Thursday, July 30, 2009

LEPAS SATU, SATU - TAK HABIS-HABIS

Sudah 4 – 0. Cakap salah, tak cakap lagi salah.

Bukan saja-saja nak cakap tetapi jika semakin membebankan dan memburukkan imej kerajaan negeri, bukan Ahmad Said sahaja akan melenting. Rakyat juga tertanya-tanya.
Apakah dah jadi?

Mulanya bumbung stadium runtuh, kemudian Pusat Akuatik bocor dan selepas itu, Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditutup. Kini atap lapangan terbang pula melayang.

Entahlah, Menteri Besar pasti perlu menjawab banyak persoalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.

Dalam usahanya meletakkan rakyat segala-galanya, kejadian yang melanda satu persatu pastinya menggugat pentadbiranya yang menekankan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Apa nasib malang. Semuanya terpaksa ditanggung kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said ketika ini.
Malu ada, geram pun ada. Seolah-olah Terengganu ini lekeh sangat. Cap ayam katakan.

Tapi semua ini siapa punya angkara?

Fikirkan sendiri kejadian-kejadian ini, apakah ia ujian untuk Ahmad Said atau memang ia ketentuan Tuhan :

1. Bumbung Stadium Sultan Mizan runtuh dan ditutup ke tarikh yang belum diketahui;

2. Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut ditutup untuk orang ramai. “Kolam renang ini baru siap setahun, tetapi tetapi keadaannya sekarang seolah-olah sudah berusia lebih 10 tahun,” kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang meninjau pusat itu.

Pusat Akuatik MBKT bernilai RM18 juta itu dikesan berlaku kebocoran dan besi berkarat serta mempunyai beberapa kecacatan yang membahayakan keselamatan orang ramai.

3. Jabatan Kerjaraya Pusat turut mengeluarkan arahan supaya Stadium Tertutup Gong Badak ditutup buat sementara kerana kerosakan kecil pada peralatan stadium berkenaan.

4. Terbaru, siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi. Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood berkata, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu.

Dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu.

Hakikatnya, masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM ini menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan. Ahmad Ramli menjelaskan, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

LTSM sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Apa yang pasti, semua masalah ini ada kaitan dengan JKR.

Kita hanya berharap JKR bukan sahaja terbabit dengan kerja-kerja memperbaiki kemudahan-kemudahan ini tetapi juga menunaikan janji untuk membawa mereka yang ‘menyeleweng dan cuai’ ke muka pengadilan.

Berbuatlah segera kerana tidak lama lagi rakyat pula akan membuat perhitungan apabila tiba pilihan raya.

MISTERI DUA SAMPEL DNA

Dua sampel DNA siapa ya?

Pertama, profil DNA daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Kematian Teoh: Misteri DNA

Kedua, profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui

Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang ahli exco Selangor, semalam mendedahkan, satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Inkues yang bermula pagi semalam di Mahkamah Majistret di Shah Alam bagaimanapun ditangguhkan sehingga Rabu depan.

Penangguhan diputuskan Koroner Azmil Muntapha Abas kira-kira pukul 12 tengah hari setelah mendengar permohonan dan hujah daripada peguam mewakili keluarga Teoh dan peguam mewakili kerajaan Selangor.

Ini bagi membolehkan mereka diberikan masa untuk mengkaji dokumen-dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan hari ini termasuk laporan DNA, bedah siasat dan forensik Teoh, gambar-gambar tempat kejadian dan gambar rakaman kamera video litar tertutup (CCTV).

Selain itu, Koroner akan turut membuat keputusan berhubung permohonan peguam keluarga Teoh untuk mendapatkan salinan kenyataan saksi-saksi pada hari yang sama yang sebelum itu dibantah oleh pihak pendakwaan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, 16 Julai lalu selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor.

Peguambela dan peguamcara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan ketika prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas berkata, seramai 102 orang telah diuji bagi menentukan sama ada DNA mereka menyamai DNA lelaki yang tidak diketahui itu.

"Saya diberitahu oleh ahli kimia bahawa keputusan ujian 90 orang telah pun siap dan ujian bagi 12 lagi individu lelaki akan dijalankan.

"Saya juga diberitahu oleh pegawai penyiasat, dua orang enggan memberikan spesimen contoh DNA mereka," katanya.

Peguam mewakili keluarga Teoh kemudiannya meminta pihak pendakwaan memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui.

"Inilah salah satu sebab mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," kata Gobind Singh Deo.

Tan kemudiannya menjawab: "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."