Saturday, March 13, 2010

NASHARUDDIN MENGUNDANG PADAH?

Nasha diminta perjelas kehadiran bersama Timbalan Perdana Menteri.

Kesian kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Kehadirannya pada majlis itu difahamkan tidak mewakili PAS, tetapi atas kapasiti peribadi.

Bagaimanapun, oleh kerana Muktamar Agung PAS sebelum ini telah menetapkan tiada sebarang usaha boleh dilakukan untuk bekerjasama dengan Umno, kehadiran Nasharuddin itu mengundang padah.

Ini kerana muktamar PAS itu telah menolak apa-apa jua usaha untuk bekerjasama dengan Umno.

Dengan kata lain, semua pemimpin, apa lagi seperti kedudukan Nasharuddin – Timbalan Presiden PAS, beliau bukan sahaja mesti akur kepada keputusan muktamar tetapi menjadi contoh atau rujukan.

Persoalannya, kenapa Nasharuddin sanggup bermain api dan sudah tahu ‘perangkap’ tetapi beliau tetap memberanikan diri menentang arus?

Apakah Nasharuddin tidak tahu kemungkinan-kemungkinan yang akan beliau berdepan?

Saya fikir semua ini Nasharuddin sudah mengagak dan mencium ‘kontroversi’ yang bakal dihadapinya.

Namun, kenapa Nasharuddin sanggup berdepan risiko? Dengan kedudukan seperti ini, Nasharuddin pastinya akan menjadi tumpuan sekali lagi.

Apakah beliau mempercayai perpaduan Islam di negara ini dapat dijalin atau dieratkan melalui kerjasama PAS-UMNO?

Nasharuddin juga kelak terpaksa menjawab dan berdepan kepimpinan PAS sekiranya benar laporan di blog-blog berhubung kehadiran beliau pada pelancaran buku Natrah pada 9 Mac lalu dengan mengaitkannya dengan idea kerajaan perpaduan antara PAS-Umno, yang menjadi isu hangat sebelum ini.

Pada 9 Mac lalu, Nasharudin dikatakan hadir dalam pelancaran buku bertajuk Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu negara.

Nasharudin dilaporkan berkata pada majlis itu, usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai.

Bagaimanapun ia hanya dapat dilaksanakan jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Menurut Nasharuddin, semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu Pas dan Umno, terhenti di separuh jalan.

Akibat kehadirannya pada majlis itu dan menyatakan pendapat – walaupun jelas amat umum - Nasharuddin pastinya akan ‘dibelasah’ habis-habisan sekiranya benar beliau bercakap mengenai perkara berkenaan.

Ini kerana bagi PAS, soal perpaduan antara PAS-UMNO, biarpun berkaitan perpaduan ummah – ia bagaikan sesuatu yang jijik dan haram untuk diperkatakan.

Blog-blog berkenaan mendakwa Nasharuddin hadir dalam program bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bercakap soal “perpaduan politik Islam” dan disifatkan menimbulkan kecurigaan banyak pihak.

Siapa yang ragu sebenarnya? PAS atau mereka yang sengaja menimbulkan isu ini?

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, beliau akan bertanya sendiri perkara itu kepada Nasharuddin. Dengan tegas Khalid berkata: “Kena tanya beliau (sebab hadir). Tidak perlulah rasa curiga atau apa. (Kita) kena tanya beliau secara langsung. Bila ada peluang, bila saya jumpa beliau di parlimen, saya akan tanyalah, kenapa beliau hadir.

“Adakah beliau hadir atas jemputan atau jawatan dia hadir untuk menunjukan kesatuan apa? Tetapi dari sudut fakta sejarah, isu Natrah ini pun tidak mencapai perpaduan Melayu. Kalau benar tercapai (perpaduan Melayu), mungkin British tidak berani benarkan apa berlaku untuk berlaku,” katanya.

Menurut laporan Malaysiakini, Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada beliau merasa curiga dengan kehadiran Nasharuddin yang sentiasa dikaitkan dengan idea kerajaan perpaduan dengan Umno.

Saya tidak hairan jika Khalid memperbesar-besar isu ini kerana beliau adalah antara pemimpin PAS dan pembangkang paling lantang menentang idea kerajaan perpaduan.

Dan saya tidak menolak kemungkinan-kemungkinan ada pihak dalam PAS yang tidak satu kem dengan Nasharuddin akan menggunakan peluang ini untuk ‘menjerat’ Nasharuddin.

Kenapa Khalid beria-ia sangat dengan kehadiran Nasharuddin ini?

Apakah beliau mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak tertentu bagi membolehkan beliau menyerang Nasharuddin?

Kita tunggu perkembangan selanjutnya.

Yang pasti Nasharuddin yang kini menjadi perhatian PAS akan membantu menonjolkan sikap sebenar pemimpin PAS dalam isu berbaik-baik dengan pemimpin UMNO.

Kita juga dapat melihat sikap PAS – apakah ia terus berminat bekerjasama dengan UMNO atau DAP dan PKR?

Nasharuddin membuktikan bahawa dalam PAS pun bukan semua yang berpendirian seperti Khalid dan penyokong Nasharuddin yang juga besar dalam PAS sudah pasti tidak merestui kritikan Khalid terhadap Nasharuddin.

Masih ramai yang mahukan perpaduan, kalaupun PAS dan UMNO tidak bergabung!

FAIL CERAI TALAK TIGA OLEH PIHAK KETIGA TIDAK DIBENARKAN

Makin kusut!

Cik Puan Elia Suhana Ahmad boleh bantah permohonan kes lafaz cerai talak tiga terhadapnya.

Peguam yang mewakili Elia – isteri kedua Sultan Kelantan - boleh membuat bantahan di mahkamah terhadap lafaz cerai yang dikatakan difailkan oleh seorang wanita mewakili Sultan Kelantan.

Seperti yang telah dinyatakan dalam akhbar hari sejak beberapa hari lalu, permohonan tersebut memang sah dari segi prosedur, namun peguam yang mewakili Elia boleh membuat bantahan terhadap permohonan itu di mahkamah.

Pandangan ini diberikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abdul Ralip.

Biarpun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes yang melibatkan Sultan Kelantan itu tetapi nyata Elia mempunyai ruang untuk membuat bantahan.

Akhbar semalam melaporkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty ketika mengulas mengenai permohonan lafaz cerai itu.

Kata Mohd Isa, dalam kes pihak ketiga menfailkan permohonan, adalah menjadi masalah apabila pihak tersebut perlu membuat pengakuan sumpah terhadap permohonan yang dibuat.

"Bagaimana pihak ketiga ini nak bersumpah jika individu tersebut tidak ada kena mengenai dengan pasangan tersebut.

"Apa bukti yang boleh dikemukan oleh pihak ketiga untuk mengesahkan telah mendengar lafaz cerai tersebut?," ujarnya.

Kelmarin peguam syarie, Zainul Rijal mengeluarkan kenyataan media kepada Bernama mengesahkan pihaknya telah menfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam laporan tersebut, Zainul Rijal berkata, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya menfailkan permohonan pengesahan cerai tersebut.

Berdasarkan apa yang dinyatakan Mohd Isa, biarpun prosedur, pendaftaran dan permohonan pengesahan cerai adalah sah jika difailkan oleh pihak namun mereka tidak dibenarkan untuk menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut berdasarkan hukum syarak dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Mohd Isa menjelaskan, hukum syarak telah menetapkan hanya suami atau isteri sahaja yang boleh menfaikan tuntutan tersebut bagi memudahkan proses seterusnya.

"Walaupun dari segi prosedur ia sah, tetapi akan menimbulkan masalah semasa prosiding mahkamah.

"Ini kerana pihak yang menfailkan tuntutan tersebut perlu bersumpah kepada hakim mengenai tuntutan yang dibuat," katanya kepada mStar online semalam.

Kita tunggu perkembangan terbaru kes ini.