Monday, November 28, 2011

SMS UGUT BUNUH - SUP BEKAS MB TERENGGANU KENA PENJARA

Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ramzi Mohd Zubir dihukum penjara setahun selepas didapati bersalah atas empat tuduhan termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur bunuh.

Hakim Mahkamah Sesyen, M Bakri Majid, menjatuhkan hukuman tiga bulan masing-masing bagi tiga tuduhan menghantar SMS bunuh dan jumlah yang sama bagi dakwaan fitnah.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh memohon hukuman ditangguhkan sementara rayuan dibuat.

Berikutan itu, hakim membenarkan Ramzi dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin.

Dr Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dr Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Perbicaraan kes tersebut menyaksikan lebih 20 saksi memberi keterangan mereka di mana kes itu dikendalikan Hakim M.Bakri Abd.Majid.

Tertuduh diwaklili peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman manakala pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.