Tuesday, January 6, 2009

ROYALTI MINYAK JADI ISU PAS

Nampaknya isu wang royalti minyak akan dijadikan isu oleh PAS pada pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu.

Daripada ceramah dan gaya percakapan calon PAS, jelas perkara ini akan menjadi ibu kepada segala isu yang akan ditimbulkan pembangkang.

“Saya akan dedahkan 'pengkhianatan' Umno” kata calon PAS pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut.

Mohd Wahid yang juga ADUN Wakaf Mempelam nampaknya berminat dengan isu ini yang dianggapnya sebagai ‘rampasan’.

Beliau berjanji akan mengumpulkan semua ucapannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama ini bagi mendedahkan segala kepincangan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Sementara laporan sebuah akhbar tabloid yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tersalah pilih calon turut dijadikan bualan beberapa hari terakhir ini untuk ‘meremehkan’ Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Apa yang saya lihat dalam konteks calon ini, ia adalah spin kepada persoalan dalam PAS sendiri yang lambat untuk mengumumkan calon dan tukang spin mahu mengalih pandangan selepas PAS sebenarnya gagal memilih calon sesuai untuk meletakkannya bertembung dengan Wan Farid.

Jelas kononnya Pak Lah mahu menukar Wan Farid dengan calon lain tidak menjadi. Malah, dalam isu ini nampaknya BN sudah menang 1-0.

Dalam konteks isu Erdogan ini, PAS nampaknya tidak mampu meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak berselisih.

Bukan sekadar pada majlis memperkenalkan calon 1 Januari lalu isu Erdogan + Klon vs ulama diperkatakan tetapi pada penamaan calon pagi ini di Stadium Negeri, jelas kumpulan Erdogan – Datuk Husam Musa – tidak jelas peranannya dan Husam pun nampak bagaikan mahu menyorokkan diri.
Mana Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat)? Tidak nampak pun?

Suasana penamaan calon pagi ini jelas tidak seperti di Permatang Pauh bagi PAS. Kalau sebelum ini Nik Aziz sanggup bertongkat untuk memenangkan ‘kepala Erdogan’ – Datuk Seri Anwar Ibrahim- kali ini, Nik Aziz tidak datang.

Nik Aziz akan hanya muncul pada ceramah dijangkakan diadakan malam ini.

Jelas bagi PAS, mereka sudah kena ‘penangan’ kumpulan Erdogan kerana jika kumpulan ulama tidak hadir pada penamaan calon Anwar di Permatang Pauh, hari ini, kumpulan ulama bagaikan diboikot oleh pemimpin PAS sendiri daripada kumpulan yang menyokong Anwar.

Bagi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak member jaminan BN bersedia menjelas dan menjawab segala isu yang akan dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak menjangkakan banyak isu akan ditimbulkan pada pilihan raya kecil itu, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN, PAS dan Bebas.

Beliau berkata pada masa ini, pembangkang semakin terdesak menggunakan isu-isu nasional dan keadaan itu menunjukkan bahawa mereka sudah ketandusan isu.
“Pada pilihan raya kecil ini, isu yang mungkin menjadi tumpuan ialah isu tempatan. Bagaimanapun, jika ada isu nasional, BN sedia jawab,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu pagi ini.

Pilihan raya kecil P036 menyaksikan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ditentang calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Pilihan raya kecil Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas. Pada pilihan raya umum Mac lepas, Razali menang dengan majoriti 628 undi.

Dalam konteks royalti ini, Mohd Wahid ada menyatakan bahawa dari tahun 2000 sehingga 2005 sebanyak RM 200.34 juta wang royalti kerajaan Terengganu telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain, ia meningkat sebanyak RM 600 juta lagi sehingga tahun 2008.

Pada ceramah pengenalan calon di Gong Pauh baru-baru ini, Mohd Wahid menegaskan akan menyenaraikan segala penyelewengan dan pengkhianatan yang dilakukan oleh Umno-BN.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam berkata, beliau pernah membangkitkan beberapa usul dan sidang DUN termasuk hal yang berkaitan royalti minyak.
Namun hasrat baiknya meminta kerajaan mendedahkan secara terperinci ke mana wang royalti tersebut ‘lesap’ dan tidak menjadi realiti kerana usul beliau ditolak oleh Sidang DUN.
Hakikatnya, Kerajaan Terengganu menerima wang royalti minyak secara langsung daripada kerajaan Pusat sejak 2000, berjumlah RM6.218 bilion.

Jumlah itu, termasuk RM408.6 juta yang dibayar pada majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini dan setakat ini, Kementerian Kewangan mengesahkan sebanyak RM700 juta wang royalti minyak digunakan kerajaan Pusat untuk membina rumah oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di negeri lain.

Beliau berkata RM800 juta lagi, dibelanjakan untuk pelbagai projek pembangunan di negeri lain.
Ahmad Said berkata, kerajaan Pusat telah bersetuju menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan Terengganu dan rundingan untuk menyelesaikan beberapa perkara masih dijalankan.

Dan kerana inilah, sehingga kini kita belum menarik balik saman kerajaan Terengganu terhadap kerajaan Pusat,” katanya menjawab soalan pada persidangan DUN baru-baru ini.
Saman terhadap kerajaan Pusat berhubung isu wang royalti tersebut difailkan di mahkamah oleh PAS pada 2000 ketika memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

GELANGGANG P036 SUDAH DIBUKA


(Berita awal)
KUALA TERENGGANU: Medan sudah dibuka. ‘Perang’ sudah bermula.

Parlimen Kuala Terengganu (P036) menjadi medan pertarungan UMNO dan PAS. Yang lain tu hanya tempelan sahaja.

Setelah proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima kertas penamaan bagi tiga orang.

Pada kertas penamaan yang dipamerkan untuk proses bantahan, tiga calon tersebut ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon Pas, Abdul Wahid Endut dan calon bebas, Azharudin Mamat, 45.

Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk bertanding pada pilihan raya itu iaitu calon Bebas, Isma Airsath dan Maimun Yusuf tidak kelihatan sehingga tamat proses penamaan calon itu.

Wan Farid antara yang terawal sampai di pusat penamaan calon di stadium negeri, jam 9.05 minit pagi.

Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta kira-kira 10,000 penyokong BN tiba di perkarangan stadium sebelum masuk ke stadium tertutup bagi urusan pendaftaran calon yang mulai dibuka jam 9.00 sehingga 10.00 pagi ini.

Najib tiba di perkarangan Stadium Sultan Mahmud jam 8.35 pagi dan ketibaannya oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dan Wan Farid serta penyokong Umno, termasuk parti komponen BN.
Perarakan yang diketuai Najib bersama bendera dan sepanduk parti bergerak sejauh kira-kira setengah kilometer ke pusat penamaan calon di stadium negeri.

Mohd Wahid pula tiba kira-kira lima belas minit kemudian dengan diiringi kira-kira 8,000 penyokong parti dan Pakatan Rakyat.

Calon Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Harun @ Ab. Rahman Mohamad tidak bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Walaupun turut tiba di pusat penamaan calon pada pukul 9.20 pagi tetapi pada saat-saat terakhir membatalkan hasratnya untuk bertanding apabila tidak menyerahkan borang pencalonan.

Beliau tidak memberi alasan spesifik tetapi beliau akan menyokong calon Pas pada pilihan raya ini.

Keadaan di sekitar bandar raya, terutama jalan menuju ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri, tenang setakat jam 7.30 pagi ini.

Orang ramai mulai berkumpul di pekarangan jalan menuju ke stadium bagi menyertai perarakan calon yang bertanding kira-kira jam 9 pagi ini.

Pasukan keselamatan terutama polis dilihat berkawal di jalan utama ke pusat penamaan calon bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.