Bukan beliau sahaja terkejut, apa lagi Dr Mahathir adalah
penerima anugerahkan Darjah Tertinggi Negara oleh Yang di-Pertuan Agong, tetapi
pastinya juga di kalangan rakyat.
Atas alasan penerima anugerah itu sahaja Rafidah dikatakan
berhak dijemput, apalagi sebagai bekas Perdana Menteri yang masih hidup.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi menjelaskan, pembatalan undangan kepada Dr Mahathir ke istiadat
melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong
ke-15 di Istana Negara, Selasa lalu bukan atas arahan Pejabat Perdana Menteri
(PMO).
Dr Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah membuat semakan
terhadap pembatalan undangan kepada bekas perdana menteri itu dan mendapati
urusan tersebut adalah di bawah kuasa Istana Negara.
Malah, katanya kalau ada yang tidak berpuashati (mengenai
perkara itu), sila menghadap (Yang di-Pertuan Agong) untuk mendapatkan
penjelasan dan jangan salahkan orang lain.
Elok jika tidak dibahaskan mengenai surat daripada
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada Dr Mahathir yang membatalkan
undangan ke istiadat tersebut yang tersebar di media sosial sehingga
menimbulkan pelbagai spekulasi.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Sumpah Jawatan di
Istana Negara sudah berlansung pada 13
Disember di Istana Negara. Ia berjalan lancar. Yang dirancang sudah berlangsung
dengan baik. Alhamdulilah.
Jika dibahas atau dipersoalkan, akan nanti timbul syak wasangka atau perasaan curiga bahawa Dr Mahathir
menggunakan inidividu atau pertubuhan tertentu untuk ‘menyerang balas’ terhadap
individu atau sesiapa sahaja dalam isu jemputan kehadirannya pada majlis itu.
Jangan pula terjadi seperti serangan media asing terhadap
Perdana Menteri dan kerajaan yang menganggap Malaysia sebagai negara
kleptokrasi, yang akhirnya Dr Mahathir dan
kumpulannya dipersalahkan terus-terusan.
Dr Mahathir dijadikan sasaran tanpa melihat sebab sebenar
kepada punca dan sebab sebenar Malaysia diserang bertalu-talu oleh mereka.
Berucap pada anugerah Muammar Gaddafi di Tripoli 2005 (Gambar Hambali Abdul Latiff) |
Yang pasti, tiada jemputan untuk Dr Mahathir tidak
sedikit pun menjejas atau menyebabkan cacat-celanya majlis gilang-gemilang itu.
Juga tidak ada yang kesipuan di hari tersebut.
Dr Mahathir sendiri sudah menyatakan pendiriannya. Dia
terbuka dan menerima ketentuan Illahi.
Institusi Diraja adalah hak Raja-Raja Melayu. Jika Penyimpan
Mohor Besar bertindak sedemikian, kena patuhlah. Tiada soal jawab lagi.
Sudah dijelaskan dalam surat dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
bertarikh 5 Disember 2016 bahawa Dr
Mahathir telah dimaklumkan bahawa jemputan kepada beliau telah ditarik balik
untuk mengelak "kesipuan", kerana tempat duduk tidak disediakan
untuknya.
Tuan punya diri sudah patuh dengan pemakluman itu dan
dalam masyarakat Melayu. titah amat difahami sebagai ‘perintah’.
Masyarakat Melayu yang sebelum ini diajar dan bagi yang
pernah mengambil mata pelajaran sastera ketika di Tingkatan Enam untuk
peperiksaan HSC dan STPM, khususnya pada tahun 1960-an dan 1970-an, disyaratkan membaca Hikayat Hang Tuah.
Rasa cinta dan taat kepada Raja sudah diasuh begitu lama,
iaitu sejak zaman remaja agar tidak menderhana kepada Raja dan negara.
Dengan kata lain kepatuhan kepada titah hendaklah dibuat
atau diikuti seperti kepatuhan Hang Tuah apabila dijatuhkan hukuman bunuh.
Pahlawan Melayu terbilang itu mematuhinya.
Hang Tuah bukan sekadar mengelak ‘kesipuan’ untuk dirinya
jika dia memohon hukumannya dipertimbangkan tetapi juga demi menjaga air mula beberapa
pegawai tinggi istana yang menjadi ‘penyangak’.
Malah, selepas ada pihak yang terpaksa mengalami
‘kesipuan’, mungkin termasuk Sultan Melaka sendiri, apabila diminta membunuh
Jebat, Hang Tuah rela dan redha untuk bertindak kerana kehendak Raja walaupun hakikatnya
Hang Jebat adalah orang yang sangat disayanginya.
Hang Tuah tidak sekali-kali menderhaka kepada Rajanya.
Dengan kata lain, Hang Tuah turut menjaga maruah Sultan
Melaka agar tidak mengalami ‘kesipuan’ besar akibat tindakannya sendiri kerana menjatuhkan
hukuman terhadap pahlawan berjasa itu.
Apa yang berlaku kepada Dr Mahathir tempoh hari amat
kecil dan kerdil berbanding dengan apa yang dialami oleh Hang Tuah dalam isu ‘kepatuhan’
ini.
Juga jadikanlah kepatuhan seperti yang berlaku kepada
Ahmad Razif Abdul Rahman yang ditarik pingat kebesarannya pada April lalu.
Kini pingat itu dikembalikan. Jangan persoalkan kenapa
dan mengapa pingat itu ditarik balik dan kemudian dikembalikan semula oleh Istana
Terengganu.
Yang penting, Ahmad Razif kini bergelar ‘Datuk Seri’
semula kerana kesabaran dan kepatuhannya.
Soal banyak ‘kesipuan’ sudah berlaku akibat peristiwa Ahmad
Razif itu suatu perkara lain.
Dalam konteks jemputan terhadap Dr Mahathir dan soal ‘kesipuan’ juga jangan dipersoalkan.
Hak untuk menjemput ke majlis seseorang, adalah hak
penganjur majlis.
Soalnya kita siapa untuk mempersoalkannya?
Apa lagi kita hanya rakyat biasa.
Dr Mahathir adalah rakyat biasa, lagipun sudah tua. Sebelum
ini pun beliau dihina dengan berbagai rupa dengan berbagai gelaran – Mahazalim,
MahaFiraun, Hitler dan sebagainya.
Baru-baru ini pula digelar ‘penderhaka’ dan ‘pendurjana’.
Dan sebagai rakyat yang menderhana, beliau memang tidak layak untuk ke majlis
Raja-Raja.
Beliau bukan sekadar itu. Mahazalim dan Maha Firaun itu
lebih kesat dan ‘jahat’ daripada penderhaka.
Yang menderhana selalunya dibunuh atau dibuang jauh ke
luar negara.
Yang menderhaka kepada British seperti Ngah Ibrahim pernah
dikenakan tindakan buang negeri.
Pembesar Melayu yang menjadi penentang campur tangan
British dalam pentdbiran negeri Perak itu dituduh bersubahat membunuh Residen British di Perak, dan
bersama-sama bapa mentuanya pada
tahun 1895.
Sultan Abdullah di Batak Rabit, Sungai Perak pada Jun 1874 |
Bukan Ngah Ibrahim sahaja malah Paduka Seri Sultan Abdullah Muhammad Shah II ibni
Almarhum Sultan Ja'afar Safiuddin Mu'adzam Shah atau Sultan Abdullah Muhammad Shah II
(Raja Abdullah) turut dikenakan tindakan yang sama.
Sultan Perak ke 26 itu dilantik oleh British selepas
menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Bagaimanapun pada 1875,
baginda dituduh terlibat dalam pembunuhan J.W.W.Birch dan dibuang negeri
ke Seychelles pada 21 Julai 1876.
Dr Mahathir ini bernasib baik kerana masih bebas ke sana
ke mari.
Beliau tidak dibuang negeri atau negara. Sekadar tidak
dijemput ke majlis di Istana Negara. ‘No hal-lah’.
Juga Dr Mahathir tidak usah timbulkan isu siapa yang
berpalit menyebabkan undangan untuk beliau ditarik balik.
Penjelasan oleh Dr Ahmad Zahid semalam itu sudah menceritakan segala-galanya.
Penjelasan oleh Dr Ahmad Zahid semalam itu sudah menceritakan segala-galanya.
Kenyataan Rafidah dalam Facebooknya bahawa: “Walhal
kehadiran sesiapa yang berpalit dan bersalut skandal, rasuah, salah urus
tadbir, dsb adalah sebenarnya membawa "kesipuan", "Tidak
begitu?" hanyalah perasaan geram dan simpati bekas Ketua Wanita UMNO itu
semata-mata.
Tidak usah bersimpati. Memang wajarpun pengkhianat,
penderhaka dan pendurjana disekat dan dilarang daripada menghadiri majlis
rasmi.
Sekadar jemputan sebegini apa ada dengannya. Beliau boleh
patuh untuk menguruskannya.
Isu lebih besar di persada dunia seperti berdepan
pemimpin Serbia di Sidang Negara-Negara Berkecuali di Jakarta dalam isu Bosnia pun
beliau tidak ada masalah untuk menetapkan pendiriannya.
Begitu juga dalam isu lain sama ada perjuangan membantu
Afrika Selatan untuk mencapai kemerdekaan, Namibia, isu Palestin dan
sebagainya, beliau dapat tangani dengan baik.
Malah, usahanya menjamin sistem ekonomi Islam untuk
menyaingi ekonomi bebas termasuk menubuhkan Bank Islam, insurans Islam, pasaran
Islam dan kerjasama lebih kukuh di kalangan negara Islam pun beliau boleh
lakukannya.
Lagipun, bagi pemimpin berusia lebih 90 tahun seperti Dr
Mahathir, kehadiran ke majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong bukan sesuatu
yang baru baginya.
Jangan ganggu Dr Mahathir.
Biarkan beliau berehat dan sekadar satu undangan dalam
negara beliau terlepas, bukan masalah
besar baginya.
Maruah dan kedudukannya tidak tercalar sedikit pun. Bukan
ditarik balik darjah kebesaran Tun seperti yang berlaku kepada Ahmad Razif
apabila pingat Datuk dan Datuk Seri ditarik balik.
Dr Mahathir akan terus disanjung di persada antarabangsa
dan akan terus mendapat undangan dari luar negara.
Bukankah ini juga bentuk sumbangan untuk menjulang nama
Malaysia di arena antarabangsa, kalaupun dalam negara sendiri, akan ada usaha
berterusan untuk melenyapkan jasa dan legasinya?
Malah, gelaran-gelaran termasuk penderhaka dan pendurjana
untuknya bukan manjadi sesuatu yang akan menjadi penghalang untuknya menyumbang
bakti.
Lagipun gelaran itu bukan berikan oleh seluruh orang
Melayu dan Islam di negara ini.
Sebaliknya gelaran-gelaran itu ‘dianugerahkan’ oleh
pemimpin UMNO, iaitu parti yang pernah dipimpin sementara kebanyakan
pemimpinnya kini pun pernah diasuh dan diletakkan di kedudukan mereka sekarang
melalui kepimpinan beliau selama lebih dua dekad.