Tuesday, September 6, 2016

RUU 355 – SEBARANG KECACATAN, KEGAGALAN AKAN DILETAKKAN DI BAHU UMNO/BN...


"Mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Ada persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama...Lebih membimbangkan bukan Islam apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen Hudud."

Tarikh untuk bentang Rang Undang-undang (RUU) 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 di Dewan Rakyat semakin dekat.

Bacaan kedua bagi RUU355 itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas bacaan pertama, Mei lalu.

Di sebalik tarikh yang semakin hampir, perjalanannya dijangka masih jauh. Silap pendekatan akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi PAS, ia boleh mendakwa suatu kejayaan baginya kerana berjaya menunaikan janji untuk membentangkannya.

Selebihnya terserah kepada kerajaan untuk melaksanakannya. Sama ada dari segi tugas membuat penjelasan, mahupun pelaksanaan dan penguatkuasaannya.

Bagaimana jika gagal atau tersekat-sekat? Akhirnya kerajaan BN juga yang akan menanggung bebannya.

Jika berjaya, PAS akan mengambil kredit dengan mengatakan segala usaha adalah daripadanya.

PAS boleh mengatakan tiada apa yang pelik dengan pindaan Akta 355, yang dibawa usul oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu.

Namun sejauh ini pendirian parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti lain dari Sarawak dan Sabah, termasuk PBS belum jelas.

Isu RUU 355 adalah persoalan yang agak berat dan masih mengelirukan bagi masyarakat bukan Islam.

Malah, perbahasan di kalangan masyarakat Islam juga tidak terkecuali.

Pintu belakang bagi pelaksanaan Hudud?
Seperti disebut Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw bukan Islam dan bukan Melayu mempunyai persoalan sama ada RUU 355  ini merupakan pintu belakang bagi pelaksanaan hudud di negara ini.


"Soal hari ini bukan soal RUU sahaja. Kita mesti pandang ke seluruh negara tentang apakah perasaan masyarakat bukan Islam ke atas RUU ini. Sebelum kita bahas tentang RUU, ia sudah pun tersebar luas di seluruh negara menerusi media sosial.  Adakah RUU ini pintu belakang (pelaksanaan) hudud?," tanya beliau.

Perkara itu ditimbulkan olehnya pada Wacana Sinar Harian 'Pindaan Akta 355: Antara Realiti dan Persepsi' di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam semalam.

Isu RUU yang dibawa oleh PAS ini diakui telah menimbulkan persepsi tertentu terhadap kerajaan dan PAS.

Antara pertanyaan ialah,  mengapa PAS yang bentang RUU ini bukan kerajaan? Berikutan itu ada persepsi PAS dengan UMNO sudah bersama. Itulah persepsi yang timbul sekarang," kata Seng Giaw.

Sebagai pihak yang lebih berpengetahuan dalam soal RUU, kata Seng Giaw, PAS mesti tahu bagaimana hendak mententeramkan hati yang gelisah tentang pelaksanaan RUU.

Persoalannya berjayakah PAS memberikan penerangan yang jelas dan lengkap?

Menyulitkan suasana kerana wujud kalangan  ahli politik menggunakan isu agama ketika membincangkan cadangan pindaan itu dan menyemarakkan sentimennya sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat berbilang kaum.


Perlu diingat bahwa kalangan orang bukan Islam mempunyai  latar belakang yang berbeza sejak merdeka dan memburukkan keadaan, ada kalangan ahli politik daripada pelbagai parti menggunakan isu agama dan perkauman.

Lebih membimbangkan bukan Islam dan sensitif bagi mereka apabila ia dibentangkan oleh PAS kerana di Kelantan dan Terengganu ada enakmen hudud.

Juga persoalan yang ditimbulkan ialah, wujud persoalan tentang hak bukan Islam selepas RUU itu dipinda selain tanda-tanya sama ada akta ini adalah strategi awal PAS untuk melaksanakan hukum hudud.

Sehingga ini semua persoalan itu belum terjawab dan bagaimana boleh dielakkan prasangka dan emosi seperti itu di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia?

Lihat sahaja MCA, ia menyatakan pendiriannya akan  kekal untuk menolak pindaan RUU 355  yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ketua pasukan perlaksanaan Dasar dan Undang-undang Syariah, MCA Pusat, Gan Ping Sieu berpendapat, pindaan tersebut dipertikai masyarakat bukan Islam memandangkan terdapat agenda tersirat yang dibawa berhubung pelaksanaan itu.

"Bukan saja persepsi tapi secara realitinya, ini satu yang membimbangkan keseluruhan rakyat kita," katanya.

MCA menyatakan terkilannya  dengan cadangan pelaksanaan pindaan akta tersebut yang diawalkan tanpa pengetahuan daripada parti kompenan BN yang lain.

Gan...kecewa tiada rundingan dalam BN.
Malah, beliau memaklumkan tiada sebarang rundingan atau perbincangan dibuat sebelum ini di platform Kabinet mahupun parti berhubung perkara tersebut.

“Antara sebab kita bantah dan tak setuju dengan pindaan RUU 355 ini adalah berhubung agenda di sebalik pelaksaannya selepas ini sama ada ia akan bercanggah dengan Artikel 8 iaitu hak kesaksamaan sesama rakyat,” katanya.

Seperti Seng Giaw, beliau memaklumkan bahawa pelaksaan pindaan akta tersebut bukan sahaja merisaukan MCA malah turut melibatkan seluruh masyarakat di negara ini.

Kebimbangan utama ialah  tujuan tersirat berhubung pindaan tersebut adalah bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan selepas ini.

Dengan kedudukan ini amat jelas bahawa PAS seakan-akan menyerahkan kepada BN untuk membuat penjelasan dan beban itu akan menyebabkan UMNO menerima padah dikritik oleh komponen lain dalam BN.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan pada  ‎wacana Sinar Harian semalam menjelaskan, sekurang-kurangnya terdapat tiga akta ‎yang sama dengan akta 355 di negara ini.

"Saya seorang pengamal undang-undang, saya rasa wajar mengatakan dalam negara kita ini terdapat sekurang-kurangnya tiga akta yang mempunyai 'background' yang sama iaitu pertama Akta Mahkamah Rendah 1948, Akta Mahkamah Kehakiman 1964, dan terakhir Akta Mahkamah Syariah 1965.

"Daripada ketiga akta ini saya mengabungkan sebagai akta-akta bagi tujuan yang sama, jadi saya kira sebagai ahli politik dan pengamal undang-undang  tiada apa-apa yang pelik tentang akta 355 apabila ia dicadangkan melalui satu usul ahli Parlimen bukan kerajaan,"

Ujarnya lagi, untuk meminda akta ini, tindakan ini dibenarkan oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Walaupun jarang-jarang berlaku, tetapi Speaker dan Menteri benarkan Ahli Parlimen Marang membuat usul, jadi ini adalah satu proses biasa untuk pinda undang-undang sebab itu tiada perkara yang pelik untuk menjadikan ia satu konflik atau menimbulkan satu kebimbangan," katanya.

Memanglah untuk PAS ia tidak membimbangkan, namun parti komponen BN, khususnya MCA, MIC dan Gerakan dan  pastinya juga parti komponen lain, kebimbangan parti-parti  itu memuncak apabila dakwanya wujud laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , ia adalah fasa sebelum pelaksanaan hudud di seluruh negara.

Walaupun diyakini Jakim tidak berhasrat melaksanakan hudud tetapi pada Mei 2014, laporan dalaman Jawatankuasa Teknikal Syariah Sivil secara singkatnya ia adalah cadangan hudud berfasa seluruh negara.

Jadi, dengan mengambil pendekatan dua fasa untuk melaksanakannya - iaitu (melalui) pindaan Akta 355, sudah pasti ia merisaukan parti berkenaan.

Malah, bagi MCA, ia kecewanya apabila pindaan akta itu tidak dibawa dalam Majlis Tertinggi BN agar komponen parti dimaklumkan terlebih awal.

Di pihak orang Islam pula, kenyataan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri  yang mewajibkan ahli Parlimen beragama Islam menyokong RUU 355 itu dilihat boleh menimbulkjan berbagai persepsi rakyat.

Ini kerana sekiranya ahli Parlimen beragama Islam menolak untuk menyokong, masyarakat Islam pastinya akan mengecam tindakan wakil rakyat  tersebut.

Zulkifli melalui siri Bayan Linnas: Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat menyatakan ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong manakala yang bukan Islam perlu menyokong memandangkan pindaan itu membawa ke arah kebaikan.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat,  apabila mufti mengatakan wajib, setiap Ahli Parlimen yang menolaknya nanti akan menghadapi pandangan serong atau dikecam dalam kalangan orang Islam.

“Ini kerana pandangan seseorang mufti itu akan memberi pengaruh besar kepada pemikiran masyarakat Islam,” katanya.

Mufti...wajib sokong RUU 355
Pendapat Zulkifli itu dilihat oleh  Parti Amanah Negara (AMANAH) dibuat dengan tidak melihat secara menyeluruh kerana RUU 355 atau Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 masih belum diperincikan di Dewan Rakyat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa  hairan dengan mufti berkenaan. ini kerana ia isu legislatif yang ada prosedurnya.

“Sebagai ahli legislatif, kita berbahas atas fakta, kerangka prosedur, Perlembagaan dan sebagainya. Bagaimana kamu buat pendirian tanpa kamu dengar apa Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bentang lagi?”

Katanya, kenyataan ‘wajib’ itu dibuat tanpa melihat keseluruhan isu-isu ‘legal’, prosedural yang lebih rumit daripada sekadar suruh sokong,” katanya.

Berikutan itu beliau mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan itu agar tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang.

Untuk menghilangkan kekeliruan dan ‘kekecohan’, saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri supaya diberikan kefahaman, terutamanya  kepada bukan Islam bahawa pindaan tersebut hanya melibatkan orang Islam, perlu tindakan secara bersama.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kalau kefahaman ini dapat digarap bahawa Akta 355 itu bukan hudud, bukan potong tangan, bukan potong kaki, bukan rejam, akan lebih membuka mata mereka yang ragu-ragu atau bimbang mengenainya.

Persoalannya siapa yang bertanggungjawab menerangkannya? Juga sejauh ini, apa kesan penerangan berkenaan?


Tidak wajar melengah-lengahkan penerangan mengenai RUU 355 ini kerana pada titah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-13, Mac lalu, Tuanku Abdul Halim mahu langkah-langkah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah disegerakan.