Hakikatnya, apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PKR,
DAP dan AMANAH) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Jumaat lalu dengan
membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat(AS) Donald Trump, jelas sekali
merupakan langkah tepat dan betul.
Terang lagi bersuluh, apa yang dilakukan oleh PH dan PPBM
itu langkah yang berani serta menyertai dunia membantah perintah eksekutif
Presiden AS itu.
Mereka tidak gentar untuk menyatakan yang benar terhadap
pemimpin paling berkuasa di dunia!
Pembantah Malaysia membuktikan kepada rakyat negara ini bahawa
perjuangan mereka tidak memilih ‘bulu’ atau kepentingan pihak atau pemimpin
tertentu.
Bantahan mereka bukan kecil jika dibandingkan dengan
bantahan terhadap hanya seorang pemimpin Myanmar, Aun Sang Su
Yi dalam isu Rohingya.
Kenapa dikatakan begitu?
Ia kerana semalam kerajaan Presiden AS akhirnya mengakui
tindakan bantahan oleh rakyat AS dan banyak negara di dunia itu tidak suatu
keputusan salah.
Malah Trump sendiri mematuhi perintah Hakim Persekutuan
menghentikan larangan perjalanan walaupun Trump sebelum ini mengecam dan
memecat hakim sebelum ini.
Jumaat lalu (27 Januari 2017), Trump menandatangani perintah eksekutif melarang
kemasukan warga negara dari tujuh negara - Iran, Irak, Libya, Somalia, Sudan, Syria
dan Yaman selama 90 hari.
Pembatalan ini merupakan tindakan menarik balik sebahagian
kawalan ke atas dasar imigresen bagi negara yang diawasi setelah disahkan
undang-undang oleh Kongres yang didominasi anggota dari Partai Repubikan pada
2015 yang mencadangkan perubahan program penerimaan visa.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengumumkan
penggantungan semua tindakan untuk melaksanakan perintah Imigresen dan
pemeriksaan standard pelancong kembali seperti sebelum larangan perjalanan itu
ditandatangani.
Apa ertinya ini? di AS, Hakim Persekutuan berkuasa
mengatasi Presiden.
Ia menggambarkan amalan demokrasi yang telus, penuh dengan sikap
menghormati dan menjunjung perlembagaan.
Ia dilaksanakan walaupun terpaksa berdepan dengan
kehendak Presiden yang dianggap paling berkuasa di dunia.
Anehnya, Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO dan ‘sekutunya’
PAS tidak menunjukkan sebarang aksi kepada tindakan Rumah Putih itu.
Tidakkah mereka melihat apa yang dilakukan oleh perintah
Presiden AS itu sebagai sesuatu yang
menekan orang Islam?
Di mana perjuangan UMNO dan PAS yang mendakwa mereka
berjuang melindungi umat Islam?
Apakah dua parti itu sudah berubah sikap untuk tidak
campur tangan dalam hal ehwal negara luar khususnya AS kerana bimbang tindak
balas daripada negara berkenaan?
Kenapa PAS turut bimbang sama, kalaupun ‘kita bolehlah faham’ dalam konteks UMNO, khususnya di kalangan pemimpin Pemudanya yang begitu pasif.
Sedarkah mereka, tindakan itu menggambarkan betapa dua parti
itu – UMNO dan PAS - sebenarnya – sudah tiada atau hilang arah khusus dalam memerangi
tindakan tidak adil negara asing terhadap umat Islam?
Kenapa mereka boleh duduk bersama dalam isu Rohingya yang
juga diperkatakan dengan meluas oleh pembangkang, namun dalam isu perintah eksekutif Trump
ini, dua parti itu \menyepikan diri?
Seorang pegawai Jabatan Negara semalam berkata, jabatan
itu sudah menarik balik pembatalan visa sementara yang dibatalkan berikutan
perintah eksekutif Presiden itu minggu lalu - selagi ia tidak dicop atau
ditanda 'batal'.
Menurut jabatan itu, kira-kira 60,000 visa telah
dibatalkan sejak perintah itu ditandatangani.
Walaupun masih tidak jelas berapa ramai daripada kumpulan
itu akan terus tidak memiliki visa kerana ia dibatalkan secara fizikal, namun
langkah terbaru ini setidak-tidaknya membawa suatu harapan atau ‘ada cahaya
kecil di hujung terowong’.
Keputusan Trump mematuhi keputusan Hakim Persekutuan itu jelas
menunjukkan apa yang dilakukan oleh pembangkang pada 3 Februari )kelmarin)
sangat relevan, apa lagi apabila PH dan PPBM bertindak menyerahkan memorandum
bantahan ke atas Trump di Kedutaan AS di ibu negara.
Bantahan itu berikutan tindakan Trump mahu menyekat rakyat
tujuh buah negara iaitu Iraq, Syria, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman
daripada memasuki negara itu.
Pemimpin utama PH dan PPBM yang diiringi ratusan orang
yang berkumpul selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Tabung Haji di Jalan
Tun Razak, berarak sejauh 600 meter ke Kedutaan AS sambil melaungkan slogan “No
Ban, No Wall” dan mengangkat pelbagai sepanduk.
Memorandum itu kemudiannya diserahkan pada jam 3.15
petang kepada wakil kedutaan berkenaan.
Jika dilihat kepada bantahan, ia bukan hanya berlaku di
Kuala Lumpur. Ia juga berlaku di negara lain seperti Kanada, Itali serta Jerman, apa lagi di AS
sendiri.
Pada ketika Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi menyataan
kesalnya terhadap pengumuman Trump, Perdana Menteri dan Menteri Luar kita
menyepi seribu bahasa.
Indonesia seperti Malaysia tidak termasuk dalam senarai
itu namun Presiden Joko Widodo walaupun meminta rakyatnya bertenang, tetap mengingatkan
tentang perlunya menjunjung prinsip kesetaraan.
"Prinsip konstitusi saya kira jelas bahwa yang
namanya keadilan, yang namanya kesetaraan, harus terus diperjuangkan,"
tegasnya.
UMNO dan PAS sebaliknya bimbang tidak tentu pasal bahawa Washington akan bertindak balas jika
mengadakan bantahan.
Retno Marsudi...menyataan kesalnya |
Kenapa jadi begini?
Sedangkan nyata sekali apa yang cuba dilakukan olehj
Trump, iaitu Pesiden dari sebuah negara
yang mendakwa ia paling liberal dan demokratik, sangat tidak demokratik, salah dan
bersifat ‘tekanan membuta tuli’.
.
Ahli Parlimen DAP dari kawasan Petaling Jaya Utara, Tony
Pua menyifatkan dasar tidak demokratik
yang dilaksanakan Trump itu bukan sahaja dilihat dunia sebagai diskriminasi
terhadap umat Islam, malahan kemanusiaan secara keseluruhannya.
“Mengapakah Najib (Datuk Seri Najib Razak, Perdana
Menteri) sehingga kini masih tidak kata apa-apa? Adakah kerana beliau takut
dengan pihak berkuasa AS yang kini sedang menyiasat skandal melibatkan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB)?
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan, tindakan Trump
itu bukannya untuk menentang militan Daesh sebaliknya bertindak rasis kepada
umat Islam.
Amat nyata, UMNO dan PAS semakin hilang ‘roh, perasaan dan semangat’
menyokong isu dan nasib umat Islam pada ketika kemarahan masyarakat dunia
terhadap langkah sekatan itu, masih meluap-luap.
Menyedihkan lagi sikap berdiam diri Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai
tindakan Trump itu tetap menjadi tanda tanya.
Kenapa mereka berdua tidak berkata apa-apa?
Apakah kedua-duanya mempunyai kebimbangan sendiri?
Apakah dengan menyepi diri akan membolehkan mereka
mengelak daripada dijadikan sasaran atau serangani peribadi oleh pihak-pihak
tertentu di AS?
Juga dengan menyepi diri apakah kedua-dua mereka yakin
bahawa apa juga tuduhan ‘salah laku’ melibatkan perkara tertentu tidak akan
dibuka atau disebut kesnya oleh pihak seperti media, senator atau juga Jabatan
Kehakiman negara berkenaan dan negara Barat lain?
Dunia Islam memerhatikan sikap kita.
AS dan negara
Barat lain tidak akan melepaskan sesiapa jika terbukti ada yang melakukan
sesuatu yang dianggap ‘mnyusahkan institusi politik dan kewangan’ di negara
mereka.
Menyepikan diri untuk mengelakkan kontroversi tidak menjamin
seseorang akan terkecuali daripada tindakan dan serangan-serangan bersifat
peribadi akibat daripada perbuatan mereka sendiri sebelum ini.