Thursday, April 23, 2009

AHMAD SAID, WAN AHMAD DI PIHAK YANG BENAR

Sukar mentadbir jika ada ‘musuh dalam selimut’.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah merasainya. Bukan sekali tetapi tiga kali.

Pertama, bertentangan pandangan antara beliau dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam banyak perkara ketika Tengku Razaleigh menjadi Menteri Kewangan; Kedua, dengan Tun Musa Hitam (timbalan yang dipilihnya sendiri); Ketiga, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (timbalan yang diangkat sendiri oleh beliau).

Satu daripada kejayaan Dr Mahathir ialah pengurusan krisis apabila beliau berjaya menundukkan ketiga-tiga mereka.

Sebaliknya bagi Menteri Besar Terengganu - Datuk Ahmad Said - beliau bukan sekadar tidak pernah memilih teamnya (Wakil Rakyat atau ADUN) seperti Dr Mahathir.

Sebaliknya beliau menerima ‘apa yang sudah terhidang’ kerana ADUN yang ada sekarang adalah pilihan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu dan Menteri Besar sebelumnya.

Dengan kata lain, Ahmad Said terpaksa masuk ke gelanggang dengan mengharapkan sokongan dan dokongan ‘askar orang lain’.

Walaupun demikian beliau masih mampu ‘meredakan keadaan’ seketika. Tetapi ‘api dalam sekam tidak akan pernah padam’.

Jadi tidak hairan kalau mereka ini ‘asyik naik angin’ kerana bukan sahaja hangat hati kerana bos mereka ‘tercampak’, Ahmad Said pula jelas terpaksa memberikan ruang kepada mereka yang menyokongnya. Setidak-tidaknya jika separuh akan menyokongnya, walaupun mungkin hanya separuh daripada itu yang sepenuh hati, beliau dilihat dan dapat merasakan ada penyokong sendiri.

Sudah pasti apabila menduduki kerusi Menteri Besar, beliau mahu memperteguhkan kedudukannya untuk mentadbir dan menguruskan parti.

Lebih penting beliau mendapat mandat daripada istana untuk men jamin keamanan dan kemakmuran di Terengganu.

Beliau tidak boleh memandang ke belakang, sebaliknya memenuhi amanah dan tugas yang dimandatkan oleh beliau.

Apa yang berlaku di Terengganu ini sudah lama berlaku di Kelantan. Dengan semakin ramai hulubalang, sama ada di utara, timur atau barat, Ahmad Said akan tersepit.

Jika ada hulubalang yang cuba mengawal sempadan tidak apa, tetapi jika hulubalang bersikap ‘talam dua muka’ akan menyebabkan bahana kepada parti.

Kelantan tidak kembali kepada UMNO kerana sesetengah orang UMNO sendiri yang tingkah laku mereka ‘memenangkan PAS’.

Di Terengganu juga akan berlaku perkara yang sama jika UMNO membuat perhitungan salah.
Apapun, selepas ‘ribut secawan kopi’, Terengganu dijangka akan kembali reda. Lagipun yang berbuat salah akan menerima akibatnya.

Yang nyata:

1. Ahmad Said tidak terlibat dan orang-orangnya tidak terlibat dengan sms yang mengugut bunuh. Dia sudah membuktikan bersih dan amanah.

Ahmad Said bercakap benar beliau tidak tahu mengenai punca sms itu. Menteri Besar berkata, beliau lega dengan tangkapan suspek berkenaan manakala kakitangan pejabatnya tiada kaitan dengan penghantaran SMS berkenaan.

"Kebenaran akhirnya terbukti... Allah Maha Berkuasa... saya tahu bahawa ini akan diketahui satu hari nanti selepas pegawai pejabat saya memaklumkan saya bahawa perisian telah disalahgunakan oleh pakar IT di Kuala Lumpur," kata beliau.

2. Wan Ahamad Wan Muda juga tidak terlibat. Mesej yang didakwa dikirim oleh beliau antaranya berbunyi "baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?". Beliau menjadi mangsa dan cuba dijadikan kambing hitam dalam kemarahan dan tuntutan 10 ADUN yang mahu Ahmad Said digantikan.

3. Bagi yang menuduhnya, wajar mereka meminta maaf.

4. Siapa pemuda yang ditahan polis? Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata, polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini. Malaysiakini melaporkan semalam:
“Pengiriman SMS tersebut dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik di Terenganu di mana sekumpulan ADUN mendesak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan.” Tidakkah ini membayangkan pemuda ini ada kaitan dengan 10 ADUN berkenaan?

5. Bantahan apakah bersifat ‘pukul anak sindir menantu’ kerana kini ada teori daripada puak Idris yang menuduh istana terbabit dalam sms berkenaan’. Kenapakah istana cuba dilibatkan?

Apakah caranya mengatasi kemelut ini?

Pemimpin tertinggi UMNO mungkin ada caranya. Kalau saya, Datuk Seri Mohd Najib sudah tersedia formula yang diilhamkan oleh bapanya sendiri.

Pengacau perlu ‘dibuang negeri’. Buang negeri yang orang berpangkat dan Yang Berhormat lain. Yang Berhormat tetap Yang Berhormat, biarpun buat kacau!

Najib perlu merujuk kembali bagaimana Tun Razak cuba mengatasi masalah yang diakibatkan oleh Tun Dato’ Mustapa (Sabah) dan Datuk Harun Idris (di Selangor) pada 1970an.

Mungkin dalam kes Ahmad Said ini, sebagai Menteri Besar beliau tidak boleh melakukannya, lagipun Ahmad Said bukan pendendam.

Najib boleh menggunakan formula itu bagi membantu Ahmad Said.

Itupun kalau Najib masih menganggap Ahmad Said di pihak yang benar dan Perdana Menteri sendiri tidak sanggup melawan ‘arus istana Terengganu’.

MUSUH MENJADI KAWAN

Bolasepak menjangkaui UMNO-PAS.

Bolasepak menolak ketepi fahaman politik. Bolasepak menolak ketepi ‘perselisihan’ agama.
Inilah permainan bolasepak. Ia memang menjadi ‘pendamai’.

Penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong UMNO dan PAS boleh duduk beriringan dan bersatu hati menyokong pasukan mereka.

Lebih 40,000 penyokong Kelantan dijangka memenuhi ruang Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk bersama menyaksikan sejarah bola sepak negeri itu tercipta dalam perlawanan akhir bola sepak Piala FA pada Sabtu ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Haron Ali berkata, keghairahan rakyat Kelantan begitu memuncak dan begitu ramai yang akan memberi sokongan padu bagi menjadikan impian menjadi juara suatu kenyataan.

Uniknya bolasepak, walau di mana juga ‘musuh menjadi kawan’ walau seketika.
Ketika Perang Dunia Pertama, bolasepak menjadi alat untuk meredakan ketegangan.
Jepun dan Korea Selatan yang menjadi penganjur Piala Dunia tujuh tahun lalu (2002) berjaya mendekatkan China dan Korea Utara dengan negara lain di dunia.

Di Kelantan, Stadium Sultan Mohamad Ke IV sebelum digantung, adalah medan berkumpulnya penyokong Kelantan yang terdiri daripada penyokong parti bertentangan UMNO-PAS.

Namun, kerana sebiji bola, mereka melupakan seketika ‘persengketaan’ mereka demi pasukan Kelantan.

Kerana kejayaan masuk final Piala FA Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menjanjikan pasukan Kelantan ke Old Trafford.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, beberapa siri perlawanan persahabatan di lubuk Manchester United dan beberapa insentif lain biarpun berdepan dengan kekangan kewangan setelah Kelantan tidak lagi dibenarkan menjadi tuan rumah.

Presidennya, Tan Sri Anuar Musa yang berhempas pulas memikul bebanan bagi menjayakan misi ini menyifatkan, kemenangan bakal menjadi satu kebangkitan baru dalam arena bola sepak Kelantan.

Yang menariknya, kerajaan negeri (ditadbir PAS) pula cuba menokok lagi semangat mereka dengan janji imbuhan kecemerlangan RM30,000 bagi membawa pulang piala kebanggaan itu untuk tontonan rakyat Kelantan.

Pengerusi Jawatakuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood menyatakan ia merupakan sebahagian daripada sumbangan kerajaan negeri bagi menghargai jasa pemain dan pengurusan mengharumkan nama negeri dalam sukan yang diminati umum ini.

Jadi, jangan anggap bolasepak permainan murahan dan untuk golongan bawahan. Kesannya besar.

Keghairahan penonton Kelantan yang berduyun-duyun memberi sokongan di stadium barangkali boleh dilihat dengan jualan tiket yang hampir mencecah 10,000 daripada 20,000 yang diperuntukkan kepada KAFA sepanjang dua hari lalu.

Berpuluh-puluh buah bas yang disediakan oleh pelbagai pihak, malah termasuk dari selatan Thai bagi kemudahan membawa mereka untuk memenuhi sebahagian daripada ruang stadium itu kelak.

Juga menarik ialah kerajaan negeri telah mengarahkan usaha menaik taraf tahap keselamatan Stadium Sultan Muhammed IV di sini, dilakukan segera.

Abdul Fattah berkata, ia bagi memastikan keadaan lebih terjamin.

Menurut beliau, arahan telah dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob supaya tahap keselamatan stadium yang telah berusia itu tidak lagi dipersoalkan terutama semasa perlawanan bola sepak.

"Kita berharap apabila keadaan di stadium menjadi lebih selamat pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menimbangkan semula larangan yang dikenakan kepada pasukan negeri mengadakan perlawanan di situ," katanya semalam.

Larangan yang dikenakan itu telah menjejaskan sumber kewangan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi mengurus skuad negeri yang banyak bergantung kepada jualan tiket di gelanggang sendiri.

Menurut Abdul Fattah, antara yang akan diperkemaskan adalah pagar pemisah dan pintu keselamatan untuk pemain agar tidak mudah terdedah kepada tindak-tanduk penonton.
Ini bermakna dalam setiap perbincangan, kerajaan negeri perlu merujuk juga kepada Annuar selaku Presiden KAFA.

Ini kerana sumbangan Annuar dalam kancah bolasepak Kelantan sejak tahun lalu perlu diambil kira, walaupun Annuar adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.