Monday, June 8, 2009

PAS TIDAK BOLEH JADI PARTI ISLAM?

PAS tidak akan mampu menjadi parti Islam jika terus bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Ini kerana beberapa perjuangan PAS – negara Islam dan Hudud – dan terbaru kerajaan perpaduan akan dibantah DAP dan PKR.

Lebih memburukkan, ada pemimpin PAS yang jelas dan terang-terangan menentang gagasan Presiden parti untuk menggerakkan kerajaan perpaduan.

Jika pun tidak sampai kepada perbuatan sabotaj tetapi penentangan itu tidak akan membawa PAS ke mana-mana.

PAS boleh berbangga ia menang pilihan raya tetapi tidak mungkin dihormati sebagai parti yang memperjuangkan Islam kerana baginya kuasa dan menang pilihan raya mengatasi segala-galanya.
Yang pasti, isu idea kerajaan perpaduan muncul semula semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-55 yang berakhir semalam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengalu-alukan kemenangan pro-kerajaan perpaduan dalam pemilihan PAS semalam menjadi petanda ramai perwakilan parti itu memikirkan kepentingan umat Islam dalam kerangka yang lebih luas.

“Dalam ertikata lain banyak pihak yang memikirkan Islam sebagai panduan politik, bukan mempolitikkan Islam,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada mStar Online hari ini.
Nasharudin dilihat sebagai kumpulan yang mendokong kepimpinan pro-muzakarah dengan Umno menang dengan majoriti 199 undi menewaskan dua calon, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang dikaitkan dengan kumpulan ‘Erdogan’ dalam PAS.

Katanya, keputusan pemilihan itu PAS juga menggambarkan trend kepimpinan golongan ulama dalam PAS menguasai jawatan-jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan berterusan selaras dengan gagasan kepimpinan ulama yang dibentuk lebih dua dekad lalu.

Malah ia juga mencerminkan usul Dewan Ulama PAS Khamis lalu yang mahukan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan salah satu kerusi Naib Presiden diperuntukkan kepada golongan ulama.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memberi penjelasan mengenai konsep kerajaan perpaduan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Nasharudin berkata, PAS tidak akan menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN)dan beliau yakin kerisauan di kalangan pemimpin Pakatan akan dapat diselesaikan setelah Hadi memberikan penjelasan kepada mereka.

Perbincangan antara PAS dan Umno bukanlah ke arah perkongsian kuasa tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

Idea itu turut mendapat bantahan perwakilan PAS sendiri yang tidak bersetuju dengan perbincangan antara parti itu dan Umno.

Selagi PAS tidak dipimpin oleh Datuk Husam Musa yang disokong Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS akan terus bergolak dan usaha menjadikan kerajaan perpaduan sebagai realiti tidak akan tercapai.

Ini kerana Husam dan Nik Aziz yang ‘rapat’ dengan Anwar tidak akan memberikan ruang kepada gandingan kepimpinan PAS merealisasikan usaha itu.

Mursyidul Am PAS itu secara jelas dan bersuluh menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno merupakan idea karut yang boleh merugikan PAS.

"Idea itu mengarut, orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan," kata beliau semalam.

Bercakap dalam ceramah perdana sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Nik Aziz berkata, beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan parti itu telah mengambil ketetapan untuk menyokong Pakatan Rakyat yang dianggotainya bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Saya tak faham macam mana (timbul)... kita sudah buat keputusan di Ipoh tahun lalu, dan kita menyokong Pakatan Rakyat," katanya.

Kenyataan Nik Aziz itu jelas bercanggah dengan pandangan Abdul Hadi yang terus menaruh keyakinan bahawa cadangan pembentukan kerajaan perpaduan akan tetap diterima satu hari nanti.

Selain itu Nik Aziz turut membantah sebarang usaha sama atau rundingan bersama Umno yang bermatlamat untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa.

Biarpun Hadi sudah menyatakan akan menerangkan segala-galanya mengenai kerajaan perpaduan, DAP dan PKR jelas tidak sabar untuk bertanyakan PAS mengenai perkara itu.

Tidak hairanlah sekiranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata DAP mahu PAS menjelaskan pendirian parti itu mengenai isu kontroversi idea penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan kerjasama Umno-BN.

Mesej jelas DAP ialah ia mahu supaya perkara itu dibincang dan diperhalusi pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan datang.

Hadi dalam ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu yakin idea bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno yang beliau cadangkan sebelum ini dapat dilaksanakan di masa akan datang jika semua pihak memahami hasrat penubuhannya.

Katanya, hasrat itu digagaskan selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas dengan tujuan mencari jalan kompromi dalam pembentukan kerajaan pada ketika itu dan ia diterima secara positif bukan sahaja dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang malah pemimpin Umno sendiri.

KINI KOLAM RENANG BATU BUROK PULA?

www.kijang-jantan.blogspot.com (7 Jun 2009)

Apabila Datuk Ahmad Said bersuara mengenai Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu, mesti ada sebabnya.

Ia antara tiga projek yang tahap keselamatannya menjadi persoalan sekarang selain terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Gong Badak dan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak.

Kebimbangan kerajaan negeri terhadap tahap keselamatan projek mega yang baru siap di negeri ini berasas apabila Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terenggannu (MBKT) di Batu Burok di Kuala Terengganu menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Laporan Utusan Malaysia (5 Jun 2009) dan sebuah portal berita minggu lalu mengatakan air dari kolam renang di pusat itu dikesan meresap masuk ke lorong yang memisahkan kolam renang dengan 13 buah kedai di sisi pusat itu menyebabkan air bertakung lalu memasuki premis perniagaan itu.

Menurut sebuah blog, satu sumber yang dipercayai memberitahu bahawa struktur bumbung Kompleks Akuatik Negeri di Batu Buruk, Kuala Terengganu mungkin akan menerima nasib yang sama jika tidak diperiksa dan diselenggara dengan baik mulai sekarang.

Menurut sumber itu, Persatuan Renang Terengganu sejak tahun lepas sudah memaklumkan kepada kontraktor pembinaan terbabit mengenai kewujudan banyak aspek yang tidak menepati spesifikasi yang diperlukan.

"Projek menelan belanja RM18 juta itu mula menampakkan kecacatannya selepas beberapa bulan digunakan, termasuk bumbung bocor sekitar musim tengkujuh November tahun lalu menyebabkan beberapa kelengkapan komputer rosak. Score board yang disimpan dalam bilik stor turut rosak terkena air.

"Masalah teknikal yang amat jelas ialah papan anjal bahagian atas lebih pendek berbanding yang di bahagian bawah. Ini boleh mendatangkan kecederaan kepada perenang.

"Penggunaan bahan binaan tanpa mengambil kira lokasi kompleks di kawasan berhampiran pantai turut menyebabkan banyak palang besi sudah berkarat, Ini baru setahun usia kompleks ini," kata sumber tersebut.

Agak megejutkan ialah pihak persatuan telah banyak kali mengadu kepada kontraktor sejak Mei tahun lalu, tetapi langsung tidak diendah. Satu siasatan menyeluruh dicadangkan, bukan sahaja menyiasat mutu pembinaan, tetapi juga siasat siapa di belakang kontraktor tersebut.

Masalah turut didedahkan oleh peniaga kedai berkenaan yang melahirkan kebimbangan keadaan akan bertambah buruk jika ia tidak ditangani dengan segera.

Seorang peniaga,Siti Hajar Nadia Abdullah, 23, berkata, air mula meresap masuk ke dalam kedainya sejak sebulan lalu. ''Masalah ini tidak berlaku bila saya mula berniaga di kedai ini pada April lalu.''Bagaimanapun, sejak bulan lalu, saya dapat lihat air dari kolam renang meresap masuk ke kedai menyebabkan air bertakung di lantai," katanya.

Katanya, pekedai bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini ketika mereka sedang berniaga.
Seorang lagi peniaga, Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, berkata, air meresapi dinding hingga memasuki lorong yang memisahkan kedai dan kolam renang.

Dia bimbang jika masalah itu dibiarkan, keretakan akan berlaku dan membahayakan nyawa peniaga. Beliau meminta kerajaan negeri segera mengambil tindakan sekurang-kurangnya terhadap masalah air meresap ini supaya melegakan peniaga.

Berikutan itu, Menteri Besar Datuk Ahmad Said kelmarin melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini.

Katanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan hari ini.

Isu pusat akuatik ini timbul selepas berlaku runtuhan pada sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak di sini beberapa hari lalu.

Kelmarin (6 Jun), Bernama melaporkan, Menteri Besar melahirkan rasa kecewa terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana tidak mengawasi daripada awal pembinaan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Batu Burok di sini. K
atanya, beliau sering menegur JKR supaya memantau projek yang menelan belanja RM18 juta itu terutama daripada segi reka bentuk dan bahan yang digunakan kerana ia kurang sesuai.

"Besi yang digunakan untuk membina pusat akuatik ini ada sesetengahnya sudah berkarat dan hampir tercabut. Ini baru setahun, kalau setahun atau dua tahun akan datang, benda ini boleh runtuh.

"Nasib baik bumbung pusat akuatik ini diperbuat daripada kanvas, kalau diperbuat daripada benda berat, suatu masa nanti ia akan jatuh," katanya selepas meninjau pusat akuatik berkenaan pada hari berkenaan.
Ahmad sudah meminta JKR melihat semula pusat akuatik itu kerana banyak struktur binaannya mengalami kerosakan dan bagi mengelak berulang kejadian yang menimpa stadium berkenaan.

Beliau berkata JKR sepatutnya menerima teguran itu dengan hati terbuka dan berasa malu kerana projek berkenaan menelan belanja berpuluh juta ringgit dan tidak sempurna.

Ahmad Said menafikan dakwaan bahawa pusat akuatik tersebut bocor sehingga menyebabkan air daripada kolam renang mengalir ke premis-premis perniagaan di sebelahnya. "Dakwaan ini tidak betul, sebab kalau kita lihat paras air kolam adalah stabil. Kalau bocor, tentu parasnya surut," katanya.

Beliau berkata air yang dikatakan bocor itu sebenarnya ialah air hujan yang turun melalui tangga dan mengalir ke kawasan premis perniagaan tersebut.
"Kita perlu pasang paip besar di setiap penjuru untuk mengalirkan air dari atas bumbung ke longkang," katanya.

Yang menarik Ahmad Said turun padang dan tahu apa yang berlaku di pusat itu, Jadi jangan cuba main-main dengan beliau dan jangan anggp Menteri Besar itu tidak tahu apa yang berlaku!