Saturday, February 15, 2014

TINDAKAN TEGAS TERHADAP COMANGO - APAKAH KERAJAAN BERANI PATUHI SARANAN MAJLIS FATWA?


"Kerajaan jangan bertolak ansur dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini...(Tuntutan COMANGO itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia."
- Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin

Kerajaan dicadangkan mengambil tindakan tegas terhadap Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang dilihat satu gerakan yang cuba menghancurkan kedaulatan Islam di negara ini. 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam semalam memberi amaran, jika Comango dibenarkan bergerak, ia akan mencetuskan huru-hara.

Jawatankuasa berkenaan menegaskan tuntutan yang dibuat Comango bertentangan dengan syariat Islam dan bakal menghancurkan negara.

Justeru, Pengerusi jawatankuasa fatwa, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin menggesa kerajaan tidak bertolak ansur dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Jawatankuasa berkenaan menentang tuntutan COMANGO  kerana selain bercanggah dengan syariat Islam, ia juga bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara serta norma-norma antarabangsa."

"(Tuntutan itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia", katanya.


COMANGO sebelum ini mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 24 Oktober 2013 di Geneva

Kajian laporan hak asasi manusia ini dilakukan setiap empat tahun oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

Mereka akan mengkaji dan meneliti perkembangan serta prestasi isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia sejak tahun 2009 terhadap 193 buah negara-negara anggota PBB termasuk Malaysia.

Proses ini disebut sebagai Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia.

Gabungan ini mendakwa ia disertai oleh 54 NGO Malaysia sedangkan menurut kenyataan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), hanya 12 daripadanya sahaja berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Hal ini disahkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia bahawa COMANGO  adalah sebuah gabungan pertubuhan yang tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

COMANGO sebelum ini menuntut beberapa perkara merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Tuntutan COMANGO  menimbulkan kontroversi dan antaranya ntara tuntutan termasuk:

Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama).

Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti. Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination(ICERD).

Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.

Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak-hak lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).


Tuntutan ini turut merangkumi kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang dengan hukum alam termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis..

Selain menyentuh isu hak asasi manusia, COMANGO turut menuntut hak kebebasan murtad bagi orang Islam, hak kesamarataan agama serta mempersoal kes penggunaan kalimah Allah dan ajaran Syiah.

Tuntutan COMANGO ini ditentang oleh NGO-NGO Islam terutamanya Pertubuhan-pertubuhan Islam Dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (MuslimUPro).

Mereka mengatakan bahawa perbuatan ini tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia. Antara NGO lain yang turut menentang hebat ini adalah ISMA.

Tuntutan tersebut telah menimbulkan bangkangan di Parlimen Malaysia oleh DPPM, antaranya adalah:- COMANGO tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

COMANGO telah meletakkan Malaysia termasuk institusi agama Islam di bawah pantauan PBB. COMANGO mencampuri urusan agama dan mencabar kemuliaan ummat Islam apabila mereka mendesak supaya membenarkan amalan hidup songsang seperti LGBT.

Abdul Shukor turut mengingatkan umat Islam di negara ini untuk bersatu padu dalam menangani isu berkenaan tanpa memikirkan fahaman politik masing-masing demi mempertahankan kesucian agama Islam dan meminta umat Islam yang terlibat dalam pertubuhan itu untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.