Monday, February 13, 2017

RM4.3 BILION – PENGURUSAN TERTINGGI FELDA ‘FLIP-FLOP’ ATAU MEDIA TIDAK BERINTEGRITI?


Misteri sungguh dengan tingkah laku pengurusan tinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengenai wang RM4.3 bilion yang dikatakan ‘lesap’.

Tidak faham bagaimana pengurusan tinggi FELDA boleh mengubah kenyataannya dengan mengatakan tidak berlaku kehilangan dana berjumlah RM4.3 bilion di dalam FELDA, berbanding sebelumnya.

Kenyataan bersifat ‘flip-flop’ FELDA dalam tempoh 24 jam – kelmarin dan semalam – sebelummnya mempersoal dan kemudian menafikan mengenai kehilangan RM4.3 bilion itu - FELDA menyalahkan beberapa portal berita kononnya ada perbuatan memesongkan kenyataan mengenai dana itu yang dibuat oleh Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Bagaimana boleh menyalahkan laporan portal berita sedangkan akhbar yang berintegriti seperti Utusan Malaysia (Utusan Online),  terutamanya Sinar Harian (Sinar Online) dan Berita Minggu edisi Terengganu juga melaporkan perkara yang sama.

Utusan Online membawa laporan bertajuk ‘Mana perginya RM4.3 bilion?’ turut melaporkan Shahrir mahu tahu bagaimana FELDA belanja dana.

Shahrir kelmarin dilaporkan menyatakan demikian mengulas mengenai tindakan yang akan diambil pihak­nya bagi mengembalikan kepercayaan semua pihak khususnya peneroka berikutan penahanan bekas Pengarah Besar FELDA oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu.

Selepas menafikan laporan awal itu, dinyatakan oleh Shahrir bahawa pihaknya mempunyai senarai yang jelas mengenai perbelanjaan baki wang sebanyak RM4.3 bilion tersebut.

Antaranya ia digunakan bagi tujuan pelaburan jangka panjang oleh FELDA di dalam dan luar negara.

Kenyataan terbaru Pengerusi FELDA itu jauh bezanya dengan apa yang diperkatakannya sehari sebelum ini melalui laporan-laporan.

Benarkah portal berita silap melaporkannya? Apakah mereka ini tidak teliti dalam laporan mereka?

Laporan Utusan Online.
Kenapa laporan sebelumnya tidak sejelas laporan semalam yang lengkap dengan fakta. atau memang benar Shahrir mengemukakan pertanyaan sedemikian pada laporan awal kelmarin?

Seperti Shahrir yang menekankan integriti, apakah media sosial dan akhbar online tidak menekankan ketepatan dan berintegriti dalam laporan mereka?

Jika portal berita silap, bagaimana dengan laporan Utusan Online dan Sinar Harian? Akhbar itu tidak berintegriti menyiarkan pertanyaan beliau bagaimana RM4.3 ‘lesap’?

Dengan mengatakan portal berita membuat silap melaporkan kenyataannya, apakah Shahril cuba menafikan kenyataannya sendiri?

Sebelum ini, Shahrir mengatakan  FELDA bukan kekurangan dana tetapi wang itu disalah guna.

Beliau mempersoalkan apa terjadi kepada berbilion ringgit hasil daripada tawaran awam permulaan FELDA Global Ventures (FGV).

“FELDA menerima RM6 bilion daripada penyenaraian FGV, iaitu dalam perniagaan hartanahnya. Daripada jumlah itu, RM1.7 bilion dibelanjakan sebagai durian runtuh.

“Kami salurkan RM15,000 kepada setiap peneroka dan keluarga mereka, dan masih ada baki RM4.3 bilion.

Jadi ke mana perginya RM4.3 bilion itu?,” katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian.

Apakah Shahrir dipaksa memperbetulkan kenyataannya selepas menggambarkan seolah-olah ada pihak ‘melesapkan wang RM4.3 juta’ itu?

Laporan Sinar Harian itu turut menyebut Shahrir sebagai berkata,  beliau percaya itulah sebabnya mengapa peneroka FELDA kecewa dengan agensi itu, dan beliau berjanji untuk memperbetulkan keadaan.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata kira-kira RM200 juta dana dibelanjakan secara tidak betul, seperti dinyatakan dalam laporan ketua audit negara.

Malah pada kenyataan awalnya, Shahrir turut mengatakan walaupun sukar mendapatkan kembali wang itu, beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan sekurang-kurangnya sebahagian wang berkenaan.

“Mustahil untuk mendapat balik RM200 juta apabila ia hilang. Dilaporkan banyak perkara dibuat tanpa kelulusan, dan tanpa mengikut protokol ditetapkan agensi itu.

“Itu sebabnya saya ditugaskan untuk cuba dan membetulkan kedudukan kewangan FELDA. Bukannya kita tidak ada wang itu, tetapi ya, ia mungkin disalahgunakan,” katanya.

Apakah portal berita dan akhbar online memandai-mandai membuat atau merekakan laporan?

Mempertikaikan kredibiliti dan integriti wartawan dan akhbar online yang mereka wakili?

Shahril dilaporkan kelmarin turut  mengakui tersangat penting untuk pengurusan baharu di bawah kepimpinannya untuk melakukan kerja dengan betul supaya mereka dapat memperoleh semula keyakinan peneroka kembali kepada agensi itu.

Atau apakah kenyataan awalnya itu dibuat pada ketika beliau sebenarnya tidak dimaklumkan atau tidak tahu apa yang beliau katakan sebagai pelaburan jangka panjang FELDA di dalam dan luar negara?

Laporan Sinar Online
Semalam Shahrir menegaskan: "Tidak ada dana yang hilang. Daripada RM6 bilion, kita telah belanjakan RM1.7 bilion kepada peneroka FELDA dengan setiap keluarga menerima bayaran sebanyak RM15,000.

"Baki sebanyak RM4.3 bilion pula antaranya dibelanjakan bagi pembayaran one off kepada kerajaan negeri Sabah sebanyak RM300 juta dan Pahang RM250 juta, pinjaman perumahan peneroka sebanyak RM400 juta, perbelanjaan pengurusan RM883 juta, selain pelaburan hartanah dalam dan luar negara, pembelian saham dan banyak lagi," katanya cuba memperbetulkan kenyataan awalnya.

Shahrir berkata nilai pelaburan RM1.438 bilion itu kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan perhotelan sebagai pelaburan jangka masa panjang yang memerlukan masa yang lama sebelum memberi pulangan.

FELDA juga dikatakan  membeli semula FELDA Technoplant Sdn Bhd dengan nilai RM38 juta dan sehingga kini jumlah kerugian yang ditanggung FELDA adalah sebanyak RM108 juta melibatkan projek Transnovasi.

Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Bahru menyatakan perkara ini dengan menyifatkan beberapa portal berita yang didakwa telah memesongkan kenyataannya berhubung dana berjumlah RM6 bilion yang diterima FELDA selepas disenaraikan di bursa saham.

Apakah perlu portal berita dan akhbar online yang melaporkan kenyataannya kelmarin membuat kenyataan maaf dan ralat?

Jika tidak benar yang membabitkan isu RM4.3 bilion ini, kenyataan silap perlu diperbetulkan.

Menjelaskan lebih lanjut semalam, Shahril memberitahu sebanyak RM1.438 bilion telah digunakan bagi pembelian pelaburan hartanah yang merangkumi pembelian hartanah di Bukit Katil, Melaka (RM304 juta), Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta), Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta), bangunan Institut Penilaian Negara (INSPEN) (RM225 juta) selain pembelian saham Iris Corporation Berhad (RM110 juta).

Shahris mengatakan tugasnya  (selaku pengerusi FELDA) adalah untuk memastikan kesemua pelaburan yang telah dilakukan FELDA berjalan mengikut perancangan, bagaimana pelaburan itu dilakukan dan memastikan pelaburan tersebut memberikan pulangan.

Bukan sekadar itu sahaja, Shahrir juga jangan membuat kenyataan ‘flip-flop’ kerana ini membabitkan agensi kerajaan dan jumlah wang yang besar.

Dengan berdiam diri dan tidak memperbetulkan laporan mereka atau meminta maaf di atas 'kesilapan kelmarin' tidakkah ini menunjukkan media sosial dan akhbar online juga mempertahankan integriti mereka.

Atau ini membayangkan laporan mereka tepat, khususnya oleh Sinar Harian yang turut dipetik beberapa portal berita dan akhbar online lain seperti themalaymailonline (gambar di bawah).


Dalam pada itu Shahril turut memaklumkan FELDA memutuskan untuk menjual sebuah hotel milik agensi berkenaan di London yang dibeli dengan harga RM548 juta pada 2012, dengan proses penjualan sedang dilaksanakan dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Tender bagi penjualan hotel berkenaan kini sedang dalam proses dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

 "Syor cadangan menjual aset pelaburan lain di London akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA yang akan berlangsung 20 Februari ini.

"Ada beberapa pelaburan lain yang akan diteliti, antaranya pembelian tanah di Bukit Katil, Melaka bernilai RM504 juta, Grand Borneo Hotel di Sabah (RM86 juta) dan Apartmen Perkhidmatan Grand Plaza di London (RM500 juta," katanya.

Adalah penting untuk media sosial dan akhbar online yang membuat kenyataan Shahrir kelmarin memperbetulkan segera laporan mereka jika ia tidak benar.

Dan jika laporan mengenai kenyataan Shahrir itu bukan tersalah petik atau bukan kenyataan dipesongkan,  sebaliknya LAPORAN BENAR (oleh media sosial dan akhbar online), mereka perlu mempertahankan kenyataan mereka demi mempertahankan INTEGRITI mereka agar tidak tercabar.

Malah akhbar online seperti Utusan Online dan Sinar Online jangan sampai hilang keyakinan kepercayaan pembaca atau pengikutnya kerana ‘sengaja memesongkan kenyataan Pengerusi FELDA’ mengenai kehilangan dana RM4.3 bilion itu.

Janganlah biarkan kedudukan pembaca yang semakin menurun itu diburukkan lagi dengan 'laporan salah dan kerja-kerja 'memesongkan' kenyataan seperti didakwa oleh Shahrir.

Hanya laporan yang benar dan penuh berintegriti akan dapat meyakinkan pembaca, termasuk dalam isu 'kehilangan RM4.3 bilion oleh FELDA' ini!!!!