Tuesday, March 15, 2011

HARAM JUDI - TUNDUKKAH NIK AZIZ KEPADA DESAKAN PKR, DAP?

Kerajaan Kelantan kini benar-benar terdesak dan kerjasama antara PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini teruji dengan kes pengharaman judi di negeri itu.

Malah, kita mahu melihat bagaimana Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berdepan dengan desakan PKR dan DAP dalam isu ini.

Nik Aziz dikatakan membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada sekutunya dalam konteks mengharamkan semua judi di Kelantan.

Isnin lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerajaan Kelantan tetap tidak berganjak dengan keputusan mengharamkan perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu walaupun didesak supaya pengharamannya ditarik semula.

Berikutan pengharaman itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh mendesak kerajaan Kelantan supaya menarik balik pengharaman itu kerana ia dibenarkan kepada kaum bukan Islam di bawah Undang-Undang Kerajaan Persekutuan dan Kelantan.

Persoalannya, apakah beliau akan ‘menarik balik’ atau bertegas sebagai sifatnya sebagai Musyridul Am PAS dan selama ini menganggap hanya Kelantan negeri Islam.

Sudah pasti rakyat Malaysia – Islam dan bukan Islam – akan memerhatikan dengan mendalam dan mengambil perhatian berat sebarang keputusan Nik Aziz.

Yang nyata, hari ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Menteri Besar Kelantan itu berhubung pendirian Musyridul Am PAS berkenaan yang mengharamkan segala perjudian termasuk loteri kebajikan di negeri itu.

Nampaknya Nik Aziz sehingga ini tidak berganjak walaupun didesak sekutunya DAP dam PKR supaya menarik balik pengharaman berkenaan.

Anwar berkata, sepatutnya kerajaan Kelantan berbincang bersama dengan pemimpin parti lain sebelum melakukan sebarang perubahan dari segi undang-undang, peraturan atau pelaksanaan undang-undang di negeri itu.

"Saya percaya ini akan memberi gambaran tepat sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh mengeruhkan suasana atau disalah tafsir," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pembangkang di Parlimen di sini, semalam.

Peliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut hadir dan bersetuju dengan kenyataan Anwar. Turut berada di situ ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Amat jelas, kini PAS Pusat dan PAS Kelantan mempunyai pandangan berbeza mengenai pengharamkan judi ini.

Sehubungan itu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata beliau menyambut baik kesediaan PAS untuk berbincang bersama PKR dan DAP berhubung pengharaman segala perjudian termasuk loteri kebajikan di Kelantan, selewat-lewatnya lusa (Khamis).

“Lokasi perbincangan itu masih belum ditetapkan sama ada di Kedah atau Kelantan,” katanya.

Anwar yang juga Penasihat PKR itu berkata, antara yang terbabit dalam perbincangan itu nanti termasuk Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke; Naib Presiden PKR, Tian Chua; Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Amat jelas PKR dan DAP sedang mendesak PAS Kelantan, khususnya NIk Aziz sendiri dengan menetapkan selewat-lewatnya Khamis ini.’

Kenapa Anwar dan Kita Siang begitu terdesak mengenai isu ini hingga bagaimana memberikan kata dua kepada ‘Tok Guru’.

Kita mahu melihat reaksi PAS Kelantan dalam isu ini.

Jika Nik Aziz ‘berlembut dan membenarkan judi’ seperti loteri kebajikan, ia akan menggambarkan sikap sebenar PAS yang boleh ‘pejam mata sebelah’ dalam isu seperti ini hanya kerana mahu mendapatkan sokongan bukan Melayu.

Tetapi apakah rakyat Islam Kelantan boleh membiarkan keadaan itu berlaku dan sanggupkah mereka berlembut?

Atau mungkin juga mereka akan mula menilai sikap sebenar Nik Aziz dan PAS Kelantan yang selama ini mendakwa mereka Islam tetapi sebenarnya hanya untuk kepentingan dan kemenangan politik semata-mata.