"Hubungan baik antara Kementerian Haji Arab Saudi
dan Tabung Haji sudah terjalin sejak kira-kira 30 tahun lalu...(Saya)
berharap semua negara Islam memiliki badan seperti Tabung Haji yang
dapat menguruskan perjalanan jemaah semasa mengerjakan haji dengan
begitu baik, teratur dan lancar sekali."
- Pengerusi Muasassah Asia Tenggara Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamid Sadayu.
Pada musim kempen dan pilihan raya ini teringat pula saya kepada ibadah haji dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Dan kebetulan pula TH mengadakan perbincangan dengan Kementerian Haji Arab Saudi di Jeddah semalam untuk mendapatkan maklumat mengenai segala peraturan terkini dan persediaan awal yang perlu dilaksanakan bagi musim haji tahun ini, demi keselesaan jemaah.
Bagi TH yang sudah menjalin hubungan 30 tahun dengan Kementerian Haji Arab Saudi, ia tidak melihat sebarang masalah atau isu besar berhubung peraturan baharu yang dikemukakan dalam perbincangan tahunan itu.
Selalunya orang ramai, termasuk saya tidak begitu mengambil berat apa yang dilakukan TH kecuali sama ada kuota cukup dan kos tidak dinaikkan. Mereka tidak begitu mengambil berat siapa menubuhkan TH dan bagaimana ia beroperasi.
Malah kita tidak pernah tanya berapa subsidi setiap jemaah haji yang menunaikan haji melalu TH?
Kita tidak ambil berat atau lupa bahawa TH menyediakan subsidi yang agak besar untuk setiap jemaah,
Tahun ini TH akan membiayai RM5,575 tiap seorang jemaah muasassah berbanding RM5,100 tiap seorang pada tahun lepas, bagi membolehkan bayaran haji kekal pada RM9,980 seperti tahun-tahun sebelumnya.
Kita juga tidak peduli apa persediaan TH dari segi mesyuarat, penyediaan pesawat, makanan, pakaian dan kelengkapan haji dan lain-lain?
Malah kita tidak fikirkan pun soal penginapan, perjalanan jemaah haji di tanah suci dan isu keselamatan mereka selama di sana! Kita juga tidak peduli mengenai ada kumpulan yang mengambil pengalaman TH untuk berniaga sendiri dan menyediakan pakej haji untuk orang ramai sebagai alternatif kepada TH.
Ada sesetengah syarikat ini yang kebanyakannya dikaitkan dengan penyokong pembangkang sering mendatangkan masalah kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Oleh kerana ia membabitkan kerja haji, mulut dikunci dan tidak dilihat dalam perspektif politik. Sedangkan penubuhan syarikat bukan sahaja untuk berniaga tetapi sebagai saingan kepada sebuah agensi yang ditubuh dan dikawal kerajaan Barisan Nasional.
Dalam konteks peranan TH ini, pembangkang sendiri mengelak memperkatakannya sama ada akan menjadikan agensi itu lebih baik atau menjanjikan kos menunaikan haji lebih murah atau perkhidmatan lebih baik ketika berada di Tanah Suci.
Bagi pembangkang soal seperti ini tidak penting bagi mereka. Sama ada PAS atau pembangkang, soal Islam dilihat terlalu umum, apa lagi kini perjuangan Negara Islam sudah sama sekali hilang daripada matlamat perjuangan mereka.
Sedangkan, bagi kerajaan Barisan Nasional, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, apalagi menyediakan kemudahan kepada bakal haji yang akan menunaikan Rukun Islam, status negara yang antara paling baik menguruskan jemaah haji perlu dikekalkan.
PAS pastinya tidak suka mendengar berita seperti ini. Ini kerana PAS ‘buta’ mengenai urusan seperti ini dan jika ada penyokongnya menguruskan perniagaan haji, ia tidak mahu bersangkutan bimbang jika ada masalah, beban akan turut ditanggung mereka.
Tetapi bagi kerajaan BN, apa yang dilakukan oleh TI menjadi tanggungjawabnya. Kos haji naik BN kena belasah dan jika ada masalah lain sama ada di dalam negeri dan di tanah suci membabitkan jemaah haji, BN turut kena belasah.
Tetapi tidak apalah, sebagai kerajaan bertanggungjawab, BN terimanya dengan tangan terbuka dan berdoa tidak akan berlaku lagi kejadian yang sama!
Mesyuarat dan perbincangan tahunan perlu diadakan umpamanya semalam berlangsung antara pasukan TH yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor (gambar kiri)manakala pasukan daripada Kementerian Haji Arab Saudi diwakili oleh Pengerusi Muasassah Asia Tenggara Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamid Sadayu.
Sheikh Zuhair berkata hubungan baik antara Kementerian Haji Arab Saudi dan Tabung Haji sudah terjalin sejak kira-kira 30 tahun lalu. Beliau berharap semua negara Islam memiliki badan seperti Tabung Haji yang dapat menguruskan perjalanan jemaah semasa mengerjakan haji dengan begitu baik, teratur dan lancar sekali.
Perbincangan tahunan itu berlangsung kira-kira 40 minit di pejabat kementerian berkenaan di Jeddah dalam suasana mesra selaras dengan kerjasama baik dan hubungan akrab antara TH dengan pihak kementerian itu.
Antara dibangkitkan ialah berkaitan pendaftaran penginapan para jemaah, penghantaran air zam-zam, ibadah korban serta pembayaran dam.
"Kita akur dengan beberapa peraturan baharu kerajaan Arab Saudi selaras dengan projek pembangunan itu, mungkin ia akan beri kesan kepada perjalanan haji nanti, tapi pada pandangan saya ia boleh dilaksanakan tanpa banyak masalah dengan kerjasama semua pihak," katanya.
Ketika ini kedengaran kos sebenar mengerjakan ibadah haji tahun ini dijangka meningkat lagi. Itu menurut laporan media. Kos itu dikatakan akan naik kerana:
1. Selaras dengan pembangunan semasa projek perluasan kawasan sekitar Masjidil Haram di kota Mekah, yang menyaksikan pihak TH terpaksa menyewa beberapa bangunan baru;
2. Beberapa bangunan, termasuk yang disewa oleh TH untuk jemaah di musim haji lepas, sudah dirobohkan, menjadikan bangunan yang ditawarkan buat jemaah pada musim haji nanti semakin berkurangan. Lazimnya pengurangan itu akan mengakibatkan kos bagi menyewa bangunan baharu terus bertambah, sekali gus meningkatkan lagi kos sebenar pengurusan bagi tiap seorang jemaah.
Apapun, soal penginapan jemaah haji Malaysia ketika ini hampir diselesaikan oleh TH dan pihaknya sedang menguruskan beberapa urusan lain yang penting seperti penerbangan jemaah dan sebagainya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee Ismail berkata semalam biasanya soal penerbangan tidak membabitkan banyak masalah apabila pihaknya mendapatkan kerjasama baik daripada dua syarikat penerbangan utama untuk membawa jemaah ke tanah suci, iaitu penerbangan Malaysia dan Saudi Air.
Dipihak jemaah, ketika ini surat-surat tawaran untuk mengerjakan haji musim ini sudah disampaikan kepada semua yang berkenaan, dan mereka sudah mula melaksanakan latihan untuk melicinkan urusan ibadah haji.
Masalah tidak akan terhenti apabila jemaah pulang kelak kerana selepas ini akan ada pula isu baru yang perlu dirundingkan. Ini termasuk projek pembesaran Masjidil Haram membabitkan tiga fasa, dengan fasa pertama dijadual selesai pada bulan Ramadan.
Keseluruhan projek mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan dan kerajaan Arab Saudi sedang berusaha melaksanakannya dengan gigih, dan menjangka ia mungkin dapat disiapkan dalam tempoh lapan tahun.
Sudah pasti kerja-kerja sebegini akan mendatangkan masalah kepada jemaah dan jika tempoh siapnya 10 tahun akan datang, sudah pasti TH perlu menyediakan pelannya sendiri menguruskan jemaah bersesuaian pengubahsuaian Masjidil Haram itu.
Itu satu persoalan, akan banyak lagi persoalan lain, umpamanya permohonan menunaikan haji yang bertambah setiap tahun.
Kita berharap hubungan 30 tahun antara TH dan Kementerian Haji Arab Saudi akan memudahkan segala-galanya. Mereka saling kenal mengenali!
Bagaimana jika ditakdirkan ada pihak ‘baru’ datang untuk berunding selepas ini, apakah mereka akan dilayan seperti ‘sahabat mereka yang sudah dikenali sejak 30 tahun lalu’?
oh sedapnya!