Friday, November 13, 2015

JAMIL KHIR PUN MAIN GOLF DI AMERIKA SYARIKAT? LANTAKLAH LABU..


Marah berapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Akmal Nasir, Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) dan The Malaysian Insider diminta menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam. 

Jika tidak,  beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Segala-galanya berhubung dakwaan yang mengatakan menteri itu menyalahgunakan duit untuk anak yatim dan miskin bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Menurut NOW: “Lawatan seorang menteri Umno ke Amerika Syarikat dengan perbelanjaan RM410,978 didakwa dibayar oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). Ia didakwa dibayar melalui dana sebuah anak syarikat yang sepatutnya digunakan untuk anak yatim dan kanak-kanak miskin.”

Memetik invois yang dibilkan kepada Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) yang diperolehnya, Akmal mendakwa lawatan ke Washington DC, Iowa dan Minnesota daripada 21 hingga 29 Mei 2014 itu membabitkan aktiviti golf dan kunjungan ke pusat membeli-belah.

Akmal mendakwa isteri menteri itu juga merupakan sebahagian daripada rombongan tersebut.


Invois yang diperolehnya menunjukkan bahawa RM274,493 dibelanjakan untuk tiket penerbangan pergi balik untuk menteri itu dan isterinya.

Perbelanjaan lain yang dibelanjakan untuk menteri itu termasuk RM1,658.96 untuk golf, RM1,565.98 untuk majlis makan malam dan RM3,200.72 untuk cenderahati.

Penginapan untuk menteri itu dan isterinya selama tiga malam berjumlah RM2,675.43.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri itu berkata dakwaan itu adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang daripada fakta sebenar.

"Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya," kata Jamil Khir.

Berikut adalah kenyataan penuh Jamil Khir:

"Merujuk kepada kenyataan media Akmal Nasir (Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) merangkap Ketua Cabang Keadilan Johor Bharu) pada 13 November 2015.

Sesungguhnya dakwaan yang mengatakan saya menyalahgunakan duit anak yatim dan miskin yang diperoleh daripada hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara bersama isteri, main golf dan lawatan ke pusat membeli belah adalah satu kenyataan jahat berupa fitnah dan menyimpang (misleading) daripada fakta sebenar.

Kunjungan saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 – 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaan saya terutamanya YaPEIM dengan kerjasama Kedutan Malaysia di Amerika Syarikat dan Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 orang pelajar daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Melalui strategi penganjuran bersama secara "Strategi Lautan Biru" khususnya yang melibatkan peserta Skim Anugerah Kecemerlangan Pelajar Nasional (SANTUN) tajaan YaPEIM dan beberapa kumpulan sasaran lain yang berada di seluruh Amerika Syarikat dan Kanada, beberapa program besar telah diatur dan dilaksanakan.

Program-program tersebut melibatkan kursus kepada pelajar yang memfokuskan aspek motivasi Kenegaraan dan Keusahawanan; Simposium Perdana Perkahwinan Kekeluargaan, Pengurusan dan Isu-isu Semasa Negara; Kursus Pra Perkahwinan bagi membantu pelajar-pelajar memenuhi syarat perkahwinan JAWI; Kelas Pengajian untuk isteri-isteri dan Kakitangan Wanita Kedutaan; menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dan pertemuan bersama usahawan-usahawan Malaysia. Program dan pertemuan ini melibatkan pelbagai kumpulan sasaran yang diadakan di Indianapolis dan Washington DC, Amerika Syarikat.

Bersempena dengan perasmian Mid West Game di Amerika Syarikat itu juga, beberapa acara sukan telah dianjurkan oleh Education Malaysia (EM) di Indianapolis termasuklah acara golf yang dikelolakan secara bersama dengan pihak Kedutaan Malaysia AS di Washington yang saya turut terlibat bersama TYT Duta dan kakitangan kedutaan.

Justeru dakwaan kononnya program saya di AS lebih bersifat bersuka-ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah yang besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabaran Perdana Menteri.

Adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.

Adalah menjadi sebahagian tugas dan tanggungjawab saya selaku Menteri di JPM bagi memenuhi jemputan rasmi kedutaan apatah lagi program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

Segala perjalanan dan kegiatan rasmi saya ditanggung oleh agensi berkenaan mengikut polisi dan tatacara kewangan agensi berkaitan. Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tatacara yang ditetapkan.

Saya sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku yang melibatkan diri saya atau agensi di bawah seliaan saya.

Dengan ini, saya menuntut Akmal Nasir, Pengarah NOW dan The Malaysian Insider menarik balik segala dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya.”

Ini merupakan pendedahan kali keempat dakwaan salahguna wang rakyat timbul yang melibatkan yayasan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, NOW mendedahkan ia terlibat menggunakan dana yayasan itu bagi aktiviti berkaitan pilihan raya kecil (PRK) Rompin tahun ini.

Yapeim ditubuhkan pada Oktober 1976 untuk memfokuskan kepada kerja kebajikan melalui pendekatan membangunkan ekonomi Islam dengan melibatkan diri dalam sektor perniagaan.


Pelik bin Hairan ialah, bagaimana  invois itu boleh terlepas ke tangan Akmal? Juga apakah invois itu salinan asli?