Monday, March 12, 2012

PRU13 - SHAHRIZAT WAJAR 'BEBASKAN' UMNO, BN


Untuk keutuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya tiada kaitan dengan UMNO dan BN sehingga habis pilihan raya umum nanti.

Ketika ini, amat jelas pengumumanan untuk berundur oleh Shahrizat itu bersifat 'berundur salah tidak berundur pun salah'. Apapun ‘better late than never’.

Sehari selepas mengumumkan untuk berundur suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail hari ini dikenakan dua tuduhan pecah amanah berhubung isu NFCorporation, melibatkan wang sebanyak RM49 juta. Tuduhan ke atas beliau dibacakan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Itu di pihak suami Shahrizat.
 
Di pihak Shahrizat sendiri, keputusannya meletakkan jawatan Menteri pada 8 April seiring dengan penamatan pelantikannya sebagai senator,  baik tetapi agak terlambat.

Selepas kontoversi panjang Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Shahrizat semalam mengumumkan akan berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan (April).

Beliau bagaimanapun berkata akan kekal sebagai ketua Wanita Umno kerana pergerakan itu sudah dianggap seperti keluarga.

Persoalannya kenapa tunggu sampai tempoh perlantikan senatornya tamat? Shahrizat berundur dengan cara itu turut mengundang kritikan pembangkang.

“Bagaimana Shahrizat boleh mendakwa berundur pada 8 April? Beliau sebenarnya berpaut pada kedudukan menteri sehingga ke saat akhir,” kata Naib Presiden PKR N Surendran yang juga seorang pengamal undang-undang.

Keputusan Shahrizat itu bagaimanapun tidak akan menghentikan kritikan terhadap kerajaan dan UMNO kerana seperti kata Surendran, Shahrizat yang mahu terus berpaut pada jawatan ketua Wanita Umno.

Lebih jauh Surendran berkata tindakan itu membuktikan UMNO tidak ada keazaman politik, kecenderungan atau kuasa moral untuk bertindak terhadap pemimpin yang didakwanya mempunyai salah laku.

Pertanyaan ialah, sebagai Ketua Wanita UMNO, Shahrizat juga menjadi Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) dan kedudukan itu akan menjejaskan pula politik BN. 

Apakah parti komponen boleh menerima kedudukan ini? Bagi saya adalah baik jika Shahrizat buat seketika tidak ada kaitan langsung dengan UMNO atau BN, sebaliknya membantu suami beliau dalam kes mahkamah yang akan dihadapi berikutan pertuduhan hari ini.

Yang nyata banyak pihak sudah berkali-kali meminta Shahrizat melepaskan jawatan menteri dan desakan daripada Umno sendiri, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas ketua Wanita Umno Tan Sri Rafizah Aziz yang begitu gusar dengan pendedahan demi pendedahan yang pastinya mengesani keyakinan rakyat kepada UMNO-BN.”

Di kalangan pemimpin UMNO khususnya Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee, beliau menganggap kenyataan Shahrizat berundur sebagai menteri selepas tempoh pelantikannya sebagai senator tamat bulan depan satu 'drama'.

Shahrizat sepatutnya menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap parti dan negara dan bukan bermain tarik tali. Syed Ali berkata, tindakan Shahrizat itu seolah-olah ingin menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah dan peletakan jawatan itu bukan disebabkan rasa bersalah, tetapi kerana tempoh sebagai senator sudah tamat.

"Dia nak tunjuk glamour kot supaya esok ada Wanita yang datang menangis, merayu pada dia supaya jangan letak jawatan. Saya bersyukur dia nak berhenti, tetapi kecewa kerana dia nak berhenti bila tamat tempoh senator. Saya tak faham kenapa. Ini menunjukkan dia tidak komitmen dan tidak berintegriti kepada parti," katanya. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang sebelum ini telah dua kali meminta Shahrizat agar meletakkan jawatan ekoran kontroversi projek itu semalam menyifatkan keputusan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sebagai terbaik walaupun sudah "terlambat."

Namun beliau tetap bertanya: "Mengapa harus mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan ini?"

Bung Moktar berkata, sepatutnya Shahrizat mengumumkan keputusan ini dengan segera dan sekiranya Shahrizat tidak berundur, sudah pasti Perdana Menteri terpaksa mengambil tindakan meminta menteri itu meletakkan jawatan.

Menjelang pilihan raya umum, adalah penting UMNO tidak dilemahkan oleh skandal-skandal!

No comments:

Post a Comment