Saturday, February 5, 2011

SHUHAIMIKAH 'PENDERHAKA' KEPADA SULTAN SELANGOR?

Jika mahkamah gagal menghukum Shuhaimi, ia akan membawa kesan besar kepada pihak pendakwaan, selain itu akan menjadi panduan kepada pihak yang mahu ‘menghina raja’. Jika Shuhaimi menang ia akan menjadi precedent kepada tindakan atau usaha berterusan menghina raja Melayu. Apakah mahkamah yang membicara Shuhaimi akan membenarkan berlakunya keadaan sedemikian?


Shuhaimi hadir bagi memberi keterangan berhubung satu entri dalam blognya SriMuda.Blogspot.Com yang didakwa menghina Sultan Selangor.

'SIAPA PENDERHAKA’. Itulah tajuk forum yang akan diadakan di Dewan Kemas Seksyen 16 Shah Alam malam Ahad ini.

Ia diadakan awal sedikit daripada sebutan kes di Mahkamah Sesyen, Shah Alam pada pagi Isnin terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Pemidato utama forum anjuran Biro Penerangan Shah Alam itu ialah Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman.

Penduduk di Shah Alam sewajarnya mendengar pidato berkenaan dan mengetahui dengan kelas siapa ‘Penderhaka’. Apakah Shuhaimi? Shuhaimi dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh ‘menghina Sultan Selangor’.

Semalam, kerajaan Selangor menyebut ia akan membiaya kos perundangan (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di Shah Alam Isnin ini.

Menurut laporan, Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan semalam, berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi. ADUN Sri Muda itu yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Amat jelas bahawa dalam kes Shuhaimi ini, kerajaan Selangor menjadi dalang dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim jelas cuba ‘baling batu sembunyi tangan’.

Tidakkah dengan bersetuju membiayai kos perundagan itu menunjukkan pimpinan Khalid merestui apa yang dilakukan Shuhaimi dan tindak tanduk beliau itu?

Lebih mengejutkan apabila kerajaan negeri Selangor kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang memutuskan untuk mengenakan tuduhan di bawah Akta Hasutan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda dari PKR Shuhaimi Shafiei, Isnin ini.

Tindakan tersebut, menurut kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu, menunjukkan sikap berat sebelah pihak berkuasa — yang terletak di bawah bidang kuasa Putrajaya — dalam mengambil tindakan perundangan ke atas wakil rakyat mereka. Sekali lagi, senario yang kita bimbangkan telah berulang apabila pihak berkuasa berat sebelah dalam mengambil tindakan dan hanya cepat menyelesaikan siasatan jika ia membawa keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) dan memburukkan imej wakil rakyat Pakatan Rakyat,” kata Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Terang lagi bersuluh sikap Khalid apabila kenyataan Pejabat Menteri Besar itu mengatakan: “Persoalan yang perlu dijawab oleh pihak berkuasa, mengapakah tindakan tegas dan cepat tidak diambil terhadap kes-kes yang melibatkan kepentingan ramai seperti kes kematian (bekas setiausaha sulit Exco Kerajaan Negeri Selangor) Teoh Beng Hock, (suspek polis mati di lokap) A. Kugan dan (remaja) Aminulrashid?”

Kenapakah Khalid cuba mengaitkan isu Shuhaimi dengan isu lain sedangkan apa yang Shuhaimi sedang hadapi ialah pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Dengan kata lain, kes Shuhaimi lebih berkait dengan penghinaan terhadap Sultan Selangor. Apakah kes ini kecil bagi Khalid berbanding dengan kes Beng Hock atau A Kugan?

Kes Shuhaimi ini membabitkan penghinaan terhadap Raja Melayu dan pastinya berkait dengan institusi Raja-Raja Melayu.

Sepatutnya Pejabat Menteri Besar Selangor atau Khalid tidak campur dalam hal ini kerana jelas Shuhaimi yang hadir ke balai polis semalam untuk menyerah diri dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis membuktikan ada ketelusan bagi memberikan keadilan kepada Shuhaimi.

Apakah Pejabat Menteri Besar Selangor terus mahu mempertikaikan tindakan yang sewajarnya diambil terhadap Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kota Raja berkenaan yang mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan dalam blognya pada 30 Disember lalu yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru?

Biarpun Shuhaimi menafikan tuduhan bahawa dia cuba menghasut rakyat dan menghina Sultan tetapi biarlah mahkamah menentukan kedudukannya.

Menghairan sekali apabila Pejabat Menteri Besar Selangor seolah-olah cuba mempengaruhi perbicaraan kesas apabila menyebut: “Dalam kes Shuhaimi, kerajaan negeri tidak akan membiarkan beliau berseorangan dalam menghadapi tuduhan tidak berasas ini. Kerajaan negeri akan membantu beliau dengan membiayai kos perundangan dan menyokong usaha beliau untuk menegakkan keadilan.”

Malah kenyataan itu juga menambah, kerajaan negeri tidak percaya beliau mempunyai sebarang niat untuk memburukkan institusi Raja-raja Melayu. "Ini dapat dibuktikan apabila Shuhaimi dan semua Adun Pakatan Rakyat yang lain, menyokong dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 24 Januari lalu untuk mengembalikan perlembagaan negeri kepada bentuk asalnya yang memberi kuasa kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk memilih tiga pegawai ex-officio kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Sebaliknya, menurut kenyataan itu, kesemua Adun BN pula menolak pindaan tersebut, sekali gus menghalang pengembalian kuasa pelantikan tiga ex-officio kepada Sultan Selangor.

Dengan kenyataan terbuka sedemikian, amat jelas Pejabat Menteri Besar Selangor tidak menganggap Shuhaimi melakukan ‘penderhakaan’ dan seolah-olah orang lain pun boleh melakukan yang sama.

Shuhaimi, dalam kes ini. jika mahkamah gagal menghukumnya akan membawa kesan besar kepada pihak pendakwaan, selain itu akan menjadi panduan kepada pihak yang mahu ‘menghina raja’. Jika Shuhaimi menang ia akan menjadi precedent kepada tindakan atau usaha berterusan menghina raja Melayu.

Apakah mahkamah yang membicara Shuhaimi akan membenarkan berlakunya keadaan sedemikian?