Sunday, May 2, 2010

H1N1 – KERAJAAN PERLU PERJELASKAN KEDUDUKAN SEBENAR

Kementerian Kesihatan seharusnya mengumumkan dengan jelas kedudukan sebenar kes baru Influenza A (H1N1) sehingga kini.

Ini kerana kini sejumlah 36 kes baru dilaporkan sehingga jam 5.30 petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes setakat ini 13,709 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah penyakit seakan influenza (ILI) yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 590 kes, dengan 13.9 peratus atau 82 kes telah disahkan positif Influenza A (H1N1).

Bilangan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah tujuh kes di mana lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko.
Semalam jurulatih badminton perseorangan lelaki negara Abdul Rashid Mohamed Sidek turut disahkan positif H1N1.

Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata perkara itu disahkan oleh hospital swasta yang kini merawat Rashid dan seorang anak perempuannya yang juga disahkan positif jangkitan tersebut.

"Kami telah dimaklumkan oleh pihak hospital yang mengesahkan perkara itu dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak ISN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak tersebut daripada tersebar," katanya.

Rashid dan anak perempuannya yang berusia lima tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan petang tadi setelah menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

Rashid merupakan salah seorang jurulatih skuad kebangsaan yang terlibat di dalam Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung mulai 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sementara itu Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, satu pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ke atas semua pemain skuad kebangsaan pada Isnin ini untuk memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut.

Katanya ISN dan KKM juga akan membuat pemantauan teliti bagi membendung penularan wabak tersebut pada kalangan pemain skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang dihubungi Bernama pula berharap kejadian tersebut tidak akan akan memberi kesan negatif kepada moral skuad negara.

"Saya harap pemain badminton negara terus cekal untuk hadapi kejohanan tersebut dan bebas dari wabak H1N1," katanya.

Zolkples berkata kemungkinan besar wabak H1N1 tidak akan berjangkit dengan pemain negara kerana Rashid dipercayai mendapat jangkitan itu di rumah.

Namun katanya pemantauan teliti perlu dibuat.
Walaupun sehingga kini tiada laporan kematian diterima daripada kes terbaru H1N1 menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang, namun Kementerian Kesihatan perlu bertindak segera untuk menasihati orang ramai supaya terus berjaga-jaga.
Dr Mohd Ismail berkata, sehingga jam 8 pagi ini, sejumlah lapan kejadian kluster ILI diterima dari tiga negeri - Perak, Johor dan Pahang.

Beliau berkata, ini termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak yang membabitkan 41 orang; Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 dan 2, Kluang, Johor yang membabitkan 11 orang; dan kampung orang asli Kampung Meranti di Pekan, Pahang yang membabitkan 4 orang.

"Kementerian menggesa orang awam yang mempunyai faktor risiko supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Sehingga semalam, Dr Mohd Ismail berkata jumlah keseluruhan penerima vaksin H1N1 adalah seramai 175,747 orang, dengan 76,613 daripadanya adalah petugas barisan hadapan kementerian, 49,407 orang adalah petugas hadapan bukan anggota kementerian dan 49,727 lagi adalah orang dari kumpulan sasar berkeutamaan dan orang awam.

Maklumat lanjut mengenai Influenza A (H1N1) boleh didapati di http://h1n1.moh.gov.my atau dengan menghubungi talian 03-8881 0200/0300.

1 comment:

  1. Kerajaan perlu menjelaskan H1N1 yang terkini kepada rakyat. Jangan nak sorok-sorok. Saya pernah berjumpa dengan Pengawai Kesihatan yang bertanggungjawab kes-kes H1N1 yang lalu, di sebuah Daerah di Pulau Pinang. Apabila bertanya lebih lanjut, dia memaklumkan bahawa maklumat selebihnya adalah rahsia dan tidak boleh dihebahkan.

    ReplyDelete