Saturday, May 15, 2010

ANWAR, PKR PASTI ‘HANCUR’

Sekurang-kurangnya lima lagi Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meninggalkan parti itu dalam masa terdekat, dakwa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

Zulkifli bagaimanapun tidak menyangka Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong boleh meninggalkjan PKR dalam tempoh yang begitu segera.

Kenyataan Zulkifli itu memungkinkan PKR akan hanya mempunyai 20 kerusi sahaja di Parlimen yang mana ketika ini ia mempunyai 24 kerusi.

Jika ini berlaku, jumlah ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat dijangka akan bertambah 3 atau empat kerusi lagi.

Apakah yang sedang melanda parti itu dan kepimpinan PKR?

Apa yang dapat dilihat kini, keyakinan sesetengah pemimpin parti itu kepada parti mereka sendiri semakin terhakis.

Yang nyata, mereka yang akan meninggalkan PKR adalah Ahli Parlimen PKR yang mempunyai prinsip serta integriti disamping hilang keyakinan terhadap perjuangan asal parti itu.

Yang jelas, masalah dalaman PKR semakin membusung dan ‘bernanah’, lebih-lebih lagi dengan sikap pemimpin atasannya yang hanya memberikan perhatian kepada individu tertentu yang dikatakan ‘rapat’ dengan mereka.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap Anwar dan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan memberikan keutamaan kepada pemimpin seperti Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim.

Luka pilihan raya kecil Hulu Selangor apabila Zaid dipilih sebagai calon belum sembuh, malah isu-isu berkaitan rasuah dan pilih kasih dalam PKR semakin membara.

Selain itu, dengan Penasihat PKR berdepan kes mahkamah dalam isu liwat juga menimbulkan banyak pertanyaan di kalangan anggota PKR.

Soal mereka yang keluar PKR menjadi wakil rakyat Bebas adalah perkara kedua kerana kehilangan keyakinan kepada PKR menggambarkan parti itu kini sedang ‘belajar tanpa haluan’ dan akhirnya hanyut dan tenggelam.

Pada asasnya PKR kini tidak lagi mempunyai haluan khusus seperti mula ditubuhkan sebaliknya perebutan jawatan semakin menyerlah.

Malah ramai melihat, Anwar hanya mementingkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri sementara pemimpin bawahan dilihat kurang memberikan sumbangan kepada beliau.

Perebutan yang berlaku di kalangan ‘firaun kecil’ untuk jawatan penting dalam parti itu bukan sahaja akan merenggangkan kalangan pemimpin PKR sebaliknya juga akan memperbesarkan lagi pertelingkahan di kalangan penyokong pemimpin tertentu dalam PKR.

Pengumuman Choo Keong semalam keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas membuktikan bahawa Anwar tidak lagi mampu memujuk dan mengawal Ahli Parlimen dan ADUN PKR daripada membuat keputusan sendiri.

Anwar bukan lagi dilihat berkarisma seperti PKR mula ditubuhkan. Malah Wan Azizah dilihat pemimpin lemah untuk memimpin dan mengawal parti berkenaan.

Choo Keong menyertai PKR atas pujukan Anwar dan sebelum ini memegang beberapa jawatan seperti Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan ahli majlis tertinggi parti. Beliau bertanding pada pilihan raya umum 2008 atas tiket PKR dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yew Teong Lok dengan majoriti 150 undi.

Bagi Zulkifli, keputusan Wee meninggalkan parti itu, membuktikan pemimpin yang mempunyai integriti dan prinsip perjuangan serta bermaruah tidak dapat bertahan dengan permainan jahat firaun kecil dalam parti itu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju itu kerana membuat keputusan tepat meninggalkan parti yang sudah tidak relevan dengan perjuangannya.

Menurut beliau, jika pemimpin yang memiliki peribadi tinggi seperti Wee boleh meninggalkan PKR, maka PAS perlu membuka mata dan menimbang dengan serius kerjasamanya dengan parti berkenaan.

“Keputusan Wee sepatutnya membuka mata PAS untuk menimbang serta membuat penilaian serius berhubung kerjasama yang dijalinkan dengan PKR. Saya tidak jangka hayatnya (PKR) akan lama kerana selepas ini akan berlaku perebutan jawatan antara firaun kecil dalam parti itu,” katanya.

Banyak perkara yang Wee tidak puas hati sebelum ini tetapi kemuncaknya ialah apabila beliau menyatakan kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir di Dengkil, Selangor menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Beliau mengambil keputusan keluar parti kerana berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya rasuah di kalangan anggota pakatan pembangkang sendiri. Baginya, skandal pasir “amat menjelikkan” kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedar mengenai perkara itu sejak awal Februari lalu.

Ini kerana anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari DAP telah membuat laporan rasmi kepada anggota Exco kerajaan negeri Ronnie Liu.

Abdul Khalid tidak mengambil tindakan dan lebih-lebih lagi, apabila dokumen mengenai skandal itu diserahkan kepadanya selain mencabar Manikavasagam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Anggota Parlimen Kapar, S. Manikavasagam semalam membuat laporan polis terhadap beberapa pengarah sebuah syarikat pasir milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi pejabat Abdul Khalid selaku Menteri Besar.

Choo Keong juga menyelar Penasihat DAP Lim Kit Siang. Katanya, semua orang tahu yang Lim Kit Siang dengan cepat mengeluarkan kenyataan menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja berhubung perkara yang beliau anggap sebagai kepentingan awam.

Tetapi apabila melibatkan perkara serius seperti ini, orang akan fikir yang Kit Siang akan mengambil tindakan ke atas anak didiknya, Ronnie Liu, namun Kita Siang tetap mendiamkan diri.

Berikutan itu Choo Keong mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Pada 21 April lalu, khabar angin bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Apapun, bagi Zulkifli: “Saya yakin selepas ini akan berlaku penghijrahan beramai-ramai pemimpin PKR... tidak payah tunggu Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana dalam masa terdekat ini saja parti itu akan hancur.”

KERUGIAN SIME DARBY – SEMUA HARUS DISIASAT!

Kerugian RM1.63 bilion yang dialami oleh Sime Darby Bhd. - sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bukan kecil dan mengejutkan!

Apakah keputusan-keputusan yang dibuat membabitkan pelaburan dalam syarikat itu hanya oleh seorang Presiden atau CEO semata-mata?

Juga kenapakah pihak yang sepatutnya mengetahui mengenai perkembangan pelaburan kewangan dan pelaburan Sime Darby seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) berdiam diri sebelum ini?

Apabila disebut GLC, ia juga milik rakyat. Kerajaan yang dilantik rakyat seharusnya bertanggungjawab penuh terhadap syarikat miliknya itu.

Dengan kata lain, sebarang keputusan sama ada memecat atau mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang bertanggungjawab perlu telus dan kerajaan perlu mengambil inisiatif utama.

Melegakan sedikit apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam mengatakan kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kerugian akibat lebihan kos berjumlah RM1.6 bilion yang ditanggung Sime Darby kerana ia selaras dengan prinsip urus niaga yang baik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sime Darby bercuti sementara tamat kontraknya juga perlu dibuat bagi mencerminkan prinsip ketegasan, ketepatan dan ketelusan dalam syarikat itu.

Kelmarin , Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam meminta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid untuk mengambil cuti sebelum tarikh kontrak beliau tamat pada 26 November 2010.

Jawatan Ahmad Zubir yang kontraknya bakal berakhir pada 26 November ini akan dipangku Naib Presiden Eksekutif (Perladangan), Datuk Azhar Abdul Hamid.

Pihak lembaga pengarah syarikat konglomerat itu meminta Ahmad Zubir bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir korporat.

Seharusnya, seluruh pengurusan tinggi Sime Darby sewajarnya dipertanggungjawab, termasuk Musa, mengambil tanggungjawab itu. Apakah keistimewaan mereka – selain Ahmad Zubir – untuk ‘dibebaskan’ daripada tanggungjawab itu?

Ternyata kesan segera daripada pendedahan bahawa kelewatan dan kos berlebihan dalam beberapa projek yang memberi kesan negatif signifikan sebanyak RM964 juta dari projek di Qatar dan projek empangan hidro elektrik Bakun, menyebabkan saham Sime Darby Bhd turun 40 sen atau hampir 5.0 peratus kepada RM8.25 semalam di Bursa Malaysia.
Malah, ia juga merupakan saham paling banyak rugi di bursa tempatan semalam.

Kaunter itu dibuka semalam RM8.23 berbanding harga pra-penggantungan sebanyak RM8.65 dan ditutup pada harga RM8.25 dengan 40.97 juta saham bertukar tangan.

Ia juga merupakan kaunter yang paling aktif di mana penganalisis pasaran saham berkata kaunter itu menarik turun keseluruhan pasaran 7.62 mata kepada 1,339.3.

Sime Darby semalam mengumumkan syarikat itu akan menanggung impak negatif sebanyak RM964 juta pada perolehannya bagi separuh kedua tahun kewangan 2010 disebabkan kelewatan dan kos berlebihan daripada projek-projek itu dengan membuat perubahan pada pengurusan.

Sememangnya, pengumuman mengenai Sime Darby ini mengejutkan banyak pihak dan sewajarnya siasatan dibuat oleh sebuah badan bebas.

Juga tidakkan wajar jika kes ini dirujukkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat kerugian yang dianggap luar biasa itu?

Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas memberikan pendapatnya bahawa sebagai sebuah konglomerat penting dan majikan kepada ribuan pekerja, Sime Darby sepatutnya menjadi syarikat contoh yang diurus tadbir dengan sistem terbaik.

"Kerugian sebanyak itu membuktikan banyak perkara yang tidak kena telah berlaku dan mengikut undang-undang, semua ahli lembaga pengarah kumpulan dan anak-anak syarikat berkaitan perlu dipertanggungjawabkan. Konsultan bebas dalam bidang perakaunan perlu dilantik dan saya difahamkan sebuah firma pakar telah menjalankan siasatan dan diharap keputusan siasatan itu diumumkan kepada rakyat," katanya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Yang pasti, rakyat termasuk pemegang saham dan pihak berkepentingan ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada Sime Darby, syarikat yang dikuasai Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu?

Memang benar jika ada pandangan mengatakan kerugian itu perlu dipertanggungjawabkan bukan sahaja kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby malah semua ahli lembaga pengarah termasuk pengerusi yang mesti meletakkan jawatan.

Perdana Menteri sewajarnya tidak membiarkan perkara itu dengan hanya menyalah Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby itu sahaja. Ini kerana ada pihak yang bimbang kerugian Sime Darby mungkin mencecah lebih besar, iaitu hampir RM4 bilion.

Ada juga pandangan mengatakan SC sepatutnya mengawal selia kepentingan pelabur dalam Sime Darby dan dalam kes ini SC yang sepatutnya mengetahui kedudukan sebenar Sime Darby wajar menyatakan perkara sebenar kepada Kementerian Kewangan mengenai kelewatan projek dan kerugian yang dialami GLC itu sejak beberapa tahun lalu.

Persoalannya kenapa SC berdiam diri? Adalah tidak adil sekiranya kedudukan sebenar sesebuah syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia itu gagal memberikan gambaran yang sejelas-jelasnya kepada pihak pelabur dan pemegang saham.

Berikutan itulah kini banyak pihak menyuarakan agar Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby juga perlu meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab bersama ekoran kerugian RM1.63 bilion itu.

Benar seperti dikatakan oleh Senator Musa Sheikh Fadzir bahawa adalah tidak adil jika beban kesalahan ekoran kerugian itu diletakkan di bahu Ahmad Zubir semata-mata.

Yang pasti, tidak mungkin sebarang keputusan termasuk dalam soal pelaburan syarikat hanya keputusan individu seperti Ahmad Zubir semata-mata. Ia pastinya memerlukan kelulusan atau budi bicara pihak lembaga pengarah syarikat sendiri.

Amat malang sekiranya siasatan tidak dilakukan, sama ada oleh sebuah badan bebas atau juga melalui SPRM untuk mengetahui dengan jelas apakah kerugian itu dinikmati manfaatnya oleh pihak tertentu.

Siasatan hendaklah telus untuk bersikap adil kepada kepimpinan negara yang bekerja keras mahu memastikan segala bentuk pengurusan dan pentadbiran dilakukan secara telus dan profesional.

Yang menariknya pengurusan GLC ini dilantik bukan oleh kepimpinan sekarang dan wajar sekali Najib menilai kembali bagaimana kaedah pelantikan yang boleh memastikan GLC benar-benar diurus secara profesional.

Bagi MIDF Research, ia sedang mengkaji semula unjuran ke bawah pendapatan tahun kewangan 2010 Sime Darby sebanyak 33 peratus kepada RM1.56 bilion.

Berikutan itu dengan apa yang digambarkan sebagai eksersais "dapur digenangi air", tidak wujud keperluan untuk menyelaraskan unjuran pendapatan tahun kewangan 2011 Sime Darby.

"Kami yakin masalah itu akan ditangani menjelang tahun kewangan 2010," kata MIDF. Berikutan itu menurutnya, agak berbaloi untuk dimaklumi bahawa kerugian RM964 juta itu adalah setara dengan hanya 1.9 peratus daripada modal pasaran Sime Barby yang bernilai lebih kurang RM52 bilion, kata MIDF.

OSK Research Sdn Bhd sebaliknya berpendapat punca bagi masalah Sime Darby adalah kerana syarikat itu adalah terlalu besar dan terlalu dipelbagai untuk diurus dan dikawal dengan betul.

Kerana itu, tidak wajar untuk menyalahkan kos konglomerat yang berlebihan sebanyak RM964 juta itu dipertanggungjawabkan kepada Ahmad Zubir semata-mata.

Kelemahan kawalan dalaman dalam konglomerat bukan sesuatu yang baharu seperti di dalam insiden sebelumnya, kerugian dagangan di ladang Sime Darby yang menyebabkan pengawal kewangan syarikat diganti, kata OSK dalam kenyataan semalam.

"Sementara kami mempersetujui bahawa seorang ketua pegawai eksekutif dipertanggungjawabkan bagi kerugian syarikat yang besar itu, kami percaya dalam kes Sime Darby ini, memang terlalu mudah untuk mempersalahkan beliau," katanya.

Jika Sime Darby terus dilanda kerugian daripada satu segmen ke segmen yang lain, penyelesaian yang hanya wajar ialah untuk memecahkan kumpulan itu kepada unit-unit yang lebih strategik untuk diuruskan, kata OSK.

Jika diandaikan kerugian RM964 juta itu berada pada tahap bersih, unjukan tahun kewangan 2010 akan dicantas sebanyak 35 peratus kepada RM1.743 bilion daripada unjuran terdahulu RM2.707 juta yang dibuat sebelum kerugian di atas timbul, kata OSK.