Semalam Kerajaan Terengganu mengumumkan akan menghulurkan bantuan RM100,000.
Baca dan fikirkan apa yang digarapkan oleh teganuku mengenai kisah Adam yang sebelum ini mendapat perhatian MCA, Kerajaan Negeri Melaka dan beberapa NGO:
"Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita
negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera
dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari
lagi…Saya harapkan
sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan
Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula…"
- Datuk Seri Ahmad Said
Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan kerajaan negeri akan membantu keluarga yang tinggal di Shah Alam itu bagi meringankan beban mereka.
Melalui Sinar Harian, ibu bapa Adam semalam mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana sudi menyalurkan sumbangan yg penuh bermakna kepada mereka.
Sementara bapa Adam, Akhbar Ali pula berkata : “Ribuan Terima kasih kepada YB Menteri Besar Terengganu dan kesemua EXCO Kerajaan Negeri Terengganu atas sumbangan yang amat bermakna bagi Adam Akbar Ali dan kami sebagai ibubapanya...Syukur Alhamdulillah.”
Adam, walaupun telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di Hospital Queen Elizabeth, Singapura pada Julai 2010, namun hanya sebahagian tumor dibuang.
Enam bulan kemudian, penyakit Adam kembali menyerang dan dia terpaksa menjalani pembedahan sama pada November 2011 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Adam murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, sejauh ini dikatakan sudah menerima bantuan hampir RM60,000 termasuk RM20,000 daripada Yayasan Perubatan 1MCA dan Kerajaan Negeri Melaka sebanyak RM10,000.
Semalam, Menteri Besar Terengganu mengumumkan Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju untuk menyumbangkan RM100,000 kepada Adam bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.
Menurutnya, sumbangan itu adalah dari Tabung Penyakit Kronik Darul Iman, yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.
“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi…” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.
Adam baru-baru ini turut meluahkan hasrat untuk bertemu pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum menjalani pembedahan di Amerika Syarikat.
Impiannya itu disampaikan kepada bapanya, yang menyedari Adam begitu mengagumi pemimpin negara.
“Sememangnya Adam mengenali setiap Perdana Menteri dari zaman Tunku Abdul Rahman hinggalah Najib. Adam beritahu teringin sangat bertemu lebih dekat tokoh pemimpin dikaguminya.
“Sewaktu kunjungan Najib ke Kumpulan Media Karangkraf merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil & Sederhana awal Mei lalu, Adam ingin jumpa, namun tidak kesampaian kerana keadaan menghalang pergerakannya,” katanya.
Menurut Akbar Ali, Adam bukan sahaja ingin bertemu Najib, tetapi ingin meluahkan penderitaan dialaminya.
Adam, yang menderita tumor saraf tunjang memerlukan lebih RM175,000 bagi menampung kos perubatannya.
Sejak dibenarkan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal minggu lalu, Adam bergantung dengan ubat tahan sakit.
Ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail (dua, kiri) Adam (tengah), Mohd Rafiq (dua, kanan) dan Akhbar Ali (kanan) pada sidang media di Seri Bendahara, Melaka 17 Mei lalu. |
“Adam sering mengerang kesakitan dan setelah memberikan ubat berkenaan barulah keadaannya berkurangan. Selera makannya juga semakin kurang sehingga badannya lemah tidak bermaya,” kata bapanya.
Melihat keadaan anaknya yang semakin teruk itu, Akbar Ali menghantar e-mel kepada Pakar Bedah Saraf Onkologi Kanak-kanak, Dr George Jallo dari Hospital Johns Hopkins bagi memberitahu perkembangan anaknya itu.
Menurutnya, Dr Jallo menasihatkannya supaya segera membuat imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) bagi mengetahui perkembangan Adam dengan lebih jelas.
“Daripada laporan perubatan itu dan simptom-simptom yang dialami Adam kini, Dr Jallo memberitahu, kemungkinan tumor Adam sedang membesar atau takungan air di dalam saraf tunjang yang bertakung semakin banyak.
Disebabkan keadaan itu membuatkan Adam sering sakit kepala,” katanya.
Akbar Ali berkata, Dr Jallo menasihatkannya segera mendapatkan nasihat pakar dan memberikan salinan laporan MRI itu kepadanya dalam waktu segera.
Apa yang dapat dikatakan di sini ialah kita berdoa agar Adam dapat menjalani pembedahan dan kembali sihat.
Doa Ahmad Said ialah “Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula…”
Amin, semoga segalanya diberkati Allah s.w.t
Sumber - Sinar Harian, blog & akhbar elektronik
Persoalan – Apakah Kerajaan Selangor dokongan PKR, DAP & PAS yang mendakwa ‘berkebajikan’ tidak nampak masalah rakyatnya yang memerlukan?
Apakah pemimpin Melayu di Selangor sudah ‘buta’ hasil persekongkolan mereka dengan pemimpin DAP dan PKR yang rasis dan melihat kepentingan bukan-Melayu semata-mata?