Presiden PAS
Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan berbentuk penegasan dan soalan di
Mingguan Malaysia semalam apabila mengatakan
mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk mentadbir Malaysia, perlu
memilih antara bekerjasama dengan PAS atau UMNO.
Katanya, kuasa
politik orang Melayu ada pada PAS dan UMNO.
Atau dengan
bertanding 80 kerusi Parlimen kelak pada Pilihan Raya Umum ke-14, PAS merasakan
ia akan menang besar?
“Kita terbuka
kepada mana-mana parti nak bersama dengan PAS, syaratnya terima Islam,"
katanya.
Syaratnya hanya
terima Islam?
Kenyataan ini biarpun nampak umum tetapi boleh dikaitkan dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Persoalannya, apakah dalam kepala Hadi, PPBM masih tidak terima Islam?
Apa bendanya
terima Islam itu?
Sistem
politiknya? Perundangannya? Ekonominya? Keadilannya? Integritinya atau cara
penyelesaian cabaran dan penyelesaian masalah ummah ketika ini dan masa
hadapan?
Malah kata
Hadi, pada Muktamar PAS akhir bulan ini, beliau akan menyampaikan mesej kepada
perwakilan dan rakyat mengenai aspirasi PAS untuk "selamatkan negara
dengan Islam”.
"Ini
kerana, selepas terbuktinya kegagalan agama dan ideologi lain dalam
menyelesaikan masalah ekonomi, politik dan moral, kini sudah tiba masanya Islam
diberi peluang untuk menyelesaikan masalah negara.
"Kita mahu
tukar sistem yang sedia ada dengan sistem Islam, tidak cukup sekadar tukar
individu semata-mata," katanya.
Ternyata
kenyataan sebegini sudah menjadi retorik dan sudah bertahun-tahun
dilaung-laungkan serta diuang-ualang, namun penolakan orang Melayu- Islam di Terengganu dan Kedah
terhadap PAS menggambarkan semuanya!
Sejujurnya,
apakah dengan mengatakan yang boleh menerima Islam ini PAS secara rasmi menerima UMNO? Atau Hadi masih
bermain kata-kata untuk menguji PPBM sejauh mana ia bersedia untuk berpakat
dengan PAS?
Jika Hadi
mengatakan mana-mana parti politik mahu mentadbir Malaysia mesti bekerjasama
dengan PAS dan UMNO, apakah bagi PAS, UMNO sudah menepati syarat serta syariat yang dikatakan
oleh beliau itu.
Dengan kedudukan
PAS yang kecil dan mungkin paling banyak akan menang hanya 25 kerusi (walaupun
bertanding 80 kertusi) Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, bolehkah
PAS menjadi kuasa yang kuat untuk mempengaruhi UMNO sekiranya ia bekerjasama
dengan UMNO?
Tidakkah pelik
jika UMNO yang mungkin menang paling banyak pun sekitar 70 kerusi daripada 86
kerusi yang dimiliki ketika ini, akan
tunduk kepada ‘kehendak PAS’?
Begitu juga
jika PPBM yang mungkin bertanding 80 kerusi dan menang sekurang-kurangnya 65
kerusi Parlimen, apakah mampu PAS memaksa PPBM untuk mengikut seleranya?
isunya juga,
jika kerajaan BN kalah, apakah PAS masih mahu ‘berkongsi kuasa dengan UMNO’
yang selepas ini tidak lagi relevan?
Satu perkara
lagi, apakah PAS menyamakan UMNO dan PPBM dari segi dasar Islam dan
syarat-syarat yang PAS mahukan?
Apakah PAS
menganggap pemimpin PPBM perasuah, perompak, penipu dan ‘pembazir’ seperti
kerajaan BN/UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Razak sekiranya Pakatan Harapan dapat membentuk
kerajaan?
Apakah pemimpin
PAS juga menyamakan perjuangan PPBM dengan UMNO dalam konteks memartabatkan
Islam dan Melayu di pasca PRU14?
Juga apakah PAS
melihat pemimpin PPBM dan UMNO ‘2 kali 5’ dalam merangka dasar yang saksama dan
keadilan untuk semua rakyat ?
Juga tidak
nampakkah oleh Hadi perbezaan pemimpin UMNO dan PPBM dalam memerangi rasuah.
menentang pembaziran dan ketirisan pembangunan yang menggunakan wang rakyat, kenaikan harga barangan
keperluan isi rumah, pendapatan semakin merosot, cukai yang menekan rakyat,
hutang negara dan masalah lain termasuk GST?
Jika Hadi tidak
dapat menyelami ini semua, patutlah Hadi menyamakan UMNO dan PPBM.
Tetapi
sekiranya Hadi mahu berlaku adil kepada rakyat jelata, PAS perlu menilai
kesemua ini dan perlulah membandingkan
UMNO dan PPBM menggunakan ukuran yang adil dan berpadanan.
Juga tidak adil
jika Hadi mengatakan PPBM seperti UMNO sedangkan PPBM yang mahukan ‘Selamatkan
Malaysia, Selamatkan Rakyat’ sedang berusaha untuk memegang kuasa.
Sewajarnya Hadi
dan PAS sudah fahami betapa kepimpinan Najib dan BN, termasuk UMNO yang begitu teruk
akhir-akhir ini, maka wajarlah beliau bekerjasama dengan PPBM untuk tundukkan
BN, bukan sebaliknya.
Menganggap
BN/UMNO sama dengan PPBM tidak adil kepada parti yang dipengerusikan oleh Tun
Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat berbeza dengan perjuangan dan matamat UMNO ketika ini..
Mereka
memperjuangkan ‘Selamatkan Malaysia’ untuk menjadikan negara ini kembali
bermaruah dan selesa untuk didiami.
Sewajarna ada
pertimbangan adil menurut Islam oleh pemimpin PAS dengan siapa ia patut bekerjasama –
UMNO atau PPBM - bukan kerana
sebab-sebab lain yang Hadi sendiri tahu punca dan persoalannya.
Selain itu,
Hadi tidak wajar menyalahkan PPBM sebagai memecahkan undi orang Melayu.
Mereka yang
tidak sanggup lagi bersekongkol dengan ‘pencuri, perompak dan penyamun’ perlu
lari daripada kumpulan berkenaan dan jika terpaksa memecahkan undi Melayu,
terpaksalah mereka melakukan.
Apakah bagi
Hadi, pemimpin dan ahli PPBM yang menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan
amalan kronisme perlu berdiam diri atau ‘buat bodoh sahaja’ dalam BN/UMNO?
PPBM sudah
menghulurkan tangan kepada PAS untuk memerangi kepimpinan Najib tetapi
sekiranya PAS merasakan ia masih mahu bersekongkol dengan Najib dan partinya,
apa boleh dilakukan oleh PPBM?
Dedah sudah,
beritahu sudah dan ajak pun sudah.
Jika PAS
memilih UMNO, itu kehendak dan jalan
yang dipilihnya.
Namun
mengharapkan pemimpin dan ahli PPBM untuk menerima Najib yang menjadikan negara
ini sebagai Kleptokrasi, tidak mungkin untuk selama-lamanya.
Persoalannya,
apakah perjuangan menentang rasuah, penindasan, kezaliman kepada rakyat,
menjatuhkan maruah negara dan rakyat serta pembaziran dan ketirisan itu bukan
yang disuruh oleh Islam?
Bukankah ini juga perjuangan PAS?
Apakah Islam
itu hanya berkisar sekitar pindaan Akta 355 sahaja dan yang lain tidak penting
dalam menegakkan keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia?
Kerana itu
pilihan PAS sewajarnya adalah PPBM, bukan UMNO dan begitulah sebaliknya.