Saturday, May 30, 2009

PENERANGAN BIAR ‘JELIRA’ KE BAWAH

(Isu Sabtu)

Saya tidak pasti apa jalan terbaik melakukan kerja penerangan untuk orang UMNO agar ia ‘jelira’ (dapat dirasa) hingga ke bawah.

Tetapi sebagai pekerja untuk penerangan UMNO di Ibu Pejabat UMNO antara 1999 dan 2002, iaitu ketika UMNO di serang teruk dan ramai yang berpaling dari UMNO kerana menyertai reformasi dan PAS, kerja-kerja penerangan yang dilakukan oleh dua Ketua Penerangan ketika itu – Tan Sri Mohd Yusof Nor dan Datuk Mustapa Mohamed – bagi saya usaha bersungguh-sungguh yang patut dipelajari.

Bukan sekadar menghadapi reformasi tetapi semua bentuk penerangan cara lama dan baru perlu digemblengkan kerana ketika inilah penggunaan internet mula berleluasa oleh pembangkang.
Malah, pada pilihan raya umum 1999. UMNO dan Barisan Nasional (BN) amnya ketinggalan jauh berbanding pembangkang.
Buku-buku politik juga melimpah pasaran dengan keberanian penulis tanah aiur termasuk menggunakan gelaran terhadap pemimpin-pemimpin umpamanya MAHAZALIM, MAHAFIRAUN dan bermacam lagi yang tidak pernah terfikir oleh kita.
Saya bertuah kerana mempelajari perkara baru ketika bertugas selain mengamalkan cara lama untuk digabungkan bagi menghadapi pilihan raya 1999 dan 2004.
Bukan mahu mendabik dada atau memuji kerja-kerja yang pernah dilakukan tetapi apa yang disumbangkan oleh semua kakitangan penerangan ketika itu, khususnya oleh Yusof Nor dan Mustapa Mohamed berbaloi!
Mereka berdua dengan dibantu Setiausaha Kerja UMNO ketika itu - Tengku Adnan Tengku Mansor - mereka tidak pernah putus asa menganjurkan ceramah walaupun ada ketika hanya tidak sampai sepuluh orang yang datang. Terpaksa menelan cemuhan dan sebagainya kerana ketika itu era reformasi!

Jadi apabila Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan mengatakan UMNO sedang merangka Piawaian Prosedur Operasi (SOP) sebagai garis panduan untuk menilai petunjuk prestasi utama (KPI) kepada jentera penerangan UMNO, ia sesuatu yang amat baik.

Matlamatnya untuk ‘memperbaiki kelemahan yang ada’ selain mempertingkatkan lagi gerakan.
Benar kata Ahmad, sebelum ini tidak ada satu garis panduan khusus bagi jentera penerangan UMNO terutama di peringkat cawangan.

''Ini kerana setiap aktiviti penerangan hanya berpusat kepada peringkat bahagian, negeri dan ibu pejabat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama Ketua Penerangan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian-Bahagian Pahang, malam semalam.

Bayangkan UMNO ada 62,843 jentera penerangan UMNO di seluruh negara.
Jika sekiranya diaktifkan dan menjalankan aktiviti secara terus dengan rakyat, sudah pasti mampu bersaingan sengit dengan penerangan pembangkang.

Namun, kenapa selama ini penerangan UMNO ketinggalan?

Bagi saya jawapan tetap berpusat di Ibu Pejabat UMNO.
Apapun, meratapi atau menyalahkan pihak yang sudah menjalankan kerja sebaik mungkin hanya bagaikan ada niat tidak baik kita, jika diteruskan.

Sejauh ini usaha menggerakkan kerja-kerja menjawab tohmahan sudah dilakukan, walaupun banyak usaha boleh dilakukan dengan lebih baik lagi.

Sebagai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pasti tahu banyak perkara kerana ketika saya bekerja di Ibu Pejabat UMNO, beliau ialah Setiausaha Kerja yang begitu gigih memperkukuhkan Ibu Pejabat yang ketika itu jelas moralnya agak menjunam.

Apa yang pasti, Ahmad jangan bekerja berasingan dan kakitangan bahagian penerangan jangan terpisah dengan pejabat Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja.

Bagi saya ketika ini pasukan yang ada di Ibu Pejabat UMNO boleh merangka semula program yang mampu menaikkan semula ‘semangat’ dan maruah’ UMNO.

Apa yang penting, penerangan jangan dibuat secara besar-besaran. Memanggil ke PWTC untuk isu-isu tertentu banyak menghabiskan masa dan wang. Asyik-asyik orang yang sama juga datang.

Mengumpul orang yang sama tidak ada gunanya.

Adalah lebih elok jika penerangan dibuat dalam kumpulan tidak berapa besar dan ikut segmen serta isu.

Teknologi semasa mampu menyalurkan maklumat tanpa menjemput ahli ke PWTC. Cukup jika jentera di bahagian aktif membuat penerangan untuk cawangan dan seterusnya.

Soal penting ialah isu dan penerangannya sesuai dengan keadaan setempat. Politik sekarang bersifat kepentingan dan kepimpinan setempat.

Adalah wajar jentera penerangan Ibu Pejabat memperkasakan jentera setempat dengan teknologi dan bahan penerangan yang bersesuaian dengan keadaan setempat.

Sejarah membuktikan UMNO menurun setiap sedekad dan akan kembali melantun lima tahun selepas itu.
Kajilah pilihan raya lepas umpamanya pada 1986, UMNO kuat dan menurun pada 1990 tetapi kembali kukuh pada 1995 dan menurun pada 1999. Dengan usaha gigih semua pihak dan landasan kukuh, UMNO kembali teguh pada 2004 tetapi ‘menjunam semula’ pada 2008.
Saya yakin dengan kesungguhan kakitangan penerangan dan usaha gigih Ahmad – jika dilakukan dengan pendekatan sesuai dan semasa – UMNO akan kembali teguh.
Cuma pemerhatian saya ialah, kakitangan di Ibu Pejabat UMNO, khususnya penerangan jangan ada kepentingan peribadi umpamanya mahu menduduki jawatan penting dalam parti atau bahagian.
Mereka adalah gurka, bukan calon untuk jawatan teretntu dan memperkudakan kedudukan di Ibu Pejabat UMNO untuk kepentingan diri.

Presiden UMNO perlu memilih atau ‘menggaji’ kakitangan yang memang tujuannya bekerja bukan mendapat kedudukan dalam parti jika berkhidmat di Ibu Pejabat UMNO.
Saya yakin dengan jumlah kakitangan penerangan di seluruh negeri, bahagian dan cawangan jika digerakkan bukan sahaja akan menggerakan penerangan UMNO tetapi juga menarik minat anggota baru.

Apapun, Ahmad perlu menjamin SOP benar-benar menjadi kenyataan ndan janji untuk menyiapkannya dalam tempoh sebulan lagi untuk diguna pakai terutama bagi jentera penerangan di peringkat cawangan dapat direalisasikan.

Jangan cepat memperkecilkan usaha Ahmad. Presiden UMNO pasti tahu kekuatannya, kalau tidak, tak kan Datuk Seri Mohd Najib Razak sangat yakin kepada beliau.