Monday, July 19, 2010

ISU UMNO SETIU - JANGAN DIBIARKAN BERTERUSAN

Muhyiddin bagaikan beri isyarat..."Hentikanlah pertelingkahan...UMNO yang rugi!"

Sudah-sudahlah dengan ‘Politik Jaga Hati’…

Itulah mungkin yang cuba dibuktikan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Setiu yang tidak menghadirkan diri pada mesyuarat UMNO Bahagian Setiu kelmarin.

Mendekati perasaan keempat-empat ADUN yang ‘menghilangkan diri’ pada hari mesyuarat perwaklian Bahagian Setiu, mereka sebenarnya tetap menyanjungi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Namun, bagi mereka jika sayangkan UMNO, segeralah ubati penyakit yang sedang melanda UMNO Bahagian Setiu ketika ini.

“Carilah jalan segera…ubatlah segera penyakit yang diketahui jelas puncanya,” kata salah seorang daripada ADUN yang sengaja tidak menghadirkan diri pada mesyuarat berkenaan.
“Selama mana kami mahu main politik jaga hati? Bukan kami tidak menyatakan masalah kepada pucuk pimpinan tetapi nampaknya ia tidak berkesudahan.”

Menurutnya, beliau ada menerima perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) daripada pihak-pihak tertentu yang mahukan beliau hadir pada mesyuarat itu kerana ia dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO tetapi menurutnya, mereka tidak mahu isu ini diperap atau dipendamkan begitu sahaja.

“Seharusnya ia diselesaikan segera supaya tidak berlanjutan hingga ke pilihan raya umum ke 13. Kami mahu memperkukuhkan UMNO, bukan memecahbelahkan UMNO,” demikian tegas ADUN berkenaan.

Ditanya apakah ini bermakna Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein gagal mengatasi masalah yang berlanjutan, beliau menjawab: “Terpulanglah…”

Kemelut UMNO Setiu ini sebenarnya bermula sebelum Hishamuddin mengambil alih daripada Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu lagi.

Menurut laporan teganuku. blogspot.com semalam yang memetik Berita Harian Online, empat wakil rakyat yang menzahirkan protes itu sedia bertemu pimpinan tertinggi parti bagi mendedahkan permasalahan pengurusan yang didakwa hingga menyebabkan bahagian itu berada dalam keadaan tidak sedia menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Empat ADUN termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) itu ialah ADUN Batu Rakit, Khazan Che
Mat yang juga Ketua Pemuda; ADUN Langkap, Asha'ari Idris (Timbalan Ketua Bahagian), ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh (Naib Ketua) dan ADUN Jabi, Ramlan Ali.

Menurut Berita Harian Online, Khazan yang dihubungi berkata, ketidakhadiran beliau bersama tiga lagi wakil rakyat adalah luahan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian yang diterajui Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafiee.

Tindakan ini dibuat selepas usaha mereka menyelesaikan kemelut dalaman menemui jalan buntu. Katanya, ketidakhadiran mereka sekadar luahan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian, dan mereka bersedia bertemu Presiden, Datuk Seri Najib Razak atau Muhyiddin untuk memberi penjelasan bagi menyelesaikan kemelut dalaman UMNO Setiu itu.

Ramlan dalam kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pula berkata, pucuk pimpinan UMNO Setiu tidak menunjukkan komitmen untuk menyelesaikan kemelut sehingga menjejaskan perpaduan dan kekuatan parti.

“Bagaimana UMNO nak kuat, nak hadapi PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Biar kami buat protes supaya peringkat tertinggi parti tahu masalah ini. Saya sedia dipanggil Presiden parti atau Timbalannya pada bila-bila masa untuk memberi penjelasan mengenai masalah ini,” katanya.

Asha'ari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani pula ketika dihubungi enggan mengulas dan hanya berkata: “Mesyuarat berkenaan berlangsung dengan jayanya walaupun tanpa kehadiran saya. Ketidakhadiran saya tidak mencacatkan perjalanan mesyuarat pun."

Penyakit yang melanda UMNO Setiu diketahui jelas, malah sudah dikemukakan pada pertemuan dengan Hishamuddin Hussein sendiri di Putrajaya, selain dengan Muhyiddin sendiri.

Malah, pada pertemuan kumpulan tertentu yang mengadu mengenai kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO (sebelum ditarik balik dan diserahkan kepada Hishamuddin) dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, perkara-perkara ini juga ditimbulkan.

Isunya, apa? Ia berkisar sekitar empat perkara.

Pertama, isu lantikan Penyeleras DUN sedangkan pada empat Dewan Undangan Negeri – Jabi, Langkap, Permaisuri dan Batu Rakit sewajarnya ADUN yang menang dengan sendirinya menjadi penyelaras DUN di kawasan berkenaan. Untuk apa lantikan penyelaras? Bukankah ia akan menjadi kerja yang bertindan?

Kedua, isu lantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) yang menurut kumpulan empat ADUN ini sewajarnya di bawah bidang kuasa mereka bukannya lantikan terus oleh Ahli Parlimen;

Ketiga, perlantikan anggota Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) juga sewajarnya dibuat oleh ADUN bukan oleh Ahli Parlimen; dan

Keempat, untuk apa diwujudkan Pejabat Parlimen dalam ke empat-empat DUN berkenaan sedangkan Ahli Parlimen boleh menggunakan ADUN sebagai penghubung dan jentera Parlimen.

Di pihak Ketua Bahagian Setiu pula beliau berpendapat ketidakharian empat ADUN pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Setiu Jumaat lepas itu langsung tidak menjejaskan perjalanan mesyuarat .

Baginya, ia lebih kepada masalah peribadi yang tidak seharusnya dicampur aduk dengan urusan parti.

Katanya mesyuarat itu berjalan dengan lancar apa lagi dengan kehadiran jawatankuasa dan perwakilan yang ramai. Jika menurut Jidin, ini kali kedua mereka melakukan perkara itu kerana tahun lalu, kesemua ADUN kawasan berkenaan juga tidak hadir pada mesyuarat bahagian itu tahun lalu.

"Cuma saya tidak boleh nak ulas ketidakhadiran keempat-empat ADUN berkenaan kerana mereka tidak memaklumkan kepada saya dan jawatankuasa, sebab kenapa mereka tidak hadir," katanya selepas melancarkan program Local Agenda 21 semalam.

Mohd Jidin bagaimanapun berterima kasih kepada Muhyiddin yang merasmikan mesyuarat itu dan juga semua perwakilan Umno bahagian Setiu yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas parti dengan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Amat jelas bahawa perkara ini perlu ditangani segera dan selalunya jika UMNO Bahagian menghadapi masalah, UMNO Perhubungan Negerilah yang bertanggungjawab mengatasinya.

Bagi empat ADUN ini, tidak timbul mereka memboikot persidangan.

“Kami bukan boikot. Kami tidak larang jawatankuasa atau perwakilan daripada DUN kami menghadirinya. Hanya kami berempat sahaja yang tidak hadir.

“Kami tetap sayang kepada UMNO Bahagian dan menghormati kepimpinan UMNO Negeri dan Pusat. Kami cuba mahu beritahu bahawa isu ini perlu diatasi segera. Itu sahaja, “ katanya.

Mereka mahu memaklumkan masalah ini secara terus, bukan melalui cara menjaga hati dengan hadir mesyuarat dan minum bersama.

“Soalnya kami minta masalah yang dihadapi oleh kami di DUN diatasi segera agar perjalanan parti dapat dilakukan derngan licin dan hormat-menghoirmati antara satu dengan lain. Dengan kata lain, politik jaga hati atau depan baik di belakang berperang diselesaikan segera,” kata seorang lagi ADUN.

Isu di Setiu mungkin kajian kes menarik. Namun masalah yang sama juga dikatakan berlaku di beberapa Bahagian UMNO lain.

Hishamuddin dan pihak yang bertanggungjawab untuk mengharmonikan UMNO Terengganu perlu mencari jalan segara mengkaji dan mengatasi kemelut UMNO Setiu.

Seperti yang sudah dinasihatkan oleh Muhyiddin baha ahli-ahli UMNO perlu menyelesaikan segala permasalahan dalaman dalam tempoh terdekat ini bagi mengukuhkan parti untuk membuktikan mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, kalau ada isu dan rasa tidak puas hati, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan perlu diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini.

"Ini bukan sahaja di(tujukan kepada Bahagian) Setiu, tetapi semua ahli UMNO perlu ambil perhatian," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Saujana itu Jumaat lalu.

Jika perlukan pengorbanan, lakukanlah. Kegagalan mengatasikan akan mendatangkan kesan buruk kepada UMNO Setiu dan UMNO Terengganu amnya.

Bertindaklah sebelum terlambat…

AHMAD SAID, NAJIB SENADA TEGUR WAKIL RAKYAT

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Dua minggu lalu, Menteri Besar Terengganu menegur wakil rakyat negeri itu yang 'curi tulang'.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib pula mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) agar bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kemenangan BN pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Datuk Ahmad Said merasakan tidak ada sebab untuk wakil rakyat di Terengganu merungut kerana setiap wakil rakyat di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu permasalahan rakyat di kawasan mereka termasuk untuk bantuan am dan program keagamaan.

Ini termasuk kepada wakil rakyat yang masih ‘menjauhkan diri’ daripada Ahmad Said.

Jadi tidak ada sebab apabila Ahmad Said menegur wakil rakyat Terengganu yang suka ‘curi tulang’ dan tidak turun padang, ada pihak memandang sinis.

Ahmad Said terpaksa menegur sikap segelintir wakil rakyat di Terengganu yang jarang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya.

Ini kerana sikap seperti itu bukan hanya merugikan wakil rakyat itu sendiri selain tempiasnya akan turut dirasai oleh UMNO dan BN kelak.

Ahmad Said membuat teguran kerana sedar ada segelintir wakil rakyat yang sentiasa ‘curi tulang’ dengan pelbagai alasan kesibukan.

Menteri Besar sebenarnya tidak mahu seperti wakil rakyat pembangkang yang menjadi wakil yang hanya tahu menunjuk muka 10 hari semasa kempen pilihan raya tetapi hilang dalam tempoh lima tahun.

Najib pula mahukan wakil rakyat BN supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab wakil rakyat terhadap kawasan masing-masing akan meyakinkan dan mengesahkan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kalau kita ingat tanggungjawab kita terhadap rakyat, alangkah cerianya sekiranya semua negeri dikuasai BN," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2010 di Kota Kinabalu, malam Sabtu.

Najib berkata, wakil-wakil rakyat menghargai peranan isteri masing-masing dalam menyokong dan memberi semangat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Ahmad Said pula ketika membuat teguran itu, beliau melakukaknnya dihadapan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada persidangan UMNO Bahagian Kemaman.

Ahmad Said bukan bercakap kerana mahu ‘angkat diri’.

Guru-guru, ibu bapa, murid dan orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana beliau sanggup berdiri berjam-jam untuk menyampaikan e-Book dan bantuan prakemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi lain.

"Jika saya sendiri boleh berdiri enam jam semata-mata untuk menyampaikan e-Book kepada murid sekolah dan luang masa sehingga 12 malam untuk sehari bersama rakyat, saya tidak nampak kenapa wakil rakyat tidak boleh berbuat demikian termasuk luang masa di masjid untuk sembahyang jemaah bersama rakyat," katanya.

Malah, pada setiap pertemuan dengan rakyat, pelajar universiti atau masyarakat setempat, Ahmad Said berusaha menemui orang ramai sebanyak mungkin, sama ada ketika makan atau selepas sesuatu penyampaian bantuan.