Monday, July 19, 2010

AHMAD SAID, NAJIB SENADA TEGUR WAKIL RAKYAT

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Dua minggu lalu, Menteri Besar Terengganu menegur wakil rakyat negeri itu yang 'curi tulang'.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib pula mengingatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) agar bekerja bersungguh-sungguh bagi menjamin kemenangan BN pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Datuk Ahmad Said merasakan tidak ada sebab untuk wakil rakyat di Terengganu merungut kerana setiap wakil rakyat di negeri ini telah diberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membantu permasalahan rakyat di kawasan mereka termasuk untuk bantuan am dan program keagamaan.

Ini termasuk kepada wakil rakyat yang masih ‘menjauhkan diri’ daripada Ahmad Said.

Jadi tidak ada sebab apabila Ahmad Said menegur wakil rakyat Terengganu yang suka ‘curi tulang’ dan tidak turun padang, ada pihak memandang sinis.

Ahmad Said terpaksa menegur sikap segelintir wakil rakyat di Terengganu yang jarang turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat dan hanya menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya.

Ini kerana sikap seperti itu bukan hanya merugikan wakil rakyat itu sendiri selain tempiasnya akan turut dirasai oleh UMNO dan BN kelak.

Ahmad Said membuat teguran kerana sedar ada segelintir wakil rakyat yang sentiasa ‘curi tulang’ dengan pelbagai alasan kesibukan.

Menteri Besar sebenarnya tidak mahu seperti wakil rakyat pembangkang yang menjadi wakil yang hanya tahu menunjuk muka 10 hari semasa kempen pilihan raya tetapi hilang dalam tempoh lima tahun.

Najib pula mahukan wakil rakyat BN supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.

Perdana Menteri berkata, tanggungjawab wakil rakyat terhadap kawasan masing-masing akan meyakinkan dan mengesahkan sokongan rakyat terhadap BN.

"Kalau kita ingat tanggungjawab kita terhadap rakyat, alangkah cerianya sekiranya semua negeri dikuasai BN," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2010 di Kota Kinabalu, malam Sabtu.

Najib berkata, wakil-wakil rakyat menghargai peranan isteri masing-masing dalam menyokong dan memberi semangat untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik.

Ahmad Said pula ketika membuat teguran itu, beliau melakukaknnya dihadapan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada persidangan UMNO Bahagian Kemaman.

Ahmad Said bukan bercakap kerana mahu ‘angkat diri’.

Guru-guru, ibu bapa, murid dan orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana beliau sanggup berdiri berjam-jam untuk menyampaikan e-Book dan bantuan prakemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi lain.

"Jika saya sendiri boleh berdiri enam jam semata-mata untuk menyampaikan e-Book kepada murid sekolah dan luang masa sehingga 12 malam untuk sehari bersama rakyat, saya tidak nampak kenapa wakil rakyat tidak boleh berbuat demikian termasuk luang masa di masjid untuk sembahyang jemaah bersama rakyat," katanya.

Malah, pada setiap pertemuan dengan rakyat, pelajar universiti atau masyarakat setempat, Ahmad Said berusaha menemui orang ramai sebanyak mungkin, sama ada ketika makan atau selepas sesuatu penyampaian bantuan.

No comments:

Post a Comment