Wednesday, January 17, 2018

BENARKAH ADA ‘DIPLOMASI DARURAT’ SINGAPURA-MALAYSIA???


Terkejut dan tertanya-tanya apakah benar wujud  ‘diplomasi darurat antara Malaysia-Singapura’?

Tetapi semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut mengenainya di Singapura.

Kata Najib: "Kami tidak sekali-kali ingin kembali kepada era diplomasi konfrontasi dan gemar melaungkan kata-kata retorik antara kedua-dua negara.”

Merujuk kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura Najib berkata kedua-dua pihak mahu melupakan era itu dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada era tersebut.

Aneh sekali kerana sepanjang pembelajaran dan pengetahuan saya di sekolah menengah – hingga ke mata pelajaran Sejarah untuk High School Certificate (HSC) - saya tidak pernah jumpa era berlakunya ‘Darurat Malaysia-Singapura’ atau hubungan yang diasaskan kepada ‘diplomasi konfrontasi’.

Malah, ketika membuat penyelidikan untuk tesis sarjana sains politik untuk Ijazah M.Soc.Sc pada akhir 1970-an, tidak terjumpa pula unsur darurat antara Malaysia dan Singapura.

Malah ‘guru’ saya Prof Khoo Kay Kim pun tidak pernah menyebut mengenainya. Beliau memang pakar sejarah.

Yang saya baca dan dengar dalam perbualan dengan Tan Sri Ghazali Shafie, Tengku Ahmad Rithaudeen, Tan Sri Aishah Gahni, Pak Sako, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Kamil Jaafar  atau Tan Sri Razali Ismail, konfrontasi hanya dengan Indonesia sekitar 1962 hingga 1966.

Dengan kata lain, Malaysia tidak pernah berkonfrontasi dengan mana-mana negara, melainkan Indonesia.

Semalam selepas mendengar Najib menyebutnya, saya cuba mencari melalui selidikan ‘Google’, juga tidak bertemu unsur-unsur ‘diplomasi Darurat Malaysia-Singapura’.

Apakah diplomasi darurat ini berlaku pada tahun 1980-an, 1990-an atau sekitar  tahun sebelum 2009?

Apakah pakar sejarah atau pengkaji sains politik terlepas pandang atau ‘buta’ mengenai peristiwa itu?

Amat pelik kerana pengalaman bekerja dengan media perdana termasuk akhbar, radio dan televisyen, tidak pernah bertemu pun dengan era atau episod ‘diplomasi Darurat Malaysia-Singapura’


Bagaimana Najib boleh berkata demikian?

Apakah tujuan sebenar beliau ialah mahu mencipta  satu istilah baru dalam hubungan antara bangsa umpama istilah ‘gunboat diplomacy’?

Atau apakah beliau sengaja mencipta istilah ini untuk helah tersendiri?


Rasanya ia tidak lain dan tidak bukan demi kepentingan atau sebagai umpan untuk mendapat persetujuan bagi  Sistem Rapid Transit System (RTS) rentas sempadan itu, yang pernah beliau umumkan pada 2010.

Projek  akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura.

Projek RTS  antara Johor Bahru dan Singapura sejauh empat kilometer itu mampu mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.

Selain itu, cerita mahu bina kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura ini pun bukan baru iaitu sejak awal tahun 2000 lagi.

Cuma kebetulan, ia menjadi kenyataan sekarang. Tetapi bukan kerana darurat seperti disebut oleh Najib, projek itu terpaksa ditangguhkan.

Banyak perdebatan disebut mengenainya termasuk banyak kebimbangan, termasuk kesan kepada Lapangan Terbamng Antabangsa Kuala Lumpur, tambang mahal dan banyak lagi.


Namun  apabila Najib menyebut:  "Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia dan kami sentiasa berpegang kepada dasar kami, agenda kami dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura," kata beliau pada sidang media bersama bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelapan di Istana di sini, hari ini.

Maka kita terpaksa faham bahawa kata-katanya itu sengaja direka dengan berbagai tujuan.

Selain mendapat persetujuan dua projek berkenaan, Najib juga secara langsung menembak ‘seekor lagi burung’ dalam sempadan Malaysia.

Peluru juga ditujukan kepada seorang ‘tua’ yang kononnya di era pemerintahannya menyebabkan wujudnya  ‘diplomasi darurat itu’.

Benarkah demikian? Apakah pertelingkahan sempadan seperti Batu Putih dan perdagangan dengan Singapura hingga membawa kepada darurat?

Malah pemisahan Singapura daripada Malaysia yang begitu getir pada 1965 juga tidak sampai darurat.

Aneh sekali,  di pihak rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong tidakpun mengaitkan ‘darurat itu’ dengan mendiang bapanya atau dalam sebarang pertelingkahan dengan Malaysia.

Malah bagi Perdana Menteri Singapura itu, tiada sekalipun darurat berlaku antara kedua-dua negara.

Jika Lee turut bersetuju dengan Najib, sebagai rakyat Malaysia kita perlu bangkit membantahnya.

Aneh sekali jika darurat Indonesia- Malaysia mengaitkan Presiden Sukarno dengan bekas Perdana Menteri Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein, ‘Darurat Malaysia-Singapura’ hanya melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang diri.

Darurat perlu ada dua pihak yang berselisih.

Apa yang dilakukan oleh Najib tidak betul malah amat dikesali.

Perbuatan cuba mengubah sejarah yang sudah terpahat mempunyai niat peribadi yang perlu dikecam dan diperbetulkan.

Usahlah cuba mencemar dan menjatuhkan maruh orang lain demi mendapatkan projek berbilion ringgit.


Usahlah mempersendakan orang lain yang pernah berjasa kepada negara hanya kerana mahu berbaik-baik dengan Singapura.

Berdirilah di atas kekuatan diri bukan memijak kepala pemimpin terdahulu kerana perbuatan itu bukan sahaja biadap tetapi juga beretika.

Apakah Najib mahu melakar sejarah baharu dan mengubah buku teks Sejarah dengan memasukkan darurat fasa kedua selepas darurat pertama berjaya diatasi melalui semangat persahabatan Kuala Lumpur-Jakarta?

Membezakan Najib dan Tun Razak ialah, bapanya tidak menyalahkan Tunku dalam episod darurat dengan Indonesia.

Sebaliknya Najib mencipta dan menggunakan faktor darurat untuk mempromosi diri sendiri selain meraih keuntungan daripadanya untuk mendapatkan projek RTS dan HSR yang masing-masing dijangka siap pada 2024 dan 2026.

Bagi saya semua ini timbul kerana HSR yang dikatakan paling kurang untuk bahagian Malaysia sahaja dijangka boleh mencecah RM35 bilion hingga RM40 bilion walaupun ada mengatakan hingga RM80 bilion.

Sementara untuk RTS pula dikatakan kos keseluruhan mungkin mencecah RM12 bilion.

Bagi Najib mungkin, saya ulangi  MUNGKIN – beliau  sanggup menjadikan bekas Perdana Menteri sebagai ;kambing hitam’ asalkan beliau mendapat apa yang beliau mahukan.

Apa yang dimahukannya? HSR dan RTS yang kos kedua-duanya berjumlah hampir RM50 bilion dan membuktikan ia suatu game changer?.


Inilah sebenarnya  sebahagian daripada apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir sebagai rapatnya Najib dengan ‘Cash Is King’!