Thursday, November 19, 2015

PAS ISYTIHAR JADI PEMBANGKANG DI PULAU PINANG GARA-GARA ISU JKKK


"Ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini PAS turut menyumbang ke arah kemenangan DAP di negeri itu walaupun PAS hanya mempunyai sebuah kerusi dewan negeri, iaitu Permatang Pasir."
 - Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

Akhirnya selepas merasakan ia bagaikan 'melukut di tepi gantang', PAS umumkan jadi pembangkang di Pulau Pinang.

Baguslah kalau sudah sedar 'nasib untung berkahwin dengan DAP'

Ia juga sebagai susulan hampir 300 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) daripada PAS dipecat di negeri berkenaan.

Bukan letak jawatan atau menarik dirilah tu! Kenyataan PAS  Kepala Batas sebelum ini tidak betullah.


Menurut PAS,  langkah kerajaan Pakatan Harapan itu tidak memberikan manfaat kerana mungkin tiada pengganti bagi membolehkan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat.

PAS megatakan, ketika bersama Pakatan Rakyat sebelum ini parti itu turut menyumbang ke arah kemenangan DAP di negeri itu walaupun PAS hanya mempunyai sebuah kerusi dewan negeri, iaitu Permatang Pasir yang disandangoleh Datuk Mohd Salleh Man Mat Aji.

Tanda-tanda PAS akan menjadi pembangkang terserlah apabila pada 16 November lalu, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah (BN-Teluk Bahang) meminta Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang menentukan kedudukan kerusi ADUN berkenaan.

Langkah itu perlu kerana Salleh Man bukan lagi berada dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.

Mohd Yusni
Beliau berkata, PAS hanya  menyertai PR dan berikutan perubahan gabungan baharu yang memasukkan Parti Amanah Negara (AMANAH), kedudukan ADUN PAS  itu sepatutnya sudah diubah.

Salleh Man pula menafikan desas desus kononnya dia akan meninggalkan PAS dan menyertai AMANAH.

“Saya menafikan akan meninggalkan PAS dan akan sertai AMANAH. Saya adalah Adun Pas dan ahli kerajaan. Saya akan bersama dengan Kerajaan Pulau Pinang,” katanya kepada media ketika ditemui di luar dewan di Sidang DUN 16 November lalu.

Bercakap dalam sidang media di lobi  Parlimen  hari ini, Setiausaha Agong PAS,  Datuk Takiyuddin Hassan  menafikan akan menyertai UMNO, sebuah lagi parti pembangkang di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Rashid Hasnon semalam menjelaskan anggota PAS yang memegang jawatan dalam JKKK, yang baru-baru ini melepaskan jawatan, sebenarnya dipecat.

Katanya, kekosongan itu akan digantikan dengan anggota parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH), yang juga sekutu baru DAP dan PKR di peringkat kebangsaan.

Rashid berkata kerajaan negeri telah mulakan proses menamatkan perkhidmatan anggota PAS itu kerana mereka tidak dapat melaksanakan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang.

Beliau berkata keputusan itu membabitkan 293 anggota JKKK. Setiap jawatankuasa mempunyai kira-kira 15 anggota.

Mengenai isu JKKK berkenaan, PAS negeri berkata Kerajaan Pulau Pinang berbohong berhubung pemecatan 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) di kalangan ahli PAS di Parlimen Kepala Batas.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah berkata, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon berhubung surat pemecatan yang diserahkan kepada 300 ahli JKKK sama sekali tidak benar.

"PAS negeri berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak berbohong kepada rakyat kononnya 300 ahli JKKK dari kalangan ahli dan pemimpin Pas telah dipecat sepanjang Oktober lalu. Ini kerana, ramai di kalangan mereka tidak menerima surat pemecatan dari Kerajaan Pulau Pinang.

"Jika tidak serahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong mengatakan semua 300 ahli JKKK itu dipecat? Lebih mengecewakan, Kerajaan Pulau Pinang dilihat seolah-olah 'segan silu' menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK dari kalangan ahli dan pemimpin Pas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pas negeri bersedia memberi rekod sebenar jumlah ahli Pas yang menjadi ahli JKKK di negeri ini.

"Kerajaan Pulau Pinang tidak memaklumkan jumlah sebenar ahli JKKK di kalangan ahli Pas. Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli PAS negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK.

"Kenapa 783 orang lagi dibiarkan? Adakah disembunyikan kuota PKR dan DAP? Di sesetengah tempat, semua JKKK itu adalah ahli PAS yang memegang jawatan Pengerusi, Setiausaha serta seluruh ahli jawatankuasanya. Jika Kerajaan Pulau Pinang tiada rekod terperinci, saya bersedia mendedahkannya nanti," katanya.

Mohd Yusni berkata,  PAS negeri sudah lama mengambil keputusan untuk tidak bersama-sama Kerajaan Pulau Pinang selepas mengisytiharkan sebagai Kerajaan Pakatan Harapan.

"Pas negeri dari awal lagi iaitu sejak penubuhan Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama-sama di dalam pentadbiran kerajaan negeri. Bukan sahaja di kalangan pengerusi dan setiausaha JKKK malah di kalangan semua peringkat jawatankuasa di semua kawasan yang terlibat.

"Kenyataan Mohd Rashid mengatakan 300  ahli JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) tidak relevan lagi kepada PAS negeri.

Bagi mewakili PAS negeri, saya berharap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang lebih telus serta lebih berintegriti dalam urusan tadbir mereka," katanya.

Mohd Yusni berkata, tindakan Mohd Rashid mengeluarkan kenyataan berhubung pemecatan ahli JKKK itu menyerlahkan sisi yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab, jauh dari realiti sebenar yang sedang berlaku di Pulau Pinang.

Peguam yang juga Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin. bagaimanapun berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang memecat Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) daripada Pas adalah hak kerajaan negeri.

Hanipa berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Mohd Rashid Hasnon yang mengatakan JKKK dari kawasan pilihan raya yang ditandingi oleh Pas ditamatkan perkhidmatan mereka bulan lalu.

Hanipa berkata tindakan itu selaras dengan pendirian kerajaan Pulau Pinang kini yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.

‎"Kita tidak boleh hendak buat apalah, kerajaan negeri berhak untuk  mengantikan mana-mana orang yang dipecat sebab Pakatan Rakyat sudah tiada lagi, kerajaan Pulau Pinang umum kini menerajui kerajaan Pakatan Harapan.

"Dalam Pakatan Harapan ini Pas tiada, oleh itu  macam mana Pas hendak berada dalam itu, saya rasa ia lebih kepada soal polisi kerajaan negeri itu," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.


Takiyuddin menjelaskan, dengan apa yang berlaku sekarang, PAS akan bertindak sebagai pembangkang di negeri Pulau Mutiara itu.