Robert Rennie...isu politik dalaman menjadi punca. |
Penganalisis
kewangan luar negara berpendapat ‘isu
politik dalaman Malaysia’ serta skandal 1MDB mengganggu nilai Ringgit sejak 2015 tetapi
kenapa kita menolaknya pada hal ia penting bagi memperbaiki dan
memperteguhkan nilai Ringgit?
Ada perbezaan pendapat antara penganalisis
tempatan dengan antarabangsa dalam isu kejatuhan nilai Ringgit.
Pada ketika penganalisis dalaman bersikap positif penganalisis antarabangsa memberi amaran jika keadaan politik dan persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir suku pertama dan berada pada tahap 4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Biarpun wujud perbezaan, secara
umumnya mereka bersetuju, untuk tempoh suku pertama 2017, Ringgit akan terus berada
dalam kedudukan yang lebih lemah berbanding akhir Disember lalu.
Kedudukan pada hari kedua dagangan semalam mengesahkan
pendapat itu apabila nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) terus
berdepan tekanan yang menyaksikan mata
wang tempatan itu susut melepasi paras RM4.500 bagi satu Dolar pada jam 11.42 pagi.
Kedudukan paling lemah Ringgit sejak negara dilanda
krisis kewangan Asia 1998 itu terus terbabas untuk 40 minit seterusnya mencecah
paras RM4.5002 seDolar pada jam 12.22 tengahari, sekali gus menjadi tular dalam
kalangan rakyat negara ini yang berkongsi mesej ringkas dalam media sosial.
Bagaimanapun, Ringgit kembali ke bawah paras 4.4998 dalam
dagangan sekitar 1.54 tengah hari dan ditutup pada paras 4.4975 pada jam 6
petang semalam, berbanding ditutup 4.4938 kelmarin.
Kelmarin, Ringgit
dibuka pada 4.48 sementara bulan lalu Ringgit
jatuh ke tahap yang paling rendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998 dan sepanjang
tahun lalu, Ringgit dalam keadaan lemah berbanding Dolar Amerika iaitu
kejatuhan purata 4.24 peratus.
Pada ketika penganalisis tempatan hanya menumpukan kepada
sebab-sebab luaran, penganalisis luar mengatakan secara ‘totok’ mengenai isu
dalaman yang terus menjadi ancaman kepada pemulihan nilai Ringgit.
Kenapa penganalisis dalaman tidak berani menyebut isu
dalaman sebaliknya hanya melihat faktor luaran?
Kenapa tidak terus sahaja atau 'straight to the point' kepada punca sebenarnya?
Yang sering disebut ialah Ringgit menjejaki corak
pergerakan mata wang serantau yang turut terkesan pengukuhan luar biasa Dolar AS
atau ‘...unit tempatan serta mata wang lain di Asia susut apabila pulangan bon
AS dan Dolar AS meningkat disebabkan faktor cadangan dasar ekonomi dan
perdagangan negara itu oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang baharu
dipilih’.
Menurut penganalisis tempatan, kemungkinan akan ada
sedikit cahaya di hujung terowong bagi nilai Ringgit melalui dasar baru Trump
yang akan memulakan tugasnya secara rasmi sebagai Presiden AS dijangkakan pada
20 Januari depan.
Selain itu harapan positif turut diletakkan kepada
langkah kerajaan melalui Bank Negara untuk memulih dan memperkukuhkan semula
nilai Ringgit.
Berbeza dengan penganalisis luar, mereka menyatakan satu
lagi alasan, iaitu ‘isu politik dalaman Malaysia’, termasuk isu 1Malaysia Development Bank (1MDB) yang turut penting mengganggu nilai Ringgit.
Apakah dengan menyebut sebegini mereka cuba menjatuhkan
Perdana Menteri Malaysia, menganggu sistem politik Malaysia atau cuba menggugat
kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini?
Bukankah apa yang diperkatakan itu semata-mata dalam
konteks kewangan, perbankan, pertukaran asing dan kedudukan ekonomi yang sedang
berlaku di Malaysia?
Kenapa kita tidak mahu menerima kelemahan untuk
memperbaiki nilai Ringgit yang banyak menyusahkan rakyat akibat kenaikan harga
barangan keperluan, barangan import untuk makanan dan industry dan berbagai lagi?
Persoalan juga kenapa prestasi Ringgit semakin lesu
menjelang 2013 dan pada Julai 2015, ia terus menjunam melepasi peringkat kadar
tambatannya pada RM3.80?
Apapun antara penganalisis dalam negara dan luar negara,
mereka tetap bersetuju mengenai satu perkara - bahawa prestasi Ringgit akan
terus lemah dan dijangka berterusan sehingga suku pertama 2017.
Ketua Ahli Ekonomi Jabatan Penyelidikan MIDF Amanah
Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor, semalam meramalkan demikian
walaupun optimis Ringgit akan mula kembali ke paras yang lebih baik berbanding Dolar
AS selepas Trump memulakan tugas rasminya.
Menurutnya pasaran akan dapat menilai dasar yang akan dibentangkan
Oleh Trump. "Kami masih mengekalkan unjuran Ringgit akan berada pada paras
purata 4.20 berbanding Dolar AS bagi 2017," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi, Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd
Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat, dalam tempoh terdekat, nilai Ringgit berbanding Dolar
dijangka berlegar pada paras sekitar 4.45 hingga 4.5.
Beliau turut
optimis bahawa Ringgit akan menunjukkan corak aliran mengukuh setelah
ketidakpastian terhadap kadar faedah di AS dan dasar ekonomi Trump akan menjadi
lebih jelas apabila melangkah dalam tempoh seterusnya pada tahun ini.
Justeru, beliau berkata pihaknya mengunjurkan nilai Ringgit
akan mengukuh sekitar 4.1 dan 4.2 pada separuh kedua 2017.
Kamaruddin melihat langkah yang dijalankan oleh Bank
Negara Malaysia (BNM) dalam menyediakan pasaran mata wang domestik yang lebih
cekap, akan dapat membantu menstabilkan
nilai Ringgit.
Menjelang penghujung tahun minggu lalu (28 Disember
2016), dilaporkan gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (NDF)
sudah mula reda. Ia seiring dengan
peningkatan mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan pada
hujung tahun lalu.
Dalam keadaan Dolar yang semakin kukuh dan persekitaran
yang terus tidak pasti, pergerakan intra hari Ringgit berpurata pada 90 mata
berbanding 228 mata pada November dan paras tertinggi pada 600 mata 28
Disember lalu,” demikian kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC).
Malah dilaporkan, wujud keadaan mudah tunai dalam pasaran
FX tempatan yang mencatatkan jumlah purata harian kira-kira AS$9 bilion (RM43.2
bilion) bagi semua transaksi menjelang akhir tahun lalu berbanding purata AS$8
bilion (RM38.4 bilion) antara Januari hingga November 2016.
Memandangkan permintaan dan penawaran Dolar dan Ringgit
dijajarkan semula, pasaran FX tempatan diramalkan akan lebih stabil dan akan membawa kepada kos
perlindungan nilai yang lebih baik. Ini akan memudahkan perniagaan mengurus
risiko FX mereka.
Langkah yang dilaksanakan oleh BNM awal Disember lalu
yang mengumumkan kerjasama dengan FMC diharapkan mampu memulihkan kedudukan
nilai Ringgit dan membawa harapan kepada prestasi lebih baik bagi 2017.
Bagaimanapun, ramalan penganalisis luar melihat Ringgit
tidak akan menokok nilainya. Sebaliknya ia dijangka akan terus lemah antara
Januari ini dan Mac akan datang diakibatkan kebimbangan risiko luar dan isu-isu
domestik (saya ulangi isu-isu domestik) .
Menurut penganalisis Westpac Inc, kombinasi faktor luaran dan isu dalaman akan mempengaruhi
kedudukan nilai Ringgit dalam tempoh berkenaan.
Robert Rennie, Ketua Strategi Pasaran Dunia di Westpac, memberitahu
CNBC's semalam, “pada dalaman
(Malaysia), kini mempunyai isu politik”. Berikutan itu beliau menjangkakan Ringgit
akan menjadi 4.55 berbanding Dolar pada
akhir suku pertama 2017.
Pada peringkat antarabangsa pula Rennie menyatakan
kenaikan kadar faedah di AS akan memberikan kesan kepada pasaran membangun
Asia, termasuk Malaysia. “Sekiranya AS menaikkan kadar faedah, dan jika ia
langkah berterusan...ke arah 3 (peratus) atau mungkin lebih tinggi, kita akan
dapat melihat lebih banyak pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka dari
Asia.”
Malah Pengarah Urusan dan ketua penyelidikan ekonomi Asia
HSBC Frederic Neumann, pula berpendapat penguncupan
lebihan akaun semasa di negara ini akan
menyebabkan kedudukan Ringgit dalam keadaan semakin tidak menentu tahun ini.
Laporan CNBC menyebut, dalam kedudukan di mana Malaysia
bergelut dengan skandal dana 1MDB, ia akan terus menggoncang keyakinan pelabur
asing, berikutan siasatan global mengenai wujudnya perbuatan ‘mencuri dan
merompak’ daripada dana berkenaan.
Mungkin langkah segera yang sewajarnya dilakukan kerajaan
seperti dicadangkan oleh pakar kewangan antarabangsa ialah atasi segera kemelut dalaman yang berlaku dalam negara, khususnya
isu 1MDB yang menjadi punca kebimbangan kepada pelabur asing.
Putrajaya tidak boleh berdolak-dalih lagi mengenai
perkara ini kerana dengan memperjudikan nilai Ringgit, rakyat akan marah dan
bangkit menolak kerajaan ketika pilihan raya umum semakin hampir.
Selain itu seperti dianjurkan Dr Kamaruddin, di sebalik
kedudukan postif hasil dasar diperkenalkan oleh BNM, adalah amat penting bagi
pihak kerajaan melaksanakan dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang
sentiasa mapan.
Melaluinya, sekali gus dapat menterjemahkan keuntungan
syarikat sama ada kecil mahupun yang besar.
Menurutnya, kerajaan
mungkin boleh menimbang semula strategi konsolidasi fiskal tatkala sentimen di
pihak swasta yang lemah.
Memperbaiki kedudukan dan memulihkan nilai Ringgit perlu
dijadikan antara keutamaan kerajaan kerana amat nyata ia sangat membimbangkan.
Ternyata pasaran yang memulakan dagangan hari pertama
2017 kelmarin tetap dalam dagangan lemah berbanding Dolar AS .
Realitinya ialah kedudukan Dolar berbanding Ringgit
meningkat 0.0055 atau 0.12 peratus
kepada 4.4900 kelmarin berbanding 4.4845
pada dagangan terakhirnya pada 2016. Ringgit pernah mencecah pada kedudukan 4.71
pada Januari 1998 dan rekod terendahnya pada 2.10 pada Oktober 1978.
Dan semalam, Ringgit ditutup rendah lagi apabila minat
pelabur beralih kepada Dolar susulan data sektor perkilangan AS yang kukuh.
Pada jam 6 petang, unit tempatan didagangkan pada 4.4960/4990 berbanding Dolar
AS daripada 4.4900/4950 sebelumnya.
Peniaga berkata, pelabur juga bimbang berhubung unjuran
kenaikan kadar faedah AS tahun ini.
Malah perkembangan mutakhir dan jika keadaan politik dan
persepsi tidak berubah, kedudukan Ringgit dijangka didagangkan 4.52 pada akhir
suku pertama dan menurut penganalisis di Trading Economics menjangkakan ia berada pada 4.66 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Sengan faktor luaran dan dalaman yang tidak menentu akan
terus mempengaruhi pergerakan Ringgit sekali lagi tahun ini, cadangan
penganalisis luar dan punca kejatuhan Ringgit yang disebut mereka jangan
dipandang sebelah mata.
Jika kerajaan berdegil, rakyat perlu mendesak kerajaan
melakukan tindakan sewajarnya bagi memperbetulkan persepsi mengenai suasana
politik dan ekonomi Malaysia kerana kejatuhan nilai Ringgit yang berterusan
akan memburukkan lagi kesusahan rakyat kebanyakan di negara ini.