Saturday, June 17, 2017

SAMAN TERBAHARU DoJ – BERDIAM DIRIKAH PUTRAJAYA, BN DAN UMNO?


Rupa-rupanya Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) amat mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan oleh pembangkang Malaysia untuk mempengaruhi mereka bagi melaksanakan saman sivil pelucuthakan terbaru bertujuan merampas aset-aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Oleh kerana terlalu tenat dan terdesak, pembangkang di Malaysia sanggup melakukan apa sahaja termasuk taktik keji dan kotor bagi mempengaruhi DoJ melakukan saman sivil yang kesannya kelak akan mlimpah kepada peemimpin dan kerajaan Malaysia.

Tidak diketahui sebabnya kenapa DoJ begitu mudah percaya dan ‘bengap’ hingga boleh terpengaruh dengan pembangkang di Malaysia sedangkan butiran saman itu semuanya sesuatu yang ‘tidak benar, bohong, diada-adakan dan tiada satu pun yang benar mengenainya’.

Dengan bantuan DoJ, pembangkang Malaysia dikatakan melakukan apa sahaja untuk  mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap pemimpin negara dalam usaha mendapatkan sokongan politik daripada rakyat, apalagi apabila sekain hampirnya kepada pilihan raya umum.

Segala-galanya salah pembangkang. Merekalah yang menyebabkan pendedahan terbaru oleh DoJ dan menjadikan dana 1MDB mendapat perhatian dunia sekali lagi.

Langkah DOJ pada Khamis (kelmarin) mendedahkan bahawa sebanyak RM17 bilion telah diseleweng oleh 'pegawai tertinggi negara' untuk membiayai kehidupan serba mewah, adalah perbuatan jahat pembangkang.

Dalam saman sivil terbaru DoJ yang mengandungi lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada Khamis, ia mahu menyita pelbagai aset dan hartanah mewah, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Ia termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta dua filem komedi Hollywood, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

DoJ dalam siasatannya turut mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Saman terbaru itu turut mendedahkan beberapa perkara termasuk bagaimana wang yang amat besar digunakan untuk membeli karya seni, hartanah, melabur dalam filem Hollywood, membeli kapal layar dan rantai berserta loket berlian bernilai puluhan juta dolar.

Apakah DoJ begitu mudah terpengaruh dengan ‘hasutan pembangkang’?

Realitinya, walau sebanyak dan sebesar mana tindakan pembangkang, jika DoJ tidak melihatnya sebagai suatu skandal bertaraf dunia, ia tidak akan berbuat apa-apa.



Lagipun Datuk Seri Najib Razak sudah berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Persoalannya ialah sejauh manakah besarnya  pengaruh pembangkang menggunakan kuasa asing sehingga DoJ terpengaruh mencampuri urusan politik negara?

Malah pembangkang dituduh memanipulasi saman sivil terbaru yang disifatkan sebagai  satu senjata politik untuk menjatuhkan pemimpin negara dan menjayakan matlamat peribadi masing-masing.

Jika demikian, apakah  saman terbaru yang didedahkan oleh DoJ itu bukan  bersifat campur tangan secara langsung oleh sebuah negara asing dalam hal ehwal Malaysia?

Campur tangan yang melibatkan sebuah negara besar - Amerika Syarikat (AS) – itu mengundang pertanyaan. Bolehkah Putrajaya memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan ‘serangan’ seperti ini apa lagi ia bersifat campur tangan asing?

Apakah pihak kerajaan Malaysia begitu ‘takut untuk bertindak balas’ walaupun Perdana Menteri, keluarganya, partinya dan kerajaan dihina sebegini rupa?

Jika ia membawa kesan kepada kedaulatan negara apabila pembangkang menggunakan kuasa asing untuk mencampuri urusan politik negara, kenapa Putrajaya tidak bertindak sewajarnya?

Saman sivil ketiga yang difailkan oleh DOJ kelmarin dengan jelas menyenaraikan secara terperinci tentang dakwaan penyelewengan wang 1MDB.

Antaranya, DOJ mendakwa hartawan yang juga ahli perniagaan Jho Low dan sekutunya Eric Tan membelanjakan AS$9.9 juta bagi membeli barang kemas untuk ibunya serta model Australia, Miranda Kerr.

Malah, AS$28.9 juta turut dibelanjakan untuk membeli barang kemas isteri Malaysian Official 1.



DOJ turut mendakwa, kapal layar mewah milik Low, "The Equanimity" dibeli menggunakan wang 1MDB.

Selain itu, dalam pemfailan tersebut, DOJ juga berkata, sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan bagi membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Malaysian Official 1.

Jika tidak benar dan bohong semuanya, kenapa tiada reaksi segera Putrajaya, parti pemerintah khususnya BN dan UMNO terhadap saman sivil berkenaan?

Kenapa semuanya membisu?

Cukupkah dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dan Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sekadar mengulangi penafian mereka?


Kenapa menteri Najib, penyokong parti pimpinan Najib – BN dan UMNO -  sunyi sepi dan tidak mempertahankan ketua mereka, termasuk kritikan terhadap isterinya Datin Seri Rosmah Mansor?

Di mana Wanita UMNO dan Puteri UMNO yang sepatutnya lantang mempertahankan ketua mereka?

Walaupun tiada kaitan secara khusus, namun pemfailan oleh DoJ seperti ‘pukul anak sindir menantu’.

Apakah mereka merasakan DoJ benar atau memang sukar untuk mereka berhujah dengan pendedahan terbaru yang lebih nyata kali ini?

Apakah tidak terfikir oleh Pemuda Barisan Nasional (BN) atau sekurang-kurangnya Pemuda UMNO untuk bertindak balas jika dakawaan berkenaan adalah tidak benar?

Beranikah mereka untuk berhimpun dan membuat bantahan di hadapan Kedutaan AS di Jalan tun Razak? Jika tidak berani kenapa?

Jika dakwaan DoJ berat dan tidak wujud sebarang unsur jenayah dalam pengurusan dan pentadbiran syarikat 1MDB seperti yang didakwa dalam kes DOJ itu, sudah pasti pemfailan oleh DOJ itu adalah palsu semata-mata.


Dengan kedudukan itu tidakkah Putrajaya dan Wisma Putra mahu membuat bantahan atau bertindak terhadapnya?

Tidak wajar dibiarkan nama baik Perdana Menteri yang dikaitkan sebagai ‘MO1’ dan negara dipermainkan sedemikian rupa.

Tidak patut membenarkan nama baik negara dan jawatan Perdana Menteri diheret dan dipalit sebegini teruk.

Tidakkah perlu dipanggil segera duta besar AS untuk mendapatkan penjelasan?

Isu ini bukan kecil kerana DoJ dianggap mengumumkan suatu pencapaian yang paling signifikan sejak 21 Julai tahun lepas, apabila penyiasat AS untuk kali pertamanya mendedahkan secara terbuka mengenai dakwaan skandal 1MDB.

Pada masa itu, penyiasat AS berkata lebih AS$3 bilion didakwa disalahgunakan dari 1MDB dan berusaha untuk merampas kira-kira AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengannya.

Namun dalam pemfailan terbaru dan ketiga malam kelmarin, DoJ kini meletakkan angka dakwaan penyalahgunaan itu pada AS$4.5 bilion. Malah ia kini berusaha untuk merampas AS$1.7 bilion dalam aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana dicuri dari 1MDB.

Rakyat mahu tahu apakah semua ‘tuduhan’ ini benar atau sebaliknya.

Mendiamkan diri seribu bahasa akan mengundang berbagai tafsiran dan prasangka.

Tidak wajar kerajaan berdiam diri. Suatu gerakan atau langkah berani menafi dan menyanggah pemfailan ini perlu dilakukan segera.

Jika tidak, ia bagaikan ‘membenar atau mengiakan’ apa juga pertuduhan melalui pemfailan berkenaan.


Apa dan bila tindakan balas oleh Putrajaya atau BN/UMNO seterusya?