Wednesday, April 4, 2012

TUGAS KERAJAAN BN BUKAN SEKADAR JAMIN HARGA MINYAK RENDAH...


Pastinya kenaikan harga minyak sebanyak 10 sen bagi Ron97 mulai tengah malam semalam akan menjadi perbincangan seketika.

Perbincangan itu mungkin ditumpukan kepada kesan kepada pengguna dan sebagainya. Namun di sebalik isu harga minyak dan subsidi kerajaan, Malaysia kini menjadi hab nombor satu di Asia yang dilihat mampu bina sektor petroleum dan tenaga.
   
Malah negara kini mencapai kemajuan besar dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi sektor minyak, gas dan tenaga tahun lalu. Kejayaan ini memudahkan empat teras strategik NKEA dicapai termasuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas, meningkatkan pertumbuhan hiliran, menjadikan Malaysia hab nombor satu di Asia dan membina sektor tenaga di atas platform mampan. 

Apa pun pencapaian negara dalam NKEA, kenaikan harga petrol premium RON97 sebanyak 10 sen kepada RM2.90 itu pastinya akan menghala kepada cakap-cakap dan spekulasi menyebabkan kenaikan harga barang. 

Kenaikan harga adalah disebabkan harga minyak global yang melambung tinggi yang mencecah USD120 setong. Harga RON97 naik dan turun disebabkan kerajaan telah menarik balik subsidi petrol ini.

Harga baru ini sepadan dengan harga rekod yang ditetapkan pada Mei tahun lepas. Bagaimanapun, harganya turun RM0.10 seliter pada bulan berikutnya.

Rakyat akan cuba dipengaruhi dengan kempen-kempen memperkecilkan peranan kerajaan tetapi tidak pula memperkatakan  usaha lain yang lebih besar dilakukan oleh kerajaan.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.90 per walaupun harga bahan api di pasaran dunia naik baru-baru ini. Harga diesel kekal pada RM1.80 seliter.

Harga itu mampu dikekalkan kerana kerajaan meningkatkan subsidi petrol RON95 gred - yang paling banyak digunakan di Malaysia - sebanyak 10 sen. Ia penting untuk mengekalkan harga RON95 bagi menghindari tekanan inflasi.

Menurut laporan, usaha lain yang dilakukan kerajaan mengenai minyak dan gas ialah pelaburan besar sudah dibuat peserta utama industri seperti Shell, ExxonMobil, PETRONAS, Dialog Group dan Royal Vopak sejajar empat teras strategik NKEA itu. Tahun lalu (2011) pelaksanaan 12 projek permulaan (EPP) di bawah NKEA mencatatkan peningkatan memberangsangkan dengan melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 109 peratus.

Tahun lalu juga menyaksikan penubuhan Petroleum Resources Corporation (MPRC) bagi menyelaraskan kerjasama kerajaan dan swasta. Apakah bidang projek EPP yang dilaksanakan?

1. Mencergaskan semula telaga sedia ada menerusi perolehan minyak tertingkat (OER) menunjukkan perkembangan ketara dengan ExxonMobil melabur lebih RM10 bilion bagi penggunaan teknik OER. Shell Malaysia dan PETRONAS juga menandatangani dua kontrak PSC untuk meningkatkan OER di luar pesisir pantai Sarawak dan Sabah membabitkan pelaburan lebih AS$12 bilion. Di samping itu, Shell Malaysia melabur RM5.1 bilion untuk meningkatkan, meluaskan dan membina kemudahannya di huluan, pertengahan dan hiliran industri berkenaan di seluruh Malaysia.

2. Dalam membangunkan telaga kecil melalui penyelesaian berinovasi bagi minyak, gas dan tenaga, PETRONAS dan pihak terbabit telah menyemak semula terma PSC dan memperkenalkan perjanjian petroleum baru bagi memastikan pengendali telaga kecil menerima insentif ekonomi mencukupi bagi meningkatkan pulangan pelaburan mereka. Kerja ketara juga dilakukan bagi menarik minat syarikat penerokaan dan pengeluaran (E&P) yang mahir beroperasi di negara ini serta memudahkan kerjasama antara syarikat bagi membenarkan perkongsian kemudahan dan langkah sinergistik lain bagi meningkatkan ekonomi pembangunan telaga kecil. PETRONAS akan mengambil langkah seterusnya dengan mengeluarkan lesen tambahan untuk membangunkan telaga kecil tahun ini bagi meningkatkan pengeluaran minyak mentah dan gas serta mengekalkan pengeluaran pada tahap 650,000 tong sehari.

3. Menumpukan kepada usaha memperhebatkan aktiviti cari gali, PETRONAS dan kontraktor perkongsian pengeluaran yang lain dijangka menggerudi lebih 50 telaga penerokaan di luar pesisir pantai Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang. 4. Beberapa syarikat besar dan konsortium membina dan meluaskan terminal pusat penyimpanan petroleum mereka, termasuk Dialog Group yang mengetuai konsortium membangunkan Projek Terminal Bebas Petroleum Laut Dalam di Pengerang Johor dengan kapasiti penyimpanan petroleum kira-kira lima juta meter padu. 5. PETRONAS memacu pembinaan Terminal Penggasan Semula pertama di negara ini di Melaka dengan kapasiti maksimum 3.8 juta tan gas cecair asli (LNG) setahun.

6. Menarik syarikat multinasional (MNC) membawa sebahagian besar operasi global ke Malaysia . MPRC dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) mengumumkan program Insentif Global Untuk Perdagangan (GIFT). Setakat ini, lima syarikat iaitu PETRONAS, Dialog Group, YTL Power International Bhd, BB Tenaga yang berpangkalan di United Kingdom dan Vitol Trading, sebuah kumpulan syarikat dari Rotterdam mendaftar untuk program itu dan masing-masing diberikan lesen perdagangan. MPRC menyasarkan mendapatkan sekurang-kurangnya empat lagi syarikat menjelang akhir tahun ini di bawah program GIFT.

7. Menggabungkan pembuat fabrikasi domestik juga mencatatkan kemajuan dengan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) membuat tawaran mengambilalih limbungan fabrikasi Sime Darby di Pasir Gudang, Johor yang membabitkan urus niaga bernilai kira-kira RM393.5 juta dan dijangka selesai pada suku pertama tahun ini.

8. Membangunkan kemampuan dan keupayaan melalui perkongsian strategik dan usaha sama menyaksikan Bureau Veritas, peneraju bidang penilaian ketetapan dan perkhidmatan pensijilan global mengambilalih Scientige Sdn Bhd, iaitu syarikat Malaysia yang mempunyai pengkhususan dalam perkhidmatan pengurusan integriti aset. Pada 2011 juga menyaksikan SapuraCrest Petroleum Bhd dan Kencana Petroleum Bhd bergabung bagi membentuk syarikat pembekal perkhidmatan bersepadu minyak dan gas yang terbesar di Malaysia.

9. Menumpukan kepada usaha meningkatkan kecekapan tenaga menyaksikan program Mencapai Kelestarian Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) dilancarkan pada Julai 2011 untuk memperbaiki kecekapan tenaga di Malaysia melalui lima inisiatif.

10. Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Diperbaharui dan Rang Undang-Undang SEDA diluluskan Dewan Negara pada 28 April 2011 dan permohonan bagi Tarif Galakan dibuka pada 1 Disember 2011.

Selain itu kejayaan penting NKEA turut menyumbang kepada kelulusan Pindaan Rang Undang-Undang Akta Cukai Pendapatan Petroleum (PITA) yang memberi insentif kepada penerokaan telaga minyak dan gas pinggiran di negara ini.

Melihat kepada kejayaan NKEA ini amat jelas bahawa selain kerajaan berusaha memberikan kelegaan dan keselesaan melalui subsidi harga minyak, kerajaan turut bertanggungjawab kepada usaha lebih penting iaitu membangun dan menjamin sektor minyak dan tenaga negara mencapai tahap memuaskan. 

Berikutan itu rakyat jangan hanya melihat kepada usaha menstabilkan harga minyak, diesel dan gas semata-mata tetapi hendaklah buka mata bahawa tugas kerajaan Barisan Nasional lebih jauh daripada itu.

Jadi apabila menuntut dan mendesak sebagai rakyat dan pengguna khususnya mengenai harga minyak dan bahan bakar, kita hendaklah bertindak dengan bijak kerana tugas kerajaan adalah lebih besar daripada soal subsidi harga semata-mata.

Kita perlu sedar bahawa kerajaan juga perlu menjamin pengekalan pengeluaran minyak dan gas, meningkatkan pertumbuhan hiliran, membina sektor tenaga di atas platform mampan dan yang penting menjadikan Malaysia hab terpenting untuk sektor ini.

Sumber – Akhbar Utama