurut pekeliling Ibu Pejabat UMNO, penyata akaun perlu disempurnakan sebelum mesyuarat bahagian dapat diadakan; dan,


4. Kenyataan Pemangku Ketua Bahagian, Nik Kemaruzaman Sulong bahawa isu yuran dan ahli hantu yang didaftarkan pihak-pihak tertentu belum diumumkan keputusannya oleh Ibu Pejabat UMNO sama ada benar atau tidak.

Bagaimana sekiranya tuduhan itu didapati benar selepas ini?
Itu diperingkat Bahagian.

Bagaimana pula dengan pemilihan wakil ke Perhimpunan Agung UMNO nanti?

Sekiranya pertikaian berterusan dan 14 wakil ke Kuala Lumpur itu mengundi memilih Timbalan Presiden, Naib-Naib serta Ahli Majlis Teringgi UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, apakah jika rayuan di Mahkamah diterima, sahkan undi mereka?
Jika undi kemenangan kepada calon-calon itu perbezaannya melebihi 14 undi tidak apalah tetapi bagaimana sekiranya di bawah 14 undi?

Jika ditakdirkan Allah, Abdul Rahman menenangi kesnya, dan ada pula calon menang di bawah 14 undi, apakah undi akan dikira semula?

Ada banyak kesan lain kelak akan terserlah sekiranya Ibu Pejabat UMNO terlalu cepat mengarahkan mesyuarat seperti diadakan hari ini.

Isunya bukan sekadar ‘kemenangan Ibu Pejabat’ di Mahkamah Tinggi Kota Bharu dan ‘kekalahan kes yang dibawa Abdul Rahman’.

Saya yakin isu Tanah Merah ini akan berpanjangan sekiranya keputusan tidak dibuat dengan teliti.

Ia akan berterusan sehingga selepas Mac 2009 dan sudah tentu Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mohamad Najib Razak terpaksa berdepan dengan isu ini.

Apa yang saya lihat pembaharuan UMNO akan diganggu-gugat oleh kes-kes terpilih seperti di Tanah Merah, Larut, Tenom atau juga Seremban kerana tuduhan kononnya ada permainan ‘orang Ibu Pejabat’ yang menyebabkan adanya penangguhan persidang perwakilan bahagian-bahagian berkenaan.

Selain isu perhimpunan itu sendiri, isu pemecatan Abdul Rahman akan muncul kembali kerana sebab-sebab surat tunjuk sebab dan tarikh pemecatannya yang dikatakan ‘ada kes’ untuk dipertikaikan.

Selamat bersidang perwakilan Tanah Merah untuk kali kedua.

Harapan dan doa saya, tidak akan ada kali ketiga atau seterusnya selepas ini kerana apabila Ibu Pejabat UMNO mengarahkan Tanah Merah bersidang hari ini, ia mempunyai sebab kukuh yang tidak akan boleh dipertikaikan oleh sesiapa, termasuk manusia bernama Abdul Rahman yang bukan lagi ahli UMNO!

TARIF AIR DI SELANGOR, KL NAIK?

Sebagai pengguna, saya bimbang jika tariff air naik terlalu banyak sehingga 37 peratus tahun depan.

Air adalah antara keperluan harian sama seperti elektrik, makanan, perlindungan dan kesihatan yang menjadi keperluan asas kehidupan seharian.

Persoalannya bagaimana jika Kerajaan Selangor tidak bertegas tidak mahu menyerahkan aset perkhidmatan airnya kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Mac tahun depan?

Penyerahan aset perkhidmatan air Selangor kepada PAAB, di bawah Kementerian Kewangan, bertujuan meringankan beban kewangan pengurusan air di Selangor yang turut membekalkan airnya kepada Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Masalah beban kewangan itu dapat dikurangkan kerana PAAB akan mengambil alih pengurusan aset termasuk bebanan hutang mereka melalui perpindahan aset itu dan kemudian menyewakannya semula kepada Kerajaan Selangor dan pemegang konsesinya pada kadar yang rendah.

PAAB boleh mengambil risiko tersebut kerana kadar faedah pinjaman Kerajaan Persekutuan yang rendah dan tempoh bayar balik pinjaman yang fleksibel berbanding dengan kerajaan negeri yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi menguruskan aset perkhidmatan air mereka.

Mengikut perjanjian konsesi itu, tarif air di ketiga-tiga kawasan itu sepatutnya dinaikkan sebanyak 37 peratus pada 1 Januari 2009.

Bagaimanapun, Kerajaan Pusat bersetuju untuk memberi kelonggaran sehingga 31 Mac tahun depan untuk membolehkan kerajaan Selangor menyerahkan aset tersebut kepada PAAB.

Bukan saya sahaja malah seramai seramai 1.5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mungkin terpaksa membayar kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus jika Kerajaan Selangor tetap dengan keputusannya.

Kerajaan Persekutuan memberi jaminan tiada langsung kenaikan tarif air di kawasan-kawasan tersebut pada tahun depan sekiranya aset itu diserahkan.

Ini kerana perjanjian konsesi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor dan Syabas selama 30 tahun antara 1 Januari 2005 hingga 31 Disember 2034 boleh dibatalkan dan tarif air boleh distrukturkan semula setelah penyerahan aset itu, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor semalam.

Aset perkhidmatan air Selangor bernilai RM5.5 bilion termasuk paip utama, loji rawatan serta kawasan tadahan air dan aset itu adalah milik kerajaan Selangor dan empat pemegang konsesi air di negeri itu iaitu Syabas, Puncak Niaga, Splash dan Abas.

Jika tidak, Kerajaan Persekutuan tiada pilihan dan terpaksa memenuhi hak Syabas untuk mendapatkan kenaikan tarif itu seperti termaktub dalam perjanjian konsesi.



LUAHAN RASA NIK KEMARUZAMAN

Tengah malam semalam saya menerima e-mail daripada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Nik Kemaruzaman Sulong yang meluahkan perasaannya terhadap apa yang berlaku di UMNO Bahagian Tanah Merah.

Beliau memberi tajuk ‘Tanah Merah, Merah Membara’ dengan mengingatkan semua pihak bahawa ‘kebenaran juga akan menyerlah’.

“Ini pegangan saya,’ kata Nik Kemaruzaman yang turut bertanding DUN pada pilihan raya umum lalu tetapi kalah.

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah akan diadakan hari ini 13 Disember 2008.

Ini adalah setelah Mahkamah Tinggi Kota Baharu pada 3 Disember lalu mengetepikan dengan kos injuksi terhadap 32 anggota UMNO Bahagian Tanah Merah yang dibuat bekas ahli jawatankuasa bahagian itu, Abdul Rahman Ibrahim pada 6 November lalu.

Arahan daripada Ibu Pejabat UMNO melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri menetapkan mesyuarat perlu diadakan hari ini.

Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah pada 8 November lepas terpaksa ditangguhkan setelah Abdul Rahman mengemukakan saman pemula pada hari itu meminta mahkamah menghalang 32 anggota UMNO itu mengambil bahagian dalam mesyuarat.

Menurut Nik Kemaruzaman melalui e-mailnya:

1.Apa pun terjadi pada diri saya bukan satu perkara yang besar kepada Negara. Tidak juga UMNO terasa akan kehilangan. Saya sedar saya bagaikan setitis air di lautan yang luas.Tetapi saya yakin apa yang saya lakukan ini adalah semata-mata untuk menyatakan bahawa kebenaran tetap kebenaran. Ia mesti dan wajib dipertahankan walau pun terpaksa menghadapi berbagai rintangan.Asalkan disisi Allah saya melaksanakan amanah Nya. Saya belum bersedia menjual maruah saya untuk menjadi Melayu ‘haprak’ yang mengejar wang dan pangkat.

2.Saya bersedia menghadapi tindakan daripada parti atas usaha saya untuk menegakkan kebenaran serta mempertahankan perlembagaan parti.

3.Saya juga pada bila-bila masa tetap bersedia untuk disiasat bukan sahaja oleh Lembaga Disiplin parti malah BPR sekali pun dalam isu yuran dan ahli hantu yang didaftarkan oleh Ikmal Hisham Abdul Aziz dan kecuaian Ibu Pejabat UMNO.

Untuk mempercepatkan lagi proses mencari kebenaran saya amat bersyukur sekiranya tuduhan saya ini selaku Pemangku Ketua UMNO dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan palsu. Silakan. Sama ada Ibu pejabat UMNO atas nama Setiausaha Agung atau Setiausaha Kerja UMNO atau individu yang bernama Ikmal Hisham untuk membawa isu ini ke mahkamah.

4.Saya dan Setiausaha Bahagian akan dedahkan secara legal.Hanya bahagian yang mengetahui cawangan-cawangan yang dibawah naungannya sama ada menjelaskan yuran atau tidak.Bahagian ada bukti. Kenapa HQ mempertikaikannya.?