Tuesday, November 25, 2008

SHAFIE-JANGAN SAMPAI MELAKA TERJEJAS

Ada kewajarannya jika Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam menyatakan kebimbangannya Melaka juga akan menerima kesan jika Pulau Pinang ditarik sebagai Tapak Warisan Dunia.

Sudah tiga kali Shafie memberi amaran bahawa sebarang pembangunan di tapak itu yang didapati tidak mematuhi garis panduan Unesco boleh mengakibatkan pengiktirafan tersebut ditarik balik.

Penasihat Wilayah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) bagi Asia Pasifik, Dr Richard Engelhardt dilaporkan media baru-baru ini sebagai berkata, status Tapak Warisan Dunia terancam di Georgetown selepas empat buah hotel melebihi 15 meter dibina di bandar raya itu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewajarnya mengambil iktibar bagaimana bandar Bordeaux di Perancis yang pernah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia pada 2007, kehilangan status itu tahun ini berikutan pembinaan jambatan Pertuis di bandar itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebelum ini menyelar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan berkata: “Penang perlu sedar tindakan mereka akan member kesan. Apa juga tindakan Penang akan memberikan kesan kepada Melaka.”

“Bagaimana dia (Guan Eng) boleh mengatakan garis panduan tidak menyatakan secara jelas mengenai tapak warisan apabila Guan Eng sendiri dari Melaka. Dia serta isteri membantah terhadap kita (kerajaan negeri) apabila usaha dilakukan untuk mendapatkan status berkenaan?” tanya Mohd Ali.

Katanya, usaha mendapatkan pengiktirafan untuk Melaka mengambil masa selama lapan tahun.

Shafie berkata, pandangan ke arah tapak warisan juga diambil kira dan sekiranya pandangan ke arah tapak warisan terhalang, ia akan menjejaskan kedudukan pengiktirafan tapak berkenaan.
Beliau menjelaskan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia di beberapa negara telah ditarik balik akibat pembangunan yang tidak teratur dan ia tidak harus berlaku kepada Georgetown dan Melaka.

"Kebimbangan kita, jika pengiktirafan berkenaan ditarik, bukan hanya Pulau Pinang sahaja ditarik tetapi juga akan menjejaskan juga kedudukan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia," katanya.

Di Kuantan, 22 November lalu, Shafie mengingatkan Pulau Pinang dan Melaka supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan projek pembangunan moden di kawasan yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia di kedua-dua negeri itu.

Projek pembangunan moden yang dibuat tanpa dirujuk kepada kerajaan Pusat boleh menyebabkan status Tapak Warisan Dunia ditarik balik kerana tidak ada jaminan bahawa status tapak warisan dunia akan kekal selama-lamanya.

Berikutan itu Shafie menasihatkan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Melaka perlu mengambil langkah memelihara dan memulihara bandar raya Georgetown dan Melaka bagi mempertahankan status Tapak Warisan Dunia masing-masing.

Katanya, beliau telah menemui wakil kedua-dua kerajaan negeri itu hari ini bagi membincangkan kedudukan pengiktirafan Georgetown dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia .

"Saya telah mengarahkan mereka melakukan beberapa perkara (bagi memelihara dan memulihara tapak berkenaan)," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Konservasi Warisan Kebudayaan Asia Pasifik 2008 di Kuala Lumpur semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menghuraikan butiran lanjut pertemuan tersebut.

Georgetown dan Melaka mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia pada Mesyuarat Jawatankuasa Mesyuarat Warisan Dunia (WHC) pada 7 Julai lepas.

Sementara itu Parti Gerakan kelmarin turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri meluluskan projek pembinaan hotel beberapa hari sebelum Georgetown diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Pengerusinya, Datuk Dr. Teng Hock Nan berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah meluluskan projek syarikat Bintang Holdings di bawah Kumpulan Low Yat yang terletak di Jalan Sultan Ahmad Shah kerana tidak memenuhi garis panduan ditetapkan.

Tambahnya, antara empat projek yang dibangkitkan oleh Penasihat Wilayah UNESCO bagi Asia Pasifik, Dr. Richard Engelhardt, pembinaan hotel itu satu-satunya projek yang tidak dimaklumkan kepada wakil Jawatankuasa Warisan Dunia, Prof. David Lung semasa datang ke negeri ini untuk membuat penilaian.

“Lung tidak diberitahu mengenai pembinaan hotel ini berikutan kerajaan negeri BN dahulu sendiri tidak meluluskan projek itu kerana pihak pemaju tidak bersetuju untuk mengurangkan bangunan 24 tingkat kepada lapan tingkat bagi memenuhi garis panduan ditetapkan.

“Jadi, kita hanya mempersoalkan adakah projek ini yang dibangkitkan Richard sekali gus membahayakan pengiktirafan status Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia kerana yang tiga projek lagi telah pun diketahui oleh Lung,'' katanya.

No comments:

Post a Comment