Showing posts with label blog. Show all posts
Showing posts with label blog. Show all posts

Wednesday, April 23, 2014

TUKAR MB - KENAPA MELATAH & PALITKAN NAJIB DALAM ISU CALON PRU-13 T'GANU?


"Isunya ialah Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) belum berkata apa-apa mengenai andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat dan kolumnis itu pun tidak menyebut secara khusus Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah ada blog dan laman web yang bercakap mempertahankan Ahmad Said?"

Kebanyakan persoalan yang ditimbulkan beberapa blog memperkatakan mengenai perkhabaran bahawa Ahmad Said akan digugurkan berkisar sekitar isu kemerosotan keputusan Pilihanraya Umum ke 13 yang diadakan pada Mei 2013.

Kedatangan tarikh 11 Mei 2014 yang menggenapkan setahun Ahmad Said menjadi Menteri Besar penggal kedua bagaikan sesuatu yang menakutkan kepada banyak pihak, terutmanya penyokong kuat dan yang rapat dengannya.

Tarikh itu seolah-olah suatu mala petaka bagi Ahmad Said, apalagi selepas adanya spekulasi oleh Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Lebih membimbangkan pihak tertentu yang mahukan Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar ialah adanya cakap-cakap bahawa Ahmad Said pernah menandatangani satu surat kononnya ‘surat meletakkan jawatan dengan tarikh terbuka’ yang boleh diisikan tarikh pada bila-bila masa.

Ia mungkin benar, mungkin tidak. Atau mungkin khabar angina semata-mata!

Dalam mengulas isu penggantian Menteri Besar ini, ada blog yang menimbulkan isu pemilihan calon pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Menurut mereka, Ahmad Said yang dikatakan tidak berkuasa 100 peratus terhadap nama calon yang bertanding pada PRU lalu.

The Selangor Chronicle misalnya menyebut: “Senarai nama-nama calon PRU-13 Terengganu akhirnya menunjukkan bahawa percaturan di Terengganu sebenarnya lebih merugikan berbanding keinginan untuk menguasai negeri tersebut. Perubahan pada saat-saat akhir dan ketiadaan kuasa pada Menteri Besar Terengganu yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri, menunjukkan bahawa ada pihak yang masih bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar negeri itu.

Pertelingkahan itu masih berpanjangan sehingga sekarang. Individu berkenaan menggunakan kesempatannya rapat dengan Perdana Menteri untuk 'memberi nasihat' tentang penyingkiran Mat Said yang dikatakan tidak mampu menyatukan UMNO Terengganu.”


Cakap-cakap seperti ini yang menuding kepada seseorang, selain seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu lemah dan berpandukan nasihat seorang individu adalah ‘tidak menggambarkan keadaan sebenar’.

The Unspinners pula menyebut, ketika Ahmad Said bertemu Najib  untuk bincang senarai calon, dia dikatakan membawa calon yang mana telah dijalankan survey dan risikan latarbelakang.

Sebaik sebalik sahaja dia masuk (masuk di mana?), Ahmad Said diberitahu ‘senarai Terengganu tak perlu nak bincang dan sudah siap’.

Maka Ahmad Said tidak dapat buat apa-apa dan pertemuan itu memakan masa 15 minit saja

 “Jika Ahmad Said mahu dikambing hitamkan, ianya satu ketidak adilan kerana bukan dia yang patut dipersalahkan hingga majoriti Terengganu hanya tinggal dua kerusi…” demikian kata blog berkenaan.

Rasional yang diperkatakan The Unspinners itu berasaskan bahawa cadangan calon yang bertanding di Terengganu itu pastinya datang daripada seseorang yang telah menasihati Perdana Menteri dan bukan Perdana Menteri sendiri.

“Harus diingat bahawa PM yang membuat keputusan tentang senarai calon dan bukan Ahmad Said atau Penasihat,” kata The Unspinners.

Malah laman TerengganuToday yang dikenal pasti sebagai laman yang ada kaitan langsung dengan pemimpin tertentu di Terengganu memetik sepenuhnya tulisan The Unspinners mengatakan ‘tindakan menyingkir Ahmad Said kerana keputusan piihanraya umum pun tidak bijak kerana pihak yang mengetahui tahu bahawa salahnya adalah PM dan akan timbul desas desus kata PM pun patut diguguran kerana tidak dapat 2/3 Parlimen dan kekalahan Selangor lebih teruk”.

Kenyataan itu bersifat amaran terhadap Perdana Menteri dengan mengatakan, “ yang buat silap bukan Ahmad Said dan jangan pula Menteri Besar Terengganu dipersalahkan”.

Isunya ialah Najib belum berkata apa-apa dan andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat pun tidak menyebut secara khusus nama Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah blog-blog berkenaan bercakap mempertahankan Ahmad Said? 

 
Berkaitan isu calon ini yang andaiannya dibuat secara pukal, baik diteliti secara satu persatu kawasan-kawasan yang kalah, apakah ia kerana Najib.

Pertama – Kuala Terengganu – Parlimen ditandingi Mohd Zuber Embong, DUN Ladang, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, DUN Batu Buruk oleh Datuk Mat Jusoh, DUN Bandar oleh penyandang, Toh Chin Yau dan DUN Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Kedua – Dungun – Parlimen ditandingi oleh Datuk Rosli Mat Hassan, Bukit Besi oleh Roslee Daud, Ajil oleh Ghazali Taib, Rantau Abang oleh penyandang Datuk Za’aba Mohd Adib, Paka oleh Mautulidi Mat Jusoh dan Sura, Zakaria Ali.

Ketiga – Marang - Parlimen oleh Datuk Yahya Khatib, DUN Pengkalan Berangan oleh Abdul Latif Awang, DUN Alor Limbat oleh penyandang, Alias Abdullah, DUN Rhu Rendang oleh Nik Dir Wan Ku dan DUN Bukit Payung, Zaidi Muda.

Keempat - Kuala Nerus – Datuk Nasir Ibrahim Fikri mempertahankan kerusi Perlimen,DUN Bukit Tunggal Ismail Nik, Ahmad Razif Abdul Rahman mempertahankan DUN Seberang Takir, DUN Tepuh Ramli Nuh serta DUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said sebagai penyandang.

Kelima - Kuala Berang – Parlimen oleh Datuk Jailani Johari (kanan), DUN Telemong oleh penyandang Rozi Mamat, DUN Kuala Berang oleh penyandang Tengku Putera Tengku Awang dan DUN Manir oleh Yusuf Awang Hitam.

Keenam - Kemaman – Yang berubah hanya di Cukai apabila Datuk Mohd Awang Tera digantikan dengan Datuk Wan Mohd Nizam Wan Abdul Hamid, sebaliknya kalah.

Ketujuh -  Setiu - Semula calon dikatakan ditentukan oleh Ketua Bahagian dan semuanya menang, termasuk calon Ahli Parlimen iaitu Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang kalau mahu dikatakan ‘orang Najib’ pun kita boleh terima.

Calon pilihan Najib yang kesemuanya muka baru, kecuali bekas Ahli Parlimen Datuk Mohd Jidin Shafie (kiri) yang bertanding di DUN Permaisuri, semuanya menang.

Kelapan - Besut - Semua calon adalah orang Datuk Seri Idris Jusoh yang dipersetujui Najib , termasuk Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar di DUN Kuala Besut, Pehemi Yusof (DUN Jerteh) (kanan), Nawi Mohamad penyandang di DUN Hulu Besut dan di DUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, semuanya menang. Idris menang di Parlimen.

Jika dilihat kepada warna biru di atas iaitu calon yang boleh dianggap sebagai calon Najib, berapakah yang kalah? Tidakkah calon pilihan Najib di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu semuanya menang?

Sementara calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu (bertanda merah) semuanya kalah, kecuali Roslee Daud, Ghazali Taib dan Abdul Latiff Awang.

Sementara calon tajaan Perhubungan UMNO Terengganu yang mempertahankan jawatan yang menang selain yang kalah di DUN Rantau Abang, DUN Tepoh, DUN Alor Limbat dan DUN Tepuh ialah di DUN Seberang Takir, Kemasik, Ayer Puteh, Telemong dan Kuala Berang.

Jadi kalau mahu membuat andaian mengenai pemilihan calon yang dikatakan ada campur tangan daripada Najib yang dikatakan sebab kalah, rasanya tidak logik sama sekali.

Janganlah mudah untuk menyalahkan Perdana Menteri dalam isu pemilihan calon ini kerana ada calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu yang dicadangkan oleh Ketua Bahagian yang boleh dianggap sudah ‘expired’ pun tetap bertanding. Salah Najib juga?

Sementara ada kawasan yang dicampurtangan oleh Ketua Bahagian dan dipersetujui oleh Perhubungan UMNO Terengganu termasuk di Parlimen mengalami kekalahan. Kesilapan percaturan sebegini pun mahu disalahkan kepada Najib?

Kita berharap Perhubungan UMNO Terengganu kena belajar mengambil tanggungjawab dan bersedia mengatakan kelemahan mereka.

Malah kekalahan di begitu banyak kawasan sepatutnya menyebabkan beberapa orang penting yang menjalankan survey, kajian strategic atau yang bertanggungjawab mencadangkan calon agar  menerima hakikat dan mengundurkan diri. Mereka adalah panglima kalah perang. Di Jepun pasti sudah ada yang bunuh diri!

Ini tidak, kesalahan sendiri seolah-olah diletakkan di bahu Perdana Menteri.

Jika ada teori mengatakan Kelantan yang hampir kalah pada pilihan raya pada 2004 tidak pun mendesak Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan, ia adalah dangkal.

Kekuatan UMNO yang tiba-tiba memuncak di Kelantan pada 2004 adalah kerana faktor penerimaan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri baru. Ia diluar kawalan Nik Aziz dan penasihatnya, termasuk Datuk Husam Musa.

Namun, PAS bangkit semula pada 2008 dan tidak memandang belakang lagi selepas itu.

Di Terengganu, kemerosotan undi kepada Barisan Nasional lebih kepada ‘kemusnahan yang diakibatkan oleh faktor ‘Terengganu Darul Runtuh’; kebijaksanaan pembangkang menggunakan media baru; pemilihan dan pertukaran calon oleh Perhubungan UMNO Terengganu; selain sikap sesetengah rakyat yang tidak menghargai jasa dan kebaikan yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Dengan kata lain, semua sudah diberikan kepada rakyat. Jika mereka menolak apa yang boleh dilakukan seterusnya?

Bagi mereka pemberian dan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri dilihat sebagai ‘tugas sesebuah kerajaan’ bukannya ‘kesedaran, keikhlasan dan kesungguhan Ahmad Said untuk membantu rakyat yang memerlukan’.

Selain itu pengaruh kakitangan kerajaan, pekerja di GLC seperti Petronas, guru dan penjawat awam lain turut membantu PAS menang dengan lebih baik berbanding PRU ke-12 pada 2008.

Jadi tidak adillah untuk menyalah Najib dalam isu pemilihan calon kerana kebanyakan calon yang kalah, sama ada calon baru atau yang bertanding lagi (sudah kalah pada PRU-12) adalah dipilih oleh Perhubungan UMNO Terengganu.

Sepatutnya, jangan ada perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ dan jangan main politik ‘mulut manis, jubor masam’ dengan Najib kerana Najib pastinya ada fakta-fakta tertentu dalam memperkatakan politik Terengganu.


Saya memuji sikap Ahmad Said yang tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

“Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana. Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Tindakan Ahmad Said itu tepat kerana sejauh ini tiada rujukan khusus kepada beliau dan hanya mereeka yang takut tidak tentu pasal mungkin ‘meminta blog-blog tertentu’ cuba mempertahankan Ahmad Said.

Hakikatnya, Ahmad Said tidak perlu dipertahankan.

Ini kerana rekod pekhidmatan dan jasanya kepada UMNO dan pembangunan Terengganu adalah suatu transformasi dalam pelbagai bidang perlu diakui oleh kepimpinan Pusat, hatta Najib sendiri!

Monday, February 8, 2010

BILA KENA BATANG HIDUNG SENDIRI

Masalah dengan pemimpin pembangkang ialah bila kena batang hidung sendiri mereka mula gelabah.

Sejak 1999, pemimpin UMNO - daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan sehingga Datuk Seri Mohd Najib Razak - pelbagai gelaran, kartun, karikatur dan sebagainya sangat dibangga-banggakan oleh pembangkang.

Bagi pemimpin pembangkang, cara penyokong mereka merendah-rendahka martabat, mencaci dan menghina pemimpin kerajaan bagaikan taktik berkesan mereka untuk menang pilihan raya.

Saya sendiri beberapa kali menulis menolak cara pembangkang memperlekehkan pemimpin negara, khususnya UMNO melalui media mereka – khususnya media baru.

Dr Mahathir adalah yang paling teruk dihina, sehinggakan beliau disamakan dengan Firaun dan karikator mengenainya begitu mengaibkan.

Namun, apakah ulama PAS mengeluarkan fatwa mengenai kartun dan karikator yang menghina sedemikian? Apakah wajar seorang Islam digambarkan sebegitu rupa?
Bukan sekadar tidak melarang tetapi pada majlis tertentu pemimpin PAS memuja pelukis dan mereka yang menerbitkan kartun-kartun sedemikian disamping bersekongkol menghina mereka itu.

Dan apabila semalam, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kesal terhadap seorang penulis blog membuat lakaran begitu mengaibkan membabitkan dirinya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bagaikan meludah ke langit, jatuh ke batang hidung sendiri.

“Reti marah” bila sendiri kena? Kenapa kalau orang kena buat diam, seolah-olah perbuatan sedemikian halal.

Nik Aziz berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis mengenai perlaku sedemikian.

Sebuah blog menyiarkan gambar yang telah diubahsuai mempamerkan aksi melampau terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Anwar dengan aksi liwat.

Amat pelik dan aneh pemimpin pembangkang dan parti mereka tiba-tiba menjadi sensitif.

Mereka mudah tersentuh dan akan meracau jika mereka diserang,walhal selama lebih 12 tahun mereka menghina,fitnah dan caci maki para pemimpin UMNO dan BN melalui lakaran dan imej kartun.

Berikutan itu, semalam PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung ilustrasi grafik yang bersifat provokatif membabitkan Menteri Besar Kelantan dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat dalam sebuah laman blog.

Setiausaha Keselamatannya Mejar (B), Mohamad Ibrahim membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pukul 12 tengah hari.

Beliau diiringi 20 anggota PAS termasuk Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Hisham Fauzi.

Mohamad berkata beliau membuat laporan itu kerana berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.
Ekoran itu seorang bekas pegawai tentera membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di Pengkalan Chepa berhubung penghinaan tersebut.

Mejar (B) Mohamad Ibrahim, 57 yang juga Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan membuat laporan polis dan mendesak pihak polis menyiasat bloger terbabit serta mengambil tindakan sewajarnya.

“Tindakan bloger terbabit bercanggah dengan undang-undang dan boleh mencetuskan provokasi melampau,” katanya dalam laporan berkenaan.

Amat pelik dan aneh pemimpin pembangkang dan parti mereka tiba-tiba menjadi sensitif,” katanya.

Friday, February 5, 2010

PERLU BERETIKA LAPOR KES LIWAT ANWAR

Penulis blog perlu bertanggungjawab dan beretika dalam melaporkan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan tidak boleh diulas kerana masih dibicarakan atau mempengaruhi keputusan tersebut.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat, di samping masih tertakluk pada undang-undang berkaitan komunikasi di negara ini.

"Dengan trend yang ada sekarang ini, saya percaya penulis-penulis blog pun akan terasa mereka perlu bertanggungjawab terhadap masyarakat dan tidak bebas seperti aliran air semata-mata, mencurahkan ke sana dan melimpah ke sini.

"Mereka sendiri akhirnya akan ditembusi undang-undang. Mahu tidak mahu, undang-undang akan mencekau mereka pada tahap yang tertentu. Sebelum itu berlaku, seperti yang berlaku kepada penuntut di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), haruslah mereka memperbaiki pendirian mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Melakar Jejak - Biografi Mohd Yusof Noor' di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Peguam Negara sentiasa memantau laporan yang disiarkan menerusi blog-blog tertentu mengenai cara kes berkenaan dihuraikan, "sama ada secara am atau menghina dan menyalahi hukuman tidak boleh diulas."

Sementara itu, Rais berkata, kementerian itu tidak menghalang atau menyekat Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk melaporkan perbicaraan kes berkenaan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mahkamah.

RTM juga dibenar menggunakan istilah-istilah tertentu yang digunapakai oleh mahkamah disiarkan menerusi siaran berita tempatan bagi tujuan pengetahuan awam.

"Kes itu boleh dilaporkan mengikut sumber mahkamah, tinggal lagi kita tidak boleh membuat komen yang mempengaruhi pendirian hakim atau perkara yang sedang berjalan diberi komen baik buruknya.

"Kalau menceritakan tentang perjalanan kes itu seperti yang dizahirkan oleh mahkamah, ini kepentingan awam dan perlu diketahui," katanya.

Kes perbicaraan Anwar, 63, yang juga ketua Pembangkang serta Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008 bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Sunday, January 24, 2010

MUBIN ISMAIL BUKAN PENGGENDALI BLOG JARANGANAKMELAYU?

Seseorang yang mendakwa namanya sebagai Mubin bin Ismail, seorang guru memberikan reaksi kepada entri saya bertajuk ‘ROMBAKAN BAGI MEMENTINGKAN RAKYAT DALAM PEMBANGUNAN

Beliau kesal dan menyifatkan saya mengaitkan beliau dengan blogjaranganakmelayu yang dianggapnya sebagai ‘tidak bertanggung jawab di atas apa-apa fitnah yang telah dilakukan oleh blog berkenaan kepada semua yang terlibat’.

Reaksi Mubin Ismail itu dibuat pada 24 Januari 2010 - 4:49 AM

Menurutnya: “Sebagai penjawat awam saya sedar saya tidak boleh menjadi editor mana-mana penerbitan dan juga tidak menyembelahi mana-mana puak dalam parti politik.

Sebagai seorang pendidik saya perlu menunjuk contoh yang baik kepada anak didik saya.”

Saya tidak pasti Mubin Ismail ini sama dengan Abdul Mubin Ismail pemilik blog jaranganakmelayu atau tidak sama.

Apapun, jika tidak ‘rasa pedas kerana termakan cili’ lupakan sahaja dan saya bukan mahu menyakiti dan mengaitkan sesiapa dengan blog berkenaan, kecuali dengan penggendali dan penulisnya, Abdul Mubin Ismail.

Saya juga seperti MNubin Ismail berdoa dan pohon kepada Allah agar penulis blog ini berhenti dari menjadi alat orang dan segeralah bertaubat dan segera mohon maaf dengan orang yang beliau fitnah.

Baca apa yang dikomenkan oleh Mubin Ismail:


KENYATAAN KESAL DAN POHON MAAF’.

Tuan,

Maaf kerana menggunakan blog ini kerana tidak dapat kesasarannya.

Saya Mubin bin Ismail kesal dengan penggunaan nama saya sebagai pemilik blog jarangnakmelayu samada secara kebetulan yang telah banyak memfitnah Pegawai dan mereka yang berada di sekeliling Ahmad Said.

Saya juga kesal isu yang dimulakan dalam laman blog ini telah mengakibatkan seorang insan ditahan oleh pihak polis dan dihadap ke mahkamah untuk diadili.

Lebih malang lagi insan yang terlibat kini sakit dan keadaan fizikalnya amat membimbangkan, terlalu kurus bagaikan tinggal tulang dan kulit di lengannya kerana menghadapi tekanan.

Monday, December 21, 2009

JIKA BENAR BERANI & PUNYA FAKTA...

Untungnya menjadi penggendali blok dan mempunyai wang. Jika ada masalah dengan tulisan sendiri, boleh lari atau menyelinap ke luar negara.

Selain itu, pada ketika mendabik dada fakta yang ditulis memang benar dan tepat – bukan kutip daripada sumber tidak berasas – seseorang yang berduit mampu berselindung di sebalik apa juga ‘kekebalan’.


Itulah mungkin yang dinikmati oleh pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin ketika ini.

Dia mungkin mempunyai wang dan kalaupun tidak cukup, mungkin dibantu oleh ‘orang di belakang’ kerana sejauh ini tulisan-tulisannya selain yang “telus dan bernas’ada juga yang disangsikan punca sumber dan untuk siapa beliau mengemukan pandangannya.

Raja Petra, 59, dibicarakan atas tuduhan menerbitkan satu artikel berunsur hasutan dalam Malaysia Today pada 25 April tahun lalu di rumahnya di No. 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini.

Ada laporan akhbar sebelum ini memetik sumber, polis berjaya mengesan penulis blog itu dan mendapati Raja Petra lari dari Malaysia menuju ke Thailand melalui jalan haram sebelum menaiki penerbangan terus ke Australia.

Isunya bukan ‘melakukan tangkapan dan menyoal’Raja Petra mengenai sumbernya tetapi sejauh mana tulisannya – khususnya dakwaannya terhadap beberapa individu termasuk isteri Perdana Menteri – apakah berasas atau sebaliknya.

Juga dia perlu diheretkan ke mahkamah kerana beberapa kesnya yang tertangguh itu.
Pada 12 November lalu, polis menegaskan akan terus menjejaki Raja Petra yang didakwa menerbitkan artikel berunsur hasutan, walaupun mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan itu semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, penulis itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja dan usaha menjejaknya kini dipertingkatkan. "Kita tidak akan hentikan usaha mengesan Raja Petra selagi waran penahanannya masih ada.”Saya tegaskan di sini, kita akan bertindak untuk menangkapnya dan membawa ke mahkamah," katanya.

Sehari sebelum itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Rozina Ayob membuat keputusan melepas tanpa membebaskan Raja Petra selepas polis masih gagal menjejaki beliau walaupun waran tangkap sudah dikeluarkan.

Kita mengalu-alukan hasrat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memohon perintah ekstradisi terhadap) jika benar dia kini berada di sebuah pangsapuri mewah di London.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya tidak akan lepas pandang mengenai laporan tersebut dan kini sedang menyiasat sama ada benar Raja Petra sedang bersembunyi di negara itu.

Menurut beliau, pihaknya turut meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dan kerajaan British bagi memastikan dakwaan itu benar.

‘‘Kita sedang siasat laporan Mingguan Malaysia hari ini dan meminta bantuan Interpol serta kerajaan British. Jika benar dia (Raja Petra) berada di sana, kita akan minta bantuan kerajaan British mendapatkan perintah ekstradisi kerana dia perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah,’’ katanya.

Kelmarin Mingguan Malaysia melaporkan pengendali laman web itu dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.

Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.

Pangsapuri terbabit dikategorikan sebagai kediaman mewah. Setiap unitnya mempunyai dua bilik tidur, dua bilik air, dapur dan ruang tamu.

Persoalan paling penting ialah bagaimana Raja Petra menyelinap keluar dari Malaysia dan polis pula gagal mengesannya sejak sekian lama?

Siapa dalang di sebalik pemergiannya ke London dan apakah selama lapan bulan ini kita tidak meminta bantuan Interpol?

Pada 26 November lalu, polis mengatakan ia tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan pengendali laman web Malaysia Today itu kini berada di Melbourne, Australia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis tidak tahu di mana dia (Raja Petra) berada kerana semuanya dalam siasatan. “Saya tidak tahu dari mana datangnya laporan itu (Raja Petra bersembunyi di Melbourne),” mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang mengatakan penulis laman blog itu dikesan berada di Melbourne selepas lebih tujuh bulan usaha mencari dilakukan.

Apapun, polis perlu terus menyiasat kerana hanya keadilan di mahkamah dapat membuktikan Raja Petra memang menulis dengan ‘tepat dan berwibawa’sementara mereka yang dituduh juga mempunyai hak untuk menafikan ada juga tuduhan oleh Raja Petra.

Thursday, August 20, 2009

AWAS BLOG DAN LAMAN WEB YANG MENGHASUT

Menunggu tindakan tegas Hishamuddin.

Di Kuala Terengganu semalam, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menegaskannya.
Namun tiada akhbar yang memetiknya, kecuali The Star.

Mungkin tidak berpuas hati dengan mesej yang mahu disampaikan apabila akhbar dan agensi berita menumpukan kepada isu lain, beliau mengulanginya hari ini.

Hari ini melalui kenyataannya, Menteri Dalam Negeri itu mengulangi sekali lagi bahawa kerajaan bercadang mengambil tindakan lebih tegas dengan "menyekat capaian kepada blog dan laman web" yang didakwa menerbitkan kenyataan palsu, berbau hasutan dan mempersendakan agama.

Datuk Seri Hishammuddin berkata kerajaan akan memantau secara serius penerbitan di Internet termasuk mengambil tindakan melalui undang-undang sedia ada.

"Usaha ini termasuk mendakwa penulis laman web dan blog yang melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan palsu, lucah atau hasutan yang menimbulkan syak wasangka dan perpecahan kaum serta kenyataan yang mempersendakan agama," katanya.

"Dalam soal ini, saya ingin menegaskan bahawa setiap pihak atau individu tidak harus menggunakan alasan kebebasan bersuara dalam konteks demokrasi ketika mengemukakan apa-apa pandangan serta pendapat, tanpa langsung memikirkan kepentingan orang lain khususnya masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Tegasnya, demokrasi harus turut mempunyai batasan yang perlu dipatuhi.

"Jika mereka melangkaui had dan batas ini, maka undang-undang akan mengambil tempat bagi melindungi rakyat dan negara," kata Hishammuddin lagi.

Beliau menegaskan sedemikian selepas satu mesyuarat khas antara Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri (JPM dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Ketiga-tiga pihak ini diberikan tanggungjawab oleh kabinet untuk menyelaraskan beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Mesyuarat yang pengerusikan Hishamuddin petang ini diadakan bersama Menteri di JPM Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Isu-isu yang dibincangkan antaranya usaha penyelarasan tindakan dan kerjasama antara agensi kerajaan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara (JPN) bagi memudahkan tindakan bawah Akta Hasutan.

"Mesyuarat juga membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan laman web dan blog yang melanggar mana-mana undang-undang negara serta mengambil tindakan undang-undang segera bagi tujuan mendakwa pemilik dan penulis laman-laman web dan blog-blog yang berunsur hasutan dan fitnah," kata Hishammuddin.

Mesyuarat juga mendengar taklimat daripada polis mengenai isu-isu keselamatan semasa negara khususnya berkaitan dengan penyalahgunaan media alternatif serta taklimat oleh pihak penasihat undang-undang KDN mengenai perkembangan terkini berkaitan isu cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sunday, May 3, 2009

BLOGGER TERENGGANU DISIASAT POLIS

Jeng jeng jenggg…ada blog di Terengganu yang dikatakan memburukkan pemimpin parti (UMNO) kini disiasat polis. Blok siapa ya?

Yang membuat laporan itu ialah Pemuda UMNO Bahagian Kemaman. Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi 29 April lalu.

Saya tidak kesempatan membaca laporan itu dalam akhbar Utusan Malaysia tetapi membacanya melalui blog jaranganakmelayu ( saya menyebut nama blog ini bukan untuk tolong promo tetapi mempunyai sebab tersendiri. Penggendalinya jangan berasa seronok pula!)

Menurut blog berkenaan:

KHAMIS, APRIL 30, 2009 YANG DILAPORKAN (3) …Pemuda UMNO buat laporan terhadap artikel laman blog

KEMAMAN 29 April - Pemuda UMNO Bahagian Kemaman membuat laporan polis berhubung satu artikel dalam sebuah laman blog yang memburukkan kepimpinan parti. Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangannya, Halim Sulong di Balai Polis Kemaman pada pukul 10.30 pagi.

Halim berkata, Pemuda UMNO Kemaman meminta pihak berkuasa membuat penyiasatan terperinci berhubung artikel tersebut yang turut menghina Istana Terengganu.

''Mereka yang bertanggungjawab perlu dikenakan hukuman setimpal kerana artikel itu berbau hasutan,''' ujarnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat ketika ditemui mengesahkan menerima laporan berkenaan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu kini dalam siasatan polis.

Saya berusaha mendapatkan salinan laporan polis tetapi masih gagal dan mungkin sehari dua lagi bolehlah melihat sendiri laporan berkenaan dan kepada siapa laporan berkenaan ditujukan.

Saya nak tulis banyak-banyak bimbang kerana “hari ini hari orang, mungkin esok hari saya pula”.

Saya tidak mahu cerita panjang mengenai laporan polis kerana ia akan menjejaskan siasatan jika saya panjang-panjang bercerita.

Apa pun, ingin memetik semula tulisan blog jaranganakmelayu mengenai saya yang disiarkan pada hari akhir tahun 2008 lalu. Ikuti tulisan dalam blog berkenaan:

RABU, DISEMBER 31, 2008

YANG DILANTIK : TAHNIAH

Selamat tahun baru.

Esok 1 Januari 2009. Esok juga (terpengaruh dengan majlis PAS esok) Menteri Besar Terengganu akan melancarkan ‘pusat media’ sebagai penyelaras kepada gerakan media sepanjang pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu.

Orang yang akan menerajui pusat media yang akan beroperasi kurang lebih 17 hari ini sudah dikenal pasti. Asalnya dari Kelantan. Jawatannya entahlah, Cuma boleh diletakkan mungkin sebagai Pengarah Operasi Pusat Media PRK P36 Kuala Terengganu (kemaskini : Pengarah Jawatankuasa Media di Pejabat MB).

Dia akan dibantu oleh beberapa orang lagi yang juga telah dikenal pasti oleh Pengarah Operasi itu sendiri. Salah seorangnya dipinjamkan daripada agensi kerajaan persekutuan dan pernah menjadi Pengarah agensi berkenaan di negeri Terengganu (juga asalnya dari Kelantan).


Hal ini patut amat kita rakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar dan tahniah kepada yang telah dilantik, terutamanya tahniah yang sebesar-besarnya kepada saudara Hambali Abd Latiff yang dipilih MB sebagai ‘Pengarah Operasi’. Seramai itu manusia media di atas bumi bertuah ni, saudara Hambali juga menjadi pilihan.

Rezeki. Rezeki kan di tangan Tuhan.
Memang pun Hambali bukan orang baru dalam media. Sebelumnya beliau pernah menjadi pensyarah dan wartawan, pengarang berita serta pengarang akhbar dan TV sepenuh masa. Pernah bekerja di Berita Harian, Harian Metro, Harian Watan, NTV7 & RTM. Pernah menang anugerah Kajai 1983 dan Anugerah Karya Bangsa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan 1984. Sejak tahun 1998, Hambali bekerja sendiri. Hambali lahir pada 14 Oktober 1954 di Pasir Puteh, Kelantan. Membesar dan bersekolah rendah dan menengah di Besut, Terengganu (kira orang Terengganulah tu). Beliau adalah lulusan sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Sekarang menetap di Selangor.

Kerana kehebatan Hambali itulah MB melantik beliau. Ditambah MB seorang pemimpin yang memang mengenang budi. Hambali khabarnya pernah menjadi pensyarah/tutor kepada MB semasa belajar di USM. Sekaranglah masanya membalas budi gurunya itu. MB telah bertindak bijak. Berfikiran terbuka, walaupun khabarnya pernah disarankan untuk tidak mewujudkan pusat media seumpama ini kerana Kuala Terengganu sudah menjadi pejabat utama semua media massa dan elektronik.

Semua surat khabar besar dan kecil, termasuklah surat khabar rasmi PAS, Harakah ada pejabat cawangannya di Kuala Terengganu. Selain itu, banyak lagi sebab mengapa tidak perlunya pusat media seperti yang dicadangkan itu, termasuk yang utama dan jelasnya, akan terselamatlah duit rakyat.

Namun suara siapa yang kerdil itu untuk mencadangkan kepada MB?
MB cukup terbuka. Tidak taksub kenegerian. Beliau tak kesah orang mana yang hendak dilantik, asalkan orang itu, baginya boleh bekerja. Bukan Hambali seorang orang bukan anak negeri yang dilantik MB. Sebelum ini pun dah ramai.

MB juga bukan tidak ambil hal soal pengorbanan dan jasa orang. Beliau amat prihatin. Kerana itu beliau melantik sesiapa saja termasuk Hambali untuk pegang jawatan-jawatan penting walaupun mereka itu ‘tidak ada sesen saham’ pun kepada politik negeri Terengganu.
MB amat kenal yang mana kaca yang mana permata.

Anak Terengganu atau yang sudah lama terlibat dengan media di Terengganu tidak sehebat Hambali. Semuanya cap ayam. Ramai yang sekolahnya pun tamat SPM saja, tapi lagak saja lebih. Setakat boleh anugerah Kawat tu tak payah nak berlagaklah, Hambali dapat anugerah Kajai lagi. Lagi pun kerja jaga pusat media nin bukannya senang, lebih susah daripada kerja tampal poster dan panjat tiang pasang poster lagi. Alang-alang orang jangan nak cuba buat kerja nin.

Wartawan tua, wartawan pencen atau wartawan yang ada di Terengganu hari nin, seorang pun tak layak. Mereka hanya layak jadi gurkha jaga markas pos pilihan raya saja.
Kelab Wartawan Terengganu pun khabarnya tidak dilibatkan dengan pusat media nin. Betul dan tepat keputusan tu. Apa benda Kawat tu? Kawat duri ke? Kalau kawat duri memang patut pun tak dilibatkan kerana menyusahkan orang saja. Nanti tercucuk situ tercucuk sini, tak senang duduk sesetengah orang. Tak ada Kawat pun tak jadi kudis gatalnya. Siapa orang-orang dalam Kawat?

Daripada Presidennya kepada AJK, semua terdiri daripada orang-orang yang tak boleh dipakai. Menyusahkan dan menghabiskan beras sahaja. Kawat dan wartawan tempatan hanya boleh minta tolong masa kerajaan susah saja. Masa senang dan ada peluang 'masyuk' begini, kenalah jemput orang/wartawan/media luar untuk membantu.
Lagi pun belanja untuk mewujudkan, beroperasinya dan gaji/elaun tenaga kerja di pusat media ini tidaklah tinggi. Cuma sekadar berbelas-belas ribu RM sehari.

Tidaklah besar sangat belanjanya, cuma boleh buat sebuah banglo atau 10 buah rumah murah sahaja. Kecil je tu. Duit royalti kan banyak. Kalau nak dibandingkan belanja operasi pusat media nin dengan jumlah RM seperti tercatat pada replika cek yang Datuk Najib bagi hari tu, baru nilainya sekadar 'di celah gigi’ saja.


Operasinya juga tidak susah-susah nak menyewa ruang premis yang mahal dan ekslusif sangat. Pusat media ini sanggup merendah diri menumpang di pejabat salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu (di hadapan Unit Komunikasi). Sudah jimat belanja sewa premis. Tak jadi hal sebab kerja untuk politik nin bukan atas pejabat kerajaan, cuma pejabat anak syarikat kerajaan sahaja.

Cuma nanti bila dah mula dan berjalan dengan lancar pusat media tu, kalau dirasakan keadaan pejabat tu agak sempit dan rimas, boleh minta keizinan MB untuk guna dewan-dewan besar yang banyak di Wisma Darul Iman. Di situ lebih selesa. Mesti boleh punya. Tak kan Dewan baru di Chukai dan Stadium Negeri Kuala Terengganu MB boleh luluskan untuk digunakan oleh PAS, dewan Wisma Darul Iman nak digunakan oleh pusat media kerajaan, tak boleh. Tak masuk di akal.
Berkait dengan saudara Hambali juga, ada cerita lain yang seronok juga didengar.

Sama ada cerita palsu atau khabar-khabar angin saja, tak tahulah. Tu kena tanya orang lain, bukan saya.
Cerita ‘orang lain’ itu, Hambali mungkin akan dilantik menjadi Pengarah Unit Komunikasi negeri selepas ini. Khabarnya juga, kawan kita yang dah lama memangku Pengarah di situ, yang jatuh bangun dengan unit tu, sampai hari ini belum lagi terima surat sambung kontrak sebagai Timbalan Pengarah. Sedangkan tarikh tamat kontraknya di situ ialah pada hari ini, 31 Disember 2008.

Entah-entah ‘cukup sampai di sini sayang….’
Kalau betul cerita tu molek sangatlah. Hambali memang sesuai dan layak duduk di kerusi tu. Cuma kesian kat kawan kita tu lah. Bertambah reneklah kawan kita tu. Soal gaji Hambali tak perlu bimbang. Kalau orang lain dilantik kontrak dan gajinya dikira mengikut kelulusan dan standard perjawatan jabatan kerajaan, kepada Hambali boleh diurus.

Boleh dilantik ke gred yang tinggi. Jusa B atau C ke misalnya. Mesti kena sama atau hampir sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri. Baru ada kelas. Tu perkara kecil je. Lagi yang besar daripada itu, MB boleh selesaikan. Bukan MB nak aniaya kawan dan gurunya.
Apa-apa pun, selamat bertugas, selamat beroperasi dan sekali lagi tahniah kepada semua yang terlibat dengan pusat media ini. Semoga wujudnya pusat ini, akan banyak membantu memenangkan sahabat kita Wan Farid. Cuma harap-harapnya, ini bukan kerja ‘budak tingkat 16’ lagi.

DISEDIAKAN OLEH ABDUL MUBIN ISMAIL @ 11:42 PM