Sunday, May 2, 2010

ISU KICKDEFELLA – UMNO JANGAN TERJERUMUS…

RM4 juta bukan untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi.
Wang itu digunakan untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan.

Caranya ialah menyebarkan maklumat mengenai kebaikan kerajaan pimpinan Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disamping memburuk-burukkan pentadbiran Pak Lah.
Saya ulangi, ia digunakan untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan.

Caranya sama ada gerak saraf atau perang saraf tidak penting. Yang penting, wang digunakan untuk menjamin PAS terus memerintah Kelantan.

Melihat cara PAS Kelantan menjalankan publisiti, ia bukan sekadar gerak saraf - ajak orang sokong kita atas kebaikan kita – tetapi juga menyerang habis-habis Islam Hadhari dan kepimpinan Pak Lah.

Rasanya, inilah juga kerja yang dilakukan oleh blogger yang dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ekoran pertelagahan beliau dengan CEOnya, Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Mohd Sayuti Omar bahawa untuk tujuan publisiti, gerak saraf dan perang saraf, perbelanjaan RM4 juta dalam tempoh tiga tahun tidak banyak. Ia hanya kira-kira RM1.3 juta setahun.

Untuk membeli peralatan sahaja, khususnya yang membabitkan IT sekarang bukan murah. Apalagi kerja itu dibuat oleh satu pasukan. Gaji blogger yang membuat aduan itu sahaja berapa sebulan?

Saya pelik apabila membaca tulisan Datuk Husam Musa semalam yang jauh melalot apabila mengaitkan RM4 juta bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

Apabila didesak dari mana datangnya wang itu beliau melalot tidak tentu pasal dan menimbulkan pertanyaan baru dengan membuat teori kemungkinan wang itu disumbangkan oleh UMNO.

Saya tidak hairan kalau Husam yang menjadi pencetus idea itu kerana beliau memang pakar strategis. Kalau tidak masakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangung-agungkan beliau berbanding Exco lain.

Husam dikenali sebagai pemikir dan perancang dan jumlah RM4 juta bukan besar sangat.
Tetapi kenapa Husam sampai bermain teori pelik-pelik dengan mengatakan kemungkinan orang UMNO menaja untuk menjatuhkan Pak Lah.

Dalam tulisannya semalam Husam memberikan andaian, duit RM4 juta yang dinyatakan diterima oleh seorang blogger, Kickdefella adalah datang dari Umno untuk menjatuh bekas Perdana Menteri itu.

Beliau juga berkata, wang itu masih ada RM4 juta lagi untuk dibelanjakan untuk jatuhkan PM yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Razak) yang juga ditaja oleh orang Umno yang tidak puas hati kerana Pak Lah dijatuhkan.

Kata Husam: "Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.mUntuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan. Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!"

Bagi saya, Husam tidak perlu membuat andaian serta mengaitkan RM4 juta dengan kerja-kerja menjatuhkan Pak Lah.

Tidak perlu Husam mengatakan betapa mudahnya untuk menjatuhkan seorang PM jika hanya memerlukan RM4 juta sahaja untuk berbuat demikian sebagaimana yang didakwa Kickdefella, beliau diamanahkan RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah dan terbukti lepas itu Pak Lah jatuh dan digantikan denga Najib.

Husam juga tidak perlu menyebut :"Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar. Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah,"

Jelas Husam cuba lari daripada menjawab soalan oleh blogger berkenaan yang pada saya itu adalah ‘permainan politik’ mereka berdua yang cuba menjerat pihak-pihak tertentu dalam PAS.

Blogger berkenaan berkata: “"Wang RM4 juta ini disalurkan secara tunai kepada sebuah syarikat, GMC tetapi tidak dimasukkan ke dalam akaun kerana ia adalah wang yang tidak boleh dijelaskan dari mana wang ia datang. Sesiapa yang tidak terlibat dalam menyumbangkan duit ini tidak perlu takut. Saya tidak kata kita lahirkan pembohongan atau fitnah tetapi ia untuk gerak saraf supaya kita dapat timbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pak Lah, dalam sudut ini Husam amat faham apa sebenar operasinya,"

Walaupun Husam cuba berteori dengan mengaitkannya dengan pemimpin UMNO, blogger berkenaan berkata kekalutan yang berlaku sekarang bukannya berpunca daripada kerja-kerja UMNO tetapi adalah hasad dengki, tamak haloba beberapa pihak di dalam PAS Kelantan.

Husam mungkin mencipta teori membabitkan pemimpin UMNO untuk ‘mengkelam-kabutkan’ serta untuk neutralisekan apa yang diperkatakan oleh blogger berkenaan.

Melalui cara ini, Husam menggunakan perang saraf agar orang UMNO akan tertanya-tanya pula siapa kalangan mereka yang mendermakan RM4 juta itu.

Jangan terpedaya dengan permainan Husam kerana blogger berkenaan dengan jelas mengatakan UMNO tidak wajar dikaitkan.

Blogger berkenaan sebaliknya menuding jari kepada pemimpin PAS Kelantan yang menurutnya, mereka sengaja menciptanya supaya Husam terjerumus ke dalam 'permainan' tersebut dan pelbagai perkara akan didedahkan.

Kerana itu saya sekali lagi meminta pemimpin UMNO jangan terlajak – breklah sikit supaya nanti isu ini tidak terpercik ke muka sendiri.

Lagipun pendedahan demi pendedahan yang dibuat blogger berkenaan ialah selepas beliau dipecat daripada bekerja dengan kerajaan PAS Kelantan. Kenapa pendedahan dibuat sekarang?

Yang pasti, PAS akan mempertahankan dirinya daripada dikaitkan dengan kerja-kerja propaganda ini kerana parti itu yakin setiap jentera Kerajaan Kelantan telah berkerja bersungguh-sungguh untuk membina imej Kerajaan PAS Kelantan.

PAS Kelantan boleh mengatakan ia tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk menaburkan fitnah dan pembohongan. Hatta bagi jentera penerangan parti sekalipun, PAS hanya membuat pendedahan yang mempunyai fakta dan kebenaran. Dan sekiranya terdapat fitnah dan pembohongan yang dibuat oleh blogger itu, jelas beliau sengaja menciptanya dan berbohong kepada semua termasuk kepada orang yang membayar gajinya.

Kerana itu, blogger berkenaan perlu membuktikan siapakah yang mencipta pembohongan itu, adakah pimpinan PAS atau dia sendiri yang merekanya demi untuk membodek Kerajaan PAS selama ini.

Idris Ahmad dalam Harakahdaily semalam sudah mula melontarkan pandangan yang menurutnya PAS tidak terkejut dengan dakwaan penulis blog Syed Azizi Syed Abdul Aziz berhubung isu RM 4 juta yang digunakannya bagi melawan Kerajaan BN selama ini.

Kata Idris : “Beliau kini terdesak untuk kembali bersama Umno-BN yang baru-baru ini sanggup membayar RM 77 juta kepada APCO Worldwide untuk mencita Slogan 1 Malaysia dan menjadi perunding kepada Kerajaan BN bagi melawan kebangkitan Pakatan Rakyat.”

Tidakkah nanti akan ada perbandingan dibuat oleh PAS antara RM4 juta mempertahankan Kelantan dengan RM77 juta mempopularkan slogan 1Malaysia?

H1N1 – KERAJAAN PERLU PERJELASKAN KEDUDUKAN SEBENAR

Kementerian Kesihatan seharusnya mengumumkan dengan jelas kedudukan sebenar kes baru Influenza A (H1N1) sehingga kini.

Ini kerana kini sejumlah 36 kes baru dilaporkan sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 13,709 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah penyakit seakan influenza (ILI) yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 590 kes, dengan 13.9 peratus atau 82 kes telah disahkan positif Influenza A (H1N1).

Bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah tujuh kes di mana lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko.
Semalam jurulatih badminton perseorangan lelaki negara Abdul Rashid Mohamed Sidek turut disahkan positif H1N1.

Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata perkara itu disahkan oleh hospital swasta yang kini merawat Rashid dan seorang anak perempuannya yang juga disahkan positif jangkitan tersebut.

"Kami telah dimaklumkan oleh pihak hospital yang mengesahkan perkara itu dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak ISN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak tersebut daripada tersebar," katanya.

Rashid dan anak perempuannya yang berusia lima tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan petang tadi setelah menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

Rashid merupakan salah seorang jurulatih skuad kebangsaan yang terlibat di dalam Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung mulai 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sementara itu Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, satu pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ke atas semua pemain skuad kebangsaan pada Isnin ini untuk memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut.

Katanya ISN dan KKM juga akan membuat pemantauan teliti bagi membendung penularan wabak tersebut pada kalangan pemain skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang dihubungi Bernama pula berharap kejadian tersebut tidak akan akan memberi kesan negatif kepada moral skuad negara.

"Saya harap pemain badminton negara terus cekal untuk hadapi kejohanan tersebut dan bebas dari wabak H1N1," katanya.

Zolkples berkata kemungkinan besar wabak H1N1 tidak akan berjangkit dengan pemain negara kerana Rashid dipercayai mendapat jangkitan itu di rumah.

Namun katanya pemantauan teliti perlu dibuat.
Walaupun sehingga kini tiada laporan kematian diterima daripada kes terbaru H1N1 menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang, namun Kementerian Kesihatan perlu bertindak segera untuk menasihati orang ramai supaya terus berjaga-jaga.
Dr Mohd Ismail berkata, sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah lapan kejadian kluster ILI diterima dari tiga negeri - Perak, Johor dan Pahang.

Beliau berkata, ini termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak yang membabitkan 41 orang; Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 dan 2, Kluang, Johor yang membabitkan 11 orang; dan kampung orang asli Kampung Meranti di Pekan, Pahang yang membabitkan 4 orang.

"Kementerian menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Sehingga semalam, Dr Mohd Ismail berkata jumlah keseluruhan penerima vaksin H1N1 adalah seramai 175,747 orang, dengan 76,613 daripadanya adalah petugas barisan hadapan kementerian, 49,407 orang adalah petugas hadapan bukan anggota kementerian dan 49,727 lagi adalah orang dari kumpulan sasar berkeutamaan dan orang awam.

Maklumat lanjut mengenai Influenza A (H1N1) boleh didapati di http://h1n1.moh.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-8881 0200/0300.