Wednesday, February 1, 2017

APAKAH ANNUAR MUSA ‘KAMBING HITAM’ ATAU PERMULAAN BANTERAS SKANDAL?


Maruah MARA perlu ditegakkan seadil-adilnya kerana ia juga maruah Melayu. Jangan MARA dilihat pengurusannya buruk, kelak akan memberi gambaran bahawa pengurusan orang Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sudah akur dan berlapang dada dengan keputusan penggantungan jawatannya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusi Pelaburan MARA Berhad.

Ia menggambarkan ketelusan beliau.

Malah jelas sekali beliau memahami kedudukannya yang dilantik Menteri, malah mengatakan menerima apa saja secara berlapang dada dan penuh kebertanggungjawaban terutama dalam rangka menjalankan tugas yang di amanahkan kepada beliau.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO menegaskan, beliau utamakan prinsip integriti dan amanah.

Lagipun,  penggantungan jawatan Annuar sebagai Pengerusi MARA boleh anggap sementara dalam proses membantu siasatan Jawatabkuasa Audit Dalaman selesai.

Cumanya, apakah jika dibebaskan, beliau akan kembali ke jawatan itu semula?

Juga pertanyaan ialah,  apakah penggantungan turut dibuat kesan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Annuar?

Ia pastinya akan mengambil masa beberapa ketika untuk membuktikan sama ada Annuar bersalah atau sebaliknya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat Majlis MARA itu tidak melibatkan pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri dengan persetujuan Perdana Menteri.

Ini jelas bahawa pada asasnya Annuar masih menjadi Pengerusi MARA.

Kerana itu, semua pihak perlu menghormati keputusan Majlis MARA yang ingin menyelesaikan isu membabitkan MARA dan anak syarikat mereka secara tuntas.

Yang penting, siasatan dalaman ini diharapkan dapat diselesaikan dengan segera untuk memudahkan ia membantu siasatan oleh SPRM.

Semalam, Mesyuarat Khas Majlis MARA diadakan berikutan permohonan kesemua Ahli Majlis MARA dan ditandatangani oleh semua Ahli Majlis MARA termasuk wakil kerajaan bertujuan  melantik Jawatankuasa Audit Dalaman.

Mesyuarat tergempar itu dipengerusikan oleh Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin di ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur.

Dr Yusof Yacob..kanan.
Ia bagi menyiasat isu yang berkaitan dengan tajaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan MARA Bhd (PMB) serta beberapa isu lain yang diviralkan dalam media sosial.

Siasatan bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat kepada MARA.  Annuar tidak dijemput hadir kerana mesyuarat berkaitan dengan beliau. Ini wajar.

Jika penggantungan ini proses biasa seperti disebutkan oleh Menteri, memperkukuhkan lagi kenyataan beliau bahawa Majlis Mesyuarat MARA berkuasa penuh dalam keputusan menggantung,  sementara menunggu siasatan juruaudit dalaman diselesaikan.

Setiap pihak sewajarnya menghormati keputusan Majlis Mesyuarat MARA yang ingin menyelesaikan isu yang membabitkan MARA dan anak syarikat mereka secara telus.

Malah, diharapkan kemelut yang dilihat sebagai skandal yang melanda MARA ini  dapat diselesaikan dengan segera.

MARA dilihat sebagai institusi orang Melayu dan pengurusan berintegriti perlu ditegakkan.

Jangan kerana MARA yang rapat dengan orang Melayu dilihat pengurusannya buruk, kelak akan memberi gambaran bahawa pengurusan orang Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

Ini sangat penting. Maruah MARA perlu ditegakkan seadil-adilnya kerana ia juga maruah Melayu.

Berkaitan dengan siasatan SPRM, ia adalah proses biasa apabila suruhanjaya itu membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Annuar sebagai Pengerusi MARA.

SPRM dilapokan akan bekerjasama dengan bahagian audit dalaman MARA bagi menjalankan siasatan beberapa isu rasuah dan salah guna kuasa didakwa dikaitkan dengan ketua penerangan UMNO itu.

Dengan skop siasatan yang disempitkan kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan penglibatan dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan, rasanya siasatan menjadi lebih mudah.

Apa lagi apabila SPRM akan turut  bergantung kepada hasil siasatan MARA mengenai tadbir urus.

Cumanya persoalan ialah apakah siasatan oleh SPRM itu diasaskan kepada laporan media, termasuk media sosial atau memang ada laporan khusus kepada SPRM mengenai isu ini?○

SPRM sering menyebut, ia hanya membuka kertas siasatan jika ada laporan dan tidak mengutip maklumat melalui laporan media, apa lagi media soaial.

Jika ada laporan, ia daripada siapa?

Berikutan kedudukan ini, adalah wajar semua pihak juga mematuhi permintaan SPRM agar  semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes tersebut.

Berilah ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

Juga jangan pertikaikan siasatan audit dalaman MARA megenai  beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Apa sahaja keputusannya kelak akan membebaskan MARA daripada sebarang tuduhan atau kecaman bahawa ia cuba melindungi orang politik khususnya UMNO.

Kini terserlah, MARA sedang menegakkan  prinsip integriti dan amanah seperti juga di pihak Annuar sendiri.

Biarklah kes seperti ini menjadi pengajarandan dicontohi untuk membersihkan kerajaan yang ada daripada sebarang skalndal.

Ada juga laporan media dan media sosial yang memperkatakan wujudnya ‘perbuatan skandal kewangan’ dalam institusi berkaitan kementerian yang lain tetapi masih tiada tindakan.

Apakah Annuar dijadikan ‘kambing hitam’ semata-mata atau ini  langkah permulaan ke arah membersihkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan lainnya daripada salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah?