Wednesday, August 31, 2016

MUHYIDDIN TALAM DUA MUKA, KREDIBILITI & PEGANGAN MORALNYA SUDAH HANCUR...


Gara-gara menyebut bahawa Datuk Seri Mohd Najib Razak menerima sejumlah RM1 bilion ke dalam akaun bank peribadi lama sebelum pendedahan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibelasah teruk.

Kenyataan Muhyiddin itu dianggap sebagai usaha mengalihkan perhatian umum daripada 'skandal terlarang' yang melibatkannya dengan seorang wanita bernama Nika Gee.

Bukan itu sahaja. Muhyiddin dikatakan bercakap mengenai isu yang tidak lagi penting buat rakyat Malaysia seluruhnya.

Sabtu lalu, Muhyiddin mendakwa Najib sudah menerima sejumlah RM1 bilion ke dalam akaun bank peribadi lama sebelum pendedahan presiden Umno itu menerima RM2.6 bilion.

Muhyiddin, yang juga presiden protem Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata ia bermakna hampir RM4 bilion berada dalam akaun Najib.

Menurut Muhyiddin, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah menunjukkan bukti padanya bahawa Najib mempunyai wang sebanyak itu dalam akaunnya.

Ahli Parlimen Pagoh yang dipecat daripada Kabinet pada Julai tahun lalu itu sebelum ini mengkritik Najib kerana menerima wang RM2.6 bilion pada ketika Najib dan pemimpin Umno sudah pun ‘jelas’ bahawa  wang itu adalah sumbangan Arab Saudi kepada parti.

Malah, bagi penyokong Najib, ia bukan dana berkait 1MDB seperti didakwa The Wall Street Journal yang memetik dokumen siasatan.

Jika Muhyiddin mengatakan dia hampir  pengsan mengetahui dalam akaun Najib ada RM4 bilion, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau pula 'akan mati' serta merta sekiranya melihat RM4 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
  
"Kenapa dia tak pengsan, kenapa hampir pengsan kalau betul. Dia patut pengsan jika ia betul. Hakikatnya tak betul, itu sebab dia tak pengsan. Sepatutnya dia (Muhyiddin) pengsan bila tengok akaun Najib ada RM4 billion. Bila dia tak pengsan, makna itu tak betul. Kalau saya tengok RM4 bilion, bukan saya pengsan, saya mati terus," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin kini kehabisan isu menyebabkan beliau terus bercakap mengenai perkara yang tidak lagi penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia.

Bekas timbalan perdana menteri itu cuba mewujudkan persepsi yang perkara itu masih berbangkit sebagai cara untuk mengalihkan perhatian rakyat Malaysia daripada hakikat bahawa pembangkang berada dalam keadaan kucar-kacir dan sudah kehilangan banyak sokongan, kata Dr Salleh.

"Bilakah Muhyiddin mahu menerima hakikat bahawa hal berkaitan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan derma dari Timur Tengah telah pun diperjelaskan lebih daripada sekali, dan kini ia merupakan perkara yang sudah pun ditutup?" kata beliau dalam laman blognya sskeruak.blogspot.my.


Pejabat Perdana Menteri pula kelmarin berkata Muhyiddin cuba mengalihkan perhatian umum daripada kes yang melibatkannya dengan seorang wanita bernama Nika Gee dalam dakwaannya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan keras terhadap bekas timbalan perdana menteri itu, setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin turut mempersoalkan kredibiliti Muhyiddin yang menurutnya membawa imej seorang warak sepanjang karier politiknya.

“Kredibiliti dan pegangan moral Tan Sri Muhyiddin sudah hancur. Jelas beliau bercakap sesuatu demi kesesuaian politik tetapi melakukan sebaliknya dalam arena peribadi.

“Begitu juga ketika beliau menyerang perdana menteri dengan tuduhan palsu mengenai rasuah, apabila orang dalam sedia maklum sejarah sebenarnya ketika memangku menteri besar Johor dulu,” katanya, tanpa memberikan butir lanjut.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kes cerai melibatkan bekas pendakwa raya Stanley Clement Augustin dan isterinya Nika Gee Siew Yee.

Stanley dalam akuan bersumpahnya menuduh Nika mengadakan hubungan intim dengan lelaki lain.
Sebelum ini, Muhyiddin menafikan tuduhan mengaitkan beliau dengan Nika, dan mendakwa ia fitnah jahat disebarkan untuk merosakkan integriti beliau.

Muhyiddin menyifatkan tuduhan yang dilemparkan blogger kontroversi, Raja Petra Kamarudin dalam beberapa makalah Malaysia Today sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

Bekas Timbalan Presiden Umno itu berkata tuduhan yang mengaitkan beliau pada satu skandal terlarang itu berbaur politik dan fitnah jahat yang disebarkan untuk merosakkan integriti beliau.

Tengku Sariffuddin menjelaskan, dana dalam akaun Perdana Menteri disiasat secara komprehensif, dan pelbagai pihak berkuasa memutuskan tidak berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Menteri luar Arab Saudi mengesahkan dana dalam akaun perdana menteri adalah sumbangan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah pergi ke Arab Saudi dan memeriksa semua dokumen perundangan dan menemu bual wakil penyumbang tersebut,” katanya.

Tengku Sariffuddin menyifatkan Muhyiddin merupakan individu yang kecewa selepas dipergunakan sebagai boneka bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Muhyiddin dikatakan kecewa beliau tidak akan dapat menjadi perdana menteri seperti dijanjikan, kerana cubaan mereka untuk menyingkirkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi gagal; dan marah kerana kini hidup sengsara akibat daripada perbuatannya sendiri.

“Ketidaksetiaan dan salah membuat pengiraan oleh Tan Sri Muhyiddin berikutan mahu mencapai cita-citanya itu membawa kepada penamatan kerjayanya secara mengaibkan.

“Beliau kini terdesak – jadi kenapa harus orang percaya dengan apa yang dikatakannya?,” kata Tengku Sariffuddin.

Beliau berkata jelas Muhyiddin ibarat talam dua muka iaitu berbuat sesuatu mengikut kesesuaian politiknya tetapi secara peribadi lain pula halnya.

“Ini jelas apabila beliau menyerang perdana menteri atas dakwaan rasuah, sedangkan semua orang dalam tahu sejarah sebenarnya sebagai menteri besar Johor,” kata Tengku Sariffuddin.

Muhyiddin yang kini menunggu pendaftaran Parti Peribumi Bersatu Malaysia naungan Tun Dr Mahathir Mohamad, ibarat boneka kepada bekas perdana menteri itu.

Apakah benar seperti dikatakan Dr Salleh bahawa jika pembangkang tidak memainkan isu lama yang sama, maka mereka sebenarnya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk diperkatakan?


Juga apakah pembangkang sengaja menimbulkan seperti ini berulang kali seolah-olah tiada apa yang telah dijawab, selain sambil terus berkeras meminta Najib menjawab tuduhan yang dibuat terhadapnya tetapi selepas Perdana Menteri  berbuat demikian, mereka tidak mengendahkannya?