Monday, March 12, 2012

NFC Corp - Dr Mohamad Salleh Tidak Mengaku Salah Di Mahkamah Sesyen


Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membayar jaminan sebanyak RM500,000. Anak sulung tertuduh, Wan Shahinur Izmir, 32, telah membayar jaminan tersebut.

Dokumen perjalanan Mohamad Salleh juga diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kesnya 13 April depan.

Petang tadi beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap dua pertuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan melanggar Akta Syarikat.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Akta Syarikat 1965 (Akta 165). Tuduhan ke atas beliau itu melibatkan kes pecah amanah dana awam berjumlah RM49 juta daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan pengurusan Pusat Fidlot Nasional (PFN) di Gemas, Negeri Sembilan.

Pertuduhan pertama - didakwa sebagai pengarah syarikat NFC melakukan pecah amanah menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium 'One Menerung' di Parcel BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no.56454 di Mukim Kuala Lumpur. Kesalahan tersebut dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi Taman Tun Dr Ismail.

Pertuduhan kedua - di alamat dan bank yang sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut. (Beliau dan salah seorang anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Untuk kedua-dua kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 409 dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua hingga 20 tahun dan hukuman sebat serta denda.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua mengikut Akta Syarikat, Mohamad Salleh selaku pengarah NFC didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut.

Bagi kedua-dua kesalahan ini, Mohamad Salleh didakwa mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000.

Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Azimul Azami merupakan pihak pendakwaan manakala pihak pembelaan yang diketuai oleh Badrul Munir Bukhari. Terdahulu, Dzulkifli memohon di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah untuk perbicaraan bersama.

Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mohamad Salleh meminta anak guamnya diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan sedia menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Badrul juga memberitahu mahkamah bahawa peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah akan bertindak sebagai peguam utama dan kini berada di luar negeri.

"Anak guam saya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak pendakwaan sepanjang penyiasatan sejak timbulnya kes ini dan kini berada di mahkamah untuk membersihkan namanya," kata Badrul.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad tidak membantah jaminan tersebut dan berkata beliau menyerahkan perkara tersebut kepada budi bicara mahkamah.

Hakim S.M. Komathy Suppiah kemudian berkata, mahkamah telah mengambil kira keseriusan kes dan jumlah wang yang terlibat serta mahkamah tidak mahu dituduh memilih kasih dalam menetapkan jaminan.

"Kes-kes seperti ini sebelum ini telah ditetapkan jaminan yang tinggi walaupun di dalam kes ini (pihak pendakwaan) tidak membantah jaminan seperti mana dicadangkan oleh pihak pembelaan," kata Komathy.

Beliau kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin, serta dokumen perjalanan Mohamad Salleh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 13 April depan.

Anak sulung tertuduh, Wan Shahinur Izmir, 32, telah membayar jaminan tersebut.
 
Terdahulu, ketika kesemua dakwaan dibacakan, isteri tertuduh yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil turut hadir bersama Izmir.

Shahrizat dan ahli keluarga yang lain kelihatan cuba menahan sebak ketika pendakwaan dibacakan terhadap Salleh. Beliau yang kemudiannya diserbu oleh para wartawan berlalu keluar dari mahkamah tanpa mahu memberikan sebarang reaksi kepada kes ini.

Dua lagi anak mereka iaitu Izran dan Izzana yang juga merupakan anggota lembaga pengarah syarikat yang penuh kontroversi itu tidak kelihatan sepanjang prosiding itu berlangsung.

 Shahrizat semalam (Ahad) telah pun mengumumkan keputusannya untuk berundur dari jawatannya sebagai menteri menjelang 8 April nanti.

PRU13 - SHAHRIZAT WAJAR 'BEBASKAN' UMNO, BN


Untuk keutuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya tiada kaitan dengan UMNO dan BN sehingga habis pilihan raya umum nanti.

Ketika ini, amat jelas pengumumanan untuk berundur oleh Shahrizat itu bersifat 'berundur salah tidak berundur pun salah'. Apapun ‘better late than never’.

Sehari selepas mengumumkan untuk berundur suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail hari ini dikenakan dua tuduhan pecah amanah berhubung isu NFCorporation, melibatkan wang sebanyak RM49 juta. Tuduhan ke atas beliau dibacakan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Itu di pihak suami Shahrizat.
 
Di pihak Shahrizat sendiri, keputusannya meletakkan jawatan Menteri pada 8 April seiring dengan penamatan pelantikannya sebagai senator,  baik tetapi agak terlambat.

Selepas kontoversi panjang Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Beliau bagaimanapun berkata akan kekal sebagai ketua Wanita Umno kerana pergerakan itu sudah dianggap seperti keluarga.

Persoalannya kenapa tunggu sampai tempoh perlantikan senatornya tamat? Shahrizat berundur dengan cara itu turut mengundang kritikan pembangkang.

“Bagaimana Shahrizat boleh mendakwa berundur pada 8 April? Beliau sebenarnya berpaut pada kedudukan menteri sehingga ke saat akhir,” kata Naib Presiden PKR N Surendran yang juga seorang pengamal undang-undang.

Keputusan Shahrizat itu bagaimanapun tidak akan menghentikan kritikan terhadap kerajaan dan UMNO kerana seperti kata Surendran, Shahrizat yang mahu terus berpaut pada jawatan ketua Wanita Umno.

Lebih jauh Surendran berkata tindakan itu membuktikan UMNO tidak ada keazaman politik, kecenderungan atau kuasa moral untuk bertindak terhadap pemimpin yang didakwanya mempunyai salah laku.

Pertanyaan ialah, sebagai Ketua Wanita UMNO, Shahrizat juga menjadi Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) dan kedudukan itu akan menjejaskan pula politik BN. 

Apakah parti komponen boleh menerima kedudukan ini? Bagi saya adalah baik jika Shahrizat buat seketika tidak ada kaitan langsung dengan UMNO atau BN, sebaliknya membantu suami beliau dalam kes mahkamah yang akan dihadapi berikutan pertuduhan hari ini.

Yang nyata banyak pihak sudah berkali-kali meminta Shahrizat melepaskan jawatan menteri dan desakan daripada Umno sendiri, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafizah Aziz yang begitu gusar dengan pendedahan demi pendedahan yang pastinya mengesani keyakinan rakyat kepada UMNO-BN.”

Di kalangan pemimpin UMNO khususnya Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee, beliau menganggap kenyataan Shahrizat berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu 'drama'.

Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali. Syed Ali berkata, tindakan Shahrizat itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan peletakan jawatan itu bukan disebabkan rasa bersalah, tetapi kerana tempoh sebagai senator sudah tamat.

"Dia nak tunjuk glamour kot supaya esok ada Wanita yang datang menangis, merayu pada dia supaya jangan letak jawatan. Saya bersyukur dia nak berhenti, tetapi kecewa kerana dia nak berhenti bila tamat tempoh senator. Saya tak faham kenapa. Ini menunjukkan dia tidak komitmen dan tidak berintegriti kepada parti," katanya. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang sebelum ini telah dua kali meminta Shahrizat agar meletakkan jawatan ekoran kontroversi projek itu semalam menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sebagai terbaik walaupun sudah "terlambat."

Namun beliau tetap bertanya: "Mengapa harus mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini?"

Bung Moktar berkata, sepatutnya Shahrizat mengumumkan keputusan ini dengan segera dan sekiranya Shahrizat tidak berundur, sudah pasti Perdana Menteri terpaksa mengambil tindakan meminta menteri itu meletakkan jawatan.

Menjelang pilihan raya umum, adalah penting UMNO tidak dilemahkan oleh skandal-skandal!