Friday, April 29, 2016

TENGKU SHARIFFUDDIN, KALAU ‘EMO’ PUN BIARLAH BERTEMPAT...


Saya sangat menyokong apabila Setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata “kini tiba masanya Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak report (SR) dipanggil berikutan kempen mereka yang bersifat dendam terhadap Malaysia.”

Tengku Sariffuddin berang kerana menurutnya selama sebulan, kedua-dua penerbitan itu “secara jahat” melaporkan bahawa Perdana Menteri melantik Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang kononya ‘sekutu beliau yang mempunyai kaitan dengan 1MDB’ untuk menjadi Gabenor baharu Bank Negara Malaysia walaupun pada hakikatnya, tiada keputusan dibuat mengenainya ketika itu.


Katanya lagi, kedua-dua penerbitan itu kemudian melaporkan bahawa Perdana Menteri membuat ‘Pusingan U’ berikutan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor baharu bank pusat itu, dan mereka-reka cerita dengan mendakwa bahawa sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani watikah pelantikan Irwan, dan dipujuk supaya menukar nama yang dicalonkan.

Kesian, nama Yang di-Pertuan Agong – yang ada kuasa melantik – dan tidak ada kena mengena dipalitkan dalam isu ini.


Persoalannya, selain akhbar luar negara, bagaimana akhbar dalam talian seperti Malaysiakini, The Malay Mail Online, dan sebelum ini The Malaysian Insider serta blogger dalam negara turut mendedahkan isu ini, apakah mereka terlepas?

Apakah mereka juga akan dipanggil? Bagaimana dengan Malaysiakini dan Dato’ Zaharin Mohd Yasin?

“Wall Street Journal tidak berbohung didalam kenyataannya bahawa ada u-turn dalam perlantikan Gabenor, cerita itu datang dari orang dalam juga, maknanya ada orang dalam pecah rahasia. Bukankah kabinet melalui sidang mingguan telah berbincang nama si pulan itu untuk dilantik menjadi Gabenor tetapi di tolak oleh anggota kabinet, baru ditukar nama yang di telah dilantik itu. Baru surat dihantar utk perkenan YDP Agong, makanya pandangan ahli kebinet di dengar. Apa salahnya mengaku nama sipulan memang dinamakan tetapi di tukar oleh ahli sidang kabinet.”


Saya yakin Zaharin mendapat maklumat yang agak sahih kalaupun tidak 100 peratus sahih. Yang menariknya beliau mendakwa ‘orang dalam pecah rahsia’. Orang dalam Kabinet, maksud Zahrin.

Ini bermakna bahawa ada anggota Kabinet yang tidak gemarkan orang tertentu yang dicalonkan sebagai Gabenor Bank Negara. Biasalah tu, lepas mesyuarat terus ada gosip dan bisik-bisik.

Kembali kepada cadangan Tengku Sharrifuddin, dipanggil untuk apakah media berkenaan? Meminta mereka mengaku mereka ‘bersalah’? meminta mereka mengaku sudah mengaibkan Yang di-Pertuan Agong?

Yang nyata, berita-berita mengenai pelantikan pengganti Tan Sri Zeti  Akhtar Aziz bersifat spekulasi. WSJ dan SR sepatutnya tidak dituduh  cuba mengaibkan Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang berlaku sebelum ini ialah ramalan siapa akan dilantik untuk menjadi Gabenor Bank Negara. Itu sahaja.

Malah Reuters pada 31 Januari 2016 , lebih awal daripada laporan WSJ berkata: “Mohd Irwan was one of candidates short-listed for the job along with deputy central bank governor Muhammad Ibrahim, the minister in the Prime Minister's Department in charge of Economic Planning Abdul Wahid Omar and the Malaysian ambassador to the U.S. Awang Adek Hussin.”


Kenapa Reuters tidak dijadikan mangsa kemarahan, dan kemarahan hanya ditumpukan kepada WSJ dan SR? Apakah kerana kedua-dua membuat banyak ‘onar’ dalam isu 1MDB yang menghantui Pejabat Perdana Menteri (PMO) sekarang?

Dengan mengatakan WSJ dan SR sengaja mahu mengaibkan nama baik Yang di-Pertuan Agong, juga sebagai menyerang Malaysia adalah tuduhan semata-mata.

Malah  menurut Zaharian: “WSJ tidak menghina yang di Pertuan Agong Malaysia, yang menghina Yang Di Pertuan Agong ialah PMO, menghantar nama Gabenor Bank Negara sebelum di putuskan oleh sidang Kabinet, sehingga meminta balik surat yang tercepat hantar dengan dihantar surat dengan nama yang di setujui oleh Kabinet. Jangan berbohonglah.”


Dakwaan bahawa surat tercepat hantar perlu dinafikan oleh Perdana Menteri atau Menteri yang bertanggungjawab perlu menjelaskan dakwaan ini. Ini kes berat dan memalukan Kabinet.

Juga PMO yang memandai-mandai menghantar surat sebelum keputusan Kabinet juga perlu menafikan dakwaan Zaharin.

Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Tengku Sharriffudin sejauh ini, kenapa sampai begitu sekali ‘emonya’ Tengku Sharifudin dalam isu ini?

Tengku Sariffuddin turut berkata WSJ dan SR tidak mampu memberi walaupun secebis bukti bagi menyokong laporan mereka kerana ia dibuat dengan tidak berasaskan fakta, tetapi semata-mata berdasarkan sumber tidak dikenali, yang mungkin tidak langsung wujud.

Benarkah mereka tidak ada sumber? Siasat siapa ‘hantu raya’ yang dibela oleh WSJ di PMO atau dalam kerajaan, sebelum menghemburkan kemarahan kepada pembangkang.

Bagi saya, kenyataan Tengku Sariffuddin sendiri mendedahkan faktor kemarahannya apabila mengatakan: "..mereka hanyalah satu lagi proksi bagi Kempen Anti-Najib Tun Mahathir, yang pembohongannya diterima dengan begitu mudah oleh WSJ dan SR.”

Namun, membaca apa yang ditulis oleh WSJ, jelas ia hanya sebagai berita ramalan dan tidak pernah pun menyebut apa-apa berkaitan Yang di-Pertuan Agong.

Mereka pun faham, akhirnya Yang di-Pertuan akan melantik selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

Tidak pasal-pasal, Istana Negara terpaksa membuat penjelasan bahawa: ” Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan hanya satu nama bagi jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM). Dimaklumkan, tidak ada nama lain selain daripada penama tersebut telah diangkat untuk diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.

"Bagi maksud yang dinyatakan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menandatangani pelantikan tersebut pada Selasa, 26 April 2016," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wira Awang Kecik Abdul Rahman dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Emo, Emo jugak, namun emo bertempatlah sahabatku!