Wednesday, April 28, 2010

COME ONLAH NIK AZIZ, JANGAN BUKAN-BUKAN

Mungkin ramai akan marah kepada saya kerana kenyataan ini.

Tapi tolonglah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat - jangan bercakap yang bukan-bukan.

Jagalah imej Tok Guru dan sebagai Musyridul Am PAS. Banyak sangat auta dan alasan tidak masuk akal mendatangkan imej buruk kepada PAS sendiri.

Pada ketika pemimpin tertinggi PAS lain seakan menerima hakikat bahawa ketentuan Allah sedemikian, Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang bukan –bukan.

Betul juga kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin: "Kalau dah kalah, terima sajalah, jangan buat andaian-andaian begitu."

Muhyiddin menyatakan demikian sebagai reaksi berhubung dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) membeli undi untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kelmarin. Tuduhan itu bagi Muhyiddin sebagai untuk memburukkan nama baik BN.

"Pokoknya kita (BN) dah menang. Bagi saya pilihan raya kecil itu telah berjalan dengan baik dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah menjalankan kerja mereka dengan baik. Kita dah terima keputusan dan BN dah menang.

Pihak yang terlibat sepatutnya terima hakikat dan kenyataan itu, tak sewajarnya bangkitkan sebab-musabab kerana mereka tak puas hati dengan apa yang telah berlaku," tegasnya
Mursyidul Am PAS itu kini semakin tidak laku. Dia tidak lagi seperti sebelum ini yang sering mendapat perhatian.

Kehadirannya berkempen di Hulu Selagor dikatakan tidak mendatangkan kesan sokongan besar kepada pembangkang. Laporan Malaysiakini – portal berita yang menyokong pembangkang pada 24 April 2010 menyebut seperti berikut:

“Tidak seperti dijangka, kehadiran menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat kurang berjaya merancakkan sokongan masyarakat Melayu di Hulu Selangor terhadap calon PKR. Hanya sekitar 400 orang hadir ketika Nik Abdul Aziz merasmikan program Konvensyen Anak Felda di rancangan Felda Sungai Tengi hari ini.”

Program hari ini, yang menyediakan pentas ucapan kepada Nik Abdul Aziz, berkenaan diuar-uarkan sebagai satu saluran untuk menarik sehingga enam peratus lagi sokongan daripada golongan pengundi muda di kawasan tersebut. Beliau juga hadir untuk menyelamatkan Datuk Zaid Ibrahim, calon PKR daripada serangan berbentuk peribadi yang dilancarkan BN hinggalah ke saat akhir kempen hari ini.

Tinjauan Malaysiakini ke atas beberapa orang pengundi bagaimanapun menunjukkan Nik Abdul Aziz gagal memainkan peranan itu.

Selain itu Nik Aziz kini cakap berbelit-belit.

Kata Nik Aziz, kelemahan jentera parti yang kurang berkesan serta cetek pengalaman adalah faktor kekalahan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, kelmarin.

Menurutnya, jentera berkempen PR, terutama PAS, kurang berpengalaman dalam menghadapi PRK, sebaliknya mereka lebih bersedia di dalam pilihan raya umum.

“Kita tidak biasa dan kurang pengalaman. PAS pun tidak biasa dengan pilihan raya kecil,” katanya.

Apa yang dicakap dan dimaksudkan oleh Menteri Besar Kelantan ini. Apakah PAS tidak terlibat dengan pilihan raya seperti berikut ini?

Hanya kalah sekali sudah tidak dapat menerima hakikat. Cuba ingat balik wahai Tok Guru!
Selepas pilihanraya umum 8 Mac 2008, ada sembilan PRK berlangsung, sebelum di Hulu Selangor. Senarainya seperti berikut.

1. Permatang Pauh,
2. Kuala Terengganu,
3. Bukit Gantang,
4. Bukit Selambau,
5. Batang Ai,
6. Penanti,
7. Manek Urai,
8. Permatang Pasir, dan
9. Bagan Pinang (Port Dickson)

Tidak mengapalah kalaupun PAS tidak menyertai semua. Tetapi bagaimana di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Manek Urai, Permatang Pasir dan Bagan Pinang?

Lihat dulu calon siapa menang dalam pilihan raya itu. Di Kuala Terengganu (calon PAS menang), Bukit Gantang (calon PAS menang), Manek Urai (calon PAS menang), Permatang Pasir (calon PAS menang) dan Bagan Pinang (calon UMNO kalahkan PAS).
Apakah Nik Aziz boleh mengatakan PAS tidak ada pengalaman?
Tolonglah penasihat Nik Aziz ini nasihatkannya sikit. Jangan cakap pakai mulut kerana sebagai orang yang dihormati sebagai Tok Guru kalau ‘belawok’ buruk padahnya!
Juga mengejutkan apabila Nik Aziz mengakui bahawa beliau tidak mengetahui titah Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah mengenai larangan mengguna institusi masjid untuk tujuan politik sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut di Hulu Selangor Jumaat lalu.

Menurutnya, kenyataannya yang membenarkan penggunaan masjid untuk tujuan politik dijawab mengikut soalan yang diajukan wartawan dan ia tidak berkaitan dengan titah yang dibuat oleh Sultan Sharifuddin.

Berikutan kenyataannya, kelmarin Perdana Menteri berkata bahawa Nik Aziz telah melakukan pengingkaran yang serius apabila mempertikaikan titah Sultan Sharifuddin supaya tidak menggunakan masjid sebagai pentas politik.

Hairan sungguh, sudahlah bercakap di Selangor, tak kanlah Nik Aziz tidak perasan atau tahu kenyataan itu dibuat.

Ketika Sultan Selangor membuat pengumuman itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Khalid Ibrahim berada di sebelahnya. Apakah Khalid tidak memaklumkan kepada pemimpin PAS yang datang berkempen untuk PKR di Selangor?

Atau itu hanya untuk cover selepas mengetahui beliau sudah ‘menderhaka’ kepada Sultan Selangor.

Selain itu Nik Aziz tetap mahu berdalih dalam soal kenyataannya mengenai ceramah politik dalam masjid.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju sekiranya hal berkaitan parti disebut dalam masjid tetapi tidak salah untuk mengajar politik yang menurutnya turut digunakan oleh Nabi Muhammad SAW.

“UMNO parti yang memusnahkan ajaran akidah agama Islam, faham politik lain agama lain, siapa yang ajar, Nabi Muhammad SAW menjadi ahli agama, ahli politik, imam, panglima perang serta menteri kewangan, segala portfolio terlibat. Jadi bagaimana nak asingkan politik dan agama.

“Saya menjadi Menteri Besar berpuluh tahun, sangat tahu cara untuk menghormati institusi beraja, yang peliknya dia (UMNO) bagi subsidi di atas masjid, lebih teruk lagi, ini masalahnya,”katanya.

Isu yang diperkatakan oleh Sultan Selangor ialah yang boleh memecahbelahkan orang Islam bukan soal akidah.

Apakah orang Islam UMNO begitu cetek pemikiran seolah-olah tidak tahu peranan Nabi Muhamad s.a.w. yang berjuang untuk perpaduan sesama umat Islam.

Yang dimaksudkan Sultan Sharifuddin ialah berselindung di sebalik nama Islam dan masjid untuk tujuan meraih undi hingga sanggup menyalahgunakan masjid.

Isu sebenar bukan ‘Islam suku, politik suku’ tetapi Islam dipergunakan untuk meletakkan orang PAS sebagai lebih Islam dan orang UMNO kurang atau tidak Islam.

Siapa Nik Aziz untuk menentu atau mentakrifkan seseorang itu lebih Islam dari seorang Islam yang lain?

ZAID BAWA KEKALAHANNYA KE MAHKAMAH?


Ada sebuah blog mengatakan Zaid Ibrahim kemungkinan akan membantah keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor Sabtu lalu di mahkamah. Kemudian perkara itu disahkan oleh Suara Keadilan online.

Bagi saya ia bukan sesuatu yang pelik. Bukan sesuatu yang bersifat hairan bin ajaib.

Bukan sahaja kerana Zaid memang seorang peguam terkenal.

Dalam pilihan itu Zaid kalah ditangan P Kamalananthan dengan kekurangan undi sebanyak 1,725. Beliau mendapat 23,272 undi manakala Kamalanathan mendapat 24,997. Sebanyak 731 undi yang ditolak

Bukan Zaid sahaja tidak puas hati, malah seluruh tenaga kerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, DAP dan sesetengahnya yang tidak berparti juga merasakan demikian.

Apa tidaknya. Kumpulan penyelidik yang buat kerja untuk pembangkang, terutamanya PAS meramalkan pembangkang akan menang.

Sehari sebelum pembuangan undi Zentrum Future Studies membut anggaran bahawa kemenangan ada di pihak pakatan pembangkang dengan kelebihan 56.2 daripada 63,701 pengundi Hulu Selangor.

Dengan penuh keyakinan pusat kajian itu meramalkan pakatan pembangkang akan menang apabila pengundi membuang undi di 48 pusat pengundian yang menyediakan 136 saluran mengundi di 47 buah sekolah bermula jam 8.00 Sabtu lalu.

Dengan kata lain hasil kajian itu seolah-olah Zaid mendahului dengan 56%.
Apakah taktik membawa penganalisis bebas untuk buat survey sebagai usaha memujuk atau mempengaruhi pengundi seolah-olah pembangkang sedang mendahului?

Berdasarkan keyakinan 56 peratus itu, majlis di stadium mini Kuala Kubu Baru yang dihadiri Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan lain-lain pemimpin pembangkang bagaikan majlis meraikan kemenangan sedangkan hakikatnya ramalan 56 peratus itu adalah kepercayaan palsu.

Kajian itu ternyata ‘menipu’penyokong pembangkang, yang dikatakan seramai 20,000 khususnya daripada PAS dan Nik Aziz yang meminta pengundi mengundi Zaid, rupa-rupanya turut tertipu dengan ramalan itu.

Zentrum pimpinan Dr Abu Hassan Hasbullah yang dilaporkan membuat kajian lapangan secara agresif dikatakan mengeluarkan laporan setiap jam dua hari sebelum hari mengundi.

Ia bermula dengan kemenangan berpihak kepada pakatan pembangkang diwaktu pagi, BN menang di waktu tengahari tetapi berakhir dengan kemenangan bergaya di pihak PR pada akhir malam menjelang hari mengundi iaitu 56.2 peratus untuk PR dan 43.8 peratus untuk BN.

Berikut antara statistik yang diberikan oleh Zentrum.










Bilik gerakan PAS menjangka, calon PR akan menang. "Jika keluar mengundi 75 peratus, kami jangka akan menang sekitar 556 undi," kata Pengarah Operasi jentera pilihanraya PAS, Jamaliddin Elias kepada Harakahdaily dua hari sebelum mengundi.

Ternyata, Zaid dan bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu menerima kekalahan sebelas merasakan mereka akan menang dengan majorti lebih baik kali ini.

Kata Zaid, dia kalah kerana permainan kotor BN. Zaid kata lagi, Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri telah menghabiskan RM64 juta untuk menang majoriti 1725 undi di Hulu Selangor. Kata Zaid, gerombolan penjahatnya kalah kerana permainan kotor Kerajaan Pusat yang didominasi oleh UMNO.

Zaid mendakwa sistem pilihan raya di negara ini tidak adil dan bersih.

Bekas menteri yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu mendakwa, BN menang kerana membeli sokongan pengundi di kawasan itu.

Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin Ali berkata, ketika ini Zaid yang juga seorang peguam terkemuka sedang membuat penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti secara teliti sebelum tindakan tersebut diambil berikutan beberapa kejadian pembelian undi dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh berkempen.

Menurutnya, perbuatan itu juga akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dilaporkan Zaid bersama-sama peguam-peguam terkenal sudah mencadangkan untuk menyelidik hal ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap rasuah yang telah berlaku.

Menurut blog berkenaan, dilaporkan juga satu panel terdiri dari kalangan peguam terkemuka akan dibentuk untuk merangka satu memorandum untuk dihantar NGO hak asasi manusia dan pencinta demokrasi tulen di seluruh dunia. Memorandum itu menjelaskan kepincangan berhubung proses perjalanan pilihan raya di negara ini yang dikatakan berat sebelah, tidak ada dan memperalatkan jentera kerajaan.

Memorandum ini bakal menjadi dokumen baru untuk digunakan oleh para pendokong demokrasi tulen bagi mengkritik perjalanan pilihan raya di negara ini. Ia juga nanti akan digunakan oleh Bersih - sebuah badan bertindak dan memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus yang pernah berarak menggegarkan negara beberapa tahun lalu.

Sekiranya memoranum ini menjadi kenyataan inilah tindakan pertama secara profesional diambil bagi mempersoalkan kepincangan perjalanan pilihan raya dan demokrasi di negara ini yang dikatakan pincang dan tidak berlaku adil kepada parti pembangkang.

Berikutan itu, Dr Syed juga berkata, UMNO dan Barisan Nasional tidak perlu berseronok dengan kemenangan yang diperolehi kerana calon Pakatan Rakyat tidak mengalami kemerosotan undi malah Pakatan Rakyat bertekad untuk meneruskan kemenangan pada pilihan raya akan datang.