Saturday, December 20, 2008

CALONNYA – WAN FARID

Ramalan saya tengah hati tadi tepat sekali. Tiada lagi tanda soal pada tajuk bagi posting ini berbanding tajuk tengah hari tadi.

Sah sudah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari nanti.

Wan Farid mendapat sokongan 103 cawangan dalam Bahagian Kuala Terengganu selain membawa mandat BN Pusat bagi menebus kekalahan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan kira-kira 7,000 penyokong BN di Seri Iman (kediaman Menteri Besar Terengganu) , kira-kira pukul 4.52 petang ini.

Pengumuman ini mendahului PAS yang masih terkial-kial mencari calon yang sesuai dan difahamkan esok, satu mesyuarat peringkat negeri akan diadakan oleh parti itu untuk menentukan calon.


Dijangkakan, PAS tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai calon esok kerana ia perlu diserahkan kepada PAS Pusat untuk menentukannya.

Sebelum memperkenalkan Wan Farid, Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya mengatakan pemilihan Wan Farid dibuat oleh Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memberikan amanah untuk beliau mengisytiharkannya.

Kata Najib, Wan Farid, 46, yang memegang jawatan Ketua Bahagian selama dua penggal dan disokong oleh pemimpin komponen BN yang lain.

Kata Najib dalam pilihan raya kecil, factor calon begitu penting bagi menjamin kemenangan BN dan beliau yakin Wan Farid adalah pilihan tepat bagi menghadapi pilihan raya 17 Januari depan.

Apa yang menarik pada perisytiharan itu ialah kehadian pemimpin Terengganu, termasuk tokoh veteran seperti bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bekas Timbalan Menteri Besar, Datuk Isris Jusoh, Datuk Alias Ali serta juga Datuk Awang Jabar.

Perpaduan yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO dan BN menggambarkan betapa BN benar-benar mahu mengekalkan kerusinya dan inilah antara intipati ucapan Najib pada pertemuan itu.

Selepas pengumuman itu, Najib mempengerusikan mesyuarat BN Negeri dengan dihadiri beberapa pemimpin UMNO Pusat termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad serta juga Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara pemimpin tempatan yang turut kelihatan ialah Datuk Roslan Awang Chik, Datuk
Zuber Embong, Datuk Abdul Rahman Bakar serta pemimpin MCA, Gerakan dan MIC.

Malah, turut hadir ialah Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Fung Meng serta pemimpin MCA, Gerakan dan MIC Kuala Terengganu.

Daripada kehadiran petang ini, menurut Najib, tidak ada sebab BN tidak boleh menang.

Lagipun, jelas lima perkara penting sudah ditunjukkan sepanjang majlis petang ini.

1. Ia membuktikan kesediaan UMNO dan parti komponen BN menghadapi pilihan raya itu secara bersama tanpa ada 'keluk kelik' dengan mengambil kira perkara yang titik bengit.

2. Parti komponen BN lain, menjamin akan bekerja keras dan tidak menganggap Wan Farid sebagai calon UMNO semata-mata tetapi BN. ‘Ribut dalam secawan kopi’ ialah perkara biasa dalam BN.

3. Pemimpin utama komponen BN khususnya MCA, Gerakan atau juga MIC begitu yakin dan akan menjamin BN menang cemerlang.

4. Kalangan UMNO sendiri juga jelas bersatu. Najib sudah mengingatkan semua pihak supaya tumpu kepada pilihan raya bukan pemilihan UMNO. Najib mahukan semua mereka ‘ook” (melupakan sekejab) isu pemilihan sebaliknya tumpu kepada pilihan raya dan kesemua mereka juga berjanji untuk “ook dulu” soal pemilihan. Kehadiran Rafidah dan Shahrizat untuk menjalankan tugas bersama adalah contohnya; dan,

5. Jelas sekali soal calon dalam BN tidak ada masalah sama sekali dan 103 cawangan dalam Bahagian Kuala Terengganu menyokong Ketua Bahagiannya, Wan Farid bertanding.

Najib memberi ingatakan kepada seluruh pekerja parti UMNO dan komponen BN lain agar menjamin kemenangan besar BN untuk menebus kekalahan di Permatang Pauh dan juga mengekalkan pengaruh BN di kerusi Parlimen berkenaan.

Ia juga sebagai ‘hadiah’ kepada Allahyarham Datuk Razali Ismail yang menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi) dan calon bebas Maimun Yusuf, 89, mendapat 685 undi.

Najib yakin usaha ini dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya jika perpaduan dan kerjasama di kalangan ahli UMNO yang disokong ahli parti komponen bekerja keras.

Menyambut pemilihannya. Wan Farid berkata tempoh seminggu, antara Sabtu lalu dan hari ini terlalu ‘panjang’ baginya. Beliau menyifatkan penantiannya begitu ‘meresahkan’ tetapi kini tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya perlu dipikul bagi memenangkan kerusi Parlimen berkenaan.

Beliau mengharapkan sokongan padu demi menjamin Parlimen Kuala Terengganu terus di bawah BN.

Dan bukan sahaja kekal tetapi dengan majoriti yang lebih besar!

CALONNYA IALAH WAN FARID?

Masa yang ditunggu dah tiba. Pengumuman siapa calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Terengganu dibuat petang ini.

Selepas menunggu hampir seminggu, apakah nama yang akan diumumkan adalah daripada empat nama yang diapungkan sebelum ini?

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak dijangka mengumumkan calon BN itu kira-kira jam 4.30 petang ini selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Induk BN di kediaman Menteri Besar Terengganu.

Sehingga tengah hari ini, nampaknya pemimpin BN negeri Terengganu masih mengunci rapat nama calon dan enggan membuat spekulasi.

Sehingga kini, tinggal dua nama sahaja bagi BN pada ketika PAS masih tidak dapat menentukan calon mereka.

Walaupun nama Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ‘digugurkan’ beberapa ketika namun ia tetap bermain di bibir peramal calon sehinggalah pagi ini.

Beliau yang juga ketua Umno Kuala Terengganu, sehingga pagi ini masih disebut-sebut akan menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Nama Wan Farid ‘digugurkan’ selepas beliau diumumkan akan disambung Senatornya untuk sepenggal lagi.

Portal berita berbahasa Inggeris, The Malaysian Insider sebelum ini berkata Ahmad Farid ‘sudah gugur’ dariapada senarai akan dicalonkan bertanding kerana perlantikan semula sebagai senator.

Kata portal itu, selain Ahmad Farid dan Datuk Zuber Embong, nama lain ialah Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, dan mungkin juga Datuk Roslan Awang Chik.
Roslan adalah bekas wakil rakyat Ladang pada 1995 sebelum kalah pada 1999 kepada Dr Sulaiman Abdullah daripada PAS.

Dengan meramalkan nama-nama seperti Zuber, bekas calon BN pada 1990 yang kalah kepada calon Semangat 46 Datuk Abdul Manan Othman, yang kini Ketua Penerangan sebagai calon, ramai yang terkeliru dengan Mohd Zuber Embong.

Mohd Zuber Embong, yang tidak aktif dalam politik, tetapi kini merupakan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu. Mohd Zuber ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Mohd Zuber difahamkan kini berada di Putrajaya kerana urusan kerjanya dikatakan memberitahu rakan-rakan, beliau tidak mungkin dipilih.

Katanya hingga petang semalam beliau tidak dihubungi sesiapa dan peluangnya sudah tertutup.

Lalu saya ingin kembali kepada apa yang sudah cuba di hintkan oleh Najib mengenai 'Telur yang direbus tidak akan direbus lagi...'”

Dengan membawa maksud calon yang sudah bertanding dalam pilihanraya, tidak akan dipilih bertanding lagi, bermakna Zuber dan Roslan yang pernah bertanding, pastinya tidak dipilih.

Perkataan ‘telor’ ini diucapkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak Sabtu minggu lalu ketika berucap pada majlis Penutup Pemukiman UMNO Terengganu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya P036 Parlimen Kuala Terengganu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu.

Yang tinggal kini Wan Ahmad dan Mohd Zuber sahaja. Dan dengan Mohd Zuber mengatakan beliau tidak dipanggil atau diberitahu, kini tinggal Wan Ahmad Farid sahaja.

Kalau ikut cerita ‘telor’ Najib itu, kini sahlah Wan Farid akan terpilih!

SIAPA OH SIAPA?

(ISU SABTU)

Berkatalah kenalan lama saya sejak ketika saya bekerja membuat laporan untuk Berita Harian di Bukit Chawi, Kampung Gajah pada 1983, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, kini Ahli Parlimen Pasir Salak, bahawa ahli Umno perlu memastikan pemimpin mereka berani berjuang dan tegas dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.

Saya tidak tahulah untuk apa seseorang menjadi pemimpin UMNO, termasuk Tajuddin sendiri, jika mereka takut menegakkan hak Melayu.

Soalnya, kenapa ahli UMNO yang perlu memastikan pemimpin mereka berani - kerana yang memimpin sepatutnya sedar tanggungjawab mereka, bukannya disedarkan.

Kegagalan pemimpin UMNO untuk melindungi dan memperjuangkan kepentingan Melayu adalah perbuatan dayus dan mereka tidak layak menjadi pemimpin.

Jadi, pandangan Tajuddin bahawa ahli UMNO perlu memastikan pemimpin berani berjuang tidak timbul.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bercakap di Kuala Terengganu 13 Disember lalu dengan jelas mengatakan, walau apa perubahan yang akan dilakukan untuk membela nasib rakyat, apa yang penting adalah ia harus bermula daripada pemimpin yang benar-benar berkebolehan melaksanakannya.

Ini kerana katanya, sifat kepimpinan yang ada pada pemimpin itu akan melahirkan pelbagai lagi idea dan wawasan yang akhirnya akan memberi keuntungan dan kesenangan kepada rakyat jelata.

"Bermula daripada kepimpinan ia akan mencetuskan idea dan akan menghasilkan perancangan yang akan menentukan wawasan yang seterusnya menghasilkan program dan dasar dan pelaksanaan program serta dasar itu akan membawa keuntungan kepada rakyat," kata beliau.

Tajuddin bercakap pada Forum “Hak-hak Melayu di Bawah Artikel 153” anjuran Umno Bahagian Shah Alam, kelmarin, menyatakan kebimbangannya kerana anggota parti peringkat bawahan seperti beliau akan “terlebih cakap” mengenai perkara itu dan akan dianggap sebagai tidak menghormati pemimpin.

Datuk Tajuddin - dalam menegakkan UMNO, buat apa takut dan berkata yang bernar bukan tidak menghormati pemimpin.

Kini salah satu isunya sekarang ialah rasuah. Tajuddin juga perlu bercakap isu ini.
Kenapa Tajuddin tidak menyatakan dengan jelas bahawa ahli dan pemimpin Umno perlu memastikan pemimpin mereka berani berjuang dan tegas dalam mendedah dan menolak serta memerangi rasuah demi mempertahan dan menegakkan hak keistimewaan orang Melayu?

Jelas seperti diingatkan oleh ramai pemimpin kita bahawa jika rasuah berleluasa, UMNO akan lingkup. Bila lingkup tak ada maknanya lagi. Mahu perjuangkan hak keistimewaan Melayu? Ketika itu orang kata “Pooraanh, Pi Daa…”

Ambillah iktibar bagaimana mulut pemimpin yang dulu bising, kadangkala cabul seperti UMNO Selangor, Perak dan Kedah – selepas kalah, masih boleh ‘bercakap sesuka hati’ seperti dulu?

Dulu boleh makin orang, marah orang, arah orang dan hadiahkan penyapu kepada orang, sekarang bila kalah, silap-silap jadi George Bush dibaling kasut pula orang orang kepada kita.

Jadi apabila timbul isu raja persuah yang sering dilindungi. Kita tertanya-tanya siapa dan benarkah ada? Apakah dia pemimpin UMNO yang bercakap bukan main lagi menentang rasuah sebaliknya dia sebenarnya ‘kepala atau raja rasuah’?
Segala-galanya bermula dengan Politica (http://politica-net.blogspot.com) dan kemudian disambut oleh Kuda Kepang pada 16 Disember 2008 dengan tajuk “SIAPAKAH CALON TIMBALAN PRESIDEN UMNO YANG TERLIBAT DENGAN POLITIK WANG?”

Kata Datuk Ruhanie Ahmad, “hari ini (16 Disember) saya terbaca sebuah kisah panas mengenai rasuah politik dalam satu blog yang dipaparkan oleh Penggabung Suara.”

Blog yang dimaksudkan adalah Politica. Blog ini mendakwa, kononnya kini BPR menerima hampir 400 laporan mengenai rasuah yang membabitkan salah seorang calon Timbalan Presiden UMNO.

Kata Politica, BPR memang mahu menyiasat laporan-laporan berkenaan. Bagaimanapun, BPR dikatakan dihalang oleh seorang individu tertentu daripada meneruskan siasatannya.

“Siapakah calon yang terbabit, siapakah individu tertentu yang dikatakan menghalang siasatan, dan adakah dakwaan ini benar?” tanya Ruhanie.

Kelmarin, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau mempunyai bukti lengkap perbuaatan rasuah seorang calon Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac ini.

Menurut Saifuddin, beliau ada bukti di mana pertemuan tersebut diadakan dan berapa yang bakal diperolehi - RM500 seminggu serta tiket penerbangan dan penginapan hotel percuma.

Siapa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Politica dan siapa pula sasaran Saifuddin Nasution?

Laporan Pink Turtle yang memetik blog Penarik Beca dengan tajuk “Kenapa orang Muhyiddin marah pendedahan Saifuddin?” menyebut, Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa beliau mempunyai bukti lengkap perbuaatan rasuah seorang calon Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac ini.

Menurut Saifuddin, beliau ada bukti di mana pertemuan tersebut diadakan dan berapa yang bakal diperolehi - RM500 seminggu serta tiket penerbangan dan penginapan hotel percuma.

Apa yang menyebabkan saya terkejut beruk ialah perihal orang-orang Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengamuk dengan pendedahan Saifuddin itu. Mereka mendakwa, orang yang dituduh oleh Saifuddin itu ialah Muhyiddin. Rasa tak percaya pulak sebab Muhyiddin selalu membuat kenyataan menentang rasuah. Kalau Muhyiddin tak rasuah, mengapa seorang ketua bahagian yang juga orang kuatnya mengamuk? Penin, penin dengan Umno ni. Ya ayyuhallazina Umno!

http://mutaligat.blogspot.com yang memetik Timbalan Pesuruhjaya PAS 2, Negeri Melaka, Haji Bakrin Sidek pula berkata dakwaan bahawa terdapat agen calon Timbalan Presiden Umno melakukan rasuah dengan menyuap perwakilan untuk dicalonkan pada mesyuarat agung bahagian Umno tertentu merupakan dakwaan yang serius dan mesti disiasat.

“Siasatan mesti dilakukan oleh BPR bukan hanya jawatankuasa siasatan dan tatatertib Umno sahaja kerana ianya adalah bersabit dengan kesalahan rasuah. Jika terdapat bukti yang kukuh individu terbabit dan calon Timbalan Presiden Umno tersebut mesti dihadapkan ke mahkamah.”

“Saya memang tidak pelik dengan dakwaan itu kerana rata-rata pemimpin dan ahli-ahli Umno memang mengakui akan ujudnya gejala jijik rasuah dan politik wang pada pemilihan Umno baru-baru ini. malah sekarang ini gejala ini berterusan sehingga ke hari persidangan agung Umno Mac 2009 nanti” kata Hj Bakrin.

Beliau juga menjelaskan bahawa pemimpin-pemimpin Umno seperti Ahli majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga mendakwa bahawa gejala rasuah didalam Umno sudah sampai ke tahap kronik.

Hakikatnya pemimpin seperti Tajuddin dan yang lain, bercakaplah pasal rasuah atau salah guna kuasa supaya UMNO tidak dipimpin oleh perasuah dan mereka yang salah guna kuasa untuk kepentingan diri.

Hanya melalui UMNO yang bersih dan dihormati perjuangan untuk menegakkan Melayu dan Bumiputera serta tuntutan akan dihormati dan disokong.

Kedudukan sekarang, persepsi ialah sokong apa UMNO – sebuah parti yang korup dan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri.

Hapuskan rasuah dan bersihkan UMNO untuk parti dan pendokongnya – orang Melayu supaya dihormati. Selepas itu apa sahaja perjuangan akan menjadi mudah kerana parti memang memperjuangkan kepentingan Melayu dan rakyat Malaysia amnya.

Dan dengan cara ini Tajuddin sendiri akan dilihat bersih bukan seperti sekarang, yang tidak melakukan rasuah pun terpalit sama, apa lagi kepada yang melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Maaf Datuk Tajuddin –menjadikan kenyataan Datuk sebagai rujukan untuk perbincangan.