Friday, March 10, 2017

SPR SUKARKAN PEMBANGKANG, AKAN MENANGKAN BN DI TERENGGANU...

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah pada satu majlis di Kuala Terengganu kelmarin (8 Mac 2017).

"...kebimbangan PAS bahawa ia akan terjejas teruk di Terengganu kini semakin menjadi kenyataan apabila parti itu dijangka akan kehilangan banyak kerusi termasuk di DUN dalam kawasan Parlimen Marang diwakili Datuk Seri Abdul Hadi Awang."
Akhirnya Badan Perhubungan UMNO Terengganu juga yang boleh menarik nafas lega apabila mendapat habuan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Bendera Barisan Nasional (BN) akan berkibar megah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana SPR membantu mereka.

Semua pihak boleh menyemak pelan bahagian-bahagian pilihan raya bagi negeri selain  boleh disemak mulai kelmarin (8 Mac 2017)  hingga 7 April ini di Pejabat Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan/Pejabat SPR/Pejabat Tanah dan Jajahan serta dewan serbaguna atau pejabat kerajaan yang disahkan.

Memanglah SPR memberikan ruang untuk sebarang representasi kepada syor-syor yang dicadangkan olehnya dikemukakan kepada SPR dalam masa satu bulan selepas notis ini dipamerkan mulai semalam. 

Namun apakah bantahan akan berjaya?

Kelak, segala bantahan pembangkang TETAP TIDAK AKAN menjadi penghalang untuk SPR ‘memenangkan Barisan Nasional (BN) Terengganu’ pada pilihan raya umum akan datang.

UMNO yang ketika ini tiada kuasa majority  2/3 di DUN dan amat tahu akan kalah pada PRU14 nanti, akan berusaha berusaha bersunguh-sungguh bagi menggunakan kuasa SPR bagi mengubah sempadan DUN-DUN yang dimenangi oleh pembangkang, khususnya PAS dengan sebegitu rupa.

SPR memaklumkan sebelum ini, cadangan persempadanan semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Memanglah BN khususnya UMNO Terengganu turut membuat bantahan terhadap cadangan persempadanan semula membabitkan beberapa kawasan sebagai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu di negeri ini.

Namun ia hanya wayang semata-mata dan pastinya Pengerusi BN yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman kini tersenyum panjang apabila SPR tidak melayan bantahan pembangkang.

Penolakan UMNO negeri mengenai  cadangan penamaan semula kawasan pilihan raya seperti Telemong kepada Sekayu dan Teluk Pasu kepada Buluh Gading bukan isu besar.

Walaupun Ahmad Razif mengatakan bantahan BN itu sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak terutama pembangkang bahawa cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPRM akan untungkan BN, yang pasti Menteri Besar Terengganulah yang memiliki ‘the last laugh’.

"Di Terengganu banyak juga kawasan yang terbabit dengan cadangan persempadanan semula dan kita akan buat bantahan antaranya termasuk penukaran nama dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Telemong dan Teluk Pasu.

Sedangkan kebimbangan PAS bahawa ia akan terjejas teruk di Terengganu kini semakin menjadi kenyataan apabila parti itu dijangka akan kehilangan banyak kerusi termasuk di DUN dalam kawasan Parlimen Marang diwakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Contohnya bagi DUN Alor Limbat dalam Parlimen Marang yang diwakili Hadi, melalui persempadanan baru peti undi Gelugor di Alor Limbat yang sebelum ini dimenangi PAS dipindahkan ke DUN Wakaf Krai yang memang PAS sudah memang besar.

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata Oktober lalu, Langkah itu dipercayai akan menyebabkan PAS hanya memenangi satu sahaja kerusi di salah satu kawasan berkenaan, dan tidak seperti sebelumnya pada pilihan raya 2013 di mana PAS mendapat majoriti besar di kedua-dua kawasan itu.


Apakah kesan nyata yang akan berlaku keadaan ini wujud akibat persempadanan baru oleh SPR ini?

1.      DUN Alor Limbat (Parlimen Marang)  -  UPU Gelugur sebelum ini berada dalam DUN Alur Limbat, telah dialihkan ke DUN Wakaf Mempelam (Parlimen Kuala Terengganu). UPU Gelugur yang mempunyai lebih 5,000 orang pengundi, diketahui sebagai kubu PAS, dialihkan kerana BN/UMNO mahu merampas Alur Limbat.

Dengan menambah undi PAS di Wakaf Mempelam, ia tidak membawa apa-apa makna kerana sememangnya Wakaf Mempelam adalah turun temurun kepunyaaan PAS dengan ribuan majoriti.

2.      Di Teluk Pasu (kini Buluh Gading – Parlimen Kuala Nerus) - PAS menang dengan majoriti 109 undi. SPR telah menukar nama daripada Teluk Pasu kepada Buluh Gading kerana telah menolak UPU Teluk Pasu yang majoriti menyokong PAS, masuk ke Manir.

Maka, hampir pasti BN akan menang Dun Buluh Gading kerana UPU Teluk Pasu tidak dapat membantu. BN kekalkan Manir kepada PAS dan cuba rampas Buluh Gading (sekarang Teluk Pasu).

3.      DUN  Tepoh (Parlimen Kuala Nerus) – DUN ini dicadangkan oleh SPR dipecahkan di mana sebahagiannya masuk ke Batu Rakit, dan sebahagian daripada UPU Batu Rakit sebelum ini seperti UPU Bukit Wan iaitu UPU deposit Umno, ditolak masuk ke Dun Tepoh.

Dengan sendirinya Tepoh yang PAS  menang sengan majority  229 undi juga dalam bahaya.

Hanya Bukit Tunggal yang agak sukar bagi mereka merampasnya, mungkin kerana tiada UPU kuat UMNO di sekelilingnya, maka BN/UMNO  tidak mampu berbuat apa-apa.

Kesan ini juga akan dirasakan bagi pengundian untuk kerusi Parlimen Kuala Nerus yang PAS menang hanya 641 undi sahaja.

4.      DUN Jabi (Parlimen Setiu)  - Antara DUN harapan pembangkang untuk menang, telah ditambah UPU Gong Batu yang memang milik UMNO.

PAS yang hanya kalah 782 undi, tetapi dengan kemasukan Gong Batu ini, maka hampir pasti Jabi akan dimiliki terus oleh BN.

5.      DUN Kuala Berang (Parlimen Hulu Terengganu) yang mana UMNO hanya menang 449 undi.

PAS dilihat berpotensi untuk menang dan  SPR telah melebarkan kawasan DUN itu sehingga ke Kuala Telemong yang sememangnya sudah diketahui sebagai kubu kuat UMNO.

Atas sebab Kuala Telemong telah diambil Kuala Berang, maka DUN Telemong telah diubah kepada DUN Sekayu.

6.      DUN Chukai (Parlimen Kemaman) - Chukai yang berada di tengah Bandar Kemaman, telah dihadiahkan UPU Bandar Baru Cheneh yang kedudukannya hampir dengan Jabor di hujung daerah Kemaman. Ia mempunyai pengundi yang majoritinya UMNO seramai 2,822 orang.

7.      Di DUN Ladang (Parlimen Kuala Terengganu) - UPU Bukit Depu yang majoriti pengundinya PAS, telah dilonggokkan ke dalam DUN Batu Burok yang sememangnya kerusi tradisi PAS.

Kerana itu, UMNO dilihat berpotensi menang di Ladang yang PAS mempunyai majoriti hanya 924 undi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Terengganu Haji Hanafiah Mat berkata sebelum ini menganggap usaha SPR ini sebagai satu konspirasi yang sengaja dilakukan.

“Kita merasakan ada tangan-tangan ghaib dibelakang, yang sengaja mahu DUN-DUN yang dimenangi PAS kalah,” tegasnya.

Yang nyata tangan ghaib itu sangat berkuasa dan persempadanan semula itu sudah diluluskan.

Apakah daya PAS untuk melawannya?

Jalan yang ada ialah mempertahankan kerusi yang tidak terbabit dengan usaha SPR memenangkan BN ini melalui undi rakyat yang menentang ‘penipuan’.

Sedarkan rakyat bahawa BN/UMNO akan melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan SPR yang sepatutnya bertindak BEBAS dan TIDAK MENGIKUT ARAHAN BN/UMNO.

Namun, itulah hakikat dan Terengganu yang didiami ramai rakyat Melayu dan Islam turut dimanipulasikan oleh BN/UMNO yang rakus mempertahankan kuasa.