Tuesday, November 25, 2008

AMALAN FIZIKAL YOGA OK!

Kalau saya tidak silap dalam kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) 22 November 2008 yang mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga, jelas menyebut amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan.

Jelas MFK sudah mengamalkan sikap terbukanya.

Juga jelas, MFK hanya menasihat umat Islam agar menjauhi amalan yoga meskipun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

‘Kalau setakat kita duduk macam yoga itu tidak ada masalah, lagi pun ia ada beratus jenis pergerakan, tetapi masalahnya amalan senaman itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem yoga. “‘Amalan fizikal itu hanya peringkat pertama, kita minta umat Islam berhati-hati, takut mereka tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh jadi membawa kepada kesesatan,” tegas Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Loud and clear!

MFK juga mengatakan amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

Jadi apabila Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin semalam mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman yoga yang diumumkan baru-baru ini dengan mengatakan MFK jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif, ia mengundang polimik.

Dr Asri nampak bersetuju dengan MFK bahawa ada unsur agama lain dalam yoga tetapi berpendapat ‘tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan’.

Dr Asri yang difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau, wajar mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada MFK.

Memberi satu lagi pandangan kedua (second opinion) tentang fatwa 'yoga' wajar namun dengan sudah jelas dinyatakan oleh Dr ASbdul Shukor bahawa - amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya, tidak menjadi kesalahan

- bukankah ia suatu suatu alternatif?

Dr Asri seperti dilaporkan mStar semalam meminta supaya ditanggalkan yang bertentangan sahaja, sama ada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Dan beliau meminta dikekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

Jika Dr Asri bimbang bahawa fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu rigid dan berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga yang baik untuk kebaikan kesihatan, kenyataan Dr Asri ini adalah ulasan biasa jika tidak diulas oleh DR Asri pun tidak mengapa.

Jika benar Dr Asri tidak menghadiri mesyuarat MFK dan meminta majlis itu tidak terlalu kaku, ia perbuatan yang tidak adil kerana tidak mengetahui secara jelas, biarpun mungkin mendapat maklumat daripada orang lain.

Benar seperti dikatakan Dr Abdul Shukor, bahawa “‘Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini, kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga. Soal sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri dan dari segi penguatkuasaan, itu bukan bidang kita.”

Apa pun nasihat Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah bahawa sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum sangat baik.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.

Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa juga menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang dengan mengamalkan yoga boleh menyatukan mereka dengan Tuhan.

Yoga yang menjadi amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

SHAFIE-JANGAN SAMPAI MELAKA TERJEJAS

Ada kewajarannya jika Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam menyatakan kebimbangannya Melaka juga akan menerima kesan jika Pulau Pinang ditarik sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sudah tiga kali Shafie memberi amaran bahawa sebarang pembangunan di tapak itu yang didapati tidak mematuhi garis panduan Unesco boleh mengakibatkan pengiktirafan tersebut ditarik balik.

Penasihat Wilayah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) bagi Asia Pasifik, Dr Richard Engelhardt dilaporkan media baru-baru ini sebagai berkata, status Tapak Warisan Dunia terancam di Georgetown selepas empat buah hotel melebihi 15 meter dibina di bandar raya itu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewajarnya mengambil iktibar bagaimana bandar Bordeaux di Perancis yang pernah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia pada 2007, kehilangan status itu tahun ini berikutan pembinaan jambatan Pertuis di bandar itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan berkata: “Penang perlu sedar tindakan mereka akan member kesan. Apa juga tindakan Penang akan memberikan kesan kepada Melaka.”

“Bagaimana dia (Guan Eng) boleh mengatakan garis panduan tidak menyatakan secara jelas mengenai tapak warisan apabila Guan Eng sendiri dari Melaka. Dia serta isteri membantah terhadap kita (kerajaan negeri) apabila usaha dilakukan untuk mendapatkan status berkenaan?” tanya Mohd Ali.

Katanya, usaha mendapatkan pengiktirafan untuk Melaka mengambil masa selama lapan tahun.

Shafie berkata, pandangan ke arah tapak warisan juga diambil kira dan sekiranya pandangan ke arah tapak warisan terhalang, ia akan menjejaskan kedudukan pengiktirafan tapak berkenaan.
Beliau menjelaskan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia di beberapa negara telah ditarik balik akibat pembangunan yang tidak teratur dan ia tidak harus berlaku kepada Georgetown dan Melaka.

"Kebimbangan kita, jika pengiktirafan berkenaan ditarik, bukan hanya Pulau Pinang sahaja ditarik tetapi juga akan menjejaskan juga kedudukan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia," katanya.

Di Kuantan, 22 November lalu, Shafie mengingatkan Pulau Pinang dan Melaka supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan projek pembangunan moden di kawasan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia di kedua-dua negeri itu.

Projek pembangunan moden yang dibuat tanpa dirujuk kepada kerajaan Pusat boleh menyebabkan status Tapak Warisan Dunia ditarik balik kerana tidak ada jaminan bahawa status tapak warisan dunia akan kekal selama-lamanya.

Berikutan itu Shafie menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Melaka perlu mengambil langkah memelihara dan memulihara bandar raya Georgetown dan Melaka bagi mempertahankan status Tapak Warisan Dunia masing-masing.

Katanya, beliau telah menemui wakil kedua-dua kerajaan negeri itu hari ini bagi membincangkan kedudukan pengiktirafan Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia .

"Saya telah mengarahkan mereka melakukan beberapa perkara (bagi memelihara dan memulihara tapak berkenaan)," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Konservasi Warisan Kebudayaan Asia Pasifik 2008 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan butiran lanjut pertemuan tersebut.

Georgetown dan Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada Mesyuarat Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia (WHC) pada 7 Julai lepas.

Sementara itu Parti Gerakan kelmarin turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan hotel beberapa hari sebelum Georgetown diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Pengerusinya, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah meluluskan projek syarikat Bintang Holdings di bawah Kumpulan Low Yat yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan.

Tambahnya, antara empat projek yang dibangkitkan oleh Penasihat Wilayah UNESCO bagi Asia Pasifik, Dr. Richard Engelhardt, pembinaan hotel itu satu-satunya projek yang tidak dimaklumkan kepada wakil Jawatankuasa Warisan Dunia, Prof. David Lung semasa datang ke negeri ini untuk membuat penilaian.

“Lung tidak diberitahu mengenai pembinaan hotel ini berikutan kerajaan negeri BN dahulu sendiri tidak meluluskan projek itu kerana pihak pemaju tidak bersetuju untuk mengurangkan bangunan 24 tingkat kepada lapan tingkat bagi memenuhi garis panduan ditetapkan.

“Jadi, kita hanya mempersoalkan adakah projek ini yang dibangkitkan Richard sekali gus membahayakan pengiktirafan status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia kerana yang tiga projek lagi telah pun diketahui oleh Lung,'' katanya.

RIFIDAH, SHAHRIZAT HENTILAH MEMBEBEL

Baik henti membebel. Semakin melalut. Kedua-dua dah dapat bertanding dah!

Seorang pertahankan jawatan dan seorang lagi menginginkan jawatan. Kedua-duanya ‘demi UMNO’.

Lebih banyak bercakap akan membuka pekung di dada (?), baik duduk diam-diam. Mulut orang perempuan bahaya.

Perkemaskan saf dan tunggu hari ‘pesta tarik rambut’ Mac depan. Siapa menang kena buat kerja kuat. Yang tidak menang pun kena buat kerja kuat sebab awak pun bertanding, Cuma tidak bernasib baik.

Rafidah dan Shahrizat sudah menyatakan kenapa mereka bertanding dan kedua-duanya juga sudah menyatakan isi hati masing-masing. Dalam media pulak tu. Sampai muka depan akhbar berhari-hari.

Benar kata Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique agar semua pihak diminta tidak 'menelanjangkan' Pergerakan Wanita UMNO dengan menyebarkan keburukan dan fitnah terhadap Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.

Dibimbangi persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.

"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO .

Utusan Malaysia memetik beliau mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.

Halimah mendedahkan, golongan tersebut akan bertindak seolah-olah kumpulan pendesak yang memberi tekanan kepada Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan hingga memalukan sayap wanita itu.

Perdebatan mengenai pertandingan itu perlu dihentikan kerana semua anggota dan perwakilan sayap sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak bagi menerajui Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang UMNO.

Hakikatnya, kemelut Wanita UMNO jika dibiarkan akan bertambah parah.

Presiden UMNO kena bertindak. Buat ruling supaya kedua-duanya jangan bercakap banyak. Cakap hal nak bina UMNO lebih baik.

Nasib baik isu politik wang tidak melanda Wanita UMNO. Jawatan tinggi lain dalam UMNO dan Pemuda sudah dikaitkan dengan politik wang.

Kalau ada politik wang dalam Wanita UMNO lagi parah.

Habis segala batik, songket, beg tangan, jam tangan, alat solek, segala-galanyalah kata. Hanya mungkin tidak ialah tuala wanita.

Tak taulah UMNO zaman Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) ni macam-macam.
Terbuka sungguh, sampai terselak kain atas peha. Kalau macam itu baik pula orang yang pakai skrit seperti dalam Wanita MCA atau Gerakan atau MIC yang lagi hebat nampak perut tidak bergolak seperti Wanita UMNO.

AKHIRNYA SHAH RUKH KHAN SETUJU DATANG

(Rehat Minda2)

Bayangkan bagaimana agaknya jika Shah Rukh Khan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok.

Apakah dia akan lebih handsome daripada Datuk Seri Mohd Ali Rustam?

Ia bukan impian lagi dan Ketua Menteri Melaka itu kini boleh menarik nafas lega.

Shah Rukh Khan akan menjadi satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Di mana dan bila? Melaka pada 6 Disember 2008.
Kini ‘awan mendung yang meliputi’ isu ini sudah berarak pergi.

Shah Rukh Khan bersetuju datang ke Melaka pada 6 Disember ini untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Mohd Ali sebelum ini dikritik hebat kononnya pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan tidak pun menghargai penghargaan negeri berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata semalam Shah Rukh Khan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 7.30 pagi dan akan berada di Melaka selama sehari.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada Shah Rukh Khan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 10 pagi.

Dalam kenyataannya, Omar berkata pada majlis istiadat penganugerahan itu, Shah Rukh Khan akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok, satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke-70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Oktober lepas.

Katanya seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis istiadat penganugerahan berkenaan dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Omar berkata Shah Rukh Khan akan turut melawat beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan orang ramai boleh menemui pelakon itu di tempat-tempat berkenaan.

Katanya artis itu dijadual melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang).

Beliau berkata Shah Rukh Khan kemudiannya akan ke KLIA untuk penerbangan balik ke Mumbai pada 8 malam hari sama.