Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru Donald Trump
bukan asing buat Perdana Menteri.
Malah, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengatakan dirinya mengenali Trumph - ahli perniagaan - secara peribadi.
Kata Najib semalam, "Saya sendiri
mengenali beliau secara peribadi dan beliau bukan asing bagi saya.”
Beliau menjawab soalan pemberita selepas menghadiri
program Persidangan Daya eUsahawan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai
mengulas soalan pemberita mengenai kemenangan Trump sebagai presiden AS yang
baru.
Lupakan rakan sepermainan golf Najib - Barrack Obama di Hawaii - kerana kini Najib ada rakan baru di Rumah Putih yang baru. Lebih berpengaruh dengan Israel dan pelobi Yahudi di AS.
Semalam juga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengucapkan tahniah kepada
Trump, dengan memanggilnya sebagai ‘rakan sejati Negara Israel’ ( "true
friend of the State of Israel").
Netanyahu yakin mereka akan ‘meneruskan usaha
memperkukuhkan pakatan yang unik antara kedua-dua negara dan membawanya ke
peringkat lebih tinggi.”
Malah, Trump sudahpun menelefon Netanyahu agar bertemu
beliau di AS untuk berunding. Begitulah rapatnya AS dan Israel.
Di sebalik kemenangan Trump, masyarakat Islam dunia
menyatakan kebimbangan terhadap kenalan rapat Najib itu.
Laporan media termasuk Arab News menyebut, umat Islam di
seluruh Asia bergelut menerima kemenangan ahli politik yang membuat
kenyataan retorik anti Islam dalam kempennya menjadi presiden negara
kuasa besar dunia itu.
Trump membuat kenyataan paling kontroversi mengenai Islam
yang mencetus kemarahan di kalangan 1.5 bilion orang Islam di dunia apabila dia menyeru kepada
pengharaman ke atas orang Islam memasuki AS selepas insiden tembakan di
California.
"Saya sangat takut, adakah akan ada lebih banyak
peperangan? Adakah Amerika akan menyerang negara Muslim lagi?" demikian
soal aktivis Indonesia, Alijah Diete
selepas Donald Trump memenangi pemilihan Presiden AS semalam.
Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penduduk
Islam melahirkan kebimbangan tentang bagaimana hubungan dengan AS akan
terbentuk dan bagaimana Trump akan memberi kesan antara AS dan dunia Islam.
Sesetengah pemerhati berharap retorik populis Trump hanya
bertujuan meraih undi dan tidak akan diterjemahkan ke dalam dasar xenofobia
jika dia memasuki Rumah Putih.
"Kami berharap kenyataan Trump terhadap umat Islam
hanya untuk meningkatkan kempen, dan ia akan menyedari bahawa umat Islam adalah
penduduk yang besar di Amerika Syarikat," kata Tahir Ashrafi, seorang
ulama kanan kerajaan Pakistan.
Laporan Al Arabiya menyebut, kemenangan Trump turut
dilihat sebagai berakhirnya era negara
Palestin.
Menteri Pendidikan Israel, Naftali Bennet yang
mengalu-alukan kemenangan Trump berharap pemimpin AS itu menghentikan rundingan
penyelesaian dua negara, yang mengusulkan penubuhan negara Palestin merdeka
disamping negara Israel.
“Kemenangan Trump beri peluang kepada Israel untuk
menarik balik tanggapan sebuah negara Palestin di tengah-tengah negara kamii,
yang akan menjejaskan keselamatan dan perjuangan kami,” kata Bennet anggota
parti pelampau, Jewish Home.
“Itulah pendirian
bakal presiden (Trump)…era negara Palestin sudah berakhir,” tegasnya.
Sebagai rakan politik dan rakan sepermainan golf, Najib
perlu melakukan sesuatu untuk menjadi juara pemimpin Islam bagi membolehkan rundingan ini dapat diteruskan.
Malaysia perlu mendahului negara lain - atas kapasiti sebagai kenalan peribadi dengan Trump - membawa Israel dan pemimpin Palestin bagi penyelesaian berkekalan isu berkenaan.
Tidak mungkin Najib tidak mampu mempengaruhi rakan yang
dikenalinya secara peribadi untuk
memperjuangkan kepentingan rakyat Palestin.
Najib perlu berani menghadai pemimpin Israel bagi tujuan
ini dengan kedudukannya yang begitu berpengaruh di mata Trump.
Ini kerana tinjauan sebelum ini mendapati sebahagian besar rakyat
Israel dan Palestin sudah menyokong penyelesaian 2 negara itu, yang mula diusulkan
pada 1974.
Rundingan terbaharu 2013-2014 bagaimanapun kecundang
apabila Israel meluaskan penempatan haram Israel di kawasan yang menjadi
pertikaian antara rejim dan pihak berkuasa Palestin.
Hubungan rapat Najib dan Trump bukan sekadar melalui
kenyataan Najib semalam tetapi hubungan rapat mereka berdua turut dilaporkan oleh media
penyiaran Briish, BBC.
Memetik jurucakap pejabat perdana menteri melalui
tweet wartawan BBC untuk Asia
Tenggara Jonathan Head menyebut: “PM Malaysia Najib ialah kawan golf Trump dan ada gambar bertandatangan
mereka berdua atas mejanya daripada Donald yang bertulis 'kepada PM
kegemaranku'.
Dengan kedudukan itu, kita juga yakin Najib mampu
mempengaruhi Trump agar ibu negara Israel kekal di Tel Aviv.
Ini kerana Trump sebelum ini berikrar akan mengiktiraf
Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Malah, Menteri Kehakiman Ayelet Shaked dan Timbalan Menteri Luar
yang menjadi anggota parti berhaluan kanan, Parti Likud pimpinan Nentanyahu, Tzipi
Hotovely sudah meminta Trump supaya menunaikan janji memindahkan kedutaan
Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Datuk Bandar Jerusalem Nir Barkat juga mendesak perkara
serupa.
Status Baltulmaqdis adalah salah satu isu yang paling
sukar dalam konflik Israel-Palestin.
Warga Palestin mahu timur Baitulmaqdis menjadi ibu negara
Palestin baharu, manakala warga Israel berpendirian seluruh kota suci itu ibu
negara mereka.
Sebelum ini, Trump telah berjanji untuk mengiktiraf
Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.
Walaupun tiada sebarang maklum balas dari Netanyahu yang
sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila dia menolak sebuah negara Palestin
menjelang pilihan raya umum 2015 yang kemudian menarik balik dan telah
menyatakan sokongan untuk penyelesaian dua negara, isu ini akan turut diperkatakan
oleh lobi Isreal di AS.
Pemimpin Israel dan pelobi Yahudi di AS melihat Trump
harapan mereka kerana kepimpinan Barrack Obama sebelum ini tidak menunjukkan
tanda-tanda bahawa usaha mereka bagi menubuhkan negara Israelk dan menjadikan
Baitulmaqdis akan tergantung begitu sahaja.
Penganalisis hal ehwal Timur Tengah, Zvi Bar’el, menulis
dalam akhbar Israel, Haaretz, "Kongres
akan terus dan akan bersama kita, Pentagon memerlukan kita dan kumpulan Yahudi
Amerika Syarikat akan menjamin kebajikan kita".
Pandangan beliau diketengahkan oleh kumpulan lobi
pro-Israel di Amerika Syarikat dikenali sebagai The Israeli Project, yang
mengatakan pendirian ‘tradisonal’ Washington yang seiringan dengan Tel Aviv
akan ‘berterusan’.
“Kami gembira dan menghargai sokongan tidak berbelah
bahagi yang kami dapat,” tegas Lior Weintraub, najib presiden The Israel
Project, yang juga bekas ketua staf di Kedutaan Israeli di Washington, DC.
Trump yang disokong kuat lobi Yahudi memenangi pilihan raya presiden AS dengan
memperolehi 279 undi menewaskan
pencabarnya, Hilary Clinton dari parti Demokrat yang meraih 228 undi.
Dengan kemenangan itu, Trump - bekas ahli
perniagaan bergelar jutawan dan personaliti program realiti televisyen - muncul sebagai presiden AS ke-45 selepas Obama selain presiden paling berusia
yang pernah dimiliki oleh AS.
Kejayaan pada 70 tahun dengan kempen bertemakan 'Jadikan
Amerika Hebat Sekali Lagi' juga membolehkan Trump menafikan hasrat Clinton
untuk menjadi presiden wanita pertama AS.