Thursday, August 20, 2009

CALON PAS GELAPKAN RM600,000?

Kenapa Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mahfuz Omar (yang dikatakan juga pernah menerima wang daripada pemimpin UMNO) jadi gelabah sehingga meminta penulis blog buktikan calonnya gelapkan RM600,000.

Sebagai orang yang bertanggungjawab membuat pendedahan calon Barisan Nasional (BN), Mahfuz sepatutnya juga bertanggungjawab menyiasat bakal calonnya itu.

Calon PAS mesti bersih, tidak sama dengan calon UMNO sebab dia mewakili parti Islam. Jangan ada cacat celanya.

Sewajarnya PAS terbuka dan menyiasat sedalam-dalamnya dakwaan berkenaan. Siasat juga sumber PAS yang memberikan maklumat.

Mahfuz jangan hanya Nampak kuman di seberang lautan tetapi gajah depan mata seolah-olah tidak wujud.

Sepatutnya PAS siasatlah sendiri calonnya dan jangan asyik minta calon BN sahaja yang patut menarik diri.

Malah kemaskini blog berkenaan pada pukul 3.47 petang ini, penggendali blog berkenaan berkata: “ Saya baru mendapat pengesahan dari RBF bahawa Mujahid Yusuf Rawa sendiri telah mengesahkan yang calon PAS Salleh Man memang ada mengambil duit tersebut!”

Kenapa Mahfuz jadi tidak sedap duduk apabila pendedahan dibuat terhadap calon PAS dengan menyifatkan penulis blog itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak berani tampil untuk membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa sekiranya perkara itu benar.

Mahfuz berkata kalau ada mana-mana pemimpin Umno atau Barisan Nasional (BN) berani menyatakan Mohd Salleh mengelapkan wang, mereka juga harus tampil dengan bukti.

"Kalau mereka ada bukti, silalah buat kenyataan di mana-mana tempat khususnya di Permatang Pasir sebelum hari pengundian 25 Ogos ini," katanya.

Mahfuz jadi gelabah selepas pendedahan dibuat oleh sebuah blog dan saya memetik sebuah blog lain yang melaporkan seperti berikut:

Sungguh tak disangka! itulah yang boleh saya sebutkan selepas saya menerima satu sms dari seorang journalist yang pernah bekerjasama dengan pihak PAS dan mengetahui tentang cerita dalaman PAS!

Anda nak tahu sms ini berkenaan apa? Begini, dalam sms tersebut ada menyatakan yang calon PAS iaitu saudara Salleh Man pernah menyapu duit sebanyak rm60 ribu semasa pilihanraya di Permatang pauh tempohari. Perkara ini juga diketahui oleh MujahidYusuf Rawa dan bekas Pesuruhjaya PAS Penang, Zulkifli Lazim.

Bukan setakat itu sahaja, dia juga dikatakan pernah menggelapkan duit dari projek sekolah pintar PAS dan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun syarikatnya sendiri, bagaimana dia melakukannya masih terus menjadi misteri hingga ke hari ini.

Kepada pihak PAS, cerita-cerita ini sedang tersebar di kalangan ahluL-ahlul PAS, tetapi seperti biasa PAS akan menafikan kisah sebegini, namun kali ini penafian sahaja tidak cukup, apa kata calon PAS pun membuat penjelasan sepertimana yang telah di buat oleh saudara Rohaizat!

Walaupun syurga milik PAS, tetapi bilamana cerita seperti ini sudah tersebar, rakyat berhak untuk mengetahui perkara sebenar, ini adalah satu tuduhan yang serius, kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang bukan?

Saya harap BAR Council dan Harris Ibrahim boleh membantu PAS untuk menerangkan kepada rakyat mengenai isu ini, ini sudah kira isu pecah amanah ni, kami rakyat marhaen inginkan kepastian, Ingat, sekadar menafikan sudah tidak boleh diterima lagi! Buktikan!

WAHAI AHLI PAS! SEKURANG-KURANGNYA JUJURLAH KEPADA DIRI SENDIRI!

Mahfuz boleh menuduh penggendali blog berkenaan tidak bertanggungjawab dan bersembunyi di sebalik blog yang tidak bernama tetapi PAS sewajarnya turut siasat calonnya.

Mahfuz seterusnya mencabar: "Kalau mereka berani, mereka harus tampil atau buat aduan kepada mana-mana pihak sama ada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuduhan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beberapa laporan, termasuk blog "bigdogdotcom" yang disiarkan hari ini menyebut semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh tahun lalu, seorang pemimpin Pas Pulau Pinang membangkitkan kononnya peruntukan jentera pilihan raya parti itu sebanyak RM600,000 digelapkan Mohd Salleh.

Laporan blog itu menyebut kononnya dakwaan itu dibuat sendiri oleh Naib Pesuruhjaya Pas, Pulau Pinang Mujahid Yusof Rawa dan bekas Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Zulkifli Lazim.

Sementara itu, Mahfuz berkata Pas akan membuat satu lagi pendedahan berhubung salah laku calon BN Rohaizat Othman, 38.

Mahfuz berkata pendedahan baru itu adalah berkaitan perkara yang dilakukan Rohaizat semasa masih bersama firma guamannya.

Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, BN, yang diwakili Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat akan berdepan dengan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Salleh Man, 52.

Seramai 20,290 pemilih layak mengundi Selasa ini bagi memilih pengganti kepada Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63 daripada Pas yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu akibat sakit jantung.

CARA GANGSTERISME SEKAT SIASATAN

Sudah sampai masanya polis menggunakan kuasa sewajarnya. Jangan biarkan kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka cuba diugut atau dianianya.

Perbuatan yang mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) rosak dipercayai akibat dibaling Molotovt cocktail tidak boleh ditolakansur lagi.

KETUA Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop memeriksa kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang rosak dipercayai akibat dibaling Molotovt cocktail di pejabat SPRM Klang di Jalan Kota, Klang hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat secara terperinci insiden itu.

"Ada banyak perkara yang berlaku di negeri itu pada masa ini dan kita akan bekerjasama rapat dengan SPRM dan pihak-pihak yang berkaitan.

"Kita berharap orang ramai akan tampil membantu siasatan," katanya.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof pula berkata, insiden itu dipercayai berlaku antara pukul 2 dan 3 pagi dan semasa kejadian tiada sesiapa yang melihat atau berada di sana.

"Bagaimanapun, polis percaya suspek menuruni tebing di bahagian belakang bangunan itu dan melontarkan bom berkenaan daripada luar pagar. Kenderaan itu terkena percikan api (daripada letupan) dan mengenai sisi serta tayar depan sebelah kiri kenderaan," katanya.

Amat jelas unsur gangsterisme cuba diperkenalkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyekat siasatan dan dengan menjadikan kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah permulaan kepada tindakan lain yang lebih kejam.

Pegawai SPRM yang datang ke pejabat mereka di bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Klang Lama di Klang pagi tadi mendapati bahagian hadapan kenderaan Nissan X-Trail yang sering digunakan oleh pegawai penyiasat SPRM telah rosak.

Pegawai SPRM menyifatkan ia sebagai "tindakan pengecut" dan percubaan untuk menakut-nakutkan Suruhanjaya itu daripada menjalankan siasatan terhadap ahli-ahli politik dan orang-orang perseorangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamad berkata, pegawainya akan membuat laporan kepada pihak polis Klang berhubung insiden itu.

"Kita tidak akan berundur daripada penyiasatan kita hanya kerana insiden ini.

"Ini hanya menunjukkan mereka yang terlibat dengan rasuah berasa bimbang dan cuba untuk menakut-nakutkan kita dengan melakukan tindakan jenayah.

"Biar polis menyiasat jenayah ini sementara kita di SPRM akan meneruskan siasatan kita untuk memerangi rasuah," katanya.

JIKA SAYA SEORANG BUKAN ISLAM

Ikhlas saya katakan, saya sedang berusaha memujuk seseorang bukan Islam – bukan dari Malaysia – untuk memeluk Islam.

Dia seorang anak muda yang bijak, berkelulusan tinggi, profesional dan sedang mempelajari Islam secara universal – bukan Islam cara Malaysia.

Membaca dan cuba memahami situasi politik di Malaysia, dia mengemukakan persoalan:

“Apakah ada perbezaan dalam konteks Islam Malaysia dan Islam universal?”

Kenapa dia bertanyakan sedemikian?

Ini kerana dia merasakan seolah-olah Islam di Malaysia bukan Islam seperti dipraktikkan oleh orang Islam di negaranya.

Saya terpaksa menjawab perbezaannya memang ada dan banyak.

Jika saya bukan Islam, saya pun akan bertanya soalan serupa.

Islam universal mungkin perbezaannya disebabkan oleh mazhab tetapi di Malaysia, walaupun mazhabnya Shafie tetapi “Tok Guru” yang ada melebihi Shafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Mereka mengeluarkan fatwa mengikut selera dan kefahaman atau pengalaman mereka sendiri.

Lebih memburukkan, “Tok Guru” ini kebanyakannya mempunyai pendirian politik yang kuat. Sesetengahnya memimpin parti politik.

Parti politik berjuang untuk kuasa. Untuk mendapatkan kuasa, manusia boleh melakukan
Maka jadilah Islam Malaysia ditentukan oleh pemimpin politik.

Ada Islam yang boleh masuk syurga dan ada Islam yang tidak boleh masuk syurga. Walaupun Allah itu satu dan al Quran itu satu serta Nabi Muhammad s.a.w. itu satu dan hadis-hadis sahihnya diyakini, namun belum pasti orang Islam – sama ada dari UMNO, PKR, DAP atau Bebas boleh masuk syurga.

Ia ditentukan oleh pasport yang dikeluarkan oleh PAS.

Siapa yang tidak masuk PAS, mereka tidak akan dapat pasport berkenaan dan tidak terjamin mereka boleh lepas Siratulmustaqin.

Sejak 1959 hingga kini Islam Malaysia ditentukan oleh parti politik.

Jika mengikut PAS, keIslaman seseorang lebih mulia dan jika tidak ikut PAS, Islam seseorang ‘kurang sempurna’ dan mungkin terjerumus ke neraka.

Islam universal?

Islam yang diterima oleh seluruh umat Islam sedunia yang yakin semuanya akan masuk syurga sekiranya beramal dengan ajaran ditetapkan – menerima dan mengamalkan Rukun Islam yang lima serta yakin dan beramal dengan Rukun Islam yang enam.

Lantas pemuda berkenaan bertanya kepada saya, apakah apabila dia memeluk Islam dan tidak menyertai PAS, amalannya diterima?

Saya bukan “Tok Guru” tetapi saya penuh yakin bahawa walaupun tidak menyartai PAS, kebaikan dan amalannya diterima Allah S.W.T. kerana pada asasnya bukan PAS yang menentukan syura dan pahala. Allah jua yang menentukan nasib dan kedudukan keIslaman seseorang.

Setidak-tidaknya, semalam apabila Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin mengatakan dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk syurga atau akan ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam, saya boleh memberikan jawapan dengan jelas jika ditanya esok atau lusa oleh anak muda berkenaan.

Jelas sudah, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah menetapkan bahawa ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu.

Lebih jelas lagi, pendirian ini telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Raja-Raja Kali ke-188 pada pada 21 hingga 23 Mac 2001 dan menambah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun membincangkan isu itu sejak tahun 2000 lagi.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga berpendapat bahawa sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Shukor mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dua hari lepas .

Selesai persoalan pertama, walaupun saya yakin akan ada lagi kenyataan balas daripada pemimpin PAS itu yang akan mempertahankan pendiriannya. Paling tidak ‘menegakkan benang basah’.

Timbul pula persoalan kedua.

Jika Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menyifatkan kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS kononnya ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa seseorang Muslim ke syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, apa tindakan yang sewajarnya dilakukan?

Saya bukan bermaksud menangkap atau mengurung “Tok Guru” berkenaan. Tetapi jika Ayah Pin diburu atau sesiapa juga yang ‘mengajar ajaran salah’ dikenakan tindakan, apa pula bentuk tindakan terhadap Nik Aziz?

Cukup sekadar menyatakan jawatankuasa berkenaan sebenarnya sudah membincangkan isu itu sejak tahun 2000 dan memutuskan ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah?

Sudah jelas bahawa "Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, “ jadi apa tindakannya?

Apakah cukup hanya sekadar nasihat yang berbunyi “umat Islam terutama mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai Islam dinasihat berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara yang tidak betul atau bida'ah yang boleh mengelirukan dan memecahkan umat Islam.

"Kepada orang ramai, saya ingin nyatakan bahawa dalam ajaran Islam sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka kecuali Allah S.W.T sahaja yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.”?

Majlis Fatwa boleh menasihat dan berharap sebagai tokoh dan arif mengenai agama, Menteri Besar Kelantan perlu membetulkan pandangannya bagi mengelakkan kekeliruan timbul di kalangan umat Islam.

Tetapi kesan besar terhadap Islam itu sendiri perlu difikirkan.

Pertama, jika saya bukan Islam, saya melihat Islam ini sebagai suatu agama yang bercelaru dan boleh dibuat tafsiran begitu sahaja oleh orang yang mengaku arif dalam agama;

Kedua, Majlis Fatwa tidak mempunyai kuasa ‘memperbetul dan membendung fatwa atau ajaran salah’ kerana yang mengeliru dan membuat tafsiran salah mengenai Islam bebas sebebasnya; dan

Ketiga, kalau saya bukan Islam, saya akan menjauhi Islam Malaysia kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan Islam atau mengemukakan pandangan tertentu demi kepentingan politik dengan membelakangkan Majlis Fatwa, mufti-mufti dan sebagainya.

Tidak guna kita melabelkan Mursyidul Am PAS itu sudah berada di tahap ekstrem serta boleh disamakan dengan kaum Khawarij pada zaman kegemilangan sejarah Islam kerana ia tidak memberikan kesan apa-apa.

Yang diharapkan jika mufti dan majlis fatwa tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kerajaan membiarkan kegiatan menyebarkan ‘fatwa salah’ ini berterusan yang menyebabkan orang Islam di Malaysia semakin keliru, institusi pelindung agama Islam – Majlis Raja-Raja Melayu - hendaklah berbuat sesuatu bagi membendung atau menyekat perbuatan ini.

Jangan biarkan ‘seorang (bukan seekor) kerbau membawa lumpur’ dan Islam di Malaysia terpalit!

TAHNIAH DR ZAINI UJANG – PENERIMA ANUGERAH MERDEKA 2009

Tahniah untuk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Zaini Ujang kerana menjadi penerima termuda Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Ia diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Mohd Hassan Marican, pada satu majlis semalam.

Zaini adalah penerima sulung anugerah bagi kategori berkenaan selepas tidak ada individu menerimanya dalam edisi pertama Anugerah Merdeka yang lalu.

Mohd Hassan berkata, pemilihan Zaini dibuat berdasarkan kajian dan sumbangan beliau dalam pengurusan bekalan air, perparitan, pemuliharaan sungai dan ekologi bidang industri.

"Selain menjadi Naib Canselor termuda pada usia 44 tahun, Zaini turut terbabit secara langsung sebagai penasihat teknikal dalam rundingan tuntutan Selat Tebrau antara Malaysia-Singapura, perunding utama program pemulihan sungai di Johor Bahru dan Felo Institut Kejuruteraan Kimia, United Kingdom.


"Beliau sudah mendaftarkan 20 harta intelek yang dimiliki bersama dengan pelajarnya dan mengkomersialkan enam daripadanya yang kini digunakan di seluruh dunia.

Mohd Hassan turut mengumumkan Tun Dr Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Gan sebagai penerima bersama Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti sebagai menghargai sumbangan mereka dalam memperjuangkan hak wanita di dalam negara, serta Profesor Dr Halimaton Hamdan menerima Anugerah Merdeka bagi kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi atas kejayaan beliau membangunkan dan mengkomersialkan Maerogel yang digunakan di seluruh dunia.

Sebagai sahabat lama, saya turut bangga dengan anugerah kepada beliau. Tahniah sekali lagi.

AWAS BLOG DAN LAMAN WEB YANG MENGHASUT

Menunggu tindakan tegas Hishamuddin.

Di Kuala Terengganu semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menegaskannya.
Namun tiada akhbar yang memetiknya, kecuali The Star.

Mungkin tidak berpuas hati dengan mesej yang mahu disampaikan apabila akhbar dan agensi berita menumpukan kepada isu lain, beliau mengulanginya hari ini.

Hari ini melalui kenyataannya, Menteri Dalam Negeri itu mengulangi sekali lagi bahawa kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Datuk Seri Hishammuddin berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada.

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi.

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi.

Beliau menegaskan sedemikian selepas satu mesyuarat khas antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketiga-tiga pihak ini diberikan tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Mesyuarat yang pengerusikan Hishamuddin petang ini diadakan bersama Menteri di JPM Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Isu-isu yang dibincangkan antaranya usaha penyelarasan tindakan dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara (JPN) bagi memudahkan tindakan bawah Akta Hasutan.

"Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah," kata Hishammuddin.

Mesyuarat juga mendengar taklimat daripada polis mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak penasihat undang-undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).