Wednesday, March 16, 2011

INJIL BAHASA MALAYSIA - IDRIS JALA BERTINDAK ATAS KEPUTUSAN SIAPA?

Gambar daripada Malaysiakini yang menunjukkan kitab Injil Berbahasa Malaysia.

Tidak apalah demi politik dan pilihan raya!

Mungkin ramai yang berasa lega dan gembira apabila kerajaan semalam bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Ia tidak terhad kepada penganut Kristian sahaja khususnya di Sarawak dan Sabah tetapi juga di kalangan pemimpin PAS.

Kita melihat isu ini selain isu agama juga ada kaitannya dengan pilihan raya Sarawak.

Kerana itu menurut rakan blogger, Gelombang Rakyat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Harun Din dikatakan telah dikunjungi beberapa kumpulan Pemimpin PAS Pro Erdogan bagi memujuk beliau membuat kenyataan membenarkan Kitab Injil berbahasa Melayu dibenarkan untuk terus beroperasi di seluruh Negara.

Ini akan memberi kelebihan politik terhadap parti tersebut terutamanya dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Sarawak.

Sebaliknya menurut blog berkenaan, Harun Din dengan nada marah memberi amaran keras terhadap pemimpin-pemimpin tersebut agar tidak menggadaikan maruah Agama Islam demi kepentingan politik sempit.

Harun Din kemudiannya bertanya kembali apa kesannya apabila pengedaran Kitab Bible berbahasa Melayu ini? Adakah kita hendak lihat anak muda Islam membeli Kitab tersebut lalu terpesong agama mereka?

Harun Din juga menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bahawa ianya tidak releven dan sewajarnya PAS tidak bertindak melulu dalam mengejar karier politik tanpa memikirkan soal kedaulatan Islam pada masa hadapan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata, langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag "Untuk Penganut Agama Kristian sahaja".

Persoalannya, siapa beri arahan supaya dibenarkan sedemikian?

Ia pastinya bukan keputusan Kabinet kerana mesyuarat berkenaan pada Rabu minggu lalu tidak menyebut pun perkara ini. Sementara mesyuarat Kabinet minggu ini hanya akan bermesyuarat hari ini.

Jadi, semalam Idris bertindak atas arahan siapa?

Menurut Idris: "Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya.".

Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah "Allah". "Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," katanya.

Itu alasan diberikan oleh Idris sedangkan Jumaat lalu (11 Mac 2011), Malaysiakini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri berpandangan, salinan kitab Injil yang dicetak di Indonesia tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia kerana keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri lebih suku abad yang lalu, kata Kementerian Dalam Negeri.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan Teks aL-Quran kementerian itu Datuk Zaitun Ab Samad berkata kabinet pada Mei 1986 mengeluarkan arahan mengharamkan masyarakat bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah, Solat, Kiblat dan Kaabah.

Menurut Zaitun: "Ia bukan peraturan kementerian tetapi pihak pentadbiran perlu mematuhi keputusan kabinet.”

Kabinet, katanya tidak pernah membuat keputusan atau memberi kebenaran kepada kementerian untuk tidak lagi menahan 5,000 salinan kitab Injil yang disimpan di Pelabuhan Klang sejak Mac 2009.

"Kami juga tidak boleh mengambil sebarang tindakan (untuk tidak lagi menahan kitab berkenaan) kerana perbicaraan mahkamah dengan penerbitan Katholik, Herald masih tertangguh.

"Jadi sebarang tindakan akan membawa maksud sub judice (menghina mahkamah). Kita terpaksa hanya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan,” kata Zaiton.

Injil dalam bahasa Melayu itu dikenali sebagai Perjanjian Baru, Mazmur dan Amsal.

Sebaliknya Idris semalam dipetik Bernama menyebut, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan Malaysia yang berbilang-bilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan.

Idris, yang merupakan penganut Kristian berasal dari Sarawak, juga telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi pihak Kerajaan.
Sebelum ini, CFM mendakwa janji-janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa tiada pengharaman kitab Injil dalam bahasa Melayu, telah tidak dipatuhi oleh pihak berkuasa.

CFM, yang merupakan badan gabungan bagi semua kumpulan Kristian di negara ini berkata, Najib pada perjumpaan tahun lalu berkata kitab-kitab berkenaan akan dibenar diagihkan secara bebas sekurang-kurangnya di Sabah dan Sarawak
"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Pada 9 Mac lepas, sebuah persatuan penganut kristian mendakwa Kementerian Dalam Negeri merampas kira-kira 5,000 naskhah Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang diimport dari Indonesia di Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kementerian menafikannya sebaliknya berkata kitab berkenaan tidak menepati syarat yang ditetapkan kerajaan.

Kira-kira 30,000 naskhah kitab itu pula ditahan di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini.

Dan dengan 'pembebasan' ini, pihak Kerajaan mungkin tidak terasa dibebani desakan sementara pihak yang akan bertanding pada pilihan raya Sarawak juga masing-masing turut lega kerana isu ini sedikit sebanyak sudah dineutralisekan.