Wednesday, May 14, 2014

PAS KECEWA, BN KEKAL MEMERINTAH DENGAN MB BAHARU…


"Situasi antara kedua-dua buah negeri (Terengganu dan Perak)  berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, ADUN Ajil, dan ADUN Bukit Besi,  bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas."
 - Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun

Hanya selepas Datuk Seri Ahmad Said meletak jawatan sebagai menteri besar kelmarin, barulah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu malam kelmarin.

Ini bermakna proses pertukaran Menteri Besar berlaku dengan baik namun tiba-tiba selepas itu, kemelut politik berlaku apabila tiga ADUN UMNO isytihar keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Ramai pemimpin dan penyokong PAS berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat ditumbangkan akibat tindakan tiga ADUN berkenaan.

Malah ada beberapa blogger meramalkan Ahmad Razif akan menjadi Menteri Besar 'sementara' dan paling singkat kerana kerajaan negeri pimpinannya akan ditumbangkan oleh PAS.

Namun pastinya ramai yang kecewa kerana PAS tidak boleh mengambil alih tampuk pentadbiran Terengganu kerana 15 ADUN pembangkang, termasuk seorang daripada PKR belum menghadap Sultan Terengganu.

Soalan juga apakah Sultan Terengganu sudah berpuas hati bahawa kerajaan BN telah hilang majoriti?

Paling penting apakah Baginda berkenan melantik Menteri Besar baharu daripada PAS?

Juga ramai yang kecewa dan marah apabila Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Mohd. Zubir Embong (kanan)  semalam menafikan khabar angin kononnya dewan undangan negeri dibubarkan berikutan perkembangan politik terbaru di negeri ini.

Khabar angin tersebar luas melalui SMS dan aplikasi Whatsapp kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan pilihan raya negeri Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari.

Bagi yang tahu, Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya boleh dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Namun bagi yang tidak tahu akan merapu dan menyebarkan khabar angina kononnya DUN sudah terbubar dan keadaan Terengganu kini dikawal oleh pembangkang.

Selain DUN tidak terbubar, hakikat yang wajar diketahui ialah Ahmad Razif yang baharu mengangkat sumpah pelantikan malam kelmarin tetap kekal sebagai Menteri Besar Terengganu yang sah.


Biarpun tiga wakil rakyat daripada UMNO (kini tinggal dua) mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas, namun Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar (ini bukan berita seperti dilaporkan Datuk Rahman Bakar atau Nik Dir Nik Wan Ku baru-baru ini kononnya Ahmad Said kekal Menteri Besar selepas pengesahan Ibu Pejabat UMNO dan Putrajaya).


Pakar Perlembagaan, Datuk Mohd. Hafarizam Harun menjelaskan menerusi siaran langsung Buletin 12 Awani di saluran Astro Awani 502 semalam, kedudukan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu:

1. Selagi kedudukan Ahmad Razif tidak dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diambil undi tidak percaya, maka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu adalah Menteri Besar Terengganu yang sah;

2. Selagi tiada permintaan untuk membubarkan DUN oleh Ahmad Razif selaku Menteri Besar, maka DUN sedia ada masih lagi berterusan dan beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Besar; dan,

3.Selagi tiada pelantikan Menteri Besar baharu oleh Sultan Terengganu atas sebab baginda telah mendapati Ahmad Razif telah hilang kepercayaan ADUN-ADUN, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.

Malah, seperti yang turut ditegaskan Mohd Zuber, Ahmad Razif mesti menghadap Tuanku Sultan untuk memperkenankan pembubaran DUN Terengganu dan setakat ini ia masih belum berlaku.

“Bagaimana nak bubarkan DUN, sedangkan saya sebagai Speaker DUN pun masih belum terima sebarang surat untuk membubarkannya," katanya.

Mohd. Zuber turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Kita berterima kasih kepada Polis Terengganu kerana mengeluarkan amaran selain meminta orang ramai menghentikan penyebaran berita tidak sahih menerusi media baharu berhubung situasi politik di negeri itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kekecohan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan menurut undang-undang sedia ada.

"Saya lihat aktiviti penyebaran ini semakin berleluasa dan antara berita terbabit ialah pembubaran dewan undangan negeri, beberapa ADUN (anggota dewan undangan negeri) bakal keluar parti, perhimpunan serta perarakan, namun semua itu tidak benar," katanya dalam sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu katanya polis kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memantau media baharu. "...kita minta pemimpin politik menasihati penyokong agar tidak melakukan provokasi, perarakan dan sebagainya yang boleh mencetuskan kekecohan sebaliknya mengunakan saluran yang betul untuk tujuan itu," katanya.

Khabar angin tersebar selepas bekas menteri besar Terengganu dan anggota DUN Kijal serta dua lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari UMNO - Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) mengisytiharkan keluar daripada parti dan menjadi wakil Bebas.

Bagaimanapun Roslee kini kembali ke pangkuan UMNO.

Dengan perkembangan terbaru politik itu, wakil BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) kini tinggal 15, PAS (14), PKR (1) dan Bebas (2).

Jadi tidak kena sama sekali jika ada pihak yang menyamakan keadaan yang berlaku di Perak pada 2009 apabila tiga ADUN pakatan pembangkang mengumumkan keluar parti.

Mohd Hafarizam sebaliknya menjelaskan, ini kerana tiga ADUN di Perak berkenaan bukan sahaja keluar daripada parti masing-masing menjadi ADUN Bebas tetapi turut menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Disebabkan itu, Sultan Perak selepas menemuduga 31 ADUN termasuk tiga ADUN Bebas yang memberi sokongan kepada BN telah berkenan melantik Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjadi Menteri Besar baharu,'' ujarnya.


Situasi antara kedua-dua buah negeri itu juga berbeza kerana apa yang berlaku adalah pengumuman secara lisan oleh bekas Menteri Besar Terengganu, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud bahawa mereka telah keluar daripada UMNO dan menjadi ADUN Bebas.

Beberapa persoalan timbul iaitu apakah surat mengenai keputusan itu diterima oleh Pejabat Setiausaha Agung UMNO secara rasmi dan apakah dimaklumkan kepada Speaker DUN Terengganu. Sehingga petang semalam, Speaker mengesahkan tidak menerima sebarang surat dan mungkin ada surat dihantar hari ini.

Jika diambil kira pengumuman secara lisan oleh ketiga-tiga ADUN ini, mereka hanya menyatakan keluar daripada UMNO tetapi mereka tidak menyatakan menyokong PAS.

Ini berbeza dengan situasi di Perak kerana sokongan tiga ADUN Bebas telah diberikan kepada BN.


Berikutan kedudukaan terkini, rakyat Terengganu tidak perlu gusar bahawa kerajaan BN Terengganu telah tumbang kerana Ahmad Razif masih Menteri Besar.

Ini cerita benar bukan seperti cerita yang dibawa beberapa pemimpin UMNO Terengganu yang mengatakan ‘Tiada MB Baru’

Beliau yang memulakan tugas hari ini mempunyai tanggungjawab besar dan harapan yang ting¬gi terletak di bahu beliau.

Malah semalam juga  penasihat undang-undang negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid menjelaskan BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya dari Umno mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas.


Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 15 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 16:15:2.

Azhar ketika dihubungi Bernama, berkata speaker DUN turut dikira bersama 15 Adun BN yang masih tinggal dan dengan itu kerajaan BN masih kekal memerintah negeri ini.


Azhar berkata, pihaknya kini sedang meneliti beberapa undang-undang negeri untuk dirujuk berhubung perkembangan politik di Terengganu ketika ini.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Ahmad Razif dapat memberikan kepemimpinan yang terbaik untuk Terengganu kerana BN mempunyai kelebihan yang kecil dari segi kerusi Dewan Undangan Negeri.

“Terdapat tanggungjawab yang terlalu besar memandangkan harapan tinggi bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga oleh kepemimpinan parti kepada beliau," tegas Zahid.